24 Feb 2009

IDEOLOGI POLITIK TIDAK MAMPU MENYATUKAN UMAT ISLAM

Pernahkah berlaku di dalam dunia ini umat Islam bersatu secara TOTAL di atas nama sebuah PARTI yang dimenangi mereka di dalam sistem demokrasi pilihanraya? Pernahkah? Jika ada walaupun tidak secara TOTAL semuanya bersatu, adakah mereka selaras dan bersatu padu dengan aman harmoni dan berkasih sayang antara satu sama lain?. Apakah kesatuan mereka itu membawa rahmat dan keberkatan kepada saudara seislam yang lain dan bukan islam?.Pernahkah terjadi begitu?

Di Malaysia ini, hal yang sedemikian tidak berlaku...janganlah menipu tentang realitinya. Apa yang ada, ia semakin memecah belahkan perpaduan sesama Islam malah membawa fahaman merapu dan menerapkan ketaksuban melulu, sehingga tidak langsung kelihatan cantik dan indahnya Islam itu di mata masyarakat.

Mengapa berlaku sedemikian? Sebab mereka ini tidak menjadikan Iman dan Syariat sebagai ikatan perpaduan.

Umat Islam tidak akan boleh bersatu atas dasar ekonomi atau ideologi atau parti politik.

Justeru ekonomi,ideologi dan politik tidak boleh membendung perpecahan. Ia tidak boleh membendung sifat-sifat mazmumah yang memecah-belahkan manusia kerana di dalam ajaran ideologi atau ajaran mengikut teori akal fikiran seperti parti politik ini, tidak ada ajaran untuk takut atau cintakan Allah. Kalau manusia sudah tidak takut dengan Tuhan dan Neraka-Nya, apalagi yang boleh membendung manusia daripada melakukan kejahatan lahir dan batin? Kejahatan itulah yang memecahbelahkan kehidupan manusia, merenggangkan persaudaraan, menghancurkan perpaduan dan persatuan umat.

Oleh yang demikian jelaslah ajaran ideologi atau teori akal fikiran tidak akan boleh mempersatukan umat Islam kerana ikatannya tidak ada. Kalaupun dikatakan ada, ia sangat reput dan rapuh.

Justeru itu kalau di dalam sebuah parti, atau jemaah, atau sebuah negara sekalipun, kalau ikatan itu dari ajaran ideologi atau ajaran teori akal fikiran, maka umat Islam tidak akan boleh bersatu. Bahkan dalam sebuah parti Islam sekalipun, kalau iman itu tidak benar-benar dihayati dan syariat Islam berjalan secara longgar di kalangan ahli-ahlinya, ia juga tidak akan melahirkan perpaduan dan kesatuan umat Islam yang kuat dan utuh di dalam parti itu.

Perpaduan di dalam islam adalah sebuah ikatan jiwa.

Sepatutnya kita faham bahawa perpaduan di kalangan umat Islam itu asasnya adalah ikatan jiwa yang satu akidah atau satu iman, yang benar-benar dihayati oleh setiap jiwa orang Islam. Bukan sekadar akidah atau iman berdasarkan akal fikiran semata-mata tetapi akidah atau iman yang benar-benar mendatangkan cinta kepada Allah Taala. Juga yang benar-benar mendatangkan rasa takut dan gerun dengan Allah Taala. Diikat pula oleh syariat sebagai disiplin kehidupan.

Apabila asas ikatan ini wujud dengan teguhnya maka kesatuan fikiran dan perpaduan fizikal itu memperindahkan lagi perpaduan itu. Ia bertambah lengkap dan kemas. Sebaliknya kalau perpaduan yang asas tadi tidak wujud atau lemah, maka perpaduan fikiran dan fizikal tidak menambahkan apa-apa kepada perpaduan dan kesatuan umat Islam.

Ikatan jiwa yang ditunjangi oleh akidah dan iman yang dihayati amatlah teguh kerana ikatannya terus kepada Allah Taala yang kekal abadi. Ikatan jiwa yang sama-sama berhubung dengan Allah, ia tidak reput dan tidak rapuh kerana Allah SWT yang Maha Mencipta itu, Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui. Dia tidak bersifat baharu seperti makhluk yang mempunyai sifat-sifat kelemahan. Sesiapa yang bersandar dengan makhluk pasti lemah dan siapa yang bersandar terus dengan Allah Taala, pasti kuat dan teguh.

Ikatan jiwa di kalangan umat Islam diikat oleh akidah atau iman yang satu.

Itulah dia yang dikatakan kesatuan jiwa. Kesatuan jiwa dengan Tuhan tidak ada kepentingan dunia. Apabila tidak ada kepentingan dunia, penyakit pecah belah tidak akan wujud. Apabila penyakit pecah belah tidak wujud, perpaduan dan kesatuan umat Islam selamat dari bahaya pecah belah kerana yang memecahbelahkan manusia itu ialah dunia dan mata bendanya. Kalau jiwa sudah terpaut dengan dunia dan mata bendanya, timbul tamak, lahir penyakit bakhil, datang penyakit rebut-merebut dan saing-menyaingi. Kemudian datang hasaddengki, sakit-sakit hati pun timbul, marah-memarahi, dendam berdendam, fitnah-memfitnah dan umpat-mengumpat. Akibatnya pecah belahlah umat.

Kesatuan akidah atau iman ertinya cinta dan takutkan Allah Taala.


Ia tidak menjadi rebutan dan tidak berlaku saingan. Semakin masing-masing kuat cintakan Allah Taala atau makin kuat takutnya kepada Allah Taala, semakin bersatu dan berpadulah umat Islam. Cuma yang akan jadi tidak senang ialah orang yang tidak beriman atau orang yang sudah lemah iman. Daripada mereka sahajalah lahir hasad dengki terhadap orang yang kuat cintanya kepada Allah Taala.

Justeru itu, kita sebagai umat islam yang menyatakan cinta kepada Allah dan rasulNya hendaknya sedarlah tentang hal ini. Keperluan yang utama di dalam masyarakat Islam bukanlah parti Islam yang bersandarkan kepada sistem demokrasi Yahudi tetapi adalah parti Allah yang mana semua pendokongnya adalah manusia yang sama-sama mengejar dan memburu cinta Allah dan RasulNya...yang di dalam hati mereka tidak ada kepentingan untuk mendapat jawatan, kuasa dan glamour tetapi adalah manusia yang meletakkan akhirat melebihi segala apa yang ada di dunia ini.

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita semua, lebih kurang begini,

"Di akhir zaman kelak, umatku ramai, tetapi mereka ibarat buih-buih dilautan kerana mereka telah ditimpa penyakit akhir zaman, iaitu penyakit al wahan, iaitu cinta dunia dan takut mati"

Di akhir zaman, di saat manusia huru hara tanpa pimpinan ulamak yang sejati, terlalu ramai yang akan mengambil kesempatan menjual agama untuk mendapat kepentingan peribadi dan golongan mereka. Fenomena ini sendiri telah RSAW sebut, Islam itu akan kembali dagang di akhir zaman ini. Pejuang kebenaran yang tulen itu akan kelihatan seperti orang asing/dagang di dalam masyarakat mereka. Ia telah berlaku di dalam sejarah sejak dahulu lagi. Tidak pernah ada pejuang kebenaran yang terlepas dari ujian yang amat dahsyat dan mereka juga tidak pernah lahir dari sebarang platform sistem musuh Islam. Mereka dimenangkan oleh Allah di atas jalan syariat yang tidak pernah bercampur dengan sistem ideologi manusia. Mereka inilah golongan dari parti Allah yang tulen yang berjuang dengan seluruh jiwa dan raga mereka semata-mata untuk Allah, mereka yang menjual diri untuk agamanya dan bukan menjual agama untuk dirinya.

Ingatilah betapa Rasulullah SAW sehingga ke akhir hayatnya masih menyebut "ummatti", "ummatti"..kasih sayang baginda yang mulia pada umatnya tiada bandingnya, pernahkah kita bertafakur seketika berselawat dan bertawasul kepadanya..


"Ya, Rasulullah bantulah kami, kami amat memerlukan bantuanmu, tolongilah kami dengan berkat dan syafaatmu, lindungilah kami dari fitnah akhir zaman ini, luruskanlah hati kami untuk kenal dan kembali kepada jalan Allah".

Janganlah hendaknya kita tertipu lagi bahawa dengan mengundi parti Islam kita sudah berjalan di sirotulmustaqim, takut-takut ia lebih membawa kita lurus terus ke neraka. Nauzubillah.

1 ulasan:

Tai berkata...

Suatu artikal yang penuh informasi.