3. TAJALLI
Sebagai hasil mujahadah dalam takhalli dan tahalli , kita akan
memperolehi tajalli. Iaitu sejenis perasaan yang datang sendiri tanpa
memerlukan usaha lagi. Agak sukar untuk dituliskan atau digambarkan
dengan bahasa.
Apakah yang dikatakan tajalli?
Yang sebenarnya ia adalah sejenis perasaan yang bersifat maknawiah
(zauk), yang hanya mungkin dimengertikan oleh orang-orang yang mengalami
dan merasainya. Sepertilah kemanisan gula, tidak akan dapat digambarkan
secara tepat.
Tajalli secara ringkas, secara asas dan secara mudah difahami ialah
perasaan rasa bertuhan, rasa dilihat dan diawasi. Hati seakan-akan
celik, hidup, nampak dan terasa kebesaran Allah. Ingatan dan rindu penuh
tertuju pada Allah. Hati tenggelam dalam kebesaran-Nya atau dalam
mencintai-Nya dengan tidak putus-putus lagi. Harapan dan pergantungan
hatinya tidak lagi pada yang selain dari Allah. Dirasakan oleh hatinya
bahawa seluruh amal bakti yang dibuatnya, adalah kerana dan untuk Allah
semata-mata. Atau hadiah daripada Allah kepadanya.
Apa sahaja masalah hidup, dihadapi dengan tenang dan bahagia.Tidak ada
pun kesusahan dalam hidupnya. Sebab semua itu dirasa pemberian dari
Kekasihnya, Allah SWT. Kalau begitu, bagi orang-orang yang beriman,
dunia ini sudah terasa bagaikan Syurga. Kebahagiaan mereka adalah
kebahagiaan sejati dan kebahagiaan abadi iaitu kebahagiaan hati.
Setakat ini yang mampu saya gambarkan rasa tajalli yang agak rasional
yang boleh dihuraikan secara ilmiah. Yang selebihnya, lemahlah tinta
untuk menulisnya. Hanya siapa yang dapat, dia akan merasakannya dan
tidak dapat berkongsi dengan orang lain pula. Kalau cuba juga
diceritakannya, akan menimbulkan fitnah di sisi orang-orang yang jahil.
Sementara orang-orang yang hasad dengki pula akan mengambil peluang
menuduhnya sesat, kafir atau zindik.
Dalam soal ini ada seorang Sahabat
Rasulullah SAW pernah berkata:
“Kalau aku luahkanlah apa yang terasa dalam hati ini, orang akan menuduh aku kafir dan lantas membunuh aku.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan