19 Feb 2009

APALAH ERTINYA


Apalah ertinya manusia kalau dia tidak berTuhan dan tidak beragama.
Hidup seperti haiwan. Hanya makan, minum dan membiak.
Tidak ada sistem hidup dan menganggap nafsunya sendiri sebagai Tuhan.
Hidup semata-mata kerana nafsu dan hendak berseronok-seronok
dan tidak berhenti membuat kerosakan di muka bumi.
Beraja di mata dan bersultan di hati.
Menjadi musuh kepada Tuhan dan
menjadi penghalang kepada kebaikan dan kebenaran.
Menganggap dunia ini sebagai syurga dan
yakin bila mati nanti, akan reput seperti kayu mati.
Habis riwayat, tidak ada apa-apa cerita lagi.

Apalah ertinya berTuhan kalau tidak bertuhankan Allah.
Apalah ertinya agama, kalau bukan agama fitrah dan agama yang hak.
Kalau bukan agama yang membawa kebenaran, keselamatan dan kasih sayang.
Kalau bukan agama yang diredhai dan yang membawa manusia kepada Tuhan.
Kalau bukan agama Islam.

Apalah ertinya Islam kalau tidak ada hidayah.
Tanpa hidayah kita tidak akan serius dalam beragama.
Tidak serius dengan Tuhan.
Hanya Islam ikutan, Islam keturunan, Islam taqlid.


Apalah ertinya hidayah kalau tidak punyai ilmu.
Tidak kenal Tuhan.
Tidak tahu halal dan haram.
Tidak kenal penyakit-penyakit hati.
Tidak ada ilmu ertinya tidak tahu cara bertindak.
Tidak tahu cara beragama. Tidak tahu bersyariat.
Jadi kaku dan beku.
Ada agama tapi tidak boleh berbuat apa-apa.

Apalah ertinya ilmu kalau tidak faham,
Ilmu hanya di akal, tidak dihati.
Apalah ertinya faham kalau ilmu tidak diyakini.
Ilmu tidak akan mencengkam hati.



Apalah ertinya yakin kalau ilmu tidak diamalkan.
Ilmu hanya tinggal ilmu.
Samalah hakikatnya dengan orang yang tidak punyai ilmu.
Orang yang tidak mengamalkan ilmu
adalah seperti pesakit yang tidak mahu memakan ubat.
Ubat memang ada, tetapi penyakit tak akan sembuh.



Apalah ertinya amalan kalau tidak ada mujahadah.
Tidak dapat melawan tarikan dunia dan tipuan syaitan.
Tidak dapat melawan kehendak nafsu.
Apalah ertinya mujahadah kalau tidak istiqomah.
Sekejap buat sekejap tinggal.
Bila suka, buat, bila tak suka, tinggal.
Amalan bermusim-musim.
Istiqomah itu ialah karamah.
Kalau amalan sudah istiqomah,
baru akan timbul berbagai kebaikan dan keajaiban dari amalan dan ibadah.
Baru akan datang kasih sayang Tuhan.

Yang penting bukan banyak tetapi istiqomah.
Kalau istiqomah, air yang menitik pun boleh melekukkan batu.
Apalah ertinya istiqomah kalau amalan tidak dihayati dan tidak dijiwai.
Tidak ada roh.
Tanpa membawa hati.
Tanpa rasa.

Tuhan tidak ada dalam ibadah.
Ibarat buah, hanya ada kulit, tidak ada isinya.
Tidak ada indahnya.
Tidak ada manisnya.
Hanya jasad yang terlibat.
Hanya jasad yang taat. Hanya jasad yang beribadat.
Walhal Tuhan tidak pandang pada jasad.
Tuhan melihat pada hati.

Selagi hati tidak ada dalam ibadah,
selagi itulah kita belum benar-benar beribadah.
Yang menyembah dan mengabdi diri pada Tuhan itu ialah hati atau roh.
Jasad hanyalah juruiring.
Betapa tergamak kita meninggalkan juruiring menyembah Tuhan
dan kita pergi entah ke mana.
Juruiring tidak tahu apa-apa.
Juruiring tidak faham apa-apa.
Hanya apabila roh sudah berperanan,
apabila roh dan hati sudah kenal, cinta, takut dengan Tuhan
dan apabila roh sudah terlibat dalam pengabdian kepada Tuhan,
barulah akan terbina insan.
Barulah akan terasa didikan dan tarbiah dari Tuhan.
Barulah akan timbul hasil dan buah ibadah iaitu akhlak yang luhur.
Akhlak dengan Tuhan,
akhlak sesama manusia dan akhlak terhadap sekelian makhluk Tuhan.

Dari akhlak timbul ulfah, iaitu kasih sayang.
Manusia tidak akan mampu berkasih sayang
selagi manusia belum merasakan cinta dan kasih sayang Tuhan.



Tidakkah dapat kita rasakan bahawa seluruh alam ini berputar
hanya kerana kasih sayang Tuhan.
Tuhan tidak terpaksa.
Tuhan tidak mengambil untung.
Tuhan tidak ada apa-apa kepentingan.
Malahan Tuhan tidak perlu pun kepada kita dan kepada seluruh alam ini.
Namun Tuhan tetap curahkan kepada kita segala rahmat dan nikmatnya tanpa henti-henti.

Apakah motifnya kalau tidak semata-mata
kerana cinta dan kasih sayang-Nya kepada kita.

Bila terhasil akhlak dan ulfah (kasih sayang),
barulah segala-galanya akan mempunyai erti

3 ulasan:

Sedingin Salju berkata...

Wah, suatu artikal/puisi yang padat.

awanbadai berkata...

Salam,

Pelbagai rasa puisi ini,
bagai meniti basmallah.

PUTERI NAFISAH berkata...

Bukan karya saya...tetapi Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi