14 Jul 2009

BM SEBAGAI BAHASA PENGANTAR LEBIH MUDAH

Menarik untuk dikongsikan.

MAJORITI pelajar tahun satu aliran sains dan teknologi (S&T) berpendapat penggunaan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran S&T lebih memudahkan kefahaman mereka.

Malah mereka menyifatkan peristilahan sains dalam BM sesuai digunakan dalam pembelajaran S&T dan mereka lebih memahami istilah berkenaan.

Pandangan tersebut diperoleh pada kajian yang dilakukan terhadap para pelajar di peringkat diploma, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terdiri daripada pelajar jurusan seni bina, sains dan kejuruteraan.

Kajian itu dilakukan oleh pensyarah di Fakulti Sains, Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Nor Hapiza Mohd Ariffin dan Norrizah Jaafar Sidik.

Menurut mereka, sebanyak 94 peratus pelajar menyifatkan penggunaan BM dalam peperiksaan atau penilaian S&T mudah difahami dan tidak menghadapi kesukaran menggunakan bahasa itu semasa menjawab soalan (84 peratus).

Daripada jumlah 100 pelajar yang ditemu duga hanya 16 peratus yang tidak bersetuju penggunaan BM dalam istilah sains dengan alasan ia sukar diterjemah dan mengelirukan.

Malah menurut mereka, istilah sains dalam bahasa Inggeris (BI) lebih standard berbanding BM dan istilah sains dalam BM tidak mencukupi.

Daripada kajian juga mendapati hanya 22 peratus pelajar tidak yakin dengan keupayaan BM sebagai bahasa perantaraan pengajaran S&T kerana bahan rujukan lebih banyak diperoleh dalam BI.

Selain itu menurut mereka, tenaga pengajar menggunakan BI dalam pengajaran dan BM tidak digunakan di luar negara.

``Walau bagaimanapun 78 peratus pelajar memilih BM sebagai bahasa pengantar kerana ia mudah difahami dan dipelajari, ramai yang menggunakan BM dan ia adalah bahasa rasmi,'' jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Cabaran Penulisan S&T Dalam Alaf Baru di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Menurut Nor Hapiza, analisis yang dilakukan mengenai persetujuan penggunaan BM sebagai bahasa pengantar itu diandaikan daripada latar belakang pelajar yang menerima pendidikan BM semenjak alam prasekolah sehingga sekolah menengah.

``Justeru tidak sukar bagi pelajar meneruskan pendidikan pada peringkat tinggi menggunakan BM kerana penggunaan yang menyeluruh pada peringkat persekolahan lagi,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, persetujuan mengenai istilah sains dalam BM juga diandaikan kerana penggunaan istilah digunakan pada tahun satu tidak jauh berbeza dengan penggunaan istilah di peringkat sekolah.

``Satu kajian terhadap pelajar tahun akhir atau peringkat yang lebih tinggi perlu dilakukan untuk melihat sejauh mana persamaan dan perbezaan mengenai persepsi mereka,'' katanya.

Tiada ulasan: