17 Mac 2008

IKHLAS DALAM BERAMAL (2)

Amal ibadah akan tertolak percuma ibarat debu-debu berterbangan kalau keikhlasan hati tidak ada. Untuk menentukan amal ibadah itu ikhlas bukan boleh ditentukan dengan kata-kata. Misalnya:
Saya beri ini dengan penuh ikhlas.
Saya buat ini ikhlas untuk awak.
Kutujukan ikhlas untukmu.
Saya yang ikhlas.
Saya bantu awak dengan ikhlas hati.

Tidak perlu disebut ikhlas. Tidak usah ungkapkan kata-kata tersebut. Ikhlas itu bahasa hati atau kerja hati. Kalau disebut, ternyata tidak ikhlas. Sebab itu diam sahaja lebih baik. Kita tidak tahu apakah kita ikhlas atau tidak. Malaikat yang kerohaniannya tajam pun tidak tahu, mengapa kita yang kerohaniannya tidak tajam mengaku kita ikhlas. Inilah tanda tidak ikhlas. Kalau begitu bagaimana hendak mengesan amal ibadah itu ikhlas atau tidak? Kita bawa contoh-contoh di bawah ini sebagai panduan untuk mengukur keikhlasan kita.

1. Apakah kita sembahyang, wirid, zikir, doa dan baca Quran di rumah dengan di masjid ada perbezaan? Di rumah kita buat cepat-cepat dan lebih kurang sahaja sedangkan di masjid kita lakukan dengan penuh teratur, tertib, sopan, dengan suara sedap atau cuba sedap-sedapkan suara kita. Ertinya kita buat lebih baik bila berada di masjid yakni di depan orang ramai. Itu tandanya tidak ikhlas.

2. Pernahkah kita tidak buat sembahyang sunat sewaktu di rumah tetapi kita buat atau buat lebih banyak kalau di masjid? Kita buat kerana takut orang kata atau malu pada orang. Itu tanda tidak ikhlas.

3. Kalau ada orang puji, apakah ada rasa berbunga, sedap dan suka hati? Waktu dikeji adakah rasa marah atau sempit dada dan sedih? Kalau terasa megah atau sedih, ertinya belum ikhlas.

4. Apakah kita menderma dengan bersyarat, misalnya mesti ditulis dalam daftar atau disiarkan dalam akhbar dan tv? Kalau tidak, kita tidak mahu menderma untuk masjid, surau, anak yatim, sekolah Islam dan lain-lain lagi. Atau terpaksa ditulis nama kita pada mana-mana batu asas. Kalau tidak, kita tidak menderma. Itu tanda tidak ikhlas.

5. Adakah kita membaca Al-Quran bertujuan untuk dapat hadiah besar atau piala dan lain-lain? Kalau tidak kita malas atau langsung tidak membacanya. Ini tanda tidak ikhlas.

6. Cuba kita renung-renungkan, adakah kita buat kebaikan kemudian suka sebut-sebut atau dengan harapan supaya orang itu balas kebaikan kita? Apakah selepas kita berbuat baik pada seseorang, kemudian bila dia lukakan hati kita, langsung kita berkata di depan atau di belakangnya: Tidak patut engkau buat begini pada aku. Aku dah banyak tolong engkau. Kalau aku tak tolong selama ini, susah engkau. Memang orang tak kenang budi. Ini juga tanda tidak ikhlas.

7. Pernahkah kita menderma hanya di depan orang tetapi kalau secara sembunyi, kita tidak menderma? Ini juga tidak ikhlas.

8. Apakah kita suka segala kebaikan hanya dicetus oleh kita sahaja? Bila orang lain yang buat kebaikan itu, kita tidak suka. Ini juga tidak ikhlas.

9. Adakah waktu kita berjawatan, kerana ada gaji dan elaun maka kita aktif dan gigih berjuang memperkatakan Islam? Kita bersyarah merata-rata tempat. Tapi bila tidak ada jawatan, kita tidak minat buat kerja-kerja itu lagi. Atau kita ditukar jawatan, bukan jawatan agama lagi, langsung kita tidak minat sebut Islam lagi. Ini ada udang di sebalik batu namanya, tanda tidak ikhlas.

10. Apakah kalau pergi berdakwah di tempat yang jauh itu kita pandang pada elaun? Kalau tidak ada mileage dan elaun kita tidak pergi. Atau kalau pergi pun dengan hati yang berat. Terpaksa. Ini juga tanda tidak ikhlas.

11. Apakah kita ghairah menyebut Islam ini hanya dalam pidato-pidato atau seminar-seminar saja tetapi dalam perbualan-perbualan biasa tidak sibuk mengatakannya? Ertinya tidak sebut langsung fasal Islam. Ini juga tidak ikhlas kerana ada motif nama dan kemasyhuran.

12. Adakah kita sanggup mengajar hanya kerana kita diberi gaji? Kalau tidak ada gaji, kita tidak sanggup? Atau kalau mengajar juga secara terpaksa kerana takut dikatakan, Ada ilmu, tapi tidak sampaikan ilmu!. Itu tanda tidak ikhlas.

13. Pernahkah kita memperkatakan Islam itu hanya sewaktu-waktu kita harapkan dapat kerusi di Parlimen? Atau hendak tambat hati rakyat dengan harapan parti kita dapat memerintah? Tapi bila tidak ada kerusi lagi atau sudah tua, kita tidak sibuk-sibuk lagi memperjuangkan Islam. Ini ada kepentingan diri namanya. Juga tidak ikhlas.

Tiada ulasan: