9 Okt 2009

KENALILAH CIRI-CIRI PEJUANG KEBENARAN

Pejuang kebenaran itu sungguh unik, sungguh aneh dan sungguh pelik. Dia lain daripada yang lain. Sifat dan watak yang ada padanya tidak ada pada manusia lain. Tidak ada pada pejuang-pejuang lain. Tidak ada pada pejuang-pejuang ideologi atau isme. Lebih-lebih lagilah tidak ada pada pejuang-pejuang yang nyata membawa kebatilan dan kerosakan.

Orang lain berjuang hendak untung. Hendak habuan. Hendak tambah harta. Lagi berjuang lagi kaya. Pejuang kebenaran pula, habis wang ringgit dan harta bendanya dikorbankan untuk perjuangannya. Lagi dia berjuang, lagi dia jadi miskin. Apa sahaja yang dia ada habis dihalakan untuk perjuangannya.

Orang lain berjuang hendak nama. Hendak glamour. Hendak dipuji dan dipuja. Hendak disanjung sebagai wira bangsa. Hendak menempa nama dalam sejarah. Setidak-tidaknya hendak diiktiraf. Hendak gelaran itu dan ini. Bintang itu dan ini. Darjah itu dan ini. Tetapi pejuang kebenaran tidak peduli itu semua. Dia tidak takut dan tidak risau kalau dia dicaci atau dikeji. Dia tidak terjejas dengan pandangan dan anggapan
manusia. Dia tidak rasa terhina dengan cacian dan tidak pula rasa mulia dengan pujian manusia. Dia hanya ambil berat tentang apa yang Tuhan anggap terhadap dirinya.
Orang lain berjuang kerana kepentingan. Khususnya kepentingan yang bersifat material atau duniawi. Sama ada kepentingan untuk diri, keluarga, kelompok, parti, bangsa,
negara dan sebagainya.

Pejuang kebenaran pula berjuang untuk kepentingan Akhirat manusia sejagat. Untuk membawa kebenaran kepada seluruh umat manusia. Untuk menyelamatkan manusia. Supaya manusia boleh berbahagia di dunia dan berbahagia di Akhirat. Perjuangannya bersifat universal. Tidak dibatasi oleh keluarga, kumpulan, kelompok, parti, bangsa atau negara.

Orang lain berjuang kerana mahukan pengaruh. Bila sudah berpengaruh, boleh dapat jawatan dan kuasa. Dengan pengaruh dan kuasa yang dimiliki, macam-macam boleh jadi. Boleh beraja di mata dan boleh bersultan di hati. Pejuang kebenaran pula tidak menginginkan selain keampunan, kasih sayang dan keredhaan Tuhan. Baginya, ini mengatasi segala-galanya. Baginya, kalau dapat Tuhan, dapat semua. Kalau hilang Tuhan, hilang semua.

Bagi pejuang kebenaran, banyak perkara yang ’contradictory’ dalam dirinya. Waktu malam dia ibarat rahib yang tersungkur, sujud menyembah Tuhannya. Pada waktu siang, dia ibarat singa lapar yang gigih dan berani. Bagi pejuang kebenaran, dirinya tidak penting. Dia sanggup menjadi lilin yang membakar diri asalkan masyarakat dapat
cahaya. Dia sanggup menderita, disisih, dibuang, dihalau, dikurung hatta dirinya terkorban asalkan matlamat perjuangannya tercapai.

Pejuang kebenaran menghapuskan kegelapan dengan membawa cahaya. Dia membasmi kekufuran dengan membawa iman. Dia mengubah kejahatan dengan membawa akhlak. Digantikan rasa putus asa dengan rasa bergantung harap dengan
Tuhan.


Walaupun sifatnya lemah lembut, dia tegas dalam perjuangan. Walaupun dia banyak menyerah pada Tuhan, dia tahan diuji. Kalau ditimpa berbagai ujian, bertambah keyakinan nya, bertambah optimisnya dan bertambah sangka baiknya dengan Tuhan. Jiwanya kukuh dan kental.

Apa sahaja yang diperjuangkannya, ditegakkan pada dirinya terlebih dahulu. Kita boleh buat apa yang dia buat. Kita boleh amal apa yang dia amal. Dia boleh jadi contoh. Tidak
macam pejuang lain. Dia suruh kita buat apa yang dia suruh.

Jangan buat apa yang dia buat. Sebab dia pun tahu yang dia jahat. Pejuang kebenaran boleh dijadikan teladan. Pejuang lain perlu dijadikan sempadan.

Pejuang lain menyelesai masalah dengan akal, walaupun masalah itu bersabit dengan hati dan jiwa manusia. Oleh itu masalah yang kecil jadi besar, masalah sedikit jadi banyak, masalah mudah jadi rumit, masalah setempat tersebar ke tempat lain. Pejuang kebenaran merujuk segala-galanya kepada Tuhan. Dibawa manusia kepada Tuhan. Dibawa manusia kepada Akhirat. Dipupuk rasa cinta dan kasih sayang sesama manusia. Bila Tuhan berada di hati, bila Akhirat menjadi matlamat hidup dan bila terasa dikasihi dan mengasihi, maka manusia akan menjadi manusia semula. Hidup fitrah mereka. Subur keinsanan mereka. Mudah bagi mereka menjadi baik dan mengabdi diri kepada Tuhan.

Pejuang kebenaran, kalau dikurung atau dipenjarakan, dia berkhalwat. Kalau dihalau, dia bermusafir. Kalau dibuang, dia beruzlah. Apa pun terjadi, hatinya tetap dan sentiasa dengan Tuhannya. Mudah bagi mereka menjadi baik dan mengabdi diri kepada Tuhan.

Perjuangannya ibarat air. Mengalir dan terus mengalir. Kalau diempang, dia akan menyusup ke bawah. Kalau disekat di bawah, dia akan mengalir ke sisi. Kalau disekat di sisi, dia akan bertakung. Sampai masa, dia akan melimpah dan mengalir juga ke atas. Seperti air, ia tenang dan tidak mendesak.

Tetapi ia tetap akan mengalir. Ia mengikut dan menyesuaikan diri dengan bentuk bumi. Kehadirannya natural dan semula jadi. Perjuangannya dirasakan seolah-olah ia sebahagian dari kehidupan. Seperti air juga, perjuangannya sangat diperlukan. Sangat
memberi manfaat kepada manusia. Sangat menyejuk dan menyegarkan. Sangat menenang dan mententeramkan hati-hati manusia.

Tidak seperti perjuangan lain yang ibarat api yang mengganas dan membakar. Yang marak dan mencemaskan manusia. Yang memusnahkan segala-galanya. Yang
menyebabkan huru-hara. Akhirnya yang tinggal hanya abu, arang dan bara. Manusia terseksa, menderita, sengsara.

1 ulasan:

C L J berkata...

Jemput ziarah dan membaca "Dalam Sepi Sesunyi Ini" di laman Penyair dari Gunung.