17 Mac 2008

PERANAN ROH, AKAL DAN KEPIMPINAN




Kita tahu bahawa Islam itu bertolak daripada iman . Namun iman sahaja tidak mencukupi. Ia perlu juga kepada ilmu dan amal . Islam itu ialah iman, ilmu dan amal . Tanpa ketiga-tiga elemen ini, maka Islam tidak akan terlaksana pada peribadi seorang Muslim. Untuk mencapai matlamat ini, roh dan akal mesti berperanan. Disamping itu seseorang muslim perlu mendapat pimpinan . Ketiga-tiga pengaruh ini wajib ada. Kalau tidak peribadi Muslim itu akan jadi cacat dan tidak sempurna.


Peranan Roh


Roh berperanan dalam soal iman. Roh melibatkan soal kepercayaan dan keyakinan. Tentang akidah dan pegangan. Tentang keimanan kepada Tuhan dan hari Akhirat. Tentang rasa cinta dan takut dengan Tuhan. Namun kalau peranan roh sahaja yang wujud tanpa ada peranan akal dan kepimpinan, maka seseorang itu akan menjadi fanatik. Dia akan menjadi taksub secara melulu. Perasaannya tidak seimbang dan sukar untuk dikawal. Dia ingin bertindak, beramal dan membuat sesuatu tetapi tidak tahu bagaimana dan apa caranya. Pertimbangannya juga tidak seimbang dan berat sebelah. Dia akan menjadi orang yang berjiwa tetapi kaku. Dia mahu bergerak tetapi tidak tahu bagaimana hendak menyusun langkah.


Peranan Akal


Akal berperanan dalam soal ilmu. Ia berkait dengan penyampaian dan penerimaan ilmu. Tentang taalim atau pengajian. Tentang pembelajaran. Peranan akal membuatkan seseorang itu menjadi alim dan bepengetahuan. Namun kalau peranan akal sahaja yang wujud dan peranan roh dan kepimpinan tidak ada, maka seseorang itu akan menjadi ahli ilmu yang tidak cinta dan tidak takut dengan Tuhan. Yang tidak ada cita-cita akhirat. Ilmunya akan digunakan untuk dunia semata-mata. Ilmunya akan dijual dan dikomersialkan. Ilmunya akan ditukar menjadi duit dan harta kekayaan. Ilmunya hanya untuk bermujadalah, berforum dan berseminar. Untuk mendapat pujian, wang ringgit, pangkat, jawatan dan glamour. Ilmunya tidak memberi kesan pada peribadinya. Dia tidak dapat beramal dengan ilmunya, jauh sekali untuk memperjuangkannya. Dia akan menjadi orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya. Dia akan menjadi jumud dan beku. Walaupun dia tahu bagaimana hendak menyusun langkah, tetapi dia tidak mempunyai kemahuan dan kekuatan dalaman untuk bergerak.


Peranan Kepimpinan


Kepimpinan melibatkan didikan, panduan, contoh dan suri teladan. Tentang bagaimana ilmu itu dapat dan patut diamalkan. Tentang siapa yang patut dicontohi dalam mengamalkan ilmu. Tanpa ada pimpinan dari seorang pemimpin sebagai contoh atau role-model, sukar ilmu dapat difahami lebih-lebih lagi untuk diamalkan dan dihayati. Tanpa pimpinan, ilmu akan hanya tinggal ilmu. Itu sebabnya di dalam agama, dihantar Rasul yang diberi atau yang membawa kitab. Bukan kitab sahaja yang dihantar tanpa Rasul. Kalau kitab sahaja yang dihantar, maka tidak akan ada contoh atau role-model untuk diikuti. Tanpa contoh dan role-model, mustahil ilmu dapat difahami dan diamalkan. Dalam hendak mengamalkan ilmu dan dalam hendak menjadi seorang muslim yang sempurna, contoh fizikal atau kepimpinan sangat perlu. Semua bentuk peranan ini mesti ada. Tidak ada satu yang boleh dinafikan. Barulah ia boleh lengkap melengkapkan. Peranan roh dan akal mesti bergabung dan contoh atau pimpinan mesti dicari.



Inilah ramuan-ramuan yang perlu untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna. Kalau ramuan ini tidak cukup, usaha untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna akan menjadi sia-sia. Lebih-lebih lagilah untuk menjadi seorang yang Mukmin yang bertaqwa. Sebab orang Mukmin yang bertaqwa itu, mesti sempurna Islamnya terlebih dahulu .

Tiada ulasan: