17 Nov 2008

MENGIMBAU SEJARAH KAMPUNG KELAHIRANKU : KG KEMAHANG, KUALA LIPIS

“Kalau orang tidak tahu sejarah, ia tidak akan faham masa kini, apalagi masa depan. Semua kesalahan yang kita lakukan selama ini terjadi kerana kita tidak tahu sejarah.” Pramoedya Ananta Toer




Saya ini anak kelahiran yang berasal dari Kg Kemahang, Kuala Lipis Pahang, di mana ayah saya pula adalah anak kelahiran Kg. Relong Kuala Lipis Pahang dan ibu saya turut dilahirkan di Kg Kemahang Kuala Lipis Pahang.

(catatan tambahan : Bakal PM kita Datuk Najib Tun Razakpun lahir di Kuala Lipis, Pahang)

Kebetulan juga, suami saya juga berasal dari Kg Bukit Betong, Kuala Lipis (masa mula-mula kenal tak tahupun dia orang negeri mana...kebetulan belaka), beliau pula berketurunan Wan, yang dikatakan berasal dari keluarga diraja pagar ruyung yang datang ke Kuala Lipis semenjak 1500an lagi dan fasa kedua kedatangn keturunan diraja pagar ruyung ini adalah selepas keturunan diraja pagar ruyung dimusnahkan oleh golongan wahabi di dalam Perang Padri iaitu pada 1800an.

[ CATATAN : Di Bukit Betong Lipis iaitu di daerah Hulu Pahang telah sekian lama bertapak satu kelompok dari keturunan Raja Pagar Ruyung juga memegang teraju Orang Besar Berempat Pahang turun temurun.


Gambar bandar Kuala Lipis




Yang dimaksudkan adalah keluarga Orang Kaya Indera Perba Jelai atau Tok Raja Jelai yang mengikut catatan sejarah keluarga mereka, Seri Maharaja Perba adalah nenek moyang mereka yang pertama datang dari Pagar Ruyung ke Lipis pada Tahun 1591. Nama kampong asal Seri Maharaja Perba di Pagaruyung ialah Kabung Pagar Teras.

Ikut bersama Seri Maharaja itu ialah dua saudaranya yang laki-laki iatu Maharaja Indera Pahlawan serta seorang saudara perempuan yang tidak dikenal pasti namanya. Saudara beliau yang perempuan ini berkahwin denmga ulama Tun Bandan Patani dan zuriat mereka inilah menurunkan kaluarga Maharaja Perba Jelai sehingga kini kerana Seri Maharaja Perba itu tiada berzuriat. ]

Sila rujuk url ini : "http://lipis-zaini.blogspot.com/2008/07/salasilah-orang-lipis-berasal-dari.html"

Gambar keturunan beliau, (nampak ada iras-iras wajah suami saya esp gambar budak dalam gbr tu, hehehe)



Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai ke-6 Tok Raja Wan Muhamad bin Tok Raja Wan Idris (1827-1919) bersama anaknya Tok Raja Wan Chik dan seorang cucunya di Bukit Betong 1885.

Keunikan Kuala Lipis, ada tanda KM 0, mengapa begitu, sayapun tidak tahu



Difahamkan keturunan sebelah ibu saya juga merupakan keturunan dari pengasas atau orang yang membuka kampung Kemahang tersebut. Jika di teliti nampaknya, keturunan ayah saya dan ibu saya adalah dari keturunan Melayu PAHANG JOHOR. (Melayu + Arab + Bugis)

Keturunan ayah saya adalah dari Raja Ahmad, http://rajaahmad.blogspot.com

yang bersusurgalur dari Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil IV Ri’ayat Shah bin Dato Bendahara ‘Abdul Majid (Tahun 1699 – 1721)

Manakala pengasas atau pembuka Kg Kemahang pula adalah Panglima Gantang Haji Syed Abd Rahman adalah keturunan Tun Ibrahim, anak kepada Sultan Abdul Jalil Syah II.

Sila lihat rentetan pemerintahan kesultanan Johor di bawah dan kaitan antara Sultan Abd Jalil II dan Sultan Abd Jalil IV

Raja-raja Kesultanan Johor-Riau (1528-1824)

1.1528-1564: Sultan Alauddin Riayat Syah II (Raja Ali/Raja Alauddin)

2.1564-1570: Sultan Muzaffar Syah II (Raja Muzafar/Radin Bahar)

3. 1570-1571: Sultan Abd. Jalil Syah I (Raja Abdul Jalil)

4. 1570/71-1597: Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Syah II (Raja Umar)

5. 1597-1615: Sultan Alauddin Riayat Syah III (Raja Mansur)

6. 1615-1623: Sultan Abdullah Ma'ayat Syah (Raja Mansur)

7. 1623-1677: Sultan Abdul Jalil Syah III (Raja Bujang)

8. 1677-1685: Sultan Ibrahim Syah (Raja Ibrahim/Putera Raja Bajau)

9. 1685-1699: Sultan Mahmud Syah II (Raja Mahmud)(Mahmud Mangkat Dijulang)

(Sultan Mahmud Mangkat Di Julang, meninggal tidak berwaris dan digantikan dengan keturunan Bendahara sebagai sultan iaitu Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil IV Ri’ayat Shah bin Dato Bendahara ‘Abdul Majid (Bendahara Padang Saujana)

10. 1699-1720: Sultan Abdul Jalil IV (Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Jalil)

11. 1718-1722: Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah (Raja Kecil/Yang DiPertuan Johor)

12. 1722-1760: Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah
(Raja Sulaiman/Yang DiPertuan Besar Johor-Riau)

13. 1760-1761: Sultan Abdul Jalil Muazzam Syah

14. 1761: Sultan Ahmad Riayat Syah (Raja Ahmad/Tok Linggi)

15. 1761-1812: Sultan Mahmud Syah III (Raja Mahmud)

16. 1812-1819: Sultan Abdul Rahman Muazzam Syah (Tengku Abdul Rahman)

SEJARAH KAMPUNG KEMAHANG

ASAL USUL KEMAHANG DAN KEMAHANG HILIR (PERLONG)

http://kemahang-jkkk.blogspot.com/

Kampung Kemahang dibuka pada tahun 1708 oleh Panglima Gantang Haji Syed Abd Rahman apabila hubungan di antara Pahang dan Johor kembali pulih setelah sekian lama retak selepas Sultan Abdul Jalil Syah II (1623-1677) menyerang Pahang pada tahun 1638 menyebabkan ramai yang terbunuh.

Hubungan Pahang dan Johor pulih semula selepas tahun 1641 apabila Sultan Abdul Jalil Syah II melantik sepupunya Raja Bajau (Putera Sultan Abdullah Maayat Syah) sebagai Yamtuan Muda di Pahang.

Panglima Gantang Haji Syed Abd Rahman adalah keturunan Tun Ibrahim, anak kepada Sultan Abdul Jalil Syah II.

Sebuah masjid lama di kampung Kemahang



Semasa adik kepada Tun Ibrahim iaitu Tun Abbas menjadi Bendahara yang memerintah di Pahang, Panglima Gantang telah mudik di sungai Pahang melalui sungai Jelai terus ke sungai Lipis, sungai Rengai, sungai Kemahang mudik sehingga sungai Asah. Oleh kerana sungai itu semakin ke hulu semakin sempit perahu tongkang beliau terkandas di muara sungai Asah. Setelah sekian lama rangka perahu tongkang masih lagi dapat dilihat di situ.

Nama Kemahang diberi bersempena dengan sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai kemahang (colocasia) atau biasanya dipanggil keladi. Sehingga kini masih terdapat pelbagai spesis keladi di Kemahang. Keladi jenis kemahang juga terdapat di kampung-kampung berhampiran seperti Budu, Tanjung Besar, Chat, dan Peruang. Keladi kemahang juga boleh dibeli di pekan sari Benta pada setiap ahad.

Di bawah ini adalah gambar KELADI KEMAHANG yang dimasak dengan TEMPOYAK dan dinamakan keladi kemahang masak tempoyak



Keunikan keladi jenis kemahang di Kemahang ialah ianya tidak berasa gatal apabila dimakan. Sekiranya dimakan dan terasa gatal maka sahlah bukan keladi yang ditetak (dipetik) dari Kampung Kemahang.


Mengikut lagenda, puak Panglima Gantang telah berperang dengan puak orang asli diketuai oleh Tok Batin Piah yang tinggal di Bukit Taching iaitu di kaki Bukit Raya. Pokok asam jawa yang ada sekarang adalah sempadan di antara dua puak. Orang asli telah menggunakan getah keladi untuk menuba air sungai Kemahang sehingga menjadi racun bagi sesiapa yang meminumnya. Air tersebut telah terminum oleh anak Panglima Gantang yang kacak dan tampan yang ketika itu sedang bercinta dengan anak perempuan Tok Batin yang tidak kurang cantik menawan. Laksana Romeo dan Juliet, demi cinta, anak perempuan sanggup minum air yang beracun itu. Nama Kemahang diberi setelah keladi kemahang yang beracun pada ketika itu telah ditawar oleh Panglima Gantang.

Mengikut kajian ekologi pula, Kemahang mempunyai sumber air bumi yang mengandungi kandungan mineral yang cukup tinggi dan tulen serta menghasilkan tumbuhan yang amat segar termasuk keladi sehingga tidak merasa gatal jika dimakan. Jalan Bukit Gantang pula diberi sempena nama Panglima Gantang

Gambar Kampung Kemahang secara keseluruhan



Kemahang Hilir pada asalnya dikenali sebagai Perlong. Mengikut kajian sejarah, Datuk Perlong adalah generasi ke empat Tun Ibrahim. Sungguhpun keturunan yang bergelar Tun, Tok Perlong terpaksa menggugurkan gelaran tersebut setelah beliau mengahwini orang kebanyakan.

Tok Perlong menyusur masuk menggunakan beberapa perahu jalak bersama pengikut-pengikutnya melalui sungai Lipis ke sungai Rengai sehingga ke sungai Kemahang di Kuala Kemahang tetapi tidak boleh mudik ke hulu lagi sepertimana kapal tongkang Datuk Panglima Gantang dahulu kerana sungai sudah semakin sempit. Pada masa itu ramai orang di situ tidak terhingga sehingga adanya pekan sari bertempat di sebuah bukit yang dinamakan Bukit Kedai yang ada sehingga hari ini.

Cara pengistiharan dahulu kala sebagai perasmian membuka sesebuah kampung adalah dengan menebang pokok yang paling besar yang terdapat di kawasan itu. Tok Perlong memilih sepohon mahang yang paling besar dan tinggi di tengah-tengah Kampung tersebut untuk ditebang sebagai upacara pengisytiharan. Beliau mendirikan rumah tongkah berhampiran pokok mahang itu bagi upacara penebangan dan pengisytiharan. Apabila batang mahang itu jatuh ke tanah maka diisytiharlah pembukaan Kampung tersebut Beliau sendiri menebang pokok Mahang yang sungguh besar sehingga seramai 400 orang boleh duduk di atasnya setelah ianya tumbang melintang menyeberangi sungai itu. Dari pokok mahang itulah dikatakan asal nama KAMPUNG KEMAHANG. Fakta ini mengandungi perselisihan kandungan dengan fakta sejarah Kemahang Hulu. Walaubagaimana pun, yang pasti, Kampung Perlong diambil bersempena dengan nama Tok Perlong.

http://kemahang-jkkk.blogspot.com/

Begitulah sedikit sebanyak kisah mengenai kampung saya yang sekarang ini sudah berusia 300 tahun (1708 - 2008). Kebetulan tahun kampung saya di buka bersamaan dengan tahun bermulanya kesultanan melayu Trengganu yang bermula oleh Sultan Zainal Abidin I yang merupakan anak kepada Bendahara Padang Saujana Tun Abd Majid.

Dan jika ke Kuala Lipis, jangan lupa cari keladi kemahang kerana keunikan rasanya dan keunikan ceritanya yang menjadi lagenda percintaan sejati. Di samping itu, di Bukit Raya Kg Kemahang, masih ada tinggalan tanaman pokok buah-buahn yang keluarga kami warisi turun temurun sejak ratusan tahun lalu, buah duriannya sangat enak malah lebih enak dari durian2 dari tempat lain, spesies durian ini dipanggil durian tembaga. Spesies durian ini hanya terdapat di Bukit Raya Kg Kemahang. Bukit Raya adalah suatu tempat yang indah kerana dibawahnya mengalir air sungai yang sungguh jernih dan segar airnya.

Di Kg Kemahang juga ada spesies rambutan yang sangat sedap rasanya, isinya sgt lekang dan rasanya teramat manis, ia dipanggil rambutan gula batu.

Keenakan bubur, pengat dan dodol dari Kuala Lipis juga mengundang keistimewaan yang tersendiri kerana menggunakan GULA KABUNG. Gula ini dihasilkan dari nira yang diambil dari pokok kabung yang tumbuh subur di dalam hutan Kuala Lipis.

Di bawah ini adalah gambar gula Kabung




Seronok juga sekali sekala mengimbau sejarah kampung dan keistimewaannya.

Ada yang rasa teringin untuk melawat kampung saya?

2 ulasan:

budak kampung online berkata...

Weh... chantik view dari atas pokok ko..

Warisan Perba berkata...

Salam PuteriNapisah. TUN IBRAHIM yang datang ke Ulu pahang, khasnya di LEMBAH LIPIS bukan adik Bendahara Pahang - tetapi beliau ialah seorang BANGSAWAN MELAKA yang meratau dari Melaka, Patani, Kelantan, Terengganu, dan akhirya ke Pahang.

Keturunan TUN IBRAHIM ini masih hidup dan mendiami sekitar TG. BESAR dan BUDU. Wallahualam.