12 Mei 2008

BANGSA YANG BERJIWA BESAR MEMPUNYAI CITA-CITA BESAR



Dulu umat Islam dari kalangan orang Arab, bangsa Kurdi, Turki dan sebahagian dari bangsa Eropah pernah menjadi Empayar Islam. Mereka dihormati oleh bangsa-bangsa di dunia. Mereka menjadi guru dan ikutan kepada dunia. Sempat bangsa-bangsa di dunia menerima ilmu dari umat Islam. Itulah yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Setelah nikmat yang besar itu di beri oleh Tuhan tidak dijaga dengan baik, setelah umat Islam cinta dunia, lahirlah hidup nafsi-nafsi dan takut mati untuk perjuangkan Tuhan, Akhirat, Rasulullah SAW, syariat dan akhlak mulia, Akhirnya Tuhan hukum umat Islam. Maka jatuh satu empayar Islam yang besar kemudian dijajah oleh penjajah dari Barat. Ada yang dijajah oleh British, Belanda, Sepanyol, Amerika, Jerman, Itali, Portugis dan Perancis. Ada negara yang dijajah 300 dan 400 tahun. Paling tidak 100 tahun. Empayar Islam jatuh kerana jiwa umat Islam sudah rosak dengan cinta dunia dan takut mati dalam untuk mempromosikan Tuhan.

Bila penjajah ambil kesempatan untuk menjajah, umat Islam dirosakkan pula oleh penjajah. Umat Islam dirosakkan aqidah dan fikirannya melalui pendidikan, kebudayaan dan ekonomi. Akhirnya tercetuslah kerosakan yang begitu luas hingga ke surau, masjid, tempat hafal Quran dan hadis, rosak di tempat-tempat Islam dan di tempat-tempat fekah. Walaupun sekarang seluruh negara Islam sudah merdeka tetapi yang merdeka hanya fizikal. Aqidah, fikiran, perasaan, akhlak, syariat dan perpaduan belum merdeka. Sebab itu walaupun negara umat Islam ada yang sudah 100 tahun merdeka, negara kita sendiri 50 tahun dan ada yang 30 tahun namun begitu bukan sahaja tidak ada sebuah negara Islam yang menjadi empayar bahkan untuk dapatkan sebuah negara Islam yang boleh berdiri sendiri, kuat, dihormati dan dikenali oleh dunia seperti Jepun dan Korea, itupun tidak ada. Betapalah untuk jadi empayar. Sebaliknya negara-negara yang sangat kusut hari ini adalah negara-negara yang diduduki oleh umat Islam. Yang menjadi masalah hari ini ialah negara umat Islam.

Kenapa? Kerana jiwa kita sudah lama dirosakkan. Yang ada hanya hidup membawa diri masing-masing dan fikir diri. Akhirnya tiada lagi bangsa umat Islam di dunia samada bangsa Melayu, India, Turki, yang berjiwa besar. Walaupun ilmu sudah besar, kekayaan sudah besar, langkah sudah jauh boleh round dunia, tetapi cita-cita kecil sangat. Apa cita-cita kita? Ada yang dari kecil sudah dididik oleh ibubapa dan guru, kalau pandai dapat sijil, dapat gaji besar, maka hebatlah hidup kita. Kecil sangat cita-cita. Hanya cita-cita diri. Kalau ada cita-cita kampung, mukim, daerah, negeri, negara, bangsa, masih boleh tahan. Tetapi setakat itu pun tidak ada. Masing-masing fikir tentang rumah, kereta, diri, keluarga sendiri. Semua orang di kampung dan di bandar sama pemikirannya. Mufti dan ulamak juga berfikiran begitu. Perjuangan menjadi tidak besar akibat dari jiwa bangsa umat yang tidak besar. Kita fikir diri dan keluarga sahaja. Kalau bertemu satu sama lain samada antara keluarga atau dengan yang bukan keluarga, kita bercerita tentang makan, minum, pakaian, kasut, songkok, makan, ayam dan itik. Tidak lebih dari itu. Umat Islam tidak ada lagi jiwa besar. Bila tidak ada jiwa besar, tidak adalah cita-cita besar maka tiadalah perjuangan yang besar. Sebab itu kalau kita baca sejarah sejak 5, 6 ribu tahun dahulu sampai hari ini, bangsa yang jadi empayar itu bukan bangsa yang besar, yang bilanganya ramai, bukan yang negaranya luas tetapi bangsa yang menjadi empayar adalah bangsa yang:

1. Berjiwa besar
2. Ada bercita-cita besar


Maka tercetuslah satu perjuangan yang besar walaupun bilangan bangsa itu kecil sahaja. Hari ini umat Islam dari kalangan bangsa Arab berjumlah lebih kurang 100-150 juta orang. Sewaktu menjadi empayar, hanya 2 atau 3 juta orang sahaja. Perjuangan tidak bergantung kepada ramai orang. Bangsa Kurdi menjadi empayar semasa Salehuddin Al Ayubi. Bilangannya pada waktu itu lebih sedikit iaitu sekitar 100-120 ribu. Sekarang puak Kurdi ada 5 atau 6 juta orang. Bangsa Turki pula sekarang ada 50 juta orang. Sewaktu menjadi empayar umat Islam, Turki hanya 1-2 juta sahaja. Waktu itu Turki menguasai 29 negara termasuk sebahagian Eropah.

Ada bangsa yang besar tetapi tidak jadi empayar kerana cita-citanya kecil. China dan India, jumlah penduduknya besar tetapi tidak pernah jadi empayar. Orang Melayu sehingga sekarang ada 300 juta tetapi tidak menjadi empayar kerana cita-citanya kecil. Hanya fikir tentang makan, minum, ayam dan itiknya.

Tidak kira apa bangsa, mereka yang berjaya dan cemerlang memiliki sekurang-kurangnya lima ciri asas:


Rajin, Berani, Sabar, Bertanggungjawab, Kreatif


Lima ciri di atas adalah natijah atau buah dari berjiwa besar. Siapa saja yang berjiwa besar automatik akan mendorong dan merangsang mereka untuk memiliki ciri-ciri di atas.

Saiz jiwa manusia, yakni kuat atau lemah, kecil atau besar boleh diukur sejauh mana mereka memiliki lima ciri-ciri di atas. Manusia yang berjiwa lemah, masalah yang kecil dan remeh dirasainya amat besar dan sukar. Urusan yang mudah dan ringan dirasai sebagai susah dan beban yang berat. Sebaliknya mereka yang berjiwa besar urusan yang sukar dirasai mudah dan ringan. Masalah yang berat dan besar dihadapinya seolah-olah tiada masalah.

Besar atau kecilnya jiwa sesuatu bangsa itu ditentukan oleh besar atau kecilnya cita-cita mereka. Bangsa yang bercita-cita kecil, jiwa pun turut kecil dan lemah. Bangsa yang bercita-cita besar maka jiwanya juga adalah besar.

Beberapa kategori cita-cita manusia:

1. Cita-cita dan matlamat memenuhi keperluan atau kemahuan diri dan keluarga.
2. Cita-cita untuk etnik atau kampung.
3. Cita-cita instituasi atau kumpulan.
4. Cita-cita negara
5. Cita-cita bangsa
6. Cita-cita agama
7. Cita-cita dan matlamat Tuhan

Semenjak zaman berzaman bahawa bangsa yang memiliki cita-cita kategori ketujuh iaitu cita-cita dan matlamat Tuhan adalah bangsa yang memiliki jiwa paling besar. Tidak ada bangsa lain yang mampu melawan yahudi kerana mereka yang paling besar jiwanya kecuali para rasul serta pengikutnya yang memperjuangkan Tuhan.

Bangsa Arab dan Bangsa Kurdi pernah berjaya membangun empayar bukan atas nama bangsa masing-masing tetapi atas nama Tuhan dan Islam. Insya Allah sekali lagi umat Islam akan menjadi empayar apabila benar-benar berjuang atas cita-cita dan matlamat Tuhan. Inilah janji Rasulullah kepada umat Islam di akhir zaman.

Tiada ulasan: