25 Feb 2015

CARA MEMIMPIN HATI (2)


Untuk lebih jelas, biar kita senaraikan peringkat-peringkat nafsu manusia. Sepertimana iman itu sendiri berperingkat-peringkat, begitu juga nafsu. Seseorang yang dapat mengalahkan nafsunya akan meningkat ke taraf nafsu yang lebih baik. Begitulah seterusnya sehingga nafsu manusia itu benar-benar dapat ditundukkan kepada perintah Allah. 

Berikut ialah peringkat-peringkat nafsu yang saya senaraikan mengikut aturan tingkatannya: 
i. Nafsu ammarah 
ii. Nafsu lawwamah 
iii. Nafsu mulhamah 
iv. Nafsu mutmainnah 
v. Nafsu radhiah 
vi. Nafsu mardhiah 
vii. Nafsu kamilah 

Orang yang imannya di taraf iman ilmu, nafsunya berada di taraf yang kedua iaitu nafsu lawwamah.

Kita mesti berjuang melawan nafsu itu hingga ia mahu tunduk sepenuhnya pada perintah Allah iaitu paling minima, nafsu mutmainnah. Nafsu mutmainnah ada pada orang yang memiliki iman ayan. Di peringkat inilah sahaja kita akan dapat menyelamatkan diri daripada seksaan Neraka.

Ini dinyatakan sendiri oleh Allah SWT dengan firman-Nya: 

Maksudnya: “Hai jiwa yang tenang (nafsu mutmainnah), kembalilah pada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba- Ku. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku.” (Al Fajr: 27-30) 

Di sini diperpanjangkan lagi, bagaimana mahu membersihkan sifat-sifat mazmumah yang melekat pada hati itu. Sifat-sifat mazmumah yang melekat pada hati sepertilah daki yang melekat di badan. Kalau kita malas menggosoknya, akan bertambah menebal dan kuatlah ia bertapak di badan. Sebaliknya kalau kita rajin meneliti dan menggosoknya, maka akan bersihlah badan. Begitulah mazmumah (daki) hati. Jika kita rajin meneliti dan membersihkannya, maka bersihlah hati itu, malah ia bercahaya. 

Bagaimanakah cara membuang sifat-sifat mazmumah dari hati? Tentulah tidak sesenang membuang daki di badan. Ia memerlukan latihan jiwa yang sungguh-sungguh, didikan yang berterusan dan tunjuk ajar yang berkesan dari guru mursyid. Yakni guru yang dapat membaca dan menyelami hati muridnya sehingga dia tahu apakah kekurangan dan kelebihan muridnya itu. Malangnya di akhir zaman ini kita ketiadaan guru mursyid. Ini dinyatakan sendiri oleh baginda Rasulullah bahawa di akhir zaman yang banyak adalah mubaligh tetapi sukar mencari guru mursyid. 

Nasib kita hari ini umpama anak ayam kehilangan ibu. Tiada yang akan memandu kita melalui jalan kebaikan yang ingin kita tempuhi. Meraba-rabalah kita. Tetapi bagi orang yang mempunyai keazaman yang kuat untuk membersihkan jiwanya, dia tidak akan kecewa hanya kerana tiada orang yang boleh mendidik dan memimpinnya. Ia akan sanggup berusaha sendiri demi kesempurnaan diri dan hidupnya, sekadar yang termampu. Untuk jelasnya saya buat beberapa contoh, cara membersihkan hati yang jahat ini: 

Contoh 1: 



Rasa Bakhil 


Biasanya nafsu mendorong kita bersifat bakhil. Sedangkan bakhil itu dikeji dan dibenci oleh Allah. Kerana Allah mahu kita jadi pemurah. Dalam sebuah Hadis, Rasulullah SAW bersabda 
Maksudnya: “Si pemurah yang jahil lebih dicintai Allah daripada ahli ibadah yang bakhil.” (Riwayat Al Khatib) 

Oleh itu kita mesti melawan kemahuan nafsu itu. Paksalah hati memberi atau menderma selalu, terutamanya waktu rasa bakhil itu menguasai diri. Yang paling baik, waktu duit tinggal sedikit, waktu itulah kita latih berkorban kerana waktu itulah nafsu rasa paling tercabar. Itulah waktu yang sebaik-baiknya untuk menundukkan nafsu. Sedangkan waktu kita kaya, fungsi menderma tidaklah sebagai riadah melawan nafsu tetapi perbuatan itu sekadar dapat pahala. 

Katakanlah kita sedar bahawa pada diri kita ada sifat bakhil. Kita pun tahu bahawa Allah tidak suka pada orang yang bakhil. Kerana itu kita berazam untuk mengikis sifat yang terkutuk itu. Maka kita perlu cuba membiasakan dan membanyakkan sedekah, memberi hadiah dan lain-lain amalan yang berupa pemberian hak kita kepada orang lain. Agar sifat pemurah menjadi subur dan sebati seterusnya menjadi tabiat kita.

Sebagai pendorongnya, kita hendaklah selalu membaca firman-firman Allah dan Hadis- Hadis yang banyak menganjurkan kita berkorban. Di sini dipetik beberapa ayat Al Quran dan Hadis untuk menunjukkan Allah dan Rasul-Nya sangat menganjurkan sifat pemurah itu. 

Firman Allah SWT: 
Maksudnya : “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul- Nya dan nafkahkan sebahagian dari hartamu yang Allah telah menjadikan kamu menguasainya. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu dan menafkahkan sebahagian dari hartamu, memperolehi pahala yang besar.” (Al Hadid: 7) 

Maksudnya: “Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya dan dia akan memperolehi pahala yang banyak.” (Al Hadid: 11) 

Bersabda Rasulullah SAW: 
Maksudnya: “Orang yang membantu perempuan janda dan orang miskin, samalah seperti berjihad di jalan Allah dan seperti bersolat malam tanpa letih, dan seperti berpuasa siang hari tanpa berbuka.” (Riwayat Bukhari) 

Sebenarnya sifat bakhil bukan sahaja ada pada orang kaya dan berharta bahkan orang miskin pun tidak mustahil dihinggapi penyakit ini. Kerana itu dalam Islam bukan sahaja sedekah itu boleh dilakukan dengan harta benda tetapi boleh juga dilakukan dengan cara yang lain. Cara-cara ini dapat mendidik akhlak mulia bagi semua orang, memberi peluang pada orang miskin mengikis sifat bakhil selain turut mendapat pahala sedekah. 

Allah SWT berfirman: 
Maksudnya: “Perkataan yang baik dan pemberian maaf, lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” (Al Baqarah: 263) 

Rasulullah SAW pernah memberikan garis-garis panduan berikut dalam satu riwayat Hadisnya:

Maksudnya: “Segala perbuatan yang baik itu sedekah.”(Riwayat Ahmad dan Bukhari dari Jabir) 

Maksudnya: “Senyuman kepada saudaramu itu adalah sedekah.” (Mashabi Assunah) 

Maksudnya: “Aku khabarkan kepadamu, yang lebih tinggi dari darjat puasa, sembahyang dan sedekah. “Khabarkanlah,” kata Sahabat-Sahabat. “Mendamaikan dua golongan yang bergaduh itu sedekah.” (Riwayat Ahmad dari Abi Dardak) 

Dengan menggunakan panduan-panduan di atas, orang yang menyedari ada padanya sifat bakhil, bolehlah cuba melatih diri untuk mengubatnya. Bila ada saja peluang untuk sedekah dan sebagainya, jangan dibiar begitu sahaja. Paksalah hati untuk mengeluarkan harta atau bertindak memberi kebaikan kepada orang lain dengan bermacam-macam cara itu. 

Di waktu rasa bakhil itu terasa kuat bergantung di hati, waktu itulah perlawanan mesti dihebatkan. Keluarkan apa-apa yang disayangi itu dengan segera dan sebanyak-banyaknya. Latihan ini akan jadi lebih berkesan kalau kita sanggup mengeluarkan harta itu semasa kita sendiri kekurangan. Katakanlah kita didatangi oleh peminta derma di waktu kita hanya ada RM5 di poket. Waktu itu, paksakan hati supaya mengeluarkan separuh yang ada. Tentulah hati rasa berat tetapi keluarkanlah juga.

Insya-Allah, kalau ini dibuat dan sanggup kita buat selalu, kita akan jadi seorang yang pemurah dan rasa bakhil akan lenyap terus dari hati kita. Katakanlah kita ada duit RM10,000 tetapi yang kita dermakan hanya RM10 sahaja, tentu tidak akan berkesan apa-apa di hati kita. Di waktu duit sedikit, rasa bakhil sangat kuat maka waktu itu kita akan rasa berat untuk menderma. Ketika itulah kita perlu lawan sifat bakhil itu. Itulah yang dikatakan latihan. Itulah caranya untuk suburkan sifat-sifat pemurah. 

Tiada ulasan: