11 Mac 2008

SENARIO UMAT ISLAM : DULU, KINI DAN AKAN DATANG




Umat Islam : Satu Ketika Dulu


Umat Islam pernah berada di era kegemilangan. Ianya telah menjadi bukti sejarah. Kegemilangan umat ketika itu bukan sahaja berjaya menguasai ¾ dunia tetapi juga turut melalui tempoh yang panjang iaitu 700 tahun atau tujuh abad. Zaman kegemilangan umat itu adalah di atas kehendak dan pertolongan Allah SWT kerana mereka memiliki ciri-ciri peribadi agung. Peribadi-peribadi agung itu sangat dipandang oleh Allah SWT hingga layak memperolehi naungan Allah SWT, hingga bangsa-bangsa lain seronok bernaung di bawah mereka.

Martabat dan maruah umat itu diangkat oleh Allah SWT bukan tanpa sebab atau secara tidak sengaja melainkan kerana mereka amat berpegang dengan Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Mereka benar-benar berperanan sebagai hamba. Sifat dan rasa kehambaan mereka amat kuat sehingga memusnahkan segala sifat mazmumah dan sifat keji. Mereka juga benar-benar menghayati rasa berTuhan. Mereka benar-benar merasai di dalam kekuasaan Allah SWT. Taqwa mereka sangat tinggi. Syariat sangat dijaga dalam semua aspek. Sangat takut dan cemas berhadapan dengan akhirat lantaran itu mereka takut untuk berbuat dosa.

Mereka juga memiliki sifat-sifat kekhalifahan yang sangat menonjol. Mereka begitu bersungguh-sungguh melaksanakan ajaran islam dalam aspek hablumminnannas atau urusan hidup berpandukan syariat islam. Ertinya mereka yang habluminAllah dan hablumminnannas sama kuat dan sama naik. Memimpin dan ibadah berjalan serentak. Semakin banyak urusan kehidupan maka semakin sibuk pula dengan Tuhan. Dan begitulah sebaliknya apabila memperolehi kekuatan dan ibadah kepada Allah SWT maka semakin gigih pula memimpin dan mencatur urusan kehidupan manusia.

Mereka inilah yang ditujukan oleh Rasulullah SAW daripada sabdanya yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah, dengan kitab ini (Al Quran) meninggikan darjat satu kaum dan menjatuhkan kaum-kaum yang lain”. (Riwayat Muslim)


Umat Islam Kini

Kini apabila umat Islam melupai Allah SWT, mengabaikan sunnah RSAW maka umat Islam menjadi hina dina di mana-mana. Ini jelas apabila umat islam sendiri dilanda berbagai krisis. Dunia islam porak peranda, pertelingkahan, permusuhan malah peperangan berlaku di mana-mana. Saling tindas menindas, zalim menzalimi, berhasad dengki, jatuh menjatuh, fitnah menfitnah, kutuk mengutuk, tamak haloba, rakus dan berbagai gejala negatif. Hingga ke peringkat seolah-olah menjadi juara gejala nagatif dalam beberapa aspek tertentu umpama dadah.

Boleh juga rata-rata umat islam kini dapt digambarkan menurut ciri-ciri berikut antaranya :
Boleh dianggap seperti haiwan yang merupakan manusia hanya kerana kehidupan mereka atau kecenderungan mereka hanya kepada makan minum, hiburan dan seks. Persoalan tuhan dan akhirat sudah padam dari fikrian dan hati mereka.


Jiwa mereka kosong. Hilang kebahagiaan, putus asa, kecewa, menderita. Tidak boleh disentuh oleh ujian atau musibah, mereka akan menjadi resah, merana dan rusuh.


Manakala kalau memperolehi nikmat mereka terlajak dan lupa daratan, menjadi sombong dan membuatkan orang lain tersinggung. kekuasaan yang dimilikinya akan dimusnahkan dengan apa cara sekalipun.Lawan atau musuhnya akan dimusnahkan dengan apa cara sekalipun.

Kebenaran sukar diterima, dan tidak boleh ditegur, mereka akan mudah melatah. Teguran dan kritikan dianggap penentangan. Pujian dianggap sokongan dan kesetiaan.Membazir, berpoya-poya adalah resam dan budaya hidup mereka.Hanya memikirkan untung dan seronok tanpa mengira halal haram.


Gejala negatif tidak dibendung malah turut memberi laluan dan sumbangan kepada membiak dan merebaknya gejala negatif. Dan tenggelam punca pula untuk menyelesaikannya.Agama dan akhlak dianggap persoalan individu, malah dianggap penghalang kemajuan.Agama hanya sekadar upaya sekali sekala. Itupun hanya label dan tempelan yang sangat bersifat kulit. Kadang-kadang agama bukan untuk penghayatan tetapi sekadar propaganda untuk meraih sokongan.


Umat Islam akan Kembali Gemilang

Umat islam akan kembali gemilang. Saat dan ketikanya sudah menjelang tiba. Ini adalah ibarat era kebangkitan islam. Siapa yang menolaknya ibarat menentang arus. Kegemilangan Islam kali kedua bukan satu ramalan, rekaan atau khayalan. Ianya pasti terjadi kerana ianya merupakan janji dari lidah RSAW.

Janji RSAW itu sepatutnya disambut penuh kegembiraan oleh umat islam zaman ini kerana kita ditakdirkan oleh Allah SWT hidup di zaman yang insyaAllah dapat melihat dan menikmati kegemilangan islam. Dan yang lebih penting lagi ialah jadikan diri sebagai di antara orang yang turut menyumbang kepada kegemilangan islam itu sendiri.

Kalau diibaratkan seseorang menghadapi gerbang perkahwinan, dalam kegembiraan menghadapinya tentulah dipersiapkan segala keperluan yang berkaitan. Malah lazimnya terjadi adalah segala persiapan itu sedikitpun tidak mahu ada cacat celanya. Sama ada persiapan diri dan persiapan majlis perkahwinan.

Oleh kerana kegemilangan islam kali kedua ini menepati ciri-ciri kegemilangan islam kali pertama (zaman RSAW dan sahabat-sahabatnya) maka proses persediannya juga mestilah menepati ciri-ciri zaman ummah pertama. Pada asasnya aspek ini mestilah diberi perhatian yang paling utama iaitu taqwa. Tanpa taqwa kejayaan tidak akan diberikan oleh Allah SWT. Kalaupun boleh juga mencapai kemenangan mungkin kerana pandai, pintar ada kekuatan, strategi pula mengena, namun itu tidak diiktiraf sebagai kemenangan hakiki yang diredhai oleh Allah SWT.

Melalui sifat taqwa, syariat diambil kira dalam segala usaha dan perbuatan. Usaha yang bersungguh-sungguh tidak menjejaskan pula kesungguhan membaiki diri. Rasa berTuhan dipertajamkan dan diperhalusi. Rasa kehambaan juga bertambah mendalam. Pergantungan hati dengan Allah SWT tidak pernah lekang atau lalai.

Atas dasar taqwa sajalah akan lahir masyarakat yang menjadi idaman dan dirindui oleh setiap mukmin. Pemimpin bertaqwa saja yang terjamin memiliki sifat keadilan, orang kayanya tawaduk dan pemurah, para ulama menjadi contoh dan menjadi obor mendidik umat. Taqwa sajalah yang melahirkan para pekerja yang jujur, orang miskin yang sabar dan redha, para suami bertanggungjawab, para isteri yang taat, anak-anak yang menghormati ibu bapa. Taqwa sajalah yang mampu mewujudkan masyarakat yang gejala negatifnya berada di tahap yang sangat minimum, berkasih sayang, perpaduan yang kukuh, bertolong bantu, sejahtera dan harmoni.

Taqwa inilah yang mesti diusahakan serta disebarluaskan kepada segenap masyarakat. Selepas itu nanti akan sama-sama melihat betapa Allah SWT menurunkan bantuan dan pertolongan sebagaimana yang berlaku di era kegemilangan umat terdahulu. Allah SWT pasti menunaikan janjiNya kepada orang-orang yang bertaqwa. Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

Barang siapa memperbaiki hubungannya dengan Allah SWT maka Allah SWT akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barang siapa memperbaiki apa yang dirahsiakan (taqwa) maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya”.

(Riwayat Al Hakim)

Tiada ulasan: