2. TAHALLI
Tahalli bererti menghias. Yakni perkataan lawan bagi takhalli.
Sesudah kita mujahadah yakni mengosongkan hati darisifat-sifat terkeji
atau mazmumah, segera pula kita menghiasi hati dengan sifat-sifat
terpuji atau mahmudah. Untuk mudah difahami, cuba gambarkan hati kita
sebagai sebuah mangkuk yang kotor. Kemudian mangkuk itu dibersihkan.
Setelah bersih, jangan dibiarkan ianya kosong. Isikan dia dengan
barang-barang yang berharga dan makanan yang lazat. Begitu jugalah
dengan hati yang telah dibersihkan daripada sifat-sifat mazmumah tadi.
Janganlah dibiarkan ianya kosong. Mestilah diisi dengan sifat-sifat
mahmudah pula.Untuk mengisi hati dengan sifat mahmudah, sekali lagi kita
perlu mujahadah. Saya tegaskan sekali lagi, bahawa dalam peringkat
mujahadah ini, kita masih berasa berat dan susah. Susahnya memerangi
hawa nafsu itu kerana hakikatnya kita terpaksa memerangi diri kita
sendiri. Bukankah sebelum ini kita katakan nafsu itu sebahagian dari
jasad kita, iaitu jasad halus kita (jismul latif). Maknanya belum ada
ketenangan dan kelazatan yang sebenar.
Bagaimana hendak lazat kalau
terpaksa memerangi diri sendiri. Insya-Allah, kalau kita
bersungguh-sungguh, lama kelamaan bila ia sebati dengan hati, di waktu
itu akan terasalah lazatnya. Kerana setelah kita bersungguh-sungguh,
Allah akan membantu sepertimana janji-Nya dalam Al Quran.
Cara-cara mujahadah dalam tahalli samalah seperti kita mujahadah untuk
takhalli. Macamlah juga orang yang buat latihan senaman untuk sihatkan
badan. Peringkat awal tentulah terasa letih, menjemukan dan sakit-sakit
badan. Tetapi akhirnya nanti, dia akan rasa seronok dan terhibur dengan
senaman itu.
Begitulah juga dalam riadatunnafsi ini. Ertinya, kita bersenam secara
rohaniah. Peringkat awal tentulah jemu dan terseksa tetapi akhirnya ia
akan mesra dengan tabiat diri kita.
Misalnya, kita mahu menghiasi hati dengan sifat pemurah. Maka kita
mujahadah dengan mengeluarkan harta atau barang kita, terutama yang kita
suka dan sayang, untuk diberi pada yang memerlukannya. Mulanya tentu
terasa berat dan payah. Tetapi jangan menyerah. Kita lawan. Ingatkan
hati bagaimana orang-orang muqarrobin berebut-rebut untuk dapatkan
pahala sedekah. Sayidatina Aisyah r.ha. di waktu tiada apa yang hendak
dimakan, beliau cuba juga mendapatkan walau sebelah kurma untuk
disedekahkan. Begitu kuat keinginan mereka pada pahala dan rindunya dengan Syurga.
Mereka berlumba-lumba menyahut pertanyaan Allah SWT:
Maksudnya: “Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang
baik, maka Allah akan melipatgandakan (balasan) pinjaman itu untuknya,
dan dia akan memperolehi pahala yang banyak.” (Al Hadid: 11)
Setiap kali kita rasa sayang pada harta, setiap kali itulah pula kita
keluarkannya. Insya-Allah lama-kelamaan kita akan memiliki sifat
pemurah. Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudah yang lain seperti kasih
sayang, berani, tawadhuk dan sebagainya, perlulah kita miliki. Untuk
itu kenalah bermujahadah. Jika tidak, iman juga turut hilang. Sebab iman
itu terdiri di atas sifat-sifat mahmudah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan