Perkataan zuhud bila dilihat ertinya dalam kamus Arab atau mengikut pengertian bahasa biasa ialah meninggalkan dunia. Tetapi mengikut istilah Islam, erti zuhud itu ialah hati tidak terpaut atau tidak terpengaruh dengan dunia dan nikmat-nikmatnya. Pengertian yang kedua, iaitu mengikut pengertian syariat inilah yang akan menjadi perbahasan saya.Kerana zuhud mengikut syariat adalah disukai oleh Allah dan Rasul. Ia juga termasuk dalam sifat-sifat mahmudah. Moga-moga dengan izin Allah saya dapat menghuraikannya.
Mengikut tafsiran saya, kalau demikianlah pengertian zuhud itu, tidak semestinya orang yang zuhud itu tidak memiliki dunia atau mesti meninggalkan segala nikmat-nikmat dunia. Boleh jadi nikmat dunia yang dimilikinya lebih banyak dari orang lain atau dia mengendalikan dunia dengan banyaknya. Namun demikian, dunia yang banyak itu, yang dimilikinya atau yang dikendalikannya itu tidak mempesonakannya. Sedikit pun dunianya yang banyak itu tidak terjatuh ke hatinya. Bahkan dunia itu ada atau tidak, sama saja baginya.
Dia memiliki dunia serta mentadbirnya adalah dengan tujuan agar dunia itu dijadikan alat untuk membolehkannya beribadah kepada Allah SWT dan berkhidmat sesama manusia. Dunia yang dimilikinya itu dijadikan jambatan untuk ke Akhirat. Ini sesuai pula dengan tuntutan ajaran Islam yang dinyatakan dalam sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Dunia itu adalah tanam-tanaman untuk Akhirat.” (Riwayat Al ‘Uqaili)
Itulah Islam. Islam mengajar atau mendidik kita bahawa dunia itu boleh diambil tetapi biarlah ia boleh dijadikan modal untuk beribadah kepada Allah dan melakukan kebaikan sebanyak-banyaknya kepada manusia. Demikianlah, supaya dengan itu membolehkan seseorang itu mengaut pahala sebanyak-banyaknya untuk dia memperolehi nikmat Syurga di Akhirat. Siapa yang menjual dunianya untuk Allah atau untuk Akhiratnya, maka Allah akan beli dengan bayaran yang berganda-ganda tinggi nilainya. Iaitu digantikan dengan nikmat Syurga yang kekal abadi dan terhindar daripada seksa Neraka yang amat azabnya.
Persoalannya sekarang, bagaimana hukum dan cara kita mengambil dunia ini? Dan bagaimana cara mengendalikan dunia ini setelah realitinya ia berada di hadapan kita? Pada saya ada beberapa kategori iaitu:
1. DUNIA YANG WAJIB Dunia yang wajib diambil selagi ia halal ialah sekadar keper-luan asas saja. Yang tidak boleh tidak (dharuri), yang mesti ada seperti tempat tinggal, makan minum, pakaian dan lain-lain lagi. Kalau tidak diambil akan berlaku kecacatan di segi syariat atau di sudut fizikal. Siapa meninggalkannya, haram hukumnya kecuali setelah diusahakan tidak berjaya memperolehinya. Ini tidak menafikan zuhud.
2. DUNIA YANG SUNAT Dunia yang sunat diambil ialah perkara yang digunakan (selagi halal) untuk kemudahan di dalam menunaikan tanggungjawab yang wajib serta digunakan untuk menghasilkan perkara yang tidak boleh tidak. Seperti kenderaan yang perlu, alat-alat rumah yang memudahkan menjalankan tugas rumah tangga seperti dapur gas, pinggan mangkuk, periuk, dulang, mesin basuh, mesin jahit dan lain-lain lagi.
Agar dengan itu tidak membuang masa yang banyak. Dan memudahkan menjalankan tanggungjawab. Bahkan adakalanya menjadi wajib aradhi. Kalau tidak ada alat-alat itu maka tergendalalah urusan yang wajib. Ini juga tidak menafikan zuhud. Perlu diingat, keperluan seseorang antara satu sama lain tidak sama. Maka sudah tentulah pula alat-alat keperluan tidak sama. Sebagai contoh, alat-alat keperluan seorang guru sudah tentu tidak sama dengan alat-alat keperluan seorang petani. Kiaskanlah yang lain-lainnya.
3. DUNIA YANG HARAM Dunia yang haram kenalah ditolak terus seperti arak, wang judi, rasuah, hasil riba, hasil zina, tipu, rompak dan lain-lain lagi. Ini kerana perbuatan yang haram itu akan membawa ke Neraka.
4. DUNIA YANG MAKRUH Dunia yang makruh diambil iaitu harta-harta yang syubhat. Yakni perkara-perkara yang samar-samar bercampur antara yang halal dan yang haram, yang tidak dapat dipastikan yang mana halal dan yang mana haram. Maka hukumnya makruh. Bagi orang yang warak, dia terus meninggalkannya. Sesiapa yang terlibat dengan harta syubhat ini ternafilah zuhudnya kerana ia dibenci.
5. DUNIA YANG HARUS Dunia yang mubah (harus) diambil iaitu yang berbentuk untuk bersedap-sedapan, untuk keselesaan seperti kerusi yang mewah,buaian, kerusi rehat, tilam, katil yang mahal, bilik yang agak luas daripada kadar biasa tetapi tidak keterlaluan besarnya, kenderaan yang mewah dan lain-lain lagi, selagi halal. Cuma hisabnya banyak dan ia juga menafikan zuhud.
6. PEMBAZIRAN Perkara yang halal sekalipun, kalau digunakan terlalu berlebih-lebihan, sudah melebihi batas keselesaan dan bersedap-sedapan, ini sudah dianggap pembaziran. Sedangkan pembaziran adalah haram di sisi Allah. Dalam Al Quran pembaziran itu dianggap sebagai kawan syaitan. Firman-Nya: Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara kepada syaitan.” (Al Israk: 27)
Jadi, jika kita dapat menggunakan atau mengendalikan dunia yang dimiliki, yang tidak menafikan zuhud iaitu cara yang pertama dan kedua (dunia yang wajib dan sunat), ia masih dikatakan zuhud.
1 ulasan:
assalamualaikum. jazakillah khair :) thanks for sharing
Catat Ulasan