YA, memang UiTM terlalu dekat di hati saya..di sini saya belajar tentang kehidupan, di sini saya belajar tentang pekerjaan, dan di sini kesetiaan saya insyaALLAH akan berkekalan...
Mengapa ?...mengimbau kembali kenangan lama sewaktu saya sedang memohon untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, di sebabkan salah memohon bidang yang tidak menepati result, pure science tapi minta LAW,..hehheh..(biasalah NAIF, org lain sibuk ambil borang masuk U, tapi saya tak tahupun mesti isi borang...tak tau le apasal le lost information sgt masa tu, nak kata sekolah kampung tak pula, sekolah berasrama penuh juga, sekolah sains...)
jadi disebabkan hal-hal teknikal begitu walaupun dengan result yang tidak jadi masalah untuk masuk ke mana-mana U, saya keciciran...pilihannya masuk form 6 lah..form 6 science ...aduuhhh boringnya...
takdirnya, saya tidak menerima apa-apa tawaran dari sebarang IPTA, sehingga ke saat akhirnya.
Nasib baik saya ada mengisi borang masuk ke UiTM yg waktu itu berbeza dengan IPTA yang lain. Borang itu sengaja saya isi kerana abang sepupu saya yang waktu itu belajar di ITM ambil dan suruh saya isi..mungkin Allah jua yg gerakkan hati dia untuk suruh saya isi borang itu..walaupun dia kata, result saya ni terlebih layak untuk masuk ITM waktu itu.
Jadi, ayah tersayang dek kerana kasihan dgn nasib saya, maka telah merayu kepada ITM untuk memasukkan saya belajar di sana...alhamdulillah...saya masuk ke UiTM selepas sebulan pelajar baru lain mendaftar diri dan bersama-sama yang masuk pada waktu yg sama dgn saya itu adalah pelajar-pelajar yang gagal ke luar negara dan saya ditempatkan sekelas dengan mereka. Saya ingat lagi ada lebih kurang 20 lebih satu kelas itu dan saya antara yang termuda..hehhehe..
Kerana itu, saya rasa ITM sgt istimewa di hati saya..dan kini saya kembali ke ITM dan kini dikenali dengan UiTM utk merealisasikan rasa kesyukuran dan ingin berbakti kepada anak bangsa bumiputera..di universiti yang telah banyak berjasa dan mengangkat maruah anak bangsa sendiri yang selalu di perlekeh oleh bukan sahaja bangsa lain tetapi oleh bangsa sendiri yang seperti kata pepatah lebih sudu dari kuah.. atau seperti kacang yang melupakan kulitnya..
marilah kita sama-sama menghayati fakta dari artikel ini, kita lupakan soal politik tetapi kita baca dengan hati nurani seorang melayu islam.
Keistimewaan UiTM
©Utusan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Mohd. Khuzairi Ismail (Wartawan Utusan)
sebahagian daripada kira-kira 5,000 orang pelajar UiTM berarak dengan memegang sepanduk membantah cadangan supaya institusi itu dibuka kepada bukan bumiputera di Shah Alam, Selangor, semalam.
KETEGASAN kerajaan berhubung hak eksklusif orang Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pernah menjadi isu beberapa tahun lalu nampaknya dicabar untuk sekelian kalinya, apabila kuota 10 peratus untuk bukan bumiputera kembali dibangkitkan.
Cuma bezanya kali ini tuntutan itu disuarakan oleh seorang pemimpin Melayu yang seharusnya memahami perjuangan UiTM dalam memperkasakan anak bangsa sendiri, dan mempertahankannya pula di sebalik sekian banyak ancaman terhadap maruah bangsa yang agak kerap dicabar kebelakangan ini.
Lalu bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila tuntutan yang tidak berasas itu disambut dengan rasa amarah yang bukan kepalang oleh banyak pihak, yang pastinya tidak rela berkongsi satu lagi hak keistimewaan orang Melayu yang masih kekal.
Paling utama, semangat yang ditunjukkan oleh kira-kira 5,000 orang pelajar UiTM yang berdemonstrasi membantah tuntutan itu semalam menyampaikan mesej betapa hak keistimewaan orang Melayu di UiTM adalah sesuatu yang jelas, dan jangan sekali-kali dipertikaikan.
Sesiapa pun yang mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu untuk melanjutkan pelajaran di UiTM itu sebenarnya tidak hanya melangkaui sempadan kaum, tetapi turut mencabar undang-undang negara.
Malah, mereka juga sebenarnya merendah-rendahkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan apa yang termaktub di bawah Akta UiTM 2000 merupakan pindaan dari Akta ITM 1976 yang menyatakan penubuhan universiti itu tertakluk kepada peruntukkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 153 yang menyentuh mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak yang mana tanggungjawab memelihara keistimewaan kumpulan bumiputera itu terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Sehubungan itu, dasar UiTM sejak penubuhannya hampir 52 tahun lalu iaitu eksklusif kepada pelajar Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja dikekalkan semasa Akta UiTM diluluskan oleh Parlimen pada 2000.
Mereka yang cuba mempertikaikan hak eksklusif bumiputera di UiTM barangkali buta sejarah, atau dengan sengaja menjadi jaguh mencipta isu sensasi untuk mencari populariti.
Jika tidak, mana mungkin objektif pe- nubuhan awal UiTM yang bermula dengan Dewan Latihan RIDA (Pembangunan Luar Bandar dan Industri) pada tahun 1956 boleh dilepas pandang begitu sahaja.
Seperti yang dijelaskan oleh Dekan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Nasrudin Mohammed, sejarah penubuhan UiTM adalah berlandaskan polisi afirmatif iaitu ditubuhkan khusus bagi membangunkan ekonomi orang Melayu.
Dengan tanggungjawab tersebut, UiTM pada awal penubuhannya menjadi sebuah institusi khusus yang berperanan melatih dan melahirkan anak Melayu da- lam aktiviti perniagaan yang sangat jauh ketinggalan dengan bangsa lain pada ketika itu. Malah, atas keperluan itu juga, mungkin ramai yang tidak mengetahui, UiTM sebenarnya bermula sebagai sebuah pusat latihan kecil untuk membuat tali daripada sabut kelapa semata-mata untuk mengajak orang Melayu mengenali dunia perniagaan.
"Dengan peranan yang lebih jelas, UiTM sebenarnya cuba untuk menyeimbangkan penglibatan kaum dalam arus pembangunan negara seterusnya mengajak orang Melayu bersama-sama bersaing dengan bangsa lain.
"Tanpa boleh dipertikaikan, tuntutan itu telah berjaya dipenuhi dan adalah sa- ngat menyedihkan apabila usaha UiTM meletakkan bangsa Melayu setaraf dengan bangsa lain itu dinafikan dan mahu ditarik kembali," katanya.
Memperhalusi alasan untuk mewajarkan kuota UiTM dibuka kepada bukan bumiputera, jelas Nasrudin, ia bukanlah hujah yang kukuh melainkan secara jelas berselindung di sebalik permainan politik semata-mata.
Isu membuka peluang sama rata kepada semua kaum misalnya, perlu dilihat dalam konteks yang lebih spesifik, iaitu kaum manakah yang sebenarnya lebih memerlukan peluang untuk berdaya maju.
Hakikat yang perlu diterima, ujar beliau, orang Melayu sehingga kini masih jauh ketinggalan dalam banyak bidang dengan bangsa lain, dan salah satu ruang untuk orang Melayu memajukan diri ia- lah di UiTM.
Ini juga secara mudah menjawab isu lain yang turut dibangkitkan, iaitu bagi membolehkan orang Melayu lebih bersaing dan berdaya maju dengan kehadiran pelbagai bangsa di UiTM.
Budaya bersaing dan cuba menonjolkan diri seperti itu sebenarnya sudah lama subur di UiTM, dan buktinya pelajar-pelajar lepasan UiTM ketika ini adalah mahasiswa yang paling laris di pasaran kerja.
Ia pula pastinya ada kaitan dengan isu kualiti di UiTM, yang selama ini menawarkan kursus-kursus pengajian futuristik dan melangkaui zaman, seperti bidang fesyen dan perhotelan misalnya.
Malah untuk melangkah ke UiTM itu sendiri pun pelajar-pelajar Melayu perlu bersaing sesama sendiri kerana tempat yang terhad, bayangkan pula apabila 10 peratus kuota untuk mereka terpaksa dikurangkan nanti.
Sementelah jumlah 10 peratus pelajar bukan bumiputera jika ingin dikaitkan dengan peningkatan kualiti di kalangan pelajar Melayu juga sebenarnya mudah untuk disangkal, kerana jumlah itu sangat sedikit dan sukar pula untuk memberi saingan.
"Sebab itu saya melihat desakan ini lebih kepada permainan politik dan bukannya berniat untuk meningkatkan kualiti pelajar-pelajar UiTM.
"Mereka yang ingin memperjuangkan kualiti di UiTM seharusnya tahu untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya, atau lebih tepat perlu beradab, bukan hanya dengan membuka peluang sama rata kepada semua kaum," katanya.
Dengan peranannya memperkasakan orang Melayu, bukanlah bermaksud UiTM membelakangkan semangat perpaduan di kalangan kaum di negara ini, kerana bangsa lain tidak pernah dinafikan untuk mendapatkan peluang pendidikan yang setaraf, malah lebih baik lagi dari UiTM.
Terlalu banyak IPT yang dibuka tanpa sebarang had kepada kaum bukan bumiputera, lalu kenapa UiTM yang merupakan satu-satunya institusi untuk orang Melayu selaras dengan hak eksklusif bumiputera ini mahu dirampas?
Jika sentimen anti-perpaduan seperti yang digembar-gemburkan oleh beberapa pihak begitu menjadi kebimbangan, bagaimana pula dengan dasar-dasar yang jelas membayangkan diskriminasi kaum mahu diperjelaskan?
Ambil sahaja sikap tidak bertanggung- jawab sesetengah syarikat yang meletakkan syarat wajib berbahasa Mandarin bagi mengisi sebarang jawatan di organisasi mereka.
Bukankah syarat kelayakan itu secara terang-terangan membelakangkan perpaduan di antara kaum di negara ini?
Banyak ruang yang boleh diperjuangkan oleh seorang pemimpin jika berhasrat untuk menunjukkan kewibawaan, tetapi tidak dengan menggadaikan maruah bangsa dan tanah air sendiri.
Keistimewaan bangsa yang diwarisi sekelumit cuma hari ini perlu dipertahankan dengan darah perjuangan sejati kerana ia adalah amanah generasi akan datang.
Jangan apabila tiba waktunya bumi bertuah ini sampai ke tangan anak cucu kita, apa yang tinggal hanyalah sekangkang tanah yang padanya tidak lagi ada maruah bangsa, sebaliknya mereka terpaksa pula menagih simpati daripada orang lain yang pernah disuapkan rezeki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan