14 Ogo 2010

KISAH PEJUANG TIDAK BERNAMA

Dia ialah pejuang yang tidak bernama;
Perjuangannya bukan mencari nama,
bukan pula kerana nama,
Perginya dia tidak meninggalkan nama,
Dia tidak dikenali selama-lama,
Namun di sisi Allah, dia membawa nama
kerana perjuangannya hanya mencari redhaNya
dia tidak dikenali di dunia
tetapi dia mulia di akhirat sana.

12 Ogo 2010

SALAM RAMADHAN UNTUK SEMUA

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Rasanya lama sungguh saya biarkan blog ini sepi tanpa sebarang posting. Mungkin kadang-kadang kita perlukan sedikit masa bertenang untuk menghirup udara melepaskan kelelahan yang seringkali menjengah hari-hari yang dilalui.

Alhamdulillah, Ramadhan datang lagi. Alhamdulillah, saya masih diberi kesempatan untuk menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan ini dan masih berpeluang merebut keberkatan dan rahmat Allah kepada hambaNya di bulan ini. Namun di dalam kesyukuran itu, saya merasa amat malu kepada diri saya sendiri dan Allah SWT kerana menyedari kedaifan dan kelemahan iman dan taqwa saya yang seringkali turun dan naik, tidak konsisten dalam bermujahadah dan tidak beristiqamah dalam beribadah.

Minggu lepas, saya menghadiri KONVO dan menjadi sebahagian daripada para siswazah yang berkonvo..Inilah KONVO terakhir dalam hidup saya di dunia ini dan saya nampaknya akan menunggu KONVO yang seterusnya di akhirat sana. yang bezanya KONVO di akhirat sana, saya tidak tahu keputusannya sebelum masa penganugerahannya.

Kebetulan saya berkonvo juga pada tarikh yang sama itu dan pada sesi yang sama dengan Dr Faisal Tehrani aka Faizal Musa. Malahan kami sebaris semasa di dalam Dewan Konvokesyen. Saya ingin mengucapkan tahniah padanya kerana beroleh ijazah Doktor Falsafah dari Insitut Alam dan Tamadun Melayu. Tidak banyak berbeza beliau di dalam gambar mahupun di luar gambar.



(Itulah jubah konvokesyen utk pelajar PhD tidak mengira fakulti, yang kami semua pakai sewaktu konvo tersebut)

Saya pula turut dianugerahkan ijazah Doktor Falsafah namun dalam bidang yang berbeza iaitu bidang IT. Bagi saya, tidak pernah ada batasan dan perhentian untuk meneruskan pencarian ilmu ini. Saya merasakan diri saya masih seorang yang daif dalam ilmu dan masih terlalu kurang ilmu. Sebab itu, gelaran Dr yang dianugerahkan kepada saya, hanya membuat kadang-kadang saya agak skeptikal untuk menggunakannya. Ia hanya akan digunakan apabila situasi memerlukan sahaja.

dan seperti joke Dr Faisal Tehrani dalam blognya, yang beliau petik dari nasihat kawan baiknya,

"Kalau ada orang nak beranak dalam kapal terbang kau jangan mengaku kau Dr!"

Nasihat itu memang sangat baik..hehe

Sekian, Selamat Berpuasa untuk semua.


Puteri Nafisah.