27 Ogo 2008
KISAH DUA ORANG PENJALA
Kedua-dua lelaki itu begitu bersungguh-sungguh menebar jala masing-masing ke dalam sungai. Salah seorang daripadanya menebar dengan menyebut nama Allah manakala yang seorang lagi menebar dengan menyebut nama berhala. Mereka bertanding untuk membuktikan agama siapa yang benar dan memberi rezeki kepada penganutnya. Siapa paling banyak dapat ikan, dia menang.
Jala yang ditebar oleh si kafir selalu menghasilkan ikan yang banyak. Makin lama ikan yang dikumpul olehnya makin banyak. Hatinya begitu girang. Dan bertambah girang apabila dia mendapati bakul si Muslim masih kosong walaupun telah berpuluh-puluh kali jalanya diangkat.
Si Muslim masih menjala dengan sabar dan tekun. Dalam hatinya tidak sedikit pun terdetik sangka buruk terhadap Allah. "Mungkin ada rezeki yang lebih baik daripada ini untukku!" detik hatinya.
Mulutnya masih mengukir senyum. Akhirnya salah satu daripada jaringannya itu terasa berat.
Setelah diangkat didapatinya ada seekor ikan. Di wajahnya terbayang sedikit kegembiraan. Mungkin yang seekor. Ini pengubat usahanya untuk hari itu. Membawa balik ikan walaupun seekor lebih baik daripada pulang dengan tangan kosong. Hatinya tetap bersyukur walaupun cuma direzekikan dengan seekor ikan sahaja.
Malang, ikan yang seekor itu pun terlepas kembali ke dalam sungai. Namun hatinya masih bersabar.
"Mungkin ada hikmahnya!" pujuk hatinya.
Sementara si kafir itu pula ketawa berdekah-dekah melihat malangnya nasib si Muslim itu. Dengan ketawa yang berdekah-dekah itulah si kafir pulang dengan jinjingan bakul yang sarat dengan ikan. Manakala si Muslim pulang dengan tangan kosong dan badan yang penat tetapi hatinya bertawakal kepada Allah.
Melihat kejadian yang pelik itu, malaikat yang menjaga si Muslim terus mengadap Allah untuk mendapat kepastian tentang nasib si Muslim itu. Lalu Allah menunjukkan Syurga yang dikhususkan untuk si Muslim itu kerana kesabarannya. Dan ditunjukkan Neraka untuk si kafir itu.
Malaikat berkata, "Tidak sia-sialah usaha dan kesabaran si Muslim itu walaupun mendapat sedikit kesulitan di dunia, tetapi malanglah nasib si kafir itu walaupun dia bernasib baik di dunia."
-----------------------
Pengajaran dari kisah dua orang penjala ini sebenarnya jika dihayati akan menyentuh kalbu kita. Betapa rupanya, manusia yang melupakan Tuhan atau hatinya tidak dekat dengan Tuhan, selalu mengingati bahawa jika mereka diberikan kekayaan, kesenangan, kemudahan, kejayaan, kemenangan di dunia ini ini menunjukkan bahawa Tuhan meredhai diri mereka. Padahal semua itu hanyalah ISTIDRAJ dari Tuhan kepada mereka.
Sedangkan yang sabar, redha dan bersangka baik dengan Allah SWT walaupun ditimpa kehinaan, kemiskinan, kesulitan dan kekalahan itu sebenarnya Allah SWT lebih pandang dan lebih redha kepada mereka. Walaupun mereka tidak mendapat apa-apa habuan di dunia tetapi sesungguhnya kepada mereka dijanjikan kenikmatan yang berlipatganda di akhirat sana malah kekal abadi nikmat itu selamanya.
Marilah kita sama-sama mengambil iktibar bahawa di dalam menilai kehidupan di dunia ini wajiblah ke atas kita cuba menghayati segala ketentuan Allah SWT dengan iman dan taqwa yang diisi dengan sifat-sifat mahmudah seperti sabar, redha, tawakkal, berlapang dada, berkasih sayang, berbaik sangka dengan takdir Allah dsbnya, janganlah kita menilai kehidupan ini dari pandangan nafsu yang sangat mengajak kepada mencintai dunia, pangkat, kuasa dan wang ringgit.
Sekian.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan