Untuk membangunkan satu kehidupan agar selamat di dunia dan selamat di Akhirat, agar masyarakat makmur dapat pula keampunan Tuhan, kemajuan dan tamadun tercapai, akhlak yang mulia juga wujud dan jadi budaya di dalam kehidupan, ia bak bunga yang kembang di taman yang indah yang sangat menarik pandangan dan tempat jatuhnya hati manusia, kekayaan dan makan minum mewah, budi juga mewah dan terserlah, kemudahan-kemudahan hidup cukup, tapi disiplin dan tatasusila manusia juga tinggi, tamadun tinggi tapi manusianya merendah diri, maka roh atau hati atau jiwa manusia hendaklah dibangunkan. Dari pembangunan jiwa, lahir tamadun kerohanian atau akhlak yang mulia atau terbangun insaniah manusia yang dikatakan oleh kita selalu iaitu jati diri.
Di dalam diri manusia, roh adalah sebagai raja, akal sebagai penasihat, nafsu adalah musuhnya manakala anggota lahir (jawarih) adalah rakyat di dalam diri. Kalau raja di dalam diri baik, seluruh anggota (rakyat di dalam diri) menjadi baik. Samalah seperti di dalam sebuah negara, ada keterangan di dalam kitab mengatakan: Maksudnya: "Manusia itu mengikut agama pemerintahnya."
Ertinya bagaimana sikap pemerintah begitulah sikap rakyatnya. Begitulah pemerintah di dalam diri (hati atau roh). Bagaimana keadaannya begitulah anggota lahirnya sebagai rakyat di dalam diri. Kalau hati baik (raja di dalam diri baik), maka baiklah anggota lahir manusia (rakyat di dalam diri). Kalau hati jahat maka jahatlah seluruh anggota lahir manusia. Ia memang telah ditegaskan oleh Hadis Nabi Maksudnya: "Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baiklah seluruh badan, apabila dia rosak, rosaklah seluruh badan. Ketahui olehmu itulah dia hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Justeru itu hati (roh) wajib dibangunkan dengan cara dididik dan diasuh. Ini kerana dari pembangunan jiwa, lahirlah kebudayaan, tamadun kerohanian dan akhlak mulia yang sangat penting. Ia tempat pandangan Allah dan tempat jatuh hati manusia. Dan kerana itulah para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam diutus oleh Allah SWT demi untuk pembangunan insaniah tersebut. Mereka tidak diutus kerana pembangunan material dan fizikal.
Pembangunan material, tanpa rasul dan nabi pun manusia boleh membangunnya. Itu memang telah dibuktikan oleh sejarah, manusia membangun tidak perlu adanya orang kerohanian seperti rasul dan nabi atau ulama ul amilin. Contohnya bangsa Rom, Yunani, Farsi, bangsa-bangsa yang disebut di dalam Al Quran seperti kaum `Aad, kaum Tsamud, kaum Saba` dan bangsa Babil atau Babylon. Mereka membangun dan menegakkan tamadun tanpa orang-orang kerohanian bahkan mereka menolak para rasul dan menentangnya.
Lantaran itulah juga Rasulullah SAW pernah bersabda:
Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan kerana menyempurnakan akhlak yang mulia." (Riwayat Malik)
Maksudnya: "Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya." (Riwayat At Tabrani)
Perlu diingatkan bahawa membangunkan insaniah untuk melahirkan akhlak yang mulia pada seorang manusia, tidak semudah yang kita sangka. Betapalah kalau satu keluarga, sebuah sekolah, satu kampung, satu mukim, sebuah daerah, satu negeri, lebih-lebih lagilah satu negara. Membangunkan material seperti membangun sebuah bangunan 100 tingkat mungkin lebih mudah daripada membangunkan insaniah seorang manusia. Membangunkan pencakar langit setinggi 100 tingkat mungkin boleh siap dengan memakan masa tiga tahun, tapi hendak membangunkan insaniah seseorang manusia, mungkin memakan masa 30 tahun, itu pun belum tentu berjaya.
Lantaran itulah untuk pembangunan insan ini Allah datangkan orang-orangNya iaitu para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam. Selepas itu mereka yang tunduk kepada ajarannya seperti para auliya, kemudian para ulama ul amilin, paling tidak orang yang soleh. Apabila disebut akhlak, akhlak yang utama terbahagi kepada dua iaitu:
Pertama: akhlak kepada Allah.
Kedua: akhlak kepada manusia.
Akhlak kepada Allah, di antaranya yang paling besar selepas beriman kepada-Nya ialah menyembah-Nya (sembahyang), ikhlas, rasa bertuhan, ertinya hati sentiasa merasa di mana sahaja kita berada, Allah sentiasa mengawasi, melihat dan mendengar terhadap kita, rasa malu, rasa takut, rasa kasih, sabar, redha, tawakal, khusyuk, khuduk.
Akhlak kepada manusia di antaranya kasih sayang, pemurah, mesra, adil, amanah, menunai janji, bercakap benar, merendah diri, bertolak ansur, ziarah-menziarahi, berlemah-lembut, bertolong bantu, baik sangka. Selain dua bahagian akhlak yang utama ini ada lagi akhlak dengan haiwan dan jamadat seperti pokok, batu dan lain-lain lagi. Kita tidak boleh menyeksa binatang sesuka hati. Kalau kita memeliharanya seperti kambing, disediakan kandangnya, makan minumnya, sakit diubati, jika disembelih gunakan pisau yang tajam. Begitu juga dengan jamadat seperti pokok, kita tidak boleh menebang pokok sesuka hati, mesti ada maksud dan tujuan yang memberi manfaat.
Begitu sekali luas akhlak di dalam ajaran Islam dan begitu indah sekali akhlak yang dianjurkan oleh agama akhir zaman ini. Ia bersifat sejagat, ia disukai oleh semua manusia sekalipun orang bukan Islam. Justeru itulah kalau umat Islam kembali berakhlak seperti zaman tiga kurun selepas Rasulullah SAW, umat Islam akan dihormati semula oleh dunia kerana dengan akhlak yang mulia terlalu sedikit orang hasad dengki. Kerana akhlak bersifat sejagat laksana bunga yang indah, tidak ada orang yang tidak suka dan tertarik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan