31 Dis 2009

2009 BERLALU DAN 2010 MENJELMA


2009 akan meninggalkan kita dengan kenangan pahit dan manis. Yang baik kita jadikan tauladan, yang jelek kita jadikan sempadan. Maka bersama-samalah kita bermuhasabah diri sendiri atas apa yang telah berlaku di sepanjang kehidupan yang telah berlalu. Malam ini sudah pasti bergema lagi sorakan ketika jam mula meninggalkan angka 12 malam dan bermulalah tahun baru 2010.

Saya kira kita terlalu menerapkan budaya hedonisme hingga merasakan bahawa satu keperluan untuk merayakan tahun baru dengan konsert-konsert dan pesta-pesta yang kadang-kadang membazir dan pastinya melanggar syariat Allah SWT. Saya kira sudah tiba masanya kita sebagai umat Islam, sama-sama menyedari akan "kesongsangan" ini, dan saya merasakan kalangan pemimpin harus memikirkan STRATEGI yang lebih berkesan dari semata-mata membawa BUDAYA lama yang meraikan sambutan tahun baru dengan konsert-konsert dan pesta-pesta hiburan yang selalunya cenderung kepada hiburan tanpa sempadan dan tidak membawa apa-apa faedah kepada pembangunan modal insan. Tidak salah kita berhibur, kerana hiburan itu adalah pelengkap naluri namun berhiburan biarlah berpada-pada, kita tidak perlu berhibur sehingga lupa kepada tuntutan dan syariat agama.

2009 juga menyaksikan kehangatan gelanggang politik di Malaysia dengan pelbagai peristiwa yang kadang-kadang kita sendiri tidak terfikir ia akan berlaku. Namun nampaknya, pembongkaran demi pembongkaran berlaku, rahsia sudah tidak menjadi rahsia, dan masyarakat saya kira sudah mula kenal permainan politik dan para politikus yang berperanan. Dalam hal berpolitik ini, saya kira kita tidak perlu fanatik atas dasar kepartian hingga mengugat perpaduan dan membawa permusuhan dan pergaduhan antara sesama kita. Politik bukan jaminan untuk ke syurga. Tetapi iman dan taqwa kita. Apakah kita harus jual Iman dan Taqwa hanya kerana fanatik kepada politik masing-masing? Sesungguhnya tidak ada syurga untuk kita di dunia dan diakhirat jika kita menjadi pengkhianat atau munafik kepada Allah dan RasulNya.

Sekian sekadar bicara di hujung senja 2009.

Selamat Tahun Baru 2010.

ANTARA SEBAB SESEORANG MENDAPAT HIDAYAH

Hidayah adalah satu perkara yang sangat berharga kerana dari sanalah sebagai titik tolak seseorang itu masuk Islam. Kemudian dari situ terus dia berusaha untuk mendapatkan iman serta lain-lain lagi yang ada di dalam ajaran Islam. Atau seseorang Islam itu telah terbuka pintu hatinya untuk beramal maka dari situlah dia berusaha untuk mempelajari ilmu Islam dari sumber Al Quran dan Hadis serta mengamalkannya.
Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam.” (AlAn’am: 125)

Kalau seseorang yang belum Islam, belum mendapat hidayah ertinya hatinya belum terbuka untuk menerima Islam atau masuk agama Islam. Begitu jugalah seseorang yang berketurunan Islam, jika hidayah belum didapati ertinya hatinya tidak akan terbuka untuk beramal dan memperjuangkannya.

Setelah berusaha mempelajari dan setelah hati terbuka untuk beramal maka selepas itu mungkin akan mendapat taufik dari Allah Taala. Ertinya apa yang diamalkan itu tepat atau berkebetulan dengan kehendak Allah Taala. Maka sempurnalah Islam seseorang itu kerana seluruh amalan telah bergabung di situ di antara hidayah dengan taufik. Walau bagaimanapun setakat hidayah itu pun sudah merupakan satu anugerah yang sangat berharga dari Allah Taala yang Maha Pemurah. Ini kerana dari hidayah itu pintu hati telah terbuka menjadi seorang Islam, atau seorang Islam telah terbuka pintu hatinya untuk mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam.

Oleh kerana hidayah satu benda yang berharga, bukan semua orang mendapatnya atau memperolehinya. Walau bagaimanapun, untuk mendapat hidayah ada bermacam-macam sebab atau ada berbagai-bagai cara yang tidak sama di antara satu sama lain. Di bawah ini saya senaraikan beberapa sebab seseorang itu mendapat hidayah iaitu:

1. Mereka lahir di dalam keluarga yang beragama, maka mereka mendapat didikan secara langsung dan praktikal daripada suasana keluarga. Orang ini agak bernasib baik.

2. Mereka yang lahir-lahir sahaja Allah telah bekalkan kesedaran dan petunjuk. Dari kecil lagi sudah suka kepada kebaikan dan kebenaran. Mereka terus mencari dan mengamalkan. Golongan itu amat sedikit. Ini adalah pemberian Allah secara wahbiah.

3. Orang yang di dalam perjalanan hidupnya terjumpa golongan atau kelompok yang beragama Islam dan mengamalkan syariat manakala dilihat kehidupan mereka begitu baik dan bahagia lantas mengikut golongan itu.

4. Orang yang sentiasa mencari-cari kebenaran, mereka sentiasa membaca, mengkaji, memperbandingkan serta melihat- lihat berbagai golongan dari berbagai-bagai agama dan ideologi serta bergaul dengan golongan itu maka akhirnyamereka bertemu dengan kebenaran itu.

5. Golongan yang mendapat pendidikan Islam, mendengar ceramah agama, ikut kursus agama, menghadiri majlis majlis agama maka mereka sebahagiannya mendapat petunjuk dari mengaji dan mendengar itu.

6. Golongan yang diuji oleh Allah, mungkin selepas kaya jatuh miskin, atau mendapat sakit teruk, atau ditimpa bencana alam dan lain-lain lagi. Di situ dia sedar dan insaf. Lantaran itu dia kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT.

7. Ada golongan yang mendapat kebenaran kerana Allah beri mereka mengalami alam kerohanian seperti mimpi melihat alam Barzakh, mimpi melihat orang kena azab atau dia sendiri yang kena azab atau melihat Kiamat atau Allah perlihatkan kepadanya pokok sujud, pokok bertasbih, dan lain-lain lagi benda yang ajaib. Selepas itu mereka pun kembali kepada kebenaran.

8. Ada orang yang sedar setelah melihat ada golongan atau keluarga yang kehidupan dunianya begitu hebat, rumah besar, kaya-raya, kenderaan yang mewah, harta banyak tapi kehidupan keluarga itu sentiasa porak-peranda, krisis sering berlaku, kasih sayang tidak ada, masing-masing membawa haluan sendiri, ukhwah tiada. Maka dari peristiwa itu mereka sedar dan insaf bahawa kemewahan hidup di dunia lagi tidak menjamin mendapat kebahagiaan, apatah lagi di Akhirat kelak.

9. Ada golongan yang mereka sendiri alami kehidupan mewah, serba ada, apa hendak dapat, pangkat ada, duit banyak, namun kebahagiaan tidak dirasai. Hidup di dalam keluarga porak-peranda. Lantas mereka insaf dan sedar, akhirnya mencari jalan kebenaran.

10. Ada golongan yang dapat petunjuk kerana ada orang yang soleh atau orang yang bertaqwa mendoakannya, lantas doanya dikabulkan oleh Allah. Maka Islamlah dia, seperti kisah Sayidina Umar Al Khattab dapat petunjuk kerana doa Rasulullah SAW.

HIDAYAH DAN TAUFIK KENALAH JAGA

Hidayah dan taufik adalah merupakan intan berlian maknawi dan rohani. Ia adalah sangat berharga. Seperti jugalah intan berlian yang bersifat maddi (material). Sesiapa yang memilikinya, dia dianggap orang kaya dan mulia. Begitulah orang yang memiliki intan berlian maknawi dan rohani. Dia merupakan orang kaya Tuhan. Dia telah mendapat segala-galanya. Sesiapa yang mempunyainya, hidupnya terpimpin. Akhlaknya mulia. Syariatnya terjaga. Imannya teguh dan bercahaya dan dia menjadi orang yang berbahagia.

Perlu diingat, hidayah dan taufik seperti jugalah barang yang berharga, umpama emas, intan, berlian, ia boleh hilang. Oleh itu kenalah jaga dan pelihara sebaik-baiknya agar ia jangan hilang dari kita. Barang yang hilang dari kita, susah hendak memilikinya semula melainkan terpaksa berhempas pulas berusaha mencarinya. Kalau tidak ia tetap terus hilang dari kita buat selama-lamanya.

Oleh kerana itulah Allah SWT mengingati kita di dalam AlQuran:

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau gelincirkan hati-hati kami selepas Engkau memberi kami petunjuk dan kurniakan kami rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi.” (Ali Imran: 8)

MENJAGA HIDAYAH DAN TAUFIK

Bagaimana menjaga dan memelihara hidayah dan taufik agar ia kekal menjadi milik kita atau agar ia tidak hilang dari kita. Di antaranya ialah:

1. Kita syukuri nikmat Allah SWT yang paling berharga itu. Kita rasakan bahawa ia adalah nikmat dan pemberian yang tidak ternilai.

2. Kita istiqamah mengamalkannya dengan tekun serta penuh rasa bimbang kalau-kalau Allah SWT mengambilnya semula atau bimbang kalau Allah Taala tarik semula.

3. Kenalah mujahadah selalu dengan penuh sabar. Terutama di waktu-waktu terasa malas hendak mengerjakan kebaikan dan terasa ringan hendak melakukan kemungkaran.

4. Bergaul selalu dengan kawan-kawan yang baik. Ini sangat membantu kita menjaga syariat di dalam kehidupan dan kita terasa ada kawan.

5. Kalau kita memang orang yang dipimpin, jangan terlepas daripada pimpinan. Adanya pimpinan itu perlu kerana kita sentiasa mendapat nasihat, tunjuk ajarnya serta ilmunya yang diberi dari masa ke semasa.

BAGAIMANA HIDAYAH DAN TAUFIK DITARIK SEMULA

Hidayah dan taufik kalau tidak pandai menjaganya ia akan diambil semula atau akan hilang semula dari kita. Di waktu itu kita akan hidup terumbang-ambing. Tiada disiplin, tiada istiqamah, malas beramal, ringan saja dengan maksiat, jiwa derita dan sengsara walaupun punya kekayaan yang banyak dan serba ada. Di antara sebab-sebab hidayah dan taufik ditarik balik ialah:

1. Kita derhaka dengan guru kita yang pernah memberi tunjuk ajar kepada kita dan lari dari pimpinannya. Di waktu itu kita kehilangan pemimpin. Terumbang-ambinglah hidup kita.

2. Derhaka dengan dua ibu bapa. Kita sia-siakan kedua-duanya. Kita biarkan ibu bapa tidak terurus dan terjaga hingga terbiar kehidupan kedua-duanya. Lebih-lebih lagi kalau dia marah atau rasa tidak senang dengan kita.

3. Apabila jiwa kita telah terpengaruh dengan dunia, maka dengan ibadah sudah tidak seronok atau telah mula terasa berat mengerjakannya. Maka ia perlahan-lahan luntur dan mula cuai, dengan halal dan haram mula tidak ambil kira, akhirnya takut dengan Allah SWT perlahan-lahan dihakis dari hati kita hingga hilang semuanya sekali.

4. Menzalim orang lain. Dengan sebab menzalim, rasa takut dengan Allah SWT sedikit demi sedikit dicabut. Selepas itu cuai pun datang. Malas beribadah. Kemungkaran dan maksiat sedikit demi sedikit sudah berani dibuat. Begitulah seterusnya hingga hanyut dan tenggelam di dalam maksiat.

5. Mula bergaul bebas dengan orang-orang yang tidak menjaga syariat. Kemudian terus terasa seronok dengan kebebasan itu. Kemudian terus terlajak dan sedap dengan perbuatan itu dan selepas itu terus hanyut dengan arus kemungkaran dan maksiat. Takut dengan Allah SWT pun lenyap.

28 Dis 2009

Hidayah dan Taufik adalah Hak Allah

Setiap manusia boleh berusaha,
Usaha tidak memberi bekas,
Ia hanya diperintah oleh Allah Taala,
Tapi hidayah dan taufik adalah hak Tuhan,
Ia adalah sangat berharga dan mahal,
Ia adalah rahsia Tuhan,
Dia memberi kepada sesiapa yang Dia suka,
Hasil usaha manusia dia jadi pandai,
Tapi hidayah dan taufik tidak mesti dia dapat,
Sekalipun hafaz Al Quran, Hadis di dalam kepala,
Tidak semestinya dia dapat hidayah dan taufik dari Tuhan,
Menjadi orang alim boleh, tapi hidayah dan taufik hak Tuhan,
Ertinya orang alim pun belum tentu ilmunya menjadi panduan,
Siapa pun boleh menceritakan Islam,
Tapi Islam itu tidak mesti menjadi pakaiannya,
Kerana hidayah dan taufik itu tidak mesti didapati oleh orang yang boleh menceritakan,
Beberapa banyak para motivator Islam,
Hanya dia sebagai saluran mencari makan,
Namun tukang cakap tidak mesti mengamalkan,
Pensyarah Islam tidak semestinya dia muslim,
Orang Islam pun tidak mesti mengamalkan Islam,
Memanglah hidayah dan taufik itu sangat mahal,
Penentu kebahagiaan manusia di dunia dan Akhirat,
Ia adalah hak Tuhan,
Ia adalah rahsia Tuhan kepada sesiapa sahaja boleh Dia berikan,
Oleh itu pinta hidayah dan taufik selalu kepada Tuhan,
Kerana ia adalah aset yang paling berharga untuk keselamatan insan.

Nukilan : Mursyidku

Catatan :

Membaca kisah para sahabat RSAW seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al Khattab, Saidina Usman Affan, Saidina Ali KWJ, Bilal, dan yang lain-lainnya sentiasa membuat hati merasa terharu dan terkesima dengan pengorbanan, kesungguhan dan kecintaan mereka kepada Allah, RSAW dan Islam.

Beruntunglah yang mendapat hidayah dan taufik dari Allah SWT, kerana beroleh harta yang sangat bernilai dunia dan akhirat.

26 Dis 2009

PERBEZAAN AHLI ROHANI DAN AHLI FALSAFAH

Ahli rohani atau tasawuf dapat menggunakan hujah akal untuk menguatkan hujah kerohanian. Tapi ahli fikir atau falsafah tidak dapat menggunakan hujah kerohanian untuk menguatkan hujah akalnya.

Ahli rohani di masa hidupnya terutama tokoh rohani, semua peringkat masyarakat suka menziarahinya. Ini tidak berlaku kepada ahlli fikir atau falsafah. Kalaupun ada yang menziarahinya adalah di kalangan cerdik pandai sekular sahaja. Golongan bawahan tidak ada.

Ahli fikir atau falsafah hanya dapat memikirkan alam lahir ini semata-mata tapi tidak dapat memikirkan alam ghaib atau alam rohani. Ahli rohani dapat memikirkan kedua-duanya sekali.


Ahli-ahli rohani ada yang diberi berita-berita ghaib sebelum terjadinya sesuatu peristiwa. Ini tidak berlaku kepada ahli fikir atau falsafah.

Ahli fikir atau falsafah kalau dia pergi ke mana-mana tidak ada orang datang menghormatinya seperti mencium tangannya atau mengiringinya. Tapi ahli rohani di mana pergi, diiringi orang, dihormati orang, tangannya dicium dan orang berebut-rebut untuk menjadi tetamunya.

Kematian ahli rohani ditangisi, ramai manusia yang sedih dan dirasai satu kehilangan besar kepada manusia. Ini tidak dirasakan atau tidak berlaku kepada ahli fikir atau falsafah.

Ilmu ahli rohani lebih diminati, disebarluaskan kepada seluruh manusia. Tapi ini tidak berlaku kepada ilmu ahli fikir. Sebarannya sangat terbatas kerana umum manusia tidak minat.

Ahli rohani terutama di hari-hari tertentu seperti hari lahirnya, orang ramai mengadakan hari memperingatinya. Ini tidak dilakukan kepada ahli fikir atau falsafah.

Ahli fikir datang ke dunia walaupun sedikit sebanyak ada membawa kemajuan tetapi kedatangan mereka lebih banyak membawa kerosakan di bumi. Tapi kedatangan ahli rohani ke dunia membaikkan semula dunia ini termasuk apa yang telah dirosakkan oleh ahli fikir.

Ahli fikir atau falsafah adalah lambang keangkuhan dan kesombongan di dunia tapi ahli rohani adalah lambang tawadhuk dan akhlak yang mulia.

Ahli fikir tidak pernah berjaya membaikkan nafsunya dan nafsu manusia tapi ahli rohani berjaya membaikkan nafsunya sendiri terutamanya dan juga nafsu orang lain.
Ramai orang berjaya mendidik akalnya, tapi sedikit sekali yang berjaya mendidik jiwanya. Kerana itulah dunia penuh dengan orang-orang pandai yang jahat.

Kekacauan dan huru-hara yang berlaku di dunia bukan kerana kekurangan orang pandai memikirkannya, bukan kerana para pemimpin tidak bijak mengatasinya, tapi kerana terlalu ramai manusia yang telah rosak jiwanya termasuk cerdik pandai. Para pemimpin yang jiwanya sudah rosak, hendak memikirkan masyarakat yang sudah rosak, bertambah lagilah rosak masyarakat.

Ahli-ahli fikir dan falsafah bagaimana pintarnya sekalipun, belum pernah berlaku di dalam sejarah dapat membangunkan akhlak manusia. Mereka hanya berjaya memberi kepandaian kepada manusia. Tapi ahli rohani seperti para rasul dan ulama ul amilin dapat memberi kepandaian kepada manusia serta berjaya membangunkan akhlak manusia.

Tokoh-tokoh ahli fikir jarang makamnya diziarahi orang, tapi tokoh-tokoh rohani, makamnya setiap hari diziarahi orang.

Ahli fikir dan cerdik pandai hanya berjaya membangunkan tamadun material, tapi ahli rohani berjaya membangunkan tamadun rohani.

Kalaulah manusia ini, matlamat hidupnya hanya dunia semata-mata, cukup setakat ahli fikir sahaja. Tapi Allah mahu manusia ini mengenal Zat-Nya yang Maha Agung. Dan agar manusia mengenal kehidupan yang martabatnya lebih tinggi lagi, iaitu Akhirat. Kerana itulah Allah utuskan para rasul dan para nabi.

Ahli-ahli fikir hanya berjaya mengenalkan manusia kepada kehidupan dunia yang rendah dan murah serta akan binasa. Tapi para rasul dan nabi berjaya mengenalkan manusia kepada kehidupan yang tinggi dan kekal abadi di Akhirat.

Di antara kemuliaan para rasul dan para nabi, mereka lebih dicintai dan disebut-sebut oleh manusia setiap hari dibandingkan ahli-ahli fikir dan falsafah.

Para rasul dan para nabi adalah lambang pemujaan manusia terhadap Allah SWT yang wajib disembah, tapi ahli fikir dan falsafah adalah lambang pemujaan manusia terhadap tamadun kebendaan dan dunia.

Para rasul dan para nabi dianggap manusia yang suci dan sempurna di kalangan manusia tapi ahli fikir dan falsafah tidak disebut begitu rupa.

Ahli fikir dan ahli falsafah melahirkan teori-teori dan ideologi-ideologi tapi para rasul dan para nabi melahirkan agama. Di antara dua ajaran ini payah hendak ditemukan.

Hari ini umat Islam lebih menyanjung ideologi daripada agama. Perjuangan mereka itu bukan agama lagi tapi adalah ideologi.

Hari ini ideologi telah menjadi agama. Agama telah menjadi barang antik maknawi yang hanya tersimpan di dalam kitab yang diletakkan di almari untuk dibuat hiasan.

Di Barat, Allah Taala istimewakan dengan lahirnya ramai ahli-ahli fikir dan ahli falsafah, tapi di Timur diistimewakan dengan lahirnya ramai para rasul dan nabi.
Setelah umat Islam berpegang dengan ideologi dan memperjuangkannya, maka tidak ada lagi perpaduan di kalangan umat Islam. Kalau ada pun parti yang memperjuangkan Islam, tapi tekniknya dan metodologinya seperti pejuang-pejuang ideologi. Akibatnya rasa bertuhan dan rasa kehambaan tidak wujud atau telah nipis.

Ahli-ahli rohani yang haq tidak pernah ditimpa penyakit jiwa, tapi ahli fikir dan ahli falsafah pernah ditimpa penyakit jiwa.

Ahli-ahli rohani, semakin bersih atau tajam jiwanya, semakin takut atau cinta dengan Tuhan. Tapi ahli fikir atau ahli falsafah jika fikirannya bersendiri, makin tajam fikirannya, kemuncaknya menafikan kewujudan Tuhan.

Ahli-ahli rohani yang sejati mampu mempertajamkan akalnya dan boleh berlaku jiwanya kuat, akalnya kuat. Tapi ahli fikir atau ahli falsafah tidak boleh mempertajamkan atau tidak boleh menguatkan jiwanya.

Ahli-ahli fikir atau ahli falsafah setakat teorinya dikagumi oleh manusia tapi tidak ada pengikut setia tapi ahli rohani mempunyai pengikut yang setia.

Ahli-ahli rohani adalah manusia yang memuja Tuhannya, tapi ahli fikir atau ahli falsafah memuja akalnya atau mentuhankan akalnya.

Ilmu ahli rohani mudah difahami bahkan menyejukkan hati, tapi ilmu ahli fikir atau falsafah susah difahami bahkan adakalanya menyakitkan kepala dan menggelisahkan jiwa.

Biasanya teori ahli fikir, orang lain mengamalkannya, tapi ilmu ahli rohani dia sendiri yang paling mengamalkannya.

Ahli rohani meyakinkan orang dengan Tuhan, tapi ahli fikir menjadikan orang ragu dengan Tuhan.

Ahli fikir hendak menerima sesuatu pendapat mesti berdasarkan logik, tapi ahli rohani menerima sesuatu dengan iman dan keyakinan sekalipun tidak logik.

Pendapat ahli fikir semata-mata atas dasar logik, tapi pendapat ahli rohani ada yang boleh diterima atas dasar logik dan atas dasar tidak logik.

Ahli fikir atau ahli falsafah ada yang memuja arak dan mabuk arak, tapi ahli rohani memuja Tuhan dan mabuk Tuhan.

Biasanya atau kebanyakan ahli fikir atau ahli falsafah hanya mengumpul ilmu atau teori tapi orang lainlah yang mengamal dan memperjuangkannya tapi ahli rohani mereka sangat mengamalkan dan memperjuangkannya.

Ahli falsafah, teori mereka selalunya dibatalkan oleh teori ahli falsafah yang datang kemudian. Ini tidak berlaku kepada ajaran ahli rohani kerana ajaran ahli rohani dari sejak Nabi Allah Adam a.s. hingga kepada Nabi Muhammad SAW, ajaran aqidahnya sama, tidak berubah.

Ahli fikir atau ahli falsafah selalunya sombong dan ego, berlainan sekali dengan ahli rohani. Mereka adalah golongan yang tawadhuk, berakhlak tinggi dan mulia.
Ahli fikir atau ahli falsafah, orang ramai mengkagumi pendapatnya atau ilmunya, tidak mengkagumi peribadinya. Berlainan sekali dengan ahli rohani, mereka mengkagumi ilmu dan juga peribadinya.

Ahli-ahli rohani, orang yang sayang, sayang sangat. Yang benci pula benci sangat. Berlainan pula ahli fikir atau ahli falsafah. Orang yang sayang tidaklah sayang sangat, begitu juga orang yang benci, tidak pula benci sangat.

Setelah pengaruh fikiran ahli falsafah Yunani masuk ke masyarakat Islam, maka lahirlah mazhab Muktazilah di kalangan umat Islam yang sangat bertentangan dengan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah.

Di antara kesesatan ahli falsafah, mereka menganggap bahawa alam ini qadim seperti qadimnya Tuhan.

Ahli fikir atau ahli falsafah biasanya tidak suka bergaul dengan masyarakat. Berlainan sekali ahli rohani, mereka bergaul dengan masyarakat.

Ahli fikir atau ahli falsafah tidak mendidik masyarakat, tapi ahli rohani mendidik masyarakat.

Ahli fikir atau ahli falsafah kalaupun tahu penyakit masyarakat, tapi tidak tahu hendak mengubatnya. Berlainan sekali dengan ahli rohani, di samping kenal penyakit masyarakat, mereka tahu pula mengubatinya.

22 Dis 2009

PESANAN BUAT PEJUANG ISLAM

Setiap para pejuang-pejuang Islam

tunjukkanlah bukti, jangan banyak cakap

Kalau cakap saja kebenaran menjadi slogan

buat tidak, orang kafir pun boleh cakap

Kebenaran itu adalah pada perbuatan dan sikap

cakap hanya mentafsirkan sikap

Dengan perbuatan dan sikap

barulah orang ramai mendapat manfaat

Kalau pejuang-pejuang kebenaran benar-benar haq, contohilah para Sahabat

Mereka setiap hari memasukkan orang kepada Islam

Islam berkembang cepat

Perpaduan mereka ibarat susunan batu-bata yang kuat

Setiap hari berkhidmat dengan masyarakat

masyarakat dapat manfaat

Mereka itu di malam hari

menjadi abid-abid memuja Allah

siangnya bagaikan singa

Sibuk berjuang dan berkhidmat

Apakah pejuang-pejuang Islam hari ini

macam Sahabat?

Jangan-jangan ada yang tidak bersembahyang

Perpaduan hanya omong kosong

kenyataannya atau realitinya tidak ada

Mereka itu berlemah lembut tapi tegas

Sikap pejuang-pejuang Islam hari ini

keras bukan tegas

Pejuang-pejuang hari ini banyak bercakap

tidak berbuat, orang ramai tidak hormat

Role model tidak ada pada ibadah mereka

akhlaknya, perpaduannya, ekonominya

kebudayaannya, kebersihannya, masyarakatnya

Orang yang tidak berjuang

adakalanya lebih baik dari mereka

Masyarakat pejuang hari ini tidak ada yang indah

Sesama mereka tidak ada bela-membela

Pemimpin mereka tidak ditaati

hanya pengikut-pengikutnya sahaja fanatik membabi buta

Tanya mereka berapa ramai orang masuk Islam di tangan mereka?

Yang sudah Islam dapat ditingkatkan kualiti keislamannya setiap masa berlakukah?

Pejuang kebenaran berlaku di dalam jemaahnya khawariqul adah yang luar biasa, kalau tidak ada bukan kebenaran namanya

Ujian banyak tapi bantuan Tuhan lebih banyak dari ujian

Di dalam ujian ada hiburan

Ujian tidak menyekat kemaraannya, itulah kebenaran

Nampak pengikutnya sedikit tapi pengaruhnya besar

dan merebak tidak boleh disekat

Pejuang kebenaran daerah perjuangannya tidak terbatas

bersifat sejagat kerana Islam itu untuk sejagat

Tapi yang kita lihat hari ini pejuang Islam

hanya bersifat ‘local’, dunia tidak kenal

Itu pun sudah memperlihatkan perjuangan itu tidak haq

bahkan tertolak

21 Dis 2009

KISAH KELAPA TUA


Kelapa tua. Semua orang kenal kelapa tua. Tahu pula gunanya kelapa tua itu. Sangat penting dan sangat berguna kelapa tua ini dalam hidup manusia.
Namun begitu, kewujudannya tidak dipeduli dan tidak diendahkan orang. Kelapa tua tidak pernah menjadi topik perbincangan. Tidak pernah dikaitkan dengan apa-apa isu atau masalah. Kalaulah kelapa tua ini mempunyai emosi, tidak ramai orang yang akan dapat merasakan dan menyelami perasaannya. Itulah kelapa tua.

Kelapa tua pula tidak pernah susah hati kalau orang tidak mempedulikannya. Dia hanya tergantung di atas pokok dan terbuai-buai bila ditiup angin.

Tapi, lazimnya elok-elok kelapa tua itu tergantung di atas pokoknya sambil menikmati keindahan alam buana ini dari kedudukannya yang tinggi itu, datanglah orang menjoloknyadengan galah yang panjang. Tidak sabar menunggu kelapa tua itu jatuh sendiri. Bukannya selesa kena jolok-jolok macam tu. Bila tangkainya sudah lemah setelah dijolok beberapa kali, maka gugurlah kelapa tua itu berpusing-pusing ke bumi. Gugur itu pula bukannya rendah. Bukan setakat lima atau sepuluh kaki tapi sampai empat puluh hingga lima puluh kaki. Bunyinya berdentum sampai ke tanah.

Masalah kelapa tua ini tidak terhenti di situ sahaja. Ini baru muqaddimahnya. Dia dikutip dan kulit sabutnya dikoyakkoyak dan dibuang sedikit demi sedikit dengan parang cangkuk. Proses ini bukan sekadar sekali tetak. Berpuluh-puluh kali parang cangkuk itu menusuk ke dalam kulit sabutnya.

Seksanya tak boleh nak cerita. Mula-mula sakit tusukan. Lepas itu sakit dikoyak dan disiat-siat. Ini berterusan sampai tempurung sahaja yang tinggal.

Bila dah sampai ke tempurung, maka tak apalah. Cantik juga rupanya. Keras dan bulat. Tetapi manusia bukan tahu hendak menilai seni yang seperti ini. Tempurung bulat yang cantik itu ditetak pula dengan parang dengan sebegitu kuat hingga terbelah dua di tengah-tengahnya. Maka tersembur dan mengalirlah air jernih dari dalam perutnya dan terdedahlah isinya yang putih bersih.

Bagi kebanyakan kehidupan yang lain, kalau sudah sampai ke tahap ini, maka selesailah riwayat hidupnya. Tetapi bagi kelapa tua, ini baru permulaan. Banyak lagi seksaan yang menanti. Tak cukup dengan menyemburkan air dari dalam perutnya dan mendedahkan isinya, isinya yang putih bersih itu dipisahkan dari tempurung, diparut dan dikukur pula hingga menjadi lumat. Tempurungnya dibuang. Kadang-kadang di bakar.
Bentuk asal kelapa tua sudah tidak ada lagi. Yang tinggal hanyalah isinya yang sudah lumat dikukur dan diparut. Untuk menambah seksanya lagi, dituang pula air ke dalam isi parut itu, diramas-ramas dan diperah-perah. Alangkah seksanya. Kalau hendak dikirakan, ini sudah terkeluar dari batas-batas perikemanusiaan. Kemudian ia ditapis menjadi santan. Kelapa tua yang dulunya keras dan bulat kini sudah menjadi cecair yang putih.

Setelah itu, minyak dipanaskan dalam belanga. Bawang merah, rempah dan rencah-rencah yang lain ditumis. Bila sudah cukup kuning dituanglah santan tadi ke dalam belanga. Maka berpanasanlah santan itu hingga terkeluar minyaknya. Apabila sudah masak dan bau harumnya merebak ke seluruh ceruk rumah, maka orang pun bertanya: “Gulai apa tu? Sedap sangat baunya?” Orang di dapur hanya menjawab, “Gulai ikan bawal.”

Gulai dapat nama. Ikan bawal dapat nama. Orang kata, “Oh! Sedap gulai ni.” “Oh! Sedap ikan bawal ni.” Jasa kelapa tua tenggelam begitu sahaja. Perjalanan dan pengalamannya yang begitu panjang dan menyeksakan dari sebiji kelapa tua di atas pokok yang tinggi hingga ke belanga yang panas berbahang, tidak ada siapa yang ambil kira atau ambil peduli.

Alangkah indahnya kalau kita dapat berjasa seperti kelapa tua ini. Jasa-jasa bukan untuk dipuji dan dipuja. Bukan untuk dikenang atau untuk mendapat nama, tapi untuk ta’abbud kepada Allah SWT. Biarlah jasa-jasa kita tidak nampak di mata orang, tapi ada dalam perhatian Allah!

11 Dis 2009

ISLAM ADALAH HIDUP MATIKU

Islam adalah hidup matiku
Lebih kusayang dari diri sendiri
Aku tidak dapat membezakan Islam dgn diriku
Dgn darahku dengan akal fikiran dgn jiwaku

Dari kecil ku didik begitu
Kalau ku miskin biarlah dengan Islam
Islam adalah darah dagingku
Aku mesti perjuangkan Islam setiap waktu
Rasa lapang dan luas dgn Islam

Sesungguhnya agama yang diredhai
Disisi Tuhan adalah Islam,
Islam adalah hidup matiku
Tetapkanlah hatiku dengan Islam

Kalau aku diasing kerananya uzlahlah aku
Kalau aku dibuang berkelanalah aku
Disamping menulis buah fikiranku

Aku tidak terasa susah dengan Islam
Bahkan ku rasa senang dengannya selalu
Sekalipun fizikalku lahirku adakala susah dan terlarang
Islam adalah hidup matiku
lebih kusayang dari diri sendiri
Islam adalah hidup matiku
Lebih ku sayang dari diri sendiri

Wahai Tuhan dekatkanlah hatiku
Dengan Islam hidupkan aku dengannya
Susah dan payah miskin dan kaya biarlah dengannya
Berkawan dan bermusuh kerana Islam
Penutupnya hidupku dgn Islam

Islam hidup matiku, begitulah harapanku pada-Mu wahai Tuhan
Kabulkanlah permintaanku wahai Tuhan
Islam adalah hidup matiku
Kabulkanlah wahai Tuhan...

(Nukilan Mursyidku...)