5 Mac 2008

SYARIAT SUMBER KESEJAHTERAAN



Kerap kita dengar pemimpin dan juga para ulamak sendiri, berkata bahawa umat Islam tidak boleh sewenang-wenangnya membangun dan mempraktik Islam di dalam negara majmuk, yang penduduknya terdiri daripada berbagai-bagai kaum, bangsa dan agama. Ini untuk mengelakkan kaum dan bangsa-bangsa lain itu daripada merasa tersinggung atau tertekan.


Mereka berkata syariat Islam yang diamalkan secara berleluasa akan menakutkan mereka ini dan boleh mengancam keselamatan negara dan keharmonian di antara kaum. Mereka berkata juga, dengan semangat muhibbah dan demi menjaga dan mengekalkan keharmonian antara kaum, Islam mestilah dipraktikkan secara sederhana dan bertolak ansur. Orang Islam tidak boleh fanatik dalam mengamalkan Islam. Memelihara keharmonian itu lebih utama di dalam Islam. Tidak pula mereka jelaskan bagaimana bangsa-bangsa lain boleh tersinggung dan tertekan kalau syariat Islam itu diamalkan oleh umat Islam.


Syariat yang mana satu yang boleh menyinggung itu pun tidak disebut. Sembahyang orang Islamkah? Pergaulan orang Islamkah? Ukhuwwah orang Islamkah? Pakaian orang Islamkah? Akhlak orang Islamkah? Ataupun apa? Tidak juga mereka jelaskan apa sebenarnya yang mereka maksudkan dengan mempraktik Islam secara sederhana dan bertolak ansur.


Tidak juga mereka terangkan definisi fanatik dalam mengamalkan Islam. Apakah sederhana itu bermaksud melakukan yang wajib sahaja dan meninggalkan yang sunat-sunat. Atau meninggalkan yang haram sahaja dan terus mengamalkan yang makruh. Atau adakah sederhana itu bermaksud memilih-milih dalam mengamalkan syariat. Amalkan separuh dan tinggalkan separuh. Kalau begitu separuh yang mana yang patut diamalkan dan separuh yang mana yang patut ditinggalkan. Adakah, bertolak-ansur itu kita tanya dahulu kaum dan bangsa lain apa-apa syariat yang mereka suka kita amal dan apa-apa syariat yang mereka tidak suka kita amalkan.
Jangan fanatik dalam mengamalkan syariat itu apa pula maksudnya. Apakah ia bermaksud kita perlu mengamalkan syariat dengan sambil lewa sahaja dan tidak boleh secara serius. Atau apakah ia bermaksud kita mengamalkan syariat ikut musim.


Semua ini sungguh membingungkan. Yang tambah menghairankan, tidak ada timbul apa-apa bantahan atau rasa tidak puas hati atau memorandum atau petisyen dari kaum dan bangsa lain tentang pengamalan syariat Islam ini. Tidak ada berlaku apa-apa peristiwa atau insiden yang tidak diingini di kalangan masyarakat yang tercetus disebabkan orang Islam mengamalkan syariat Islam.


Selalunya, para pemimpin dan ulamak kerajaan akan menimbulkan isu hanya apabila berlaku sesuatu insiden. Tetapi pengamalan syariat ini dijadikan isu walaupun ia tidak menimbulkan apa-apa masalah. Kenapa hal yang bukan masalah dijadikan isu? Masalah seperti bohjan, bohsia, salahguna dadah, bersekedudukan tanpa nikah, buang anak, bunuh anak, sumbang mahram dan macam-macam lagi masih belum selesai. Benda-benda inilah sepatutnya dijadikan isu.

Apa yang kita lihat, di mana sahaja berlaku krisis dan pergaduhan antara orang Islam dan orang bukan Islam, terutamanya di negara lain, orang Islamnya jelas tidak mengamalkan syariat. Syariat mereka longgar. Disebabkan itu, mereka menjadi tidak berdisiplin, jahat dan liar. Mereka tidak tahu berkasih-sayang, bertolak-ansur dan berlapang dada.


Tidak hairanlah mengapa pergaduhan, krisis dan pembunuhan mudah berlaku. Sebenarnya, yang tidak sama di antara orang Islam dan orang bukan Islam itu hanyalah tentang akidah sahaja. Di dalam Islam, tidak ada paksaan di dalam soal akidah. Islam tidak ada memaksa sesiapapun yang bukan Islam untuk memeluk agama Islam. Soal akidah soal dalaman,. ia tidak menyentuh orang lain.

Selain daripada itu, tuntutan syariat Islam samada syariat lahir mahupun syariat batin, merupakan keperluan bersama tidak kira bagi orang Islam mahupun yang bukan Islam. Ini kerana syariat Islam itu menyentuh soal kehidupan dan sesuai dengan fitrah manusia. Malahan ia memenuhi tuntutan fitrah semulajadi manusia tidak kira apa keturunan dan agamanya.


Oleh itu, kalau umat Islam mengamalkan syariat, semua manusia pasti akan suka dan pasti akan senang hati kecuali kalau fitrah mereka sudah rosak. Orang yang sudah rosak fitrahnya tidak boleh diambil kira sebab penilaiannya adalah setaraf dengan haiwan. Dia suka apa yang orang benci dan dia benci apa yang orang suka. Kebaikan yang timbul hasil daripada mengamalkan syariat pula akan dirasa bersama oleh semua manusia dalam masyarakat samada yang Islam mahupun yang bukan Islam.


Dalam syariat batin atau amalan hati (tasauf), Islam melagangkan segala sifat-sifat mahmudah (terpuji). Islam mahukan umatnya menjadi adil, pemurah, pemaaf, bertoleransi, bertolak-ansur, berlapang dada, memberi keutamaan kepada orang lain, bertolong-bantu, belas kasihan, berkasih-sayang, sabar dan berbagai-bagai lagi. Kalau syariat batin ini diamalkan, maka umat Islam akan jadi baik dan berdisiplin. Masyarakat akan dipenuhi dengan keamanan, ketenangan, ketenteraman dan keharmonian. Akan wujud kasih sayang dan bela-membela dalam masyarakat. Masyarakat akan rasa bahagia.


Sebaliknya, kalau syariat batin ini diabaikan dan hati umat Islam tidak dididik, mereka akan jadi zalim, bakhil, pemarah, tamak, tidak bertolak-ansur dan bertoleransi, suka membenci, mementingkan diri dan sebagainya. Hati mereka akan dipenuhi berbagai-bagai sifat mazmumah yang keji. Hasilnya umat Islam akan jadi liar dan jahat. Justeru itu masyarakat akan jadi pincang, huru-hara dan porak-peranda. Akan berlaku jenayah atau pergaduhan di dalam masyarakat. Manusia akan rasa cemas dan takut dan kebahagiaan akan hilang.


Syariat lahir pula mengatur hidup umat Islam. Mereka akan bersembahyang, berpuasa, berzakat dan naik haji. Mereka akan taat dengan suruhan Tuhan. Mana ada manusia dari apa bangsa dan agama sekalipun, yang tidak suka orang yang bersembahyang, yang tidak suka orang yang berpuasa, yang mengeluarkan zakat dan yang naik haji. Ini semua sesuai dengan fitrah manusia.

Orang-orang bukan Islam lebih mudah hormat, percaya dan lebih suka kepada orang Islam yang sebegini daripada orang Islam yang cuai dengan sembahyang, yang tidak mahu berpuasa, tidak mahu naik haji dan tidak mahu berzakat. Orang Islam disuruh berpakaian menutup aurat. Pakaian menutup aurat ini samada bagi kaum lelaki atau wanita, menaikkan imej, kehormatan dan wibawa umat Islam. Mereka akan lebih dihormati, lebih dipercayai dan disanjung. Pakaian sebegini akan menunjukkan bahawa umat Islam itu berdisiplin dan mempunyai self-respect. Agama lain akan lebih suka berinteraksi dengan umat Islam seperti ini. Mereka akan rasa lebih selamat. Paderi-paderi dan pendita-pendita Kristian lelaki dan wanita (nun) pun menutup aurat dengan jubah dan bertudung kepala.


Tidak ada bukti dalam sejarah hidup manusia di mana manusia dimusuhi dan ditakuti semata-mata kerana pakaiannya menutup aurat. Malahan mereka akan lebih dihormati. Semua bangsa yang bertamadun tinggi mempunyai dress-code. Mereka menutup aurat atau setidak-tidaknya memakai pakaian yang sopan. Pakaian mendedah aurat hanya untuk orang-orang merempat. Orang-orang jalanan (vagrants) dan hamba-hamba abdi.



Kalaupun ada tekanan-tekanan terhadap pakaian menutup aurat khususnya tudung kepala di sekolah-sekolah seperti di Perancis, Singapura dan sebagainya, ia bukan kerana tudung itu sendiri. Ia kerana dasar sekolah atau kerajaan mahukan keseragaman untuk memupuk perpaduan dan kesatuan. Kalau pakaian bertudung itu boleh memupuk perpaduan nescaya semua murid akan diarahkan memakai tudung. Di sini permasalahannya bukan tudung tetapi perpaduan. Mereka tidak pernah mengatakan bahawa pakaian tudung kepala itu mudarat, tidak baik atau berbahaya.


Kamal Attarturk dan kerajaan Turki juga melarang pakaian menutup aurat. Malahan mereka melarang juga pakaian yang melambangkan Islam. Di Turki, bukan orang di luar Islam yang menentang, tetapi pemimpin , parlimen dan kerajaan Islamnya sendiri. Ini bagaimana pula? Kita ingin mendengar komen para pemimpin dan ulama kita tentang perkara ini.


Kesemua syariat Islam itu, samada yang lahir mahupun yang batin, dapat membentuk akhlak dan peribadi di kalangan umat Islam. Akhlak itu ibarat bunga. Semua manusia, tidak kira apa bangsa dan agama sukakan bunga. Akhlak itu bersifat universal. Ia disukai oleh semua manusia. Tidak ada hujah bahawa syariat Islam tidak boleh diamalkan di dalam masyarakat yang majmuk.

Ini kerana syariat Islam itu kalau diamalkan akan membuahkan akhlak yang mulia. Semua manusia tidak kira bangsa atau agama sukakannya. Tambahan pada itu, syariat Islam mengajar kita supaya menjaga dan membela jiran tetangga walaupun mereka bukan Islam. Ada hadis yang bermaksud, bahawa kalau seseorang itu tidur dalam keadaan dia kenyang sedangkan jirannya walaupun bukan Islam, sedang dalam keadaan lapar, kalau mati dia malam itu nescaya dia tidak akan masuk syurga.


Syariat mengajar kita lagi supaya berbuat baik dengan jiran sekalipun dia kafir dan berbuat jahat kepada kita. Rasulullah s.a.w. pernah diganggu oleh jirannya seorang perempuan Yahudi tua. Setiap hari jalan yang Rasulullah tempuh, dibubuhnya najis dan duri. Setiap hari pula Rasulullah membuang najis dan duri tersebut. Satu hari tidak terdapat najis dan duri seperti kebiasaannya di jalan itu. Rasulullah merasa hairan dan khuatir akan hal yang menimpa perempuan Yahudi itu. Beliau pergi menziarahi perempuan itu dan didapatinya perempuan itu sedang sakit. Rasulullah mengubat dan menjaganya hingga terkesan akhlak baginda yang mulia itu di hati perempuan Yahudi tersebut. Akhirnya perempuan itu pun masuk Islam.



Syariat Islam mengajar kita lagi, jika ada seseorang, walaupun dia bukan Islam, yang miskin dan papa, maka jiran sebelah rumahnya wajib membelanya. Kalau dia tidak mampu maka sesiapa jiran empat puluh rumah di sekeliling wajib membelanya. Kalau tidak ada juga yang mampu, maka sesiapa yang mampu di dalam kampung itu wajib membelanya. Kalau tidak ada juga yang mampu, maka sesiapa yang mampu di kampung yang bersebelahan wajib membelanya. Tanggungjawab ini berterusan ke peringkat daerah, mukim dan negeri.


Syariat juga mengajar kita berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita. Inikan pula kepada orang yang tidak berbuat apa-apa kepada kita. Tambahan pula kalau orang itu berbuat baik kepada kita, lebih-lebih lagilah kita perlu berbuat baik dan membalas jasanya. Inilah syariat Islam. Sungguh cantik dan indah. Kalau inilah syariat Islam yang Tuhan mahu kita tegakkan, kenapa dilarang. Kenapa dikatakan akan menyinggung dan menekan orang yang bukan Islam.


Kenapa dikatakan akan menakutkan orang bukan Islam, akan menggugat keharmonian dan akan mengancam keselamatan. Krisis, perbalahan, pergaduhan dan huru-hara yang berlaku sekarang ini ialah kerana syariat Islam ini tidak diamalkan.

Justeru itu , manusia berebut-rebut hendakkan dunia dan hidup nafsi-nafsi. Jiran bukan sahaja tidak dipedulikan bahkan disakiti dan disusahkan pula. Bukan sahaja jiran yang bukan Islam, dengan jiran yang sesama Islam pun mereka berkelahi.


Tanggungjawab umat Islam kepada kafir zimmi ialah menjaga, membela dan memenuhi keperluan mereka. Rasulullah s.a.w. ada bersabda lebih kurang maksudnya: Sesiapa yang menyakiti dan menyusahkan kafir zimmi, maka mereka akan dapati akulah pembela mereka. Tuhan tahu akan keperluan manusia. Tuhan tahu apa yang manusia benci dan apa yang manusia suka. Tuhan tahu apa yang baik untuk manusia. Tuhan tahu manusia inginkan kedamaian, ketenangan, keamanan dan keharmonian. Tuhan tahu manusia sukakan kebaikan dan sifat-sifat yang luhur. Tuhan tahu manusia inginkan kasih sayang.


Justeru itu, Tuhan longgokkan semua itu di dalam syariat Islam. Siapa yang mahu mengamalkannya, maka dapatlah dia. Siapa yang meninggalkannya maka terlepaslah dia. Menghalang dan melarang orang yang mahu mengamalkan syariat Islam sama seperti menghalang dan melarang orang mendapat kebaikan dan kebahagiaan. Bukankah kalau semua umat Islam itu baik dan berakhlak, orang bukan Islam juga akan dapat merasa kebaikannya.


Sebaliknya, kalau semua umat Islam itu jahat, orang bukan Islam akan turut merasa tempiasnya. Lebih bahaya lagi, kalau orang bukan Islam menjadi sasaran orang Islam yang jahat itu. Kalau umat Islam dilarang mengamalkan syariat Islam sepenuhnya, maka tidak akan wujud satu masyarakat Islam yang benar-benar Islam, lahir dan batinnya. Oleh itu, orang bukan Islam tidak akan berpeluang melihat True Islam in practice. Mereka tidak akan dapat melihat kehidupan sebenar umat Islam. Mereka tidak akan dapat melihat kecantikan, keindahan dan kemurnian masyarakat Islam. Mereka tidak akan dapat menilai Islam sebagai ad-deen atau way of life . Islam tidak akan ada contoh atau model. Oleh itu, sampai bila pun manusia tidak akan tertarik dengan Islam.



Dalam sejarah, tidak ramai orang yang memeluk Islam kerana ilmunya. Tidak juga ramai yang memeluk Islam kerana nilai-nilai murninya. Tetapi yang ramai memeluk Islam ialah apabila mereka melihat cara hidup dan akhlak umat Islam yang cantik dan indah. Agama lain selain Islam tidak ada cara hidup. Yang ada hanya belief atau kepercayaan. Peganut agama lain sebenarnya hidup tanpa sistem dan panduan. Tidak ada perundangan. Mereka hanya menumpang dengan apa-apa sistem yang ada atau pun mereka mengikut kebiasaan setempat. Agama lain tidak mampu menjadi contoh. Samada pada peribadinya, masyarakatnya atau sistem hidupnya. Mereka sebenarnya memerlukan contoh yang baik.


Kalau syariat Islam diamalkan secara syumul dan kita dapat ketengahkan satu model masyarakat Islam yang tulin, maka ia boleh menjadi contoh kepada masyarakat yang bukan Islam. Mereka boleh tumpang ikut. Bangsa yang tidak ada sistem mudah mengikut bangsa yang ada sistem. Mereka boleh menganut Islam sekiranya mereka suka dan tertarik dengan Islam. Kalau tidak, mereka boleh kekal dengan agama mereka tetapi mengamalkan sistem hidup dan perundangan Islam yang mampu mengatur dan menyusun masyarakat mereka.


Kita hendak bertanya semula. Apakah sebenar-benarnya sebab kenapa syariat Islam tidak boleh diamalkan secara syumul dalam negara majmuk yang rakyatnya berbilang bangsa dan agama. Jawapannya harus tepat. Ini kerana di dalam negara yang kesemua rakyatnya Islam pun, syariat Islam masih tidak berjalan. Apakah pula penghalangnya?

2 ulasan:

syahir berkata...

Pada hemat hamba, kenapa sistem atau aturan Allah ini gagal atau tidak di amalkan langsung walaupun di sebuah negara yang majoritinya umat Islam sendiri adalah kerana mereka memang tidak mahu kepada aturan tersebut kerana rosaknya hati2 mereka itu. Pada hemat hamba juga perkara ini jika dilihat dari skop yang lebih spesifik iaitu Malaysia, kita akan mendapati bahawa 'roots' ataupun dalaman setiap manusia Malaysia telah ditanam sejak kecil lagi dengan sistem pendidikan yang berteraskan kepada aturan / sistem Britsih.
Maka apabila rusaknya akar / roots / hati itu tadi dengan acuan dari pemikiran manusia yang jahil, akan terbit hati2 yang akan menolak sistem daripada Allah dan Rasul. Rosaknya akar akan membawa kepada pertumbuhan batang (negara) yang kurang sihat, tumbuh tetap akan tumbuh tetapi tanpa sokongan akar (pendidikan syumul) yang jitu maka lama kelamaan pokok tidak boleh menampung beratnya dan akan tumbang jua kerana kesilapan memberi baja (ilmu) yang sesuai kepada akar (hati).
Pokok yang kurang sihat juga akan menerbitkan buah2 an (umat) yang tidak berkualiti, mudah busuk, mudah gugur, mudah kena penyakit dan menghasilkan biji benih yang tidak berkualiti. Jadi persoalan yang membelengu rakyat/umat Al Malazie ini dengan masalah2 sosial ini adalah berpunca daripada kesilapan pihak pentadbir (pemerintah) itu sendiri.
Tetapi bagaimana pula sekiranya pihak pemerintah tidak mahu menukar sistemnya? Kita konolah pakat2 pi tompek lain, pi hijrah...tapi kek mano put3?

Tanpa Nama berkata...

Allah maha berkuasa atas segala sesuatu...

pergiliran kuasa adalah dlm perancangan Allah..

InsyaAllah.