22 Mei 2009
POLITIK JADI GELANGGANG CARI MAKAN
Sekarang ini politik bukan gelanggang perjuangan menegakkan keyakinan. Ia telah dijadikan gelanggang tempat mencari makan. Rakyat telah dialatkan atau diperjudikan. Ia sudah terlalu kotor bagaikan tempat pelacuran. Kerana tempat cari makan ia telah jadi politik wang.
Siapa yang berjaya di dalam politik seolah-olah mendapat satu kawasan ladang yang penuh dengan tanaman.Di ladang itu dia boleh mendapat kekayaan. Atau siapa yang berjaya di dalam politik seolah-olah mendapat factory besar tempat mengeluarkan barang. Di situ dia menjadi jutawan tanpa perniagaan
Berebut-rebutlah mereka bergelanggang di dalam politik melalui parti politik. Apa sudah jadi bukan bertarung dengan parti lawan, bertarung sesama sendiri. Bertarung sesama sendiri di dalam sebuah parti untuk menguasai parti. Kerana di situ ada kekayaan tanpa perniagaan dan boleh jadi jutawan. Tikam kawan sendiri, khianat-mengkhianati, jatuh-menjatuhkan, di sesetengah negara berbunuh-bunuhan.
Daripada gelanggang politik yang kotor itulah lahir para pemimpin menjaga negara dan rakyat dan agama. Maka lahirlah penyangak-penyangak negara dan bangsa yang bertauliah. Lahirlah lanun-lanun terhormat, pencuri-pencuri berlesen mengaut wang rakyat dan negara.
Rakyat mengharap setiap musim agar nasib mereka dibela oleh pemimpin mereka. Yang senang hanya segelintir, yang susah dan menderita itulah yang ramai.Tunggu lagi setiap musim pilihanraya. Agar lahir pemimpin-pemimpin pembela rakyat dan cintakan negara. Hasilnya sama juga.
Begitulah rakyat di kebanyakan negara menunggu pembela dari musim ke musim pilihanraya. Jawapannya sama juga, apa yang berlaku sebelumnya, berlaku perkara yang sama. Begitulah nasib rakyat di negara demokrasi. Hanya mengharap dan mengharap, harapan tidak kunjung tiba. Begitulah terjadi di setiap pilihanraya nasib rakyat tetap tidak terbela.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan