25 Feb 2015

CARA MEMIMPIN HATI (1)

"Bukan mudah hendak kontrol hati yang ada perasaan. Perasaannya pula sering bertukar ganti .Perasaannya yang bertukar ganti itu hendak ditadbir atau hendak didisiplin sungguh sulit sekali. Sedangkan hati adalah raja di dalam diri .Baik hati, baiklah seluruh rakyat di dalam diri (anggota lahir)"
Hati mesti dipimpin agar ia menjadi bersih atau baik. Kerana membersihkan hati adalah wajib. Bila ia bersih, akan membersihkan seluruh kehidupan lahirnya.
Di antara cara-cara memimpin hati ialah:

Pertama :
Ada ilmu tentang hati atau roh.
Tujuannya untuk mengenal sifat-sifat hati yang positif dan yang negatif. Kalau tidak ada ilmu tentangnya, sifat-sifat mazmumah tidak akan dapat dikesan. Apalagi untuk ditumpaskan. Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudahnya tidak akan dapat dikesan untuk disuburkan.

Kedua :
 Perlu latihan-latihan praktikal melalui:
a. Mujahadatunnafsi
b. Istiqamah
c. Tafakur
d. Bergaul dengan orang yang baik-baik
e. Pimpinan mursyid

A. MUJAHADATUNNAFSI
Mujahadatun nafsi itu, di antara caranya ialah dengan menempuh tiga peringkat iaitu:
1. Takhalli - mengosongkan, membuang atau menyucikan daripada sifat-sifat yang keji.
2. Tahalli - mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji.
3. Tajalli - terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau sentiasa rasa bertuhan.

Pada ketiga-tiga peringkat ini hendaklah dilakukan dengan mengadakan latihan yang dinamakan riadatunnafsi. Yakni latihan melawan atau memerangi semua kehendak-kehendak hati yang jahat, yang didorong oleh hawa nafsu.

Cara memeranginya ialah melalui latihan-latihan menolak kemahuan jahat yang ditimbulkan oleh nafsu. Langkah-langkahnya adalah seperti berikut:

1. TAKHALLI
Di peringkat takhalli, kita mesti melawan dan membuang dengan memaksa terus-menerus semua kehendak-kehendak nafsu yang rendah (jahat) dan dilarang oleh Allah. Selagi kita tidak memaksa diri untuk membenci, memusuhi dan membuangnya jauh-jauh secara terus-menerus dari diri kita, selagi itulah nafsu jahat akan sentiasa menguasai dan memperhambakan kita.

Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu engkau yang terletak di antara dua lambung engkau.” (Riwayat Al Baihaqi)

Kerana kejahatannya itu, telah ramai manusia yang ditipu dan diperdayakan untuk tunduk dan bertuhankan hawa nafsu.
Ini ada diceritakan oleh Allah dengan firman-Nya:

Maksudnya: “Apakah engkau tidak perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsu menjadi Tuhan, lalu dia dibiarkan sesat oleh Allah berdasarkan ilmu-Nya.” (Al Jasiyah: 23)

Apabila nafsu jahat itu dibiarkan menguasai hati, iman tidak akan ada tempatnya. Bila iman tidak ada, manusia bukan lagi menyembah Allah, Tuhan yang sebenarnya tetapi dia akan menyembah hawa nafsu. Oleh itu usaha melawan hawa nafsu janganlah dipermudah-mudah dan dianggap ringan. Ia adalah satu jihad yang besar.

Ingatlah sabda Rasulullah SAW pada Sahabat- Sahabat ketika baginda berangkat pulang dari satu medan peperangan:

Maksudnya: “Kita baru balik dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang besar.”
Bila para Sahabat bertanya: “ Peperangan apakah itu?”
Baginda berkata: “Peperangan melawan nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)


Melawan hawa nafsu sangatlah susah. Barangkali kalau nafsu itu ada di luar jasad kita dan boleh pula dipegang, senanglah kita picit dan membunuhnya sampai mati. Tetapi nafsu kita itu ada dalam diri kita, mengalir bersama aliran darah, menguasai seluruh tubuh kita. Bahkan ia menjadi sebahagian daripada jasad kita iaitu tubuh yang halus (jismul-latif). Kerana itu, tanpa kesedaran, kemahuan dan paksaan yang sungguh-sungguh, kita pasti dikalahkannya, kemudian ia peralatkan semahu-mahunya.

Tiada ulasan: