7 Nov 2008

ILHAM DARI PUJANGGA


Salah satu hobi saya ialah mendengar muzik, dan salah satu hobi saya juga membaca dan menghayati madah, pujangga dan falsafah..

Jadi apabila kedua-dua ini digabungkan maka ia begitu indah rasanya di hati saya,,

Pagi tadi saya terdengar lagu ini dari radio kereta saya, sebuah lagu lama yang mengembalikan ingatan saya bahwa ini adalah salah satu lagu kegemaran yang saya anggap masterpiece kerana keunikannya.

Lagu itu bertajuk ILHAM PUJANGGA

Ilham dari pujangga
Berdiam diri bukan ertinya kau salah
Biar cercaan sekali datang menimpa
Sudahlah memang adat di dunia

Bersuaralah kamu pada perkara berguna
Itulah sifat orang bijaksana

Ya anak muda tidak mati kerana tergelincir kakinya
tetapi matinya anak muda itu kerana tergelincir lidahnya

berdiam dirilah kamu kepada perkara yang bukan-bukan
bersuaralah kamu kepada perkara yang memberi kebaikan

Berikanlah tenaga
Untuk nusa dan negara
Ini zaman kemajuan
Jangan kita ketinggalan

Kasih sesama manusia
Seperti anda sayangkan diri anda
Pandang yang satu kepada yang ramai sayang
Pandang yang ramai kepada yang satu

Usahlah ditanya apakah bakti negara untuk kamu
tetapi tanyalah apakah bakti kamu untuk negara
berjasalah kamu untuk keharmonian negara

[ Kau katakan pada aku sekarang jua, apakah pendapat kau atas kewajiban muda-mudi...

Pembela, harapan dan tiang negara, bangsa dan negara...

Bagaimanakah cara yang patut aku tunjukkan kewajiban ini...

Kau mempunyai akal bukan, tepuklah dada tanya selera.]


Sungguhkanlah hati mu
Pertahankan ibu pertiwi
Jauhkanlah diri mu
Dari perkara yang merugi

Maaf mudi dan muda
Ku susun jari sepuluh
Aku bukanlah seorang pujangga
Hanya seorang penyanyi biasa



Cuma saya rasa ada sedikit perubahan lirik yang diperlukan di situ,

Elok juga jika ditukarkan dari Tepuk dada tanya selera, kepada Tepuk Dada Tanya Iman...tentu lebih berkesan daripada tanya selera...

Apa kaitan gambar Yang Dipertuan Agong di atas dengan posting saya ini ?

Saya terfikir tentang kroniknya masyarakat Malaysia sekarang kerana kerakusan ahli politik yang sibuk merebut jawatan dan kuasa, mengadaikan keharmonian negara dan fitnah pula melata seperti cendawan yang tumbuh di pagi hari.

Pendidikan kita selama ini hanya melahirkan remaja/pemuda-pemudi yang mengejar sijil dan kecemerlangan, mereka tidak cukup terdedah dengan realiti kehidupan dan sepak terajang pemimpin-pemimpin yang hanya pandai berretorik dan rakus merebut kuasa. Mereka cepat menerima bulat-bulat apa yang disampaikan kepada mereka tanpa mengkaji dengan rasional dan menyiasat dengan teliti. Jika inilah coraknya golongan pelapis negara, saya kira kita akan menghadapi zaman di mana negara kita yang tercinta ini akan kehilangan jati negara disebabkan warganya sudah hilang jati diri.

Mereka hanya akan menjadi penurut, peniru, dan tidak yakin terhadap kemampuan jati diri sendiri...mereka akan hidup seperti buih-buih ombak di pantai..walaupun banyak tetapi tidak ada makna apa-apa.

Wahai anak bangsa Melayuku, kembalilah menyoroti jati diri bangsamu sendiri, yang meletakkan ISLAM sebagai tunggak kepada bangsa Melayu. Kelak nanti kau akan temui MUTIARA yang hilang itu.

Tiada ulasan: