17 Sep 2009

APA ITU HARI RAYA ?



Apa itu hari raya? Pada lughah atau pada bahasa, raya ertinya besar atau utama. Jalan raya ialah jalan yang besar atau utama. Pasar raya ialah pasar yang besar. Bandaraya pula ialah bandar yang besar dan utama. Begitu juga dengan lebuhraya dan sebagainya. Oleh itu hari raya bermaksud hari yang besar atau hari yang utama.



Benarkah hari raya itu hari yang besar dan utama? Kalau benar, di manakah letak kebesaran atau keutamaannya. Apakah hakikat hari raya yang sebenar sehingga ianya dianggap sebagai hari yang besar?



Kalaulah benar hari raya itu hari yang besar, bagaimana patut kita menyambutnya. Apakah yang patut kita buat pada hari itu? Bagaimana patut kita mengisinya?



Adakah pada setiap hari raya kita perlu tukar langsir, perabot dan permaidani? Adakah sempena hari raya, kita perlu beli pakaian dan kasut baru? Kita menjamu selera dengan bermacam-macam kuih-muih dan juadah yang enak dan lazat.



Atau adakah di hari raya patut kita berseronok dan bersuka ria dengan majlis-majlis hiburan lengkap dengan muzik, nyanyian, joget dan tari-menarinya. Kita adakan atau kita tonton pertunjukan atau "show" hiburan hari raya. Atau kita bermain mercun, bunga api dan meriam buluh.



Atau adakah cukup hari raya itu disambut hanya dengan bersembahyang hari raya, mengirim kad-kad hari raya, berziarah, menjamu selera dan bermaaf-maafan.



Bagi orang Melayu, eid fitr dinamakan hari raya puasa. Perkiraan dan kira bicara dalam hal ini sangat senang dan mudah. Ia dinamakan hari raya puasa kerana ia disambut selepas bulan puasa. Ini sebenarnya mudah yang sudah terlebih. Sudah over. Cara mudah memberi nama seperti ini tidak memberi gambaran atau maksud yang sebenar.



Maksudnya tersimpang dan lari dari apa yang dikehendaki oleh agama dan syariat. Ia menimbulkan kekeliruan dan salah faham. Lama-kelamaan orang Melayu terutama yang tidak mengaji agama, tidak tahu kenapa dan mengapa mereka menyambut hari raya puasa. Mereka juga tidak tahu bagaimana hari raya puasa patut disambut. Mereka kira hari raya puasa itu ialah hari untuk berseronok, berpesta dan bersuka ria. Hari untuk berbelanja, membazir dan bermewah-mewah. Hari untuk melepaskan geram setelah sekian lama disekat dan dikongkong nafsu mereka. Mereka sedih kalau tidak dapat baju raya dan kasut raya. Sedih kalau tidak dapat tukar langsir baru, perabot baru atau permaidani baru. Bagi yang lebih tua, hari raya puasa jadi hari "nostalgia" dan hari melayan perasaan. Ingat anak, ingat cucu yang tidak balik pada hari raya.



Sambutan hari raya puasa sudah tidak lagi menjadi suatu ibadat. Ia sudah bertukar menjadi adat dan istiadat. Dengan "open-house"nya, hari raya "get-together"nya, "Hari Raya Dance"nya dan berbagai-bagai lagi cara sambutan pada masa ini. Para artis dan penghibur pula sibuk dengan show hari raya dan album hari rayanya.



Dalam Islam tidak ada hari raya dalam konteks yang difahami oleh orang Melayu. Tidak ada hari untuk tukar langsir, perabot dan permaidani. Tidak ada hari untuk membeli baju atau kasut baru. Tidak ada hari untuk membazir dan bermewah-mewah. Lebih-lebih lagi tidak ada hari untuk berhibur, berseronok, berpesta dan bersuka ria dengan muzik, nyanyian, joget, tari-menari, show, album dan sebagainya. Yang ada hanyalah hari untuk bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Allah.



Hari raya puasa dalam Islam ialah Eid Fitr. Eid itu maksudnya "mengembalikan". Fitr itu "fitrah". Jadi "Eidil Fitri" itu ialah mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan asal semulajadinya yang suci dan murni. Dalam erti kata yang lain, eidil fitri bermaksud hari menyambut kejayaan mengembalikan fitrah kepada keadaan asalnya yang suci dan bersih.



Selama sebelas bulan dalam setahun, manusia bergelumang dengan nafsu dan dunia. Selama itu jugalah fitrah manusia dicemari, dikotori dan dirosakkan. Fitrah manusia kian bertambah lemah dan tidak bermaya. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, dikurniakan-Nya satu bulan dalam setahun iaitu bulan Ramadhan untuk kita berpuasa supaya fitrah manusia yang telah lemah itu dapat dibersihkan, disuci dan dikuatkan semula. Supaya kerakusan nafsu itu dapat ditekan dan diimbangi. Kalau tidak, nafsu akan bertambah-tambah rakus sampailah manusia itu mati. Dia akan mati dalam keadaan nafsunya yang bermaharajalela. Bagi orang Islam, kalau dia hidup selama 50 tahun selepas akil baligh, nafsunya akan ditekan dan fitrahnya dikuatkan sebanyak 50 kali dan selama 50 bulan. Ini banyak membantu mengawal nafsunya. Itulah rahmat Allah. Ia tidak berlaku pada orang kafir.



Kalau fitrah sudah rosak dan kotor, manusia akan lupa Allah. Bila Allah sudah dilupakan, jiwa manusia akan mati. Jiwa manusia tidak boleh hidup tanpa Allah dan tanpa rasa bertuhan. Manusia yang telah mati jiwanya tidak boleh lagi berperanan sebagai insan. Keinsanannya akan rosak. Nafsunya akan bermaharajalela. Dia akan terangsang hanya dengan dunia dan akan benci akhirat. Dia akan suka dengan apa yang Allah benci dan akan benci dengan apa yang Allah suka. Dia akan mengangkat nafsunya menjadi Tuhan. Akhirnya hidupnya di dunia menjadi punah ranah dan di akhirat nanti akan bakal dicampakkan ke dalam neraka.



Puasa itu ialah "menahan diri". Menahan diri dari segala apa yang disukai oleh nafsu. Puasa mampu membersih dan menguatkan fitrah. Iaitu puasa yang ada lahir dan batinnya. Puasa yang ada rohnya. Bukan sahaja kita menahan diri dari makan dan minum dan bersedap-sedap dengan isteri di siang hari; mata kita, telinga kita dan lidah kita pun ditahandari melihat, mendengar dan berkata perkara-perkara yang mungkar. Akal kita ditahan dari memikirkan dan mengkhayalkan perkara-perkara yang haram dan jahat. Hati kita ditahan dari merasakan perkara-perkara yang ditegah seperti marah, hasad dengki, buruk sangka, berdendam dan sebagainya. Ini semua sangat dibenci oleh nafsu. Tetapi dia dipaksa menerimanya supaya dia tunduk. Nafsu kita dikekang dan ditahan supaya dia tidak jahat, tidak rakus dan tidak terlalu gilakan dunia.



Di samping puasa, ada banyak lagi amalan-amalan lain di bulan Ramadhan untuk membantu menekan lagi nafsu dan membersihkan lagi fitrah kita. Ada solat terawihnya, ada membaca atau tadarrus Qurannya, ada zakat fitrahnya dan berbagai-bagai lagi amalan sunat yang sangat digalakkan di bulan Ramadhan seperti beriktikaf dan memberi makan orang yang berbuka puasa. Ini semua tidak disukai oleh nafsu. Dia akan tambah tertekan.



Di dalam diri manusia, nafsu dan fitrah itu seperti jongkang jongkit. Kalau nafsu kuat, fitrah akan lemah. Kalau nafsu lemah, fitrah akan kuat. Menekan nafsu adalah cara terbaik untuk menguatkan fitrah. Nafsumesti dilawan, tidak boleh dilayan. Nafsu yang kuat akan menyuburkan sifat-sifat mazmumah yang keji di hati kita.



Di sini kita dapat lihat bahawa fokus eidil fitri ialah pada amalan puasanya di bulan Ramadhan yang mengekang dan menekan nafsu dan bukan kepada hari rayanya yang disambut pada 1 Syawal. Yang dibesarkan ialah latihan rohaniah secara berpuasa yang dilakukan dan bukan hari berbukanya, iaitu hari rayanya.



Bulan Ramadhan adalah bulan berkat dan penuh rahmat. Bulan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Bulan syaitan dibelenggu. Bulan di mana pahala amalan dan ibadah dilipat gandakan dan doa diterima. Ia adalah bulan maghfirah dan keampunan. Malahan Allah memberi pahala terhadap ibadah puasa tanpa hisab. Kalau dalam ibadah lain, pahala yang Allah beri itu ada sukatan dan skalanya, tetapi bagi ibadah puasa ini,pahalanya ikut suka Allah.



Justeru itu, 1 Syawal sebenarnya ialah hari murung dan hari kesedihan. Hari berakhirnya bulan berkat dan bulan rahmat. Hari berakhirnya bulan keampunan. Hari terbuka semula pintu neraka dan bebasnya para syaitan. Bermula pada 1 Syawal, dunia akan mula mengkeronyok dan merobek-robek fitrah kita; mengotori, mencemari dan merosakkannya hinggalah tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Belum tentu kita dapat temuinya kalau ajal tidak mengizinkan.



Kalau begitu, kenapakah kita gembira sangat pada hari raya. Tidak ada apa-apa sebenarnya yang kita hendak gembirakan. Tidak ada apa-apa yang kita hendak sambut. Tidak ada apa-apa keistimewaan di hari raya kecuali kita disuruh berbuka dan diharamkan berpuasa. Yang ada hanya berbanyak-banyak syukur, memuji, memuja dan membesarkan Allah. Kalau hari raya disambut dengan penuh pembaziran dan kemewahan, tambahan pula kalau dalam menyambutnya ada pula kelalaian, maksiat dan kemungkaran, maka pada hakikatnya, puasa kita selama sebulan itu tidak ada makna apa-apa. Tidak ada apa-apa kebaikan yang kita dapat. Jelas bahawa fitrah kita masih kotor dan rosak. Jiwa kita masih lemah kalaupun tidak mati, walaupun sudah berpuasa selama satu bulan. Kalau pada 1 Syawal pun, fitrah kita sudah lemah dan rosak, bagaimanakah mampu kita selamat dalam mengharung dan menghadapi dunia ini selama sebelas bulan lagi sebelum tiba Ramadhan akan datang.



Kalau hari raya disambut pula dengan bersuka ria, berpesta, berhibur dan bermewah-mewah, jelas bahawa itu adalah atas tuntutan nafsu, bukan tuntutan fitrah. Bagaimana pula sebaik selesai kita berusaha membersihkan fitrah kita di sepanjang Ramadhan, nafsu kita pula yangmengamuk dan menguasai diri kita pada 1 Syawal.



Sebagai umat Islam yang inginkan kebaikan dunia dan akhirat, kita perlu ubah fahaman dan pegangan kita tentang hari raya puasa ini. Kalau bolehkita tukar istilah hari raya puasa ini kepada istilah yang lebih tepat mengikut kehendak agama. Kita tukar kepada hari raya fitrah, contohnya; yang selalu juga kita gunakan, yang bermaksud hari besar fitrah; iaitu hari kita membesar dan mengutamakan fitrah kita.



Setelah kita benar-benar faham apa sebenarnya erti Eidil Fitri, mungkin kita boleh menyambutnya dengan cara yang lebih tepat dan sesuai. Hari raya fitrah patut diisi dan dipenuhkan dengan berzikir, bertafakur, bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Allah. Ia patut disambut dengan segala kebaikan yang berpunca dan yang didorong oleh hati atau fitrah yang sudah suci dan bersih. Pada hari raya fitrah, kita patut membantu dan memberi makan fakir miskin, merapatkan silaturrahim, berziarah dan memberi hadiah. Bermaaf-maafan, bertolong bantu, berkasihsayang dan sebagainya. Hari raya fitrah bukan hari untuk memuaskan nafsu.

Tiada ulasan: