Contoh 3: Rasa Takut
Rasa takut yang menguasai hati akan bertindak dalam berbagai bentuk
mengikut suasana yang dihadapi. Contohnya, takut jin,takut harimau,
takut ular, takut penjahat, takut miskin, takut orang kata, takut
menegakkan kebenaran, takut maksiat dan takutkan Allah.
Di antara rasa-rasa takut yang disenaraikan di atas, ada rasa takut yang
dilarang syariat dan ada pula rasa takut yang disuruh syariat. Perlu
diketahui bahawa kedua-dua jenis takut ini tidak mungkin mengisi hati
manusia dalam satu masa.
Kalau rasa takut yang dilarang syariat ada
dalam hati, maka rasa takut yang disuruh syariat, tidak akan bertapak di
hati. Sebaliknya kalau takut yang disuruh syariat mengisi ruangan hati,
maka hilanglah pula rasa takut yang dilarang syariat.
Tujuan melawan hawa nafsu yang dianjurkan syariat adalah untuk membuang
segala rasa takut yang dilarang, untuk diganti dengan rasa takut yang
disuruh. Kemuncak rasa takut yang dikehendaki syariat ialah rasa
takutkan Allah, dengan erti takutkan segala azab yang dijanjikan oleh
Allah di dunia apalagi di Akhirat.
Untuk itu kita mesti melawan nafsu kita yang takut pada hantu atau momok
misalnya. Setiap kali kita terserempak dengan suasana itu, jangan kita
mengalah dengan nafsu. Kuatkan hati dan tanamkan keyakinan bahawa Allah
sahaja yang layak kita takuti. Yang lain-lain hanyalah makhluk seperti
kita dan tidak ada apa-apa kuasa.
Untuk lebih berkesan, cuba di waktu
tengah malam, kita pergi sendirian ke tanah perkuburan atau ke
tempat-tempat yang menyeramkan. Masya-Allah! Tentulah takut. Takut
itulah yang mesti kita lawan. Lawan dengan iman dan ilmu. Yakin bahawa
tidak ada suatu kuasa pun yang boleh memberi kesan melainkan kuasa dan
keizinan Allah. Waktu itu, isikan hati dengan zikrullah. Sedar dan
yakinlah bahawa Allah sentiasa bersama dan Allah sangat hampir dengan
kita. Allah Maha Melihat dan sedang melihat apa yang kita lakukan. Allah
Maha Mendengar dan sedang mendengar apa yang kita katakan. Allah Maha
Mengetahui segala masalah yang sedang melanda hati kita. Allah penentu,
Allah pemutus, Allah penolong, Allah pembantu, Allah penyelamat dan
Allah Maha Kasihan Belas pada hamba-hamba-Nya yang mahu mengikut
jalan-Nya.
Maksudnya: “Mereka yang bermuhajadah (berjihad untuk mencari keredhaan
Allah) pada jalan Kami, akan Kami tunjukkan jalan-jalan Kami.
Sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.” (Al Ankabut: 69)
Lakukan latihan ini dengan tawakal dan doa yang sungguh-sungguh, agar
Allah merestui dan memudahkan perjalanan kita. Buangkan rasa takut itu
dan gantikan dengan ingatan serta keyakinan hanya pada-Nya.
Bagi orang yang ingin menegakkan kebenaran, tetapi takut dikata orang,
takut dihina, takut dibuang kerja, takut ditangkap, takut dijel, takut
dibenci dan diketepikan, juga wajib bermuhajadah.
Lawanlah rasa takut yang begitu dengan bertindak melakukan amalan
tersebut. Misalnya kita takut hendak menghantar anak ke sekolah yang
terjamin ada pendidikan Islam, dengan alasan takut tidak dapat kerja,
takut gelaplah masa depannya di samping takutkan sikap hidup yang konon
ketinggalan zaman.
Cara melawannya ialah hantarkan sahaja anak ke sekolah yang ditakuti
itu. Kuatkan hati, pejamkan mata, pekakkan telinga dan lepaskan si anak
pergi. Apa sahaja yang dibisikkan nafsu dan syaitan itu kita lawan.
Jangan dilayan. Tawakal dan berdoa kepada Allah semoga usaha itu
direstui dan semoga Allah bukakan jalan-jalan kemenangan kepada kita di
dunia dan Akhirat.
Bagi orang-orang yang tidak melawan nafsu, imannya tidak mungkin dapat
bertambah. Malah makin berkurang. Sama ada mereka sedar atau tidak,
mereka telah diperhambakan oleh nafsu, menempah kecelakaan dan kutukan
Allah di dunia dan Akhirat.
Sebenarnya apa yang ditakuti itu, baik jin, mahupun kemiskinan atau
penghinaan dari orang lain, pada hakikatnya tidak begitu. Adakah selama
ini jin yang mencekik dan membunuh orang? Benarkah orang yang
berpendidikan Islam itu miskin dan hina? Benarkah orang yang
berpendidikan sekular terjamin hidup dunianya? Cubalah renung dan
fikirkan hakikat ini. Kemudian sesuaikan pula dengan firman Allah:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu tolong Allah,
Allah akan menolong kamu dan Dia akan menetapkan kedudukanmu.”
(Muhammad: 7)
Demi Allah yang tidak akan mungkir janji, yakinlah bahawa setiap usaha
yang bertujuan mencari keredhaan-Nya pasti mendapat jaminan dan
dimuliakan. Seperkara yang harus kita sedar bahawa Allah yang Maha
Pemurah dan Maha Pengasih itu, sentiasa bersedia untuk menolong sesiapa
sahaja dari hambahamba-Nya. Kerana telah ditetapkan-Nya bahawa untuk
mendidik hati, menambah iman itu perlu kita banyakkan latihan melawan
hawa nafsu, maka Allah sendiri selalu memberi peluang pada kita untuk
berbuat demikian.
Mehnah atau ujian dari Allah yang selalu menimpa kita seperti miskin,
sakit, kematian, kecacatan anggota, kekurangan rupa paras, lemah dan
bodoh, kata nista, hasad dengki orang, bencana alam dan lain-lain kesusahan serta penderitaan itu adalah peluang yang Allah berikan untuk kita bermujahadah.
Lagi tinggi taraf iman seseorang, lagi banyaklah mehnah yang Allah datangkan. Demikian maksud sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Bala yang paling berat akan ditimpa pada nabi-nabi, kemudian
orang yang paling mulia (selepas nabi), kemudian yang paling mulia
selepas itu. Seseorang itu diuji mengikut pegangan agamanya. Jika kuat
agamanya beratlah ujiannya. Jika lemah agamanya, maka diuji mengikut
agamanya.” (Riwayat At Tirmizi)
Apabila jiwa dihimpit dengan kesusahan-kesusahan, ertinya nafsu
tercabar. Nafsu bakhil, sombong, penakut dan lain-lain mazmumah itu
menjadi sakit dan terseksa setiap kali ditimpa ujian. Sesiapa sahaja
sama ada orang Islam atau bukan Islam, asalkan dia hamba Allah, pasti
merasakan hal ini. Bagi orang-orang yang beriman, dia sedar maksud Allah
berbuat begitu.
Setiap kali ditimpa ujian dia cepat-cepat memberitahu hatinya bahawa
kalau ia sabar dan redha dengan ujian itu ia pasti akan mendapat satu
dari dua yakni:
1. Penghapusan dosa atau
2. Kasih sayang Allah dan pangkat darjat di Syurga
Apabila diyakini sungguh-sungguh, bagi kita yang bertaraf iman ilmu
tentu akan sanggup bermujahadah, memaksa nafsu untuk tenang dan merasa
tidak ada apa-apa dengan penderitaan itu. Kalau kita miskin, maka
pujuklah hati untuk tidak sedih dan susah hati dengan kemiskinan.
Kajilah kebaikan yang diperolehi oleh orang miskin, di dunia mahupun di
Akhirat. Misalnya di dunia kita beruntung, tidak payah mengurus, tidak
payah bertanggungjawab membantu orang lain. Di Akhirat pula hisab akan
dikurangkan dan dipercepatkan masuk ke Syurga.
Kemudian ajaklah hati untuk menerima pemberian Allah itu dengan redha,
tanpa kesal dan buruk sangka dengan Allah. Yakinlah bahawa Allah cukup
tahu kenapa kita perlu miskin. Kita pula sangat lemah untuk memahami
hakikatnya apalagi untuk menangkisnya.
Ibarat baju kita yang mana ia
tidak pernah tahu kenapa kadang-kadang dibasuh, kadang-kadang digosok,
kadang-kadang dijahit, kadang-kadang dipakai dan kadang-kadang dibuang.
Maka begitulah kita yang jahil tentang rahsia diri dan hati sendiri.
Amat munasabahlah untuk kita redha dan sabar dengan ketentuan Allah
kepada kita.
Memang di peringkat mujahadah, hati masih sakit dan tidak puas hati.
Hanya jagalah supaya kita tidak gelisah, tidak mengungkit-ungkit, tidak
mengadu-ngadu serta tidak buruk sangka dengan Allah. Kalau sifat ini
dapat dikekalkan, insya-Allah peluang untuk meningkatkan iman adalah
besar. Sebaliknya kalau setiap ujian dihadapi dengan keluh-kesah dan
gelisah, kebimbangan, tidak sabar dan buruk sangka dengan Allah,
bersedialah untuk menanggung kegelisahan jiwa yang perit dan penderitaan
di Akhirat yang amat sangat.
Untuk pengetahuan kita, perlu dinyatakan bahawa bagi orang-orang
muqarrobin dan nabi-nabi, iman yang tinggi menjadikan mereka lebih
senang hidup dalam kesusahan daripada kesenangan. Mereka lebih inginkan
kekurangan daripada kecukupan. Sebagai bukti cuba kita lihat doa
Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Wahai Tuhan, hidupkan aku di dalam kemiskinan, matikan aku
dalam kemiskinan dan kumpulkan aku dalam Syurga bersama orang-orang
miskin.” (Riwayat At Tirmizi)
Sayidina Ali dalam sejarahnya pernah ketika dia hanya ada sebiji kurma
untuk berbuka puasa, tiba-tiba datang peminta sedekah meminta makanan,
terus diberikannya kurma yang sebiji itu.
Seorang perempuan di zaman Rasulullah SAW, yang punya tiga anak lelaki,
sanggup melepaskan kesemua anaknya ke medan perang. Dia senyum ketika
anak sulung dan anak keduanya mati syahid di medan perang tetapi
menangis bila diberitahu anak bongsunya juga syahid.
Bila ditanya kenapa
dahulu senyum, sekarang menangis? Beliau menjawab: “Aku sedih kerana
tiada lagi anak yang boleh aku korbankan untuk jihad fisabilillah.”
Nafsu kita juga selalu membuatkan kita kelu dan takut untuk bercakap
bila berhadapan dengan orang-orang besar atau raja. Sedangkan bercakap
benar di hadapan raja yang zalim itu adalah dituntut. Rasulullah SAW
bersabda:
Maksudnya: “Jihad yang paling utama itu berkata benar kepada penguasa yang zalim.” (Riwayat Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)
Oleh itu kita mesti berusaha dapatkan sifat berani. Untuk melakukannya,
mesti biasakan bercakap kebenaran bila semajlis dengan orang-orang
besar. Memanglah di permulaannya kita akan rasa gementar tetapi lama
kelamaan rasa takut pada makhluk itu pasti hilang. Yang timbul hanya
rasa takut pada Allah sahaja.
Tanpa latihan tidak mungkin kita boleh buat peningkatan.Sedangkan
latihan itu memang sulit. Kerana kita dihalang oleh nafsu. Rasa takut
dan rendah diri itu sudah lama mendarah mendaging. Jadi dengan jiwa
tauhid yang kuat dan ampuh bertunjang di hati saja, kita mampu menolak
nafsu-nafsu takut dan hina diri itu. Terutama bila berhadapan dengan
orang besar atau orang yang berkuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan