30 Apr 2008

TIADA MAKHLUK YANG ABADI


Setiap hari kita lihat daun kering berguguran. Tidak kurang juga masih ada yang di atas pokok yang sedang menguning; menunggu giliran jatuh ke bumi. Begitu juga bunga-bunga yang layu bila tiba masanya jatuh ke bumi terutama pada waktu pagi. Biarpun pada waktu mekarnya harum mewangi tapi bila sudah layu, tiada siapa pun yang mempedulikannya.


Di jalan-jalan raya, di highway, katak, tikus, ayam, kucing, ular dan bermacam-macam spesis haiwan mati, sama ada menjadi mangsa kenderaan yang lalu atau mati kelaparan. Kalau di hutan, bergaduh sesama sendiri pun boleh menyebabkan mati kerana kalah bertarung. Ada juga binatang yang mati kerana sakit atau sudah terlalu tua.


Bila dilanda kemarau yang panjang, bukan sahaja manusia dan tumbuhan menjadi mangsa, haiwan juga terkena bahangnya. Banyak yang mati kerana kekurangan makanan. Selain tumbuhan dan haiwan, bangunan-bangunan juga tidak ada yang kekal. Bangunan lama banyak yang diruntuhkan dan diganti dengan bangunan baru yang tersergam indah dan tinggi-tinggi mencakar langit. Kalaupun bangunan tidak diruntuhkan, ada juga yang hangus di dalam kebakaran dan jika berlaku bencana alam seperti banjir, gempa bumi dan sebagainya; bangunan-bangunan juga akan mengalami kerosakan. Kalau bernasib baik, bolehlah dibaiki, tapi kalau kerosakannya teruk, perlu diganti keseluruhannya. Kalau adapun bangunan bangunan lama yang dikekalkan semata-mata untuk dijadikan bahan sejarah atau dikomersialkan sebagai pusat perlancongan. Itupun hanya bangunan tertentu sahaja yang ada unsur sejarah.


Tidak kurang juga penghuni-penghuni kereta di jalanraya yang mati kerana kemalangan di jalanraya atau jatuh gaung. Ada yang luka, patah akibat dilanggar di mana-mana. Inilah pemandangan yang biasa kita lihat setiap hari sewaktu menggunakan lebuhraya. Kalau tidak pun kita akan membacanya di dada-dada akhbar pada setiap hari. Kematian juga berlaku setiap hari di hospital-hospital, ada yang mati sewaktu pembedahan, mati bersalin, mati kerana kanser, darah tinggi, lemah jantung dan berbagai-bagai penyakit menyebabkan kematian manusia dengan cara yang sangat mengerikan.


Kita juga dengar ramai manusia yang mati kerana gempa bumi, banjir, letupan gunung berapi dan kebakaran. Bukan sahaja puluhan dan ratusan malah ada yang mencapai ribuan manusia mati sekaligus. Ada yang sempat diselamatkan sewaktu tertimbus sementara yang lain hanya menunggu masa nyawa di cabut malaikat kerana tidak sempat diselamatkan oleh pasukan penyelamat. Kadang-kadang masih terngiang-ngiang suara-suara menjerit meminta pertolongan tapi apakan daya, akhirnya suara yang semakin lemah itu terus menghilang bersama melayangnya nyawa mereka.


Kematian bukan sahaja berlaku secara serentak tapi juga boleh berlaku secara individu. Ramai juga kenalan lama atau kawan lama yang sudah pergi mendahului kita. Bahkan orang yang kita sayangi; suami atau isteri, saudara mara yang hampir bahkan anak-anak yang dikasihi pun tidak mampu untuk kita menahan takdir yang berlaku ke atas diri mereka. Sebenarnya kita sendiri pun sedang menunggu giliran yang tidak tahu bila masanya. Entahkan pagi, entahkan petang. Entahkan siang, entahkan malam kematian datang menjemput.


Namun kematian pasti akan berlaku, walaupun masa dan ketika kita sendiri tidak dapat pastikan. Mungkin di rumah, mungkin di tempat kerja, mungkin di jalanraya, mungkin di shopping complex, di hadapan keluarga tercinta, sewaktu bersama kenalan atau mungkin juga seorang diri. Kita pun tidak tahu bagaimana cara kita mati. Apakah sewaktu sedang beribadah, ketika sedang bersantai bersama keluarga, sewaktu sedang berehat menonton televisyen. Mungkin juga sewaktu terlantar sakit.


Tapi yang paling menakutkan jika nyawa dicabut sewaktu sedang melakukan maksiat. Begitulah selama ini tanpa kita sedari ‘kiamat kecil’ setiap masa, setiap detik, setiap saat berlaku di depan mata. Sementara menunggu Qiamat besar yang semua orang tidak tahu bila masanya. Benarlah bahawa semua kejadian ini membuktikan sememangnya tiada satu pun makhluk yang kekal abadi. Sekian.


Tiada ulasan: