Nov 10, 2009

NIK AZIZ DAN DR ASRI : YES to WAHABI


Posting saya kali ini, mungkin menimbulkan banyak perdebatan dan latahan dari individu-individu yang akan menuduh saya sengaja pandai membuat spekulasi. Tidak mengapalah, saya anggap ini masih bertaraf hipotesis jika di dalam bidang penyelidikan, jadi ia sesuatu yang terbuka untuk dipersoalkan.

Saya memetik kata Dr Asri mengenai Nik Aziz sewaktu mereka bertemu di Pejabat Menteri Besar Kelantan itu di Kota Darulnaim, Kota Bharu semalam.

---------------------------------
"Beliau berkongsi dengan saya pengalamannya. Zaman menuduh kaum muda atau Wahabi telah dilalui oleh beliau sendiri pada satu ketika dulu, sekarang ia berulang terhadap saya,".

Ditanya mengenai lawatannya itu, menurutnya, ia tanda terima kasihnya kepada Nik Aziz yang memberi sokongan kepadanya selepas isu penangkapan oleh Jabatan Agama Islam Selangor yang berlaku terhadapnya baru-baru ini.
---------------------

Memang benar Nik Aziz pernah mengaji pondok tetapi pendekatan beliau memang ada ala-ala wahabi. Ilmu dan pengamalan tidak semestinya sama, sebab ada kedapatan anak tuan guru pondok sendiri yang berfahaman wahabi. Jika ayahnya mengajar sifat 20, anaknya pula bila sudah dewasa mengajar kepada orang ramai tiga jenis tauhid wahabi, ini contoh yang pernah berlaku.

Mungkin pengalaman lampau Nik Aziz menyebabkan beliau berhati-hati dari menonjolkan kecenderungannya kepada firqah wahabi, lagipun istilah wahabi itu sangat ditakuti oleh mereka yang cenderung kepada wahabi atau menyokong wahabi kerana mengaku wahabi adalah satu perkara yang mereka sendiri tahu amat menjelekkan.

Ada yang persoalkan, mengapa hal remeh temeh yang sekadar soal furuk ini dijadikan perbalahan?..Di dalam ASWJ, soal furuk tidak pernah menjadi perbalahan malah dalam ASWJ ada pelbagai firqah mazhab fekah yang bebas untuk sesiapa memilihnya. Soal furuk bukan masalah dalam fahaman ASWJ.

Namun apabila ia berkait dengan akidah, ini kerana fahaman wahabi bukan sekadar berbeza dari segi syariat dan feqah sahaja tetapi telah menyentuh soal akidah. Ini bukan lagi soal furuk, bukan soal ranting tetapi soal perkara pokok iaitu iktikad. Di dalam hal ini, kita sebagai umat Islam yang berpegang kepada Al Quran dan Sunnah tidak boleh berkompromi. Kita tidak boleh biarkan kerosakan akidah ini bebas di dakyahkan oleh mereka yang cenderung kewahabian ini di tengah masyarakat Islam. Adalah satu kewajipan bagi kita untuk memberitahu kepada umum tentang kepincangan akidah yang dibawa oleh wahabi ini.

sila klik di sini : KEBATILAN TAUHID WAHABI

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Jika sekadar soal furuk, tidaklah menjadi masalah kepada kita sebagai umat Islam, malah RSAW sendiri menyatakan ia sebagai rahmat kepada umat. Tetapi jika soal akidah jadi taruhan mahupun gadaian hanya semata-mata untuk memberi kebebasan para wahabian berleluasa menyebarkan dakyahnya, ingatilah bahawa, kita turut akan dipertanggungjawabkan di akhirat sana nanti. Setiap diri kita bertanggungjawab menjaga amanah agama ini.

Imam Ibnu Asakir, Imam al-Khatib dan Imam al-Hafiz al-Mizzi meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi:

"Apabila akhir umat ini melaknat (generasi) awalnya, maka hendaklah orang-orang yang mempunyai ilmu pada ketika itu menzahirkan ilmunya, sesunggunya orang yang menyembunyikan ilmu pada waktu tersebut seumpama seseorang yang menyembunyikan apa yang telah diwahyukan kepada (Sayyidina) Muhmammad SAW!!!"

Nov 9, 2009

ISU BAIAH PAS : BILA ISTERI JADI BAHAN GADAIAN

Saya telah mengikuti isu baiah PAS ini sejak beberapa lama, dan pada hari ini saya pasti ia memang benar-benar berlaku dan terjadi di dalam parti PAS. Pada mulanya, saya agak skeptikal dan tidak mudah untuk mempercayai ianya benar-beanr berlaku. Isu BAIAH TALAK TIGA ini pada pandangan saya merupakan satu perbuatan yang zalim kerana atas sekadar mempertahankan sebuah parti politik demokrasi sahaja, mereka sanggup mengadaikan sebuah rumahtangga yang halal di sisi Allah sebagai gantiannya. Inilah yang dikatakan sebagai menjual akhirat untuk dunia bukan menjual dunia untuk akhirat. Pada pendapat saya, ini adalah satu BIDAAH akhir zaman yang sangat mengelirukan masyarakat awam.

Hanya orang-orang yang sudah keliru dek kerana kemaruk KUASA dan POLITIK sahaja yang akan menyokong isu BAIAH talak tiga ini.

Di bawah ini adalah sisipan beberapa komentar mengenai isu BAIAH PAS ini.

----------------------------------------------

KUALA LUMPUR: Amalan baiah atau sumpah taat setia akan jatuh talak tiga terhadap isteri wakil rakyat Pas yang mengkhianati parti itu dengan menyertai parti lain, adalah tindakan mempertuhankan politik dan demokrasi

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata tindakan itu jelas mempersendakan kemuliaan isteri apabila menjadikan pasangan sebagai barang gadaian dan jaminan politik

“Isteri bukannya barang gadaian dan jaminan, sewaktu hendak kahwin kita ambil dengan cara baik dan kita memperisterikannya dengan perjanjian yang besar di hadapan Tuhan,” katanya ketika mengulas mengenai pendedahan beberapa pemimpin Pas melakukan baiah talak tiga yang akan jatuh ke atas isteri wakil rakyatnya yang mengkhianati parti itu termasuk melompat parti

Bagi Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, menyifatkan baiah sehingga talak tiga akan jatuh ke atas isteri pemimpin Pas yang melompat parti adalah tidak bertamadun dan boleh menjatuhkan imej Islam

“Talak juga dibenci oleh Allah, baiah seperti ini adalah budaya orang yang tidak bertamadun. Perempuan mahal harganya dan bukan boleh dijual beli dan bab agama jangan dipolitikkan sehingga isteri menjadi mangsa

“Sanggupkah dengan politik kita biarkan rumah tangga yang dibina hancur. Bagaimana jika pemimpin itu melompat parti pada usia 65 tahun, sudah punyai ramai cucu, anak dan menantu. Apa yang berlaku jika mereka bercerai, cuba bayangkan,”
katanya ketika dihubungi di sini semalam

Sementara itu, Ahli Parlimen pembangkang, Zulkifli Noordin, berkata amalan baiah itu adalah satu dasar yang paling tidak masuk akal dan begitu mengejutkannya

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu berkata, amat malang bagi gerakan yang mengambil Islam teras perjuangan menjadikan baiah itu sebagai dasarnya

“Dasar ini mengembalikan kita balik ke zaman jahiliah, wanita menjadi bahan dagangan, pajakan dan gadaian,” kata beliau dalam blognya http://zul4kulim.blogspot.com.

Katanya, beliau yang pada mulanya tidak percaya dengan laporan media terbabit berasa terkejut selepas perkara itu diakui rakannya dalam Pas yang pernah mengangkat baiah itu

“Malah ada di antara mereka menceritakan bagaimana mereka sendiri menggigil apabila mengangkat baiah berkenaan

“Yang paling sedih, ada di antara isteri yang dikehendaki hadir dalam majlis baiah ini menangis dan menggeletar mendengar ikatan perkahwinan mereka dijadikan bahan tebusan demi untuk kepentingan politik kepartian yang terlalu sempit dan jumud,”
katanya

Zulkifli berkata, beliau terkejut apabila beberapa tokoh politik Pas yang dihubunginya bukan saja tidak merasa bersalah dan berdosa dengan baiah itu malah mempertahankannya dengan alasan dangkal yang tidak bersandarkan al-Quran, sunnah Rasulullah dan sahabat baginda serta khalifah

Beliau mempersoalkan tindakan Pas yang tidak membangkitkan isu itu secara dalaman dan mencari penyelesaiannya secara muzakarah sebaliknya memilih untuk mendedahkannya kepada umum

“Saya khuatir dengan isu seperti ini, mereka yang menyokong Pas selama ini akan menjadi ragu-ragu, malah akan menukar sokongan mereka,” katanya

-----------------------------------------------------------------------------

Komentar-komentar tersebut adalah logik dan berfakta, dan mereka memberi komen tanpa mempolitikkan isu tetapi menerangkannya dari sudut KEADILAN dan PERPADUAN UMAH. Apapun saya sangat bersimpati dengan isteri-isteri dan keluarga-keluarga mereka yang menjadi KOMODITI kepada parti PAS untuk dijadikan UMPAN bagi menjamin KESETIAAN kepada parti PAS.

Sekian.

Nov 8, 2009

PERJUANGKAN ISLAM DENGAN KASIH SAYANG

Di akhir zaman ini, kita takut kalau-kalau hanya pada lahirnya saja kita lihat para pemimpin umat Islam benar-benar memperjuangkan Islam. Apatah lagi mereka pun sering membahas Al Quran dan hadits di dalam perjuangan mereka serta selalu menyerukan slogan-slogan Islam dengan tujuan mengajak orang banyak mengikuti perjuangan mereka. Tetapi peribadi dan sikap mereka senantiasa bertentangan dengan ajaran Islam. Jadi orang-orang yang tidak faham Islam dengan sebenarnya serta dengan menyeluruh, akan ikut dengan kata-kata mereka. Akhirnya, orang ramai akan terjebak. Sesuai dengan hal itu, Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita di dalam sebuah haditsnya seperti berikut:

Maksudnya:

Dari Abu Huzaifah bin Al Yaman r.a.
dia berkata ada orang bertanya kepada Rasulullah SAW dari hal kebaikan tetapi aku bertanya kepadanya dari hal kejahatan karena aku khuatir kejahatan itu akan mengejar aku, maka aku pun berkata,


“Ya Rasulullah, sesungguhnya kami ada di dalam kejahilan dan kejahatan, lantas Allah mendatangkan kepada kami kebaikan (Iman dan Islam). Maka apakah sesudah kebaikan itu ada kejahatan ? “ Rasulullah bersabda, “Ya!” Kemudian aku bertanya, “Dan apakah sesudah kejahatan itu ada kebaikan?” Rasulullah menjawab, “Ya, dan di dalamnya ada kekeruhan (kejahatan).” Dan aku bertanya, “Apakah kekeruhan (kejahatan) itu ? “ Jawab Rasulullah, “Kejahatan Itu ialah orang-orang yang menjalankan hal yang lain dari sunnahku dan mengikuti petunjuk yang lain dari petunjukku. Engkau ketahui dari mereka itu dan engkau ingkari.” Aku bertanya lagi, “Apakah ada lagi kejahatan?” Jawab Rasulullah, “Ya, mereka itu adalah penyeru-penyeru yang berada di atas pintu-pintu neraka dan barang siapa menyahut seruan mereka itu, mereka terjebak ke dalam neraka.” Aku bertanya lagi, “Ya Rasulullah, tunjukkan sifat mereka itu kepada kami. “ Jawab Rasulullah, “Mereka itu dari bangsa kami dan mereka berbicara dengan bahasa kami.” Aku pun berkata, “Maka apakah nasihatmu kalau aku menemui hal demikian?" Sabda Rasulullah, “Tetaplah kamu pada jemaah kaum muslimin dan imam mereka.” Aku bertanya, “Maka sekiranya tidak ada jemaah dan imam?” Sabda Rasulullah, “Hendaklah kamu keluar menjauhi semua golongan-golongan itu walaupun kamu mesti menggigit pada pohon-pohon hingga kematian mengejar kamu. Kamu mesti tetap demikian.


Nyata sekali di dalam hadits itu betapa Rasulullah mengingatkan kita tentang bentuk perjuangan akhir zaman ini yaitu akan ada orang-orang yang mengatakan kebaikan sedangkan di dalam kebaikan itu ada kekeruhan dan kejahatan. Mereka itu pada lahirnya berjuang menegakkan Al Quran dan sunnah tetapi sikap dan tindak-tanduk mereka bertentangan dengan Al Quran dan sunnah. Misalnya, mereka menentang sistem riba yang dijalankan oleh kaum kapitalis sedangkan mereka sendiri mengamalkan riba .

Mereka membahas sistem pendidikan sekular tetapi mereka terlibat di dalamnya. Kemudian mereka membahas hukum Islam tetapi mereka sendiri tidak mengamalkannya, seperti anak isteri mereka masih membuka aurat. Mereka membahas corak cara hidup Islam tetapi mereka sendiri tidak mengamalkan cara hidup Islam. Mereka adalah orang Islam yang pintar menyebut Al Quran dan hadits. Tetapi seandainya kita menyahut seruan mereka itu, kita akan terjerumus ke dalam neraka jahanam kerana mereka sebenarnya sedang berdiri di hadapan pintu neraka.

Untuk mengelakkan diri kita dari terjebak ke dalam perangkap mereka, Rasulullah menyuruh kita supaya mengikuti satu jemaah kaum Muslimin serta ketua atau pemimpin jemaah itu. Jemaah yang dimaksudkan itu adalah jemaah yang mengikuti sunnah dan pemimpin itu adalah pemimpin yang menegakkan Al Quran dan sunnah. Dan sekiranya sudah tidak ada lagi jemaah atau pemimpin yang digambarkan oleh Rasulullah itu, maka umat Islam hendaklah keluar dari pimpinan golongan tersebut. Itulah satu peringatan Rasulullah SAW yang mesti kita jadikan panduan di dalam perjuangan kita di akhir zaman ini.

Kerana asas penilaian, kayu uji atau skill kita dalam menilai suatu firkah atau badan perjuangan sudah jelas yaitu bahwa setiap tujuan perjuangan Islam mesti menurut pandangan Al Quran dan sunnah Rasul. Dan untuk peringkat awal ini, marilah kita tinjau lebih dahulu tentang tujuan perjuangan Islam menurut pandangan sebagian pejuang Islam hari ini baik melalui jemaah, firkah-firkah ataupun pandangan secara individu.

Ada umat Islam berjuang kerana menegakkan bangsa. Supaya bangsa yang diperjuangkan itu terus hidup dan jaya di semua lapangan kehidupan, maka dengan penuh kegigihan, pejuang- pejuang itu berusaha menghidupkan kebudayaan dan adat istiadat, ekonomi dan pendidikan bangsa mereka walaupun yang diperjuangkan itu bertentangan dengan Islam. Dan untuk menarik perjuangan semua pihak, mereka meniupkan semangat kebangsaan (nasionalisme).

Sebenarnya, Islam secara tegas menolak perjuangan yang berbentuk nasionalisme. Sebab semangat nasionalisme di dalam perjuangan dapat menimbulkan perpecahan antara bangsa-bangsa di dunia. Misalnya, satu bangsa boleh membenci bangsa yang lain, di mana bibit kebencian ini lama-kelamaan berbunga dan berbuah yang pada akhirnya akan menyebabkan perkelahian dan perselisihan tanpa batas. Hal ini dapat kita perhatikan di dalam sejarah Jerman di bawah kekuasaan Hitler. Dia begitu bangga dengan darah bangsanya yaitu bangsa Aria. Dan prioriti perjuangannya ialah untuk menegakkan bangsa Aria tersebut. Akhirnya semangat nasionalisme itu telah meninggalkan peperangan yang berkelanjutan sepanjang zaman.

Cuba perhatikan juga bangsa Yahudi. Mereka begitu mengutamakan kepentingan bangsanya dengan menganggap bahwa mereka adalah bangsa pilihan, sedangkan bangsa-bangsa lain di dunia ini tidak berguna. Dan kerana itu mereka menjadi perosak keamanan dunia pada hari ini.

Sebab itulah perjuangan seperti itu sangat dilarang di dalam Islam. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda : Maksudnya:

“Bukanlah dari golongan kami mereka yang menyeru kepada semangat nasionalisma. “

Dan sabdanya lagi, Maksudnya:

“Tidak ada faham nasionalisme di dalam Islam. “

Kemudian ada juga satu golongan umat Islam yang mengutamakan perjuangan ekonomi dalam Islam. Mereka berjuang menegakkan ekonomi umat Islam kerana dengan demikian mereka percaya umat Islam tidak akan lapar. Jadi dapat juga kita katakan bahwa mereka berjuang untuk mendapatkan makan dan minum. Mereka menjadikan nilai kejayaan dan kemajuan untuk umat Islam ialah jika umat Islam memperoleh keuntungan-keuntungan di dalam ekonomi, sehingga umat Islam dapat menjadi penguasa dalam pembahagian ekonomi dunia, menjadi terkenal yang pada akhirnya semua bangsa di dunia akan tunduk pada kekuasaan ekonomi umat Islam. Inilah pandangan mereka.

Kerana itu, golongan yang merasa bahwa ekonomi adalah asas di dalam perjuangan menegakkan Islam, melancarkan usaha-usaha yang hebat ke arah itu. Mereka tidak memberi penilaian apakah usaha-usaha mereka itu bertentangan dengan ajaran Islam atau tidak. Mereka tidak menghiraukan halal dan haram di dalam usaha mereka.

Misalnya Islam melarang pengamalan riba dalam perniagaan, tetapi kerana tujuan mereka ingin melahirkan kekuatan ekonomi secepat mungkin, mereka melibatkan diri dengan sistem riba . Selain dari itu di dalam peringkat pelaksanaan, mereka tidak menitik beratkan pada syariat Islam. Karena itu, dapatkah Islam menerima perjuangan seperti ini?. Tidak sepatutnya Islam sanggup menjatuhkan diri ke taraf haiwan yang hidupnya tanpa syariat dan peraturan.

Kemudian kita tinjau pula golongan yang berpandangan bahwa kekuatan perjuangan umat Islam ialah ketika banyak umat Islam yang terkenal karena mempunyai kedudukan pangkat dan nama. Ertinya, kalau banyak umat Islam yang memegang tampuk kekuasaan dan berkuasa karena pangkat dan nama yang mereka sandang, maka Islam akan kuat kerana banyaknya umat Islam yang mempunyai keahlian lebih dari umat-umat lainnya. Karena itu mereka berjuang untuk merebut pangkat dan nama serta menceburkan diri dalam semua bidang, jabatan dan iktisas. Dan demi mencapai tujuan, mereka menuntut ilmu pengetahuan yang dapat menjadi ukuran dan nilai untuk pangkat dan nama yang hendak mereka kejar itu. Sedangkan ilmu pengetahuan yang mereka tuntut ada yang bertentangan dengan ajaran Islam atau pelaksanaan ilmu pengetahuan yang mereka kejar itu bertentangan dengan syariat. Mereka kejar ilmu-ilmu itu sampai ke negeri orang, hingga kehidupan mereka pun dapat dijajah oleh orang lain karena fikiran mereka yang telah terjajah.

Apakah benar-benar menjadi kenyataan bahwa dengan banyaknya umat Islam berpangkat dan bernama, maka Islam akan dapat ditegakkan? Sebaliknya, yang menjadi kenyataan hari ini ialah semakin banyak umat Islam yang terkenal dengan pangkat dan nama, agama ini semakin pudar kerana mereka hidup mengikuti kehendak nafsu masing-masing serta lebih mementingkan diri sendiri. Dan kalaupun mereka bergaul, hidup mereka berkasta-kasta atau mengikuti pangkat dan nama yang disandang. Kerana itu, apakah dapat kita terima perjuangan seperti itu?

Selain dari itu, kita dapatkan pula golongan umat Islam yang berjuang karena kepentingan kumpulan atau golongan masing-masing. Mereka ingin mendapatkan kekuatan untuk golongan mereka agar golongan mereka itu terkenal. Dengan demikian, Islam akan terkenal dan tegak karena mereka merasakan bahwa Islam dan golongan (kelompok) mereka adalah saudara kembar. Bagi mereka, bila kelompok atau golongan mereka kuat, maka Islam akan kuat kerana mereka adalah umat Islam. Walaupun sebenarnya dari segi pengetahuan Islam yang ada atau dari segi amalan Islam yang mereka laksanakan serta kehendak Islam yang diperjuangkan oleh golongan mereka tidak selaras dengan Al Quran dan Sunnah Rasul.

Itulah perjuangan riyak, dan kerana ingin mendapat nama. Sebab itu kalau kita teliti betul-betul, golongan ini lebih menonjolkan individu-individu, karena itulah kelompok atau golongan mereka akan terkenal. Dan kerana itulah dalam pelaksanaannya, mereka akan mengutamakan individu-individu yang layak dan berkaliber dalam melancarkan perjuangan mereka. Mereka percaya bahwa individu-individu seperti itu dapat menjadi tenaga penggerak yang kuat untuk kelompok dan perjuangan Islam, walaupun pengamalan Islam pada individu itu serta keluarganya tidak selaras dengan A1 Quran dan sunnah. Yang penting bagi mereka ialah kecakapan dan kepintaran individu.

Cuba kita teliti dengan sehalusnya apakah mereka itu benar-benar berjuang untuk menegakkan Islam karena Allah? Bukankah dalam bentuk lahirnya mereka memperjuangkan kepentingan-kepentingan manusia yang akan bersikap sombong, takabur dan bongkak. Kerana itu, dapatkah seluruh umat Islam menerima perjuangan seperti itu? Bukankah perjuangan seperti ini berlawanan dengan sunnah? Betapa tidak, sedangkan Rasulullah SAW lebih menitik beratkan golongan fakir miskin dan papa serta anak-anak yatim. Kerana itu Rasulullah berdoa, “Ya Allah, Jadikanlah aku orang yang miskin. Hidupkanlah aku bersama dengan orang yang miskin. Matikanlah aku dalam suasana miskin dan masukkanlah aku ke dalam syurga bersama orang miskin. “

Jadi sangat keliru kalau kita berjuang menegakkan Islam sedangkan golongan kita terdiri dari orang-orang yang cakap, pintar serta berkaliber saja.

Ada pula di antara umat Islam hari ini berpandangan bahwa dengan keberanian, Islam akan tegak kembali di muka bumi ini. Kerana itu mereka menunjukkan keberanian mereka dalam segi apapun iaitu berani mati, berani merampas harta orang, berani membunuh, berani merebut kekuasaan, dan seterusnya. Barangkali dengan sedikit kekuatan yang Allah anugerahkan kepada mereka, lantas mereka gunakan untuk menindas dan menzalimi orang lain yaitu dari golongan lemah.

Golongan itu sanggup naik ke tengah-tengah masyarakat di atas kejatuhan orang lain. Dan bila mereka naik, mereka akan balas dendam. Jelas sekali menunjukkan bahwa perjuangan mereka begitu bertentangan dengan ajaran Islam. Perjuangan mereka itu sama halnya seperti perjuangan binatang-binatang buas di dalam rimba seperti singa, harimau, serigala dan lain-lain. Seperti halnya binatang-binatang ini sering menanti peluang untuk mencekik mangsanya seperti pelanduk, rusa dan sebagainya, maka demikian juga pejuang-pejuang yang merasakan kekuatan, kegagahan dan keberanian mereka dapat digunakan bila-bila saja ke atas sasaran mereka.

Kalau demikian, apakah umat Islam dapat memilih pejuang-pejuang seperti itu sebagai contoh mereka dalam memperjuangkan agama Allah yang Maha Suci dan Murni ini.

Nampaknya sampai sejauh ini kita telah mengemukakan beberapa contoh pandangan terhadap tujuan perjuangan umat Islam hari ini yang tidak selaras dengan A1 Quran dan sunnah. Dan yang nyata, semua bentuk perjuangan yang dibentangkan itu hanya membawa manusia ini ke dalam keadaan huru-hara dan berperang antara satu sama lain. Akibatnya, hilanglah keselamatan dan keamanan dalam kehidupan umat manusia. Logiknya, kita akan menolak perjuangan seperti itu kerana memperjuangkan Islam bererti kita memperjuangkan agama kemanusiaan, agama keselamatan dan agama persaudaraan.

Memperjuangkan Islam bererti kita memperjuangkan kasih sayang dan perpaduan. Mana mungkin kita dapat menerima perjuangan yang menuju kepada perpecahan dan peperangan. Apatah lagi kalau perpecahan itu dikalangan orang Islam sendiri.

Nov 6, 2009

ISU WAHABI : KAJILAH SECARA HOLISTIK


Isu Wahabi kini tiba-tiba menjadi antara isu yang menonjol di akhir-akhir ini, ia bagaikan satu SARINGAN atau TAPISAN untuk umat Islam di negara ini. Mengapa begitu? Kerana jika isu ini diambil lewa dan hanya bertaklid buta, maka amatlah ruginya kita. Memahami apa itu fahaman wahabi bukan soal picisan, kerana fahaman ini sudah beratus tahun dan usaha untuk menjenamasemula fahaman ini oleh pihak yahudi dan musuh Islam tidak pernah surut. Usaha hidden hand ini bukan diserahkan kepada orang-orang bukan muslim sebagai pejuangnya tetapi usaha hidden hand ini menggunakan orang-orang islam sendiri malah di kalangan sarjana Islam sebagai juak-juak mereka. Orang awam bagai teruja dengan istilah-istilah baru yang digunakan oleh fahaman ini, contohnya islam progresif, tajdid dan sebagainya. Ia hanyalah satu usaha rebranding fahaman wahabi agar dilihat dalam fesyen yang berlainan sahaja, tetapi hakikatnya tetaplah juga isinya, kaedahnya atau firqahnya yang sama.

Jika saudara-saudari pernah membawa artikel saya yang sebelum ini, menyatakan bahawa sarajana-sarjana Islam dan malah ada institusi Islam, universiti-universiti Islam yang terlibat sebagai penyokong usaha hidden hand, maka apa yang saya rujuk itu adalah kepada fahaman wahabi. Namun, mungkin pada waktu itu pembaca masih belum dapat memahami persoalan yang saya sampaikan, nah hari ini, isu tersebut sudah menonjol dan fikirkanlah sendiri akan kebenaran kenyataan saya itu. Hidden Hand sangat berjaya di dalam hal ini, dan amatlah menyukarkan sekali kepada orang awam untuk memahami akan BAHAYA wahabi ini kepada akidah dan umat Islam umumnya, kerana ia sudah dipelopori oleh para-para sarjana Islam yang condong ke arah kewahabian, walaupun selalunya mereka bermati-matian menafikan mereka berfahaman wahabi.

Sarjana-sarjana Islam ini bukan calang-calang sijil mereka kerana kebanyakan mereka adalah lulusan pascasiswazah pengajian Islam (yang sudah diserap oleh fahaman wahabi), satu kesamaan yang ada pada mereka adalah mereka sangat pandai berhujah mantik aka logik tentang masalah-masalah fekah dan pandai mengambil hati masyarakat yang cenderung kepada keduniaan dan memberikan banyak kemudahan kepada masayrakat awam mengikut akal fikiran dan logik akal sendiri dalam beragama. Para sarjana Islam wahabi ini mempelopori dan memperkenalkan kaedah baru kepada masyarakat awam iaitu menjadikan diri sendiri sebagai pentajdid dan pengijtihad perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan syariat asal sahaja mereka dapat dengan sendiri menemui nas-nas dalam Al Quran dan hadis mengikut tafsiran yang mereka sendiri fahami. Tafsiran Al quran menurut sarjana Islam wahabi ini milik semua orang, dan semua orang boleh mentafsirkan mengikut akal dan logik sendiri. Oleh itu, tidak ada keperluan untuk bermazhab dan tidak perlu mengikut ijmak ulamak. Inilah antara bahaya tersirat kepada umat Islam yang mengundang perpecahan dan kekeliruan yang sangat kritikal.


Modus operandi golongan sarjana islam wahabi ini turut memberi persepsi negatif dan secara halus mencucuk jarum stigma di fikiran orang Islam bahawa tasawuf, ahli sufi dan krberkatan RSAW itu suatu bidaah. Mereka amat benci kepada ulamak-ulamak ASWJ yang muktabar, dan seringkali menuduh ulamak-ulamak ini dengan tuduhan-tuduhan yang menjatuhkan kredibiliti ilmu mereka. Maka masyarakat awam yang sudah jauh dan tidak kenal dengan ualamak-ulamak ASWJ, sudah tidak tahu apa itu fahaman ASWJ dan bezanya dengan fahaman wahabi, yang sudah tidak faham apa itu tasawuf dan tidak kenal apa itu ahli sufi dan sangat TAKSUB dengan logik akal sahaja adalah makanan RANGUP kepada sarjana-sarjana ISlam wahabi ini. Malangnya golongan masyarakat awam seperti inilah yang paling ramai di dalam lingkungan umat Islam.

Di sini, saya kongsikan denagn pembaca semua satu artikel dari seorang sarjana Islam yang amat memahami apa itu fahaman wahabi. Mungkin dengan hujah ilmiah beliau ini dapat membuka pintu hati pembaca semua di dalam memahami isu wahabi ini. Artikel ini dipetik dari blog http://al-ashairah.blogspot.com/


Pesanan Pengendali Blog kepada Semua Ahli Ilmu

Imam Ibnu Asakir, Imam al-Khatib dan Imam al-Hafiz al-Mizzi meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi:

"Apabila akhir umat ini melaknat (generasi) awalnya, maka hendaklah orang-orang yang mempunyai ilmu pada ketika itu menzahirkan ilmunya, sesunggunya orang yang menyembunyikan ilmu pada waktu tersebut seumpama seseorang yang menyembunyikan apa yang telah diwahyukan kepada (Sayyidina) Muhmammad SAW!!!"

Maka apabila lahir golongan yang mencaci dan melaknat para ulama' empat mazhab terdahulu yang mengikut generasi Salafus Soleh, apakah yang telah kita lakukan???


Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh; Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam; Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, Rahmat ke seluruh alam; Juga kepada ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;

1 Sudah agak lama penulis tidak dapat meluangkan masa untuk menulis di ruangan ini. Alhamdulillah, pengajaran bagi semester ini telah pun tamat dan para pelajar penulis pada waktu ini sibuk mengulangkaji bagi peperiksaan akhir. Pada semester yang lepas, penulis terpaksa memberi fokus kepada “subjek-subjek baru” di peringkat pasca siswazah. Semoga Blog al-Ashairah dapat terus berkongsi manfaat dalam memahami fitnah yang sangat gelap di akhir zaman ini. Fitnah yang memakai pakaian agama, menggunakan slogan agama yang memukau, namun pada hakikatnya ia adalah racun yang sangat berbisa dan sukar untuk diubati.

2 Dalam banyak pengajaran yang penulis kelolakan, penulis sentiasa menyatakan bahawa “Bid’ah” itu seumpama RACUN dan “Maksiat” itu umpama NAJIS. NAJIS adalah sesuatu yang buruk dari segi luaran dan dalaman. Orang ramai mudah mengelaknya. RACUN pula pada kebiasaannya mempunyai rupa zahir yang elok dan seringkali dihidangkan dengan makanan bagi membunuh mangsanya. Mangsa mungkin tidak sedar dia sedang memakan racun tersebut. Hanya golongan ulama’ lah yang mampu mengenalpasti RACUN “Bid’ah” tersebut.

3 Pada waktu ini, umat Islam Malaysia dilanda dengan Isu Wahhabi. Ia bukanlah isu yang baru, ia adalah bid’ah yang dijenamakan semula dengan pakaian dan gaya persembahan yang baru.

4 Di dalam sejarah umat Islam, bid’ah-bid’ah yang timbul pada akhirnya dapat dipadamkan kerana bid’ah-bid’ah tersebut tumbuh di kalangan para ulama’ yang muktabar. Para ulama’ muktabar terdahulu telah menjalankan kewajipan dengan begitu baik [Semoga Allah merahmati mereka] dalam menguburkan bid’ah-bid’ah tersebut seumpama bangkai yang tertutup rapat.

5 Namun begitu, di akhir-akhir zaman ini, pada waktu para ulama’ muktabar begitu sedikit dan sukar dikenali, kejahilan agama tersebar luas, keilmuan agama hanya dinilai berdasarkan sijil akademik semata-mata [hakikatnya, ini adalah tanda akhir zaman], maka bangkai-bangkai bid’ah yang digali semula oleh sesetengah manusia dibentangkan sebagai ilmu di tengah-tengah masyarakat. Masyarakat yang kebingungan menjadi keliru, lantas mengambil jalan mudah dalam mempelajari agama ini dengan mengambil apa yang ada di hadapan mata, di TV, Internet, Suratkhabar, dll. Sedangkan disiplin ilmu Islam yang sepatutnya berasaskan “Talaqqi” dan “Suhbah” diabaikan.

6 Penulis ingin berpesan kepada umat Islam di luar sana, khasnya para Bloggers, agar tidak mudah-mudah mengeluarkan kenyataan mengenai Wahhabi jika anda tidak tahu. Ini adalah kerana “saham bid’ah” juga mungkin anda perolehi tanpa anda sedari. Penulis telah melihat banyak penulis dan pelayar internet yang meletakkan komen-komen di website dan blog bagi mempertahankan Wahhabi. Tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya mempertahankan bid’ah yang sangat dikeji oleh para ulama’. Imam al-Shafie r.a. pernah berkata: “Aku lebih suka untuk engkau bertemu dengan Allah dengan segala maksiat di atas muka bumi ini kecuali syirik, daripada engkau bertemu dengan Allah nanti dengan sedikit daripada ahwa’ (mengikut hawa nafsu dalam agama, iaitu bid’ah).” Elok juga kalau penulis mengarang berkenaan “BAHANA BID’AH” di masa akan datang.

7 Ramai juga Bloggers yang mencipta teori berdasarkan pandangan politik mereka yang sangat sempit. Rasa sedih melanda penulis apabila melihat orang awam mula bercakap-cakap isu yang sangat serius di dalam agama tanpa ilmu yang jelas. Janganlah sampai perkataan kita ini membawa malang yang besar di akhirat nanti. Saidatina Aishah r.a. pernah berkata: “Barangsiapa yang memuji ahli bid’ah, maka dia telah menolong memusnahkan agama Islam.” Lihatlah betapa buruknya bid’ah di mata para sahabat r.a. AGAMA KAMU, AGAMA KAMU….peliharalah.

8 Ramai juga ahli agama yang mahu mengulas berkenaan isu Wahhabi, tetapi tak ubah seperti kisah “Empat Orang Buta dengan Gajah”. Melihat Wahhabi hanya daripada satu perspektif dan tidak menyeluruh. Maka, ada yang kata Wahhabi macam “tali” kerana memegang belalainya, ada yang kata Wahhabi macam “dinding” kerana memegang badannya, ada yang kata Wahhabi macam “tiang” kerana memegang kakinya, ada yang kata Wahabi macam “daun” kerana memegang telinganya. Ada juga yang kata Wahhabi ini isu “tingkap” sahaja, ada Wahhabi yang kata tak kenal apa itu Wahhabi dan bermacam-macam lagi ulasan yang dibuat tidak berlandaskan pandangan MAJORITI ULAMA’ MUKTABAR, tetapi hanya berdasarkan pandangan peribadi.

9 Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian penulis berdasarkan kaedah al-istiqra’, Wahhabi boleh dilihat dari lima (5) perspektif, iaitu fiqh, aqidah, tasawwuf & tarikat, sejarah dan keselamatan negara.

10 Mereka yang melihat Wahhabi dari perspektif fiqh (e.g. qunut, air musta’mal, kaifiyyat tayammum, dll) sering menyatakan bahawa Wahhabi isu furu’ (cabang), tak perlu diperbesarkan, isu remeh temeh, dsb. Mereka terlupa bahawa Wahhabi juga banyak menolak hukum-hukum fiqh yang telah menjadi ijma’ (e.g. wajib qadha’ solat yang sengaja ditinggalkan, talak tiga dalam satu majlis jatuh tiga, hukum mengikut mazhab muktabar, dll), mereka juga terlupa bahawa Wahhabi banyak MENGHARAMKAN YANG HALAL di dalam ibadat, bahkan Wahhabi banyak mengkafirkan orang lain dalam isu furu’ dan sehingga mencaci hukum ahkam dan mazhab yang disusun oleh para ulama’ dan awliya, dll. Mereka yang melihat Wahhabi sebagai isu furu’ fiqh biasanya sering berkata: “Tak perlulah kita kecoh-kecoh, ini isu furu’ jer, tak usah gaduh….”. Sebenarnya orang seperti ini tidak mengenal Wahhabi sepenuhnya.

11 Ada juga yang melihat Wahhabi dari perspektif sejarah semata-mata. Mereka mengakui bahawa Wahhabi ada kaitan dengan kerajaan British dalam menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Namun begitu, mereka berkata: “Ini isu lama. Tak guna bincang pada hari ini. Benda dah berlalu.” Orang seperti ini juga memandang isu Wahhabi dengan pandangan sebelah mata. Hakikatnya mereka tidak dapat mengenal perkembangan Wahhabi dan fahamannya. Mereka tidak sedar Wahhabi telah memusnahkan begitu banyak kesan sejarah Islam di semenanjung Arab.

12 Penulis mula mengenali Wahhabi dari perspektif Aqidah, berkaitan dengan sifat-sifat Allah dan ayat-ayat mutashabihat. Mereka yang melihat Wahhabi dari perspektif aqidah (e.g. sifat-sifat Allah, ayat-ayat mutashabihat, af’al al-ibad, kewajipan menghormati Rasulullah SAW, kaedah takfir, menolak ijma’, mempertikaikan karamah dan konsep barakah, dll) biasanya kurang bertolak ansur dengan isu Wahhabi. Bahkan, ramai para ulama’ yang menentang Wahhabi memberi penekanan kepada aspek ini. Ini sebenarnya adalah “titik-titik” pertelingkahan dan perbezaan yang besar di antara Wahhabi dan Ahli Sunnah wal Jama’ah. Namun begitu, ramai juga para ilmuan agama yang tidak dapat memahami “titik-titik” ini.

13 Keseriusan isu Wahhabi ini juga dapat dilihat daripada perspekti Tasawwuf & Tarikat. Golongan Wahhabi sangat membenci golongan Sufi. Bahkan mereka begitu benci dengan istilah Tasawwuf. Golongan Wahhabi sering mengkafirkan, bahkan ada yang membunuh golongan ahli Sufi dan Tarikat yang muktabar. Banyak amalan-amalan Tasawwuf yang ditentang dan dikafirkan oleh golongan Wahhabi seperti zikir berjemaah, zikir ism al-dhat – Allah, Allah, penggunaan tasbih, tahlil, hadiah pahala dan banyak isu-isu lain. Golongan Wahhabi terlupa sebenarnya mereka memusuhi ramai para Wali Allah yang besar-besar apabila mereka memusuhi ulama’ Tasawwuf dan Tarikat. Mereka yang menilai Wahhabi daripada isu Tasawwuf dan Tarikat dapat memahami keseriusan isu Wahhabi ini.

14 Ada juga yang mula mengenali isu Wahhabi daripada perspektif keselamatan negara. Pihak berkuasa kerajaan pada kebiasaannya mula mengenal fahaman Wahhabi hasil daripada kajian mereka ke atas golongan berfahaman ekstrim yang ditahan. Hampir kesemua yang ditahan mempunyai latar belakang Wahhabi yang kuat. Mereka menyanjung tokoh-tokoh Wahhabi dan membaca buku-buku mereka serta mudah mengkafirkan umat Islam yang lain dan menghalalkan darah mereka kerana berpegang dengan kaedah takfir fahaman Wahhabi. Isu ini pernah diperkatakan di parlimen Indonesia. Oleh sebab itu, ramai pegawai di bahagian keselamatan negara yang memahami keseriusan isu ini.

15 Oleh itu wahai umat Islam, lihatlah isu Wahhabi ini daripada kelima-lima perspektif ini, pasti anda akan dapat memahi keseriusan para ulama’ menilai fahaman dan gerakan Wahhabi ini. Dan janganlah menjadi seperti “Empat Orang Buta dan Seekor Gajah”.

Ya Allah! Peliharalah kekuatan Ahli Sunnah wal Jama’ah di dalam umat ini, jauhilah mereka daripada fitnah yang melanda agama mereka, bantulah umat ini menolak dan memerangi golongan ahli bid’ah dan musuh-musuh mereka.

16 Marilah kita bersama-sama bersolat hajat, membaca Yasin, membaca Hizb al-Bahr, solat sunat Tasbih, Hajat & Taubat, atau/dan lain-lain, dan berdoa semoga memelihara pegangan Ahli Sunnah wal Jama’ah di Malaysia ini khususnya, dan seluruh dunia amnya. Amin, Ya Rabbal Alamin.

Isu Wahhabi: Jangan Jadi Seperti “Empat Orang Buta dengan Seekor Gajah”SILA KLIK DI SINI UNTUK KE BLOG TERSEBUT

Nov 5, 2009

BLOGGER PAS : SENJATA MAKAN TUAN

Saya tertarik dengan artikel di dalam Harakah Daily hari ini. Memetik HarakahDaily tersebut yang merujuk kepada kenyataan ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat menyatakan :


======================

PAS mengambil inisiatif mengadakan Konvensyen blogger PAS, ekoran beberapa polemik besar parti itu yang dilihat berpunca daripada media baru.

Konvensyen yang masih belum diputuskan tarikh dan tempatnya itu akan mengumpulkan semua blogger PAS di peringkat pimpinan pusat, negeri, kawasan dan ahli di cawangan.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad ketika dihubungi berkata, konvensyen itu antara lain bertujuan menjadikan blogger PAS sebagai kumpulan yang memperbetul persepsi masyarakat terhadap PAS.

"Kita mahu blogger kita (PAS) ini menjadi orang yang memperbetul persepsi dan tanggapan PAS dalam gerbang maya ini," katanya ketika dihubungi.

Medium Konvensyen ini juga katanya dilihat mampu memberi peringatan kepada blogger dikalangan PAS agar mereka sedar dan tidak menjadi sebahagian dari penabur fitnah kepada parti itu.

"Orang banyak fitnah PAS sekarang ni, jadi kita tidak mahu blogger kita ni pun tumpang sekaki merosakkan parti dengan persepsi salah ini," katanya lagi.

=======================================================

Nampaknya BLOGGER PAS telah dikritik secara terbuka kerana menurut Idris Ahmad ia adalah berpunca dari "ekoran beberapa polemik besar parti itu yang dilihat berpunca daripada media baru." Dalam kata lain, beliau beranggapan bahawa polemik besar yang berlaku di dalam PAS berpunca dari media baru ini iaitu blog-blog dari blogger PAS.

Jelasnya, pucuk pimpinan PAS melihat blogger-blogger PAS ini memberi masalah kepada parti hingga mengundang persepsi buruk dan fitnah kepada PAS.

Jika begitu, nampaknya blogger PAS ini sudah boleh digelar SENJATA MAKAN TUAN. Pada mulanya mereka diperlukan untuk menjadi senjata PAS memberikan persepsi buruk kepada kerajaan dan UMNO, tetapi akhirnya masyarakat muak dan meloya dengan pelbagai isu yang ditimbulkan kerana lebih banyak FITNAH dari kebenaran yang disogokkan oleh blogger PAS. Masyarakat awam sebenarnya sudah jelak dengan resepi yang sama ini, akhirnya strategi ini menikam kembali kepada PAS.

Ya, tidak selama-lamanya, isu-isu retorik, fitnah, provokasi dan yangs ewaktu dengannya boleh diterima masyarakat awam. Mereka bukan semakin bodoh, tetapi mereka semakin pandai menilai. Ini bukan masalah dengan mematahkan hujah blogger pro UMNO tetapi kedapatan kecenderungan akhir-akhir ini, blogger yang tidak pro mana-mana kepartian sudah bersuara. Mereka inilah mewakili golongan masyarakat UMUM yang celik untuk menilai mana yang buruk dan mana yang baik. Mereka jujur dalam memberi pandangan, dan akhirnya blog-blog beginilah yang dijadikan sasaran masyarakat awam untuk mendapat gambaran sebenar mengenai isu politik dan isu semasa yang berlaku di dalam negara Malasyia ini.

Jadi, kepada blogger pro PAS atau pro PR, sedar-sedarlah, bahawa tidak selamanya kamu dapat memperbodohkan rakyat dengan cerita-cerita provokasi dan cerita fitnah kamu, apabila rakyat bersuara menuntut KETELUSAN dan KEJUJURAN di dalam menyampaikan maklumat di alam siber maka kamu harus sedar, penolakan ini memberi maksud mereka sudah jelak dengan cara dan kaedah kamu yang basi itu. Mungkin sudah ramai yang meloya dan muak dengan hidangan yang disediakan dari blog-blog yang hanya pandai membuat provokasi tetapi tidak bersandar pada fakta yang sahih dan benar.

Sekian.