12 Ogo 2008
KEINDAHAN...di sebalik KEMAAFAN
Terkadang kita melakukan sesuatu di luar perancangan, itu katanya mengikut gerak hati..kadang-kadang diri sendiri juga tidak memahami, tetapi gerak hati dituruti juga dengan tindakan. Walau apapun, gerak hati itu, sentiasalah berdoa agar tidak melanggar syariat Allah dan tidak juga menzalimi manusia lain.
Memaafkan adalah satu akhlak yang mulia, dan lebih mulia lagi apabila kita turut mendoakan kebaikan. Itu pesan RSAW, dan menjadi ikutan orang mukmin. Memang hati akan pedih apabila dihina atau disakiti, tetapi RSAW berpesan, semulia-mulia manusia adalah membalas kejahatan dengan kebaikan walaupun ia berpeluang untuk membalas kejahatan itu dan berhak mendoakan keburukan atas orang yang menzalimi atau menfitnahnya.
Mengapa perlu memaafkan dan mendoakan kebaikan kepada orang yang menzalimi kita dengan fitnahnya?
Kerana mereka juga adalah HambaAllah seperti kita. Jika Allah SWT dengan rahmatNya bersedia mengampunkan kita apabila terbuat salah, maka siapakah kita untuk tidak memaafkan orang lain yang berbuat salah terhadap kita.
Tetapi, bagaimana kalau orang yang menfitnah dan menzalimi kita tidak memohon maaf dan tidak pernah merasa bersalah atau ego dengan salah dan silapnya kepada kita?..Adakah kita perlu maafkan juga?
Itulah pentingnya SABAR dan REDHA atas segala ketentuan Allah SWT...dan berbaik sangka dengan ALLAH. Setiap ujian ALLAH itu satu kifarah atas dosa-dosa kita, itu tanda ALLAH SWT ingin mendidik kita maka bersyukurlah atas UJIAN dan KESAKITAN, dan atas kesyukuran itu lupakanlah apa yang telah berlaku, dengan memaafkan orang yang menzalimi kita tanpa perlu dia meminta maaf.
Benar, itulah tindakan yang terbaik, didikan terbaik dari Allah. Siapa yang dapat menafikan, sebenarnya KEMAAFAN itu adalah penawar untuk mendapat ketenangan jiwa, keindahan rasa, kerana kita akan dapat menghayati kasih Allah pada kita. Cukuplah Allah sebagai tempat mengadu kerana Dia lebih mengetahui apa yang ada di dalam hati kita.
Jiwa yang tenang, adalah jiwa yang merdeka dari sifat-sifat mazmumah, jiwa ini adalah jiwa yang penuh dengan rasa kehambaan, rasa kasih sayang, rasa berTuhan, itulah makna KEMERDEKAAN yang hakiki.
Selamat HARI MERDEKA...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
saya pernah dianiaya kerana membantu seseorg dalam kesusahan tapi dibalas dgn kesusahan. Panjang ceritanya tapi cukuplah untuk saya katakan ibarat kacang lupa kulit.Dh byk makan budi bagi masalah pulak. Mcmana nak maafkan.Tiap kali terkenang rasa sebak, sakit hati & marah.
Catat Ulasan