27 Mei 2009

ILMU TENTANG ROH @ ROHANIAH @ SPIRITUAL

Saya rasa elok juga saya berikan penjelasan mengenai makna ROH kerana ada antara para pembaca di sini mempertikaikan artikel saya yang menceritakan mengenai teknologi ROH kerana menurutnya, ilmu ROH atau ilmu ROHANI itu tidak boleh diperbincangkan. Ini berlaku kerana mereka tidak cukup memahami apakah definisi ROH tersebut dan perkara ini saya kira merupakan satu KEPERLUAN untuk saya bentangkan ilmunya.

Roh itu terbahagi kepada dua iaitu :

Ruhul Hayah
Ruhul Tamyiz



Ruhul hayah
terdapat pada semua makhluk termasuk manusia, jin, malaikat, binatang dan setiap benda yang bernyawa. Mengikut kajian ahli biologi atau para saintis, pokok-pokok kayu juga ada roh.Begitu juga pada semua jamadat seperti batu,kayu dan sebagainya.

Manakala

Ruhul tamyiz (ruhul amri) lebih dikenali sebagai akal. Ia tidak wujud pada binatang tetapi hanya wujud pada manusia, malaikat dan jin. Dengan adanya roh tamyiz inilah maka malaikat, jin dan manusia menjadi makhluk yang mukalaf. Yakni mereka dipertanggungjawabkan untuk membangunkan syariat. Mereka memikul beban untuk membangunkan apa yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Sebaliknya roh tamyiz atau ruhul amri itu tidak ada pada binatang. Binatang hanya ada ruhul hayah dan nafsu tanpa akal. Ia hanya memiliki roh yang membolehkan seseorang atau binatang itu hidup dengan izin Allah. Jadi roh tamyiz ini tidak ada pada binatang dan seluruh jamadat. Oleh kerana itulah binatang dan jamadat itu tidak mukalaf dan tidak diwajibkan membangunkan syariat.Ia tidak terlibat melaksanakan perintah suruh dan menjauhi perintah larang dari Allah SWT.

Bagi para malaikat, manusia dan jin, mereka wajib melaksanakan perintah suruh dan menjauhi larangan dari Allah. Dengan lain perkataan,mereka dianggap makhluk yang mukalaf yang mesti bertanggungjawab kepada Allah kerana adanya ruhul tamyiz ini.

Roh tamyiz terkenal dengan sebutan akal. Hadis ada meriwayatkan :

Maksudnya: “Ketika Allah menciptakan akal, Dia memanggil akal itu dan akal itu pun datang. Dia menyuruh akal itu pergi maka pergilah ia. Kemudian Allah berfirman kepada akal:‘Demi kebesaran dan kemuliaan-Ku, Aku tidak menciptakan sesuatu makhluk yang lebih Aku sayangi daripada kamu. Dan tidak Aku sempurnakan kamu melainkan pada orang yang Aku cintai. Kepadamulah Aku akan menyuruh, melarang dan menyeksa serta memberi pahala’.” (Riwayat Abdullah bin Imam Ahmad)

Inilah yang membezakan antara manusia, jin dan malaikat dengan lain-lain makhluk yang hanya semata-mata ada ruhul hayah. Umpamanya binatang, ia tidak mukalaf. Sebab itu pada binatang walaupun ia berbuat baik, tidak diberi pahala. Ia berbuat jahat pun tidak berdosa. Maka bila mati mereka jadi tanah. Ke Syurga tidak, ke Neraka pun tidak.

Tetapi ketiga-tiga makhluk ini yakni manusia, jin dan malaikat, oleh kerana memiliki akal atau ruhul amri maka mereka akan dibalas sama ada ke Syurga dengan rahmat-Nya atau ke Neraka dengan keadilan-Nya. Kalau mereka berbuat baik akan diberi pahala. Sebaliknya bila berbuat jahat,mereka berdosa dan akan dicampakkan ke Neraka. Selama ini kita mungkin jarang mendengar tentang istilah roh tamyiz ini. Mungkin kita hanya biasa mendengar tentang istilah roh atau ruhul hayah sahaja.

Ruhul hayah yang ada pada binatang, manusia, malaikat dan jin, kiranya ia keluar dari badan, mereka akan mati. Kalau ia keluar dari malaikat, malaikat akan mati. Begitu juga kalau ia keluar dari jin,jin akan mati.Kalau ia keluar dari haiwan,haiwan itu juga akan mati. Kerana ruhul hayah ini menjadi penyebab pada manusia dan lain-lain makhluk itu hidup.

Manakala roh tamyiz pula, kalau ia keluar dari badan manusia, manusia tidak akan mati. Sebaliknya ia akan pergi ke alam-alam lain. Mungkin dapat melihat alam malakut, dapat melihat alam roh,dapat melihat alam ghaib,dapat melihat alam kubur,dapat melihat alam Akhirat,dapat melihat alam jin,dapat melihat alam malaikat, alam yang seni-seni (alam mawaraa-ul maddah) iaitu dapat melihat alam di luar material (kebendaan) ini dengan izin Allah.

Ini yang berlaku apabila roh tamyiz keluar dari jasad sama ada keluar di waktu kita tidur atau secara jaga. Kiranya roh tamyiz itu keluar di waktu seseorang itu sedang tidur, dia akan dapat mimpi. Bila ia jumpa roh yang suci, seseorang itu akan dapat mimpi yang baik-baik. Tetapi apabila roh tamyiz bertemu dengan ruhul khabitah (roh yang jahat) ia akan berjumpa dengan jin yang jahat, syaitan, iblis atau benda-benda yang menakutkan.

Jika ruhul tamyiz ini keluar diwaktu jaga,secara yakazah,dia akan dikasyafkan iaitu tabir yang bersifat maddiah dibuka atau diangkat. Ia akan dapat melihat alam malaikat, alam jin, alam kubur, dapat membaca hati orang dan Allah memperlihatkan hakikat manusia itu sendiri atau melihat benda-benda yang jauh darinya seperti manusia lain yang tidak semajlis dengannya. Mungkin manusia yang dilihatnya itu berada di jarak ratusan atau ribuan batu darinya. Apa yang ada pada manusia itu, bagaimana perangai manusia itu, begitulah yang akan dilihat oleh roh. Itulah kelebihan ruhul tamyiz dengan kuasa Allah. Tetapi ruhul hayah makhluk, maka makhluk itu akan mati.

Kesimpulannya :

1. Malaikat ada roh, ada akal tetapi tidak ada nafsu. Dia mukalaf yang taat atau tabiat makhluknya taat, patuh dan tidak pernah ingkar. Seperti yang disebutkan di dalam Al Quran:

Maksudnya: (Malaikat itu) tidak pernah menderhakai Allahterhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At Tahrim: 6)

1 Binatang ada roh, ada nafsu tetapi tidak ada akal dan tidak mukalaf. Tidak dipertanggungjawabkan syariat kepada mereka. Bila mati jadi tanah. Tidak ke Syurga dan tidak ke Neraka.

2 Manusia ada roh, ada nafsu dan ada akal. Ertinya, ada ketiga-tiga sekali. Kalau diasuh, dididik dan dibersihkan hatinya, ia akan berwatak malaikat yang berupa manusia. Bila tidak dididik dan diasuh atau tidak dibersihkan hatinya, dia akan jadi watak binatang atau watak syaitan yang berupa manusia.

--------------

Saya harap ini penjelasan yang ringkas untuk kita sama-sama kongsikan apakah yang dimaksudkan dengan ROH itu. Sekiranya ada yang ingin bertanya lebih lanjut, insyaAllah boleh dimajukan soalan di dalam ulasan.

Sekian.

Muga mendapat kefahaman kerana ilmu ROH ini adalah ilmu yang cuba disembunyikan selama ini, sehingga sebahagian umat Islam dimomokkan bahawa kita tidak diperintah untuk mencari ilmu dan belajar tentang ROh. Sedangkan ilmu mengenai ROH ini sudah banyak ditulis oleh ulamak-ulamak islam silam dan kitab-kitab mereka digunakan oleh orang bukan Islam untuk mencungkil rahsia-rahsia ini untuk mereka kuasai. Namun janji Allah bahwa ilmu ROH itu hanya milik orang-orang Islam yang Allah izinkan pada hambaNya yang terpilih sahaja untuk dikuasai.

1 ulasan:

Seri Dinar berkata...

salam... nak tanya, apa tu kembara roh ahli2 zikir.. boleh ka jumpa nabi dalam kembara roh, mksud sy dgn mengamalkan zikir2 tertntu.