Dalam dunia yang materialistik ini, manusia cenderung menjadi pendamba dan pecinta material. Lalu menganggap materi itu suatu KEPERLUAN untuk hidup bahagia. Terus-terusan mereka mengejar dan mengejar kekayaan, kuasa, pangkat dan penghargaan dunia. Jika kecundang mendapatkannya, mereka semakin sasau, risau dan kecewa malah ada yang putus asa. Bagi yang mampu mendapatkan segala apa yang diidamnya, mereka terus leka, dibuai kesenangan, terus-terusan mencari dan mengejarnya, bagaikan tidak ada kepuasan, bagaikan kekayaan itu sudah menghambakan kehidupannya di dunia ini. Jadilah dia hamba dunia.
Seringkali apabila kesedaran timbul, manusia mencuba segala metod dan kaedah kerana BAHAGIA yang dicari hanya fartamorgana belaka. Jika yang kecewa pastilah tidak ada bahagia lagi, tetapi yang pelik, yang sudah ada segala-galanya di dunia ini juga tidak merasa BAHAGIA. Mengapa sudahkah hilang BAHAGIA di hati manusia?
Ada seorang kawan belajar pelbagai metod untuk mencari bahagia yang hilang dari jiwanya. Beliau belajar pelbagai kaedah antaranya Neuro Linguistic Programming (NLP). Itulah yang dicanang-canangkan bagaikan dia sudah lupa bahwa penganugerah BAHAGIA di jiwa manusia bukanlah kaedah ciptaan manusia tetapi ANUGERAH yang maha Esa, Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang kepada hambaNya. Bahagia itu hanya milik manusia yang hatinya sudah tidak terpaut dengan dunia, yang sentiasa merasa dirinya hamba, yang sentiasa berkasihsayang sesama manusia.
Sayang sekali, AKAL juga tidak mampu mencerna kefahaman ini, hanya hati yang sentiasa tunduk pada Allah, yang sentiasa sabar, redha, berlapang dada, yang sentiasa memaafkan sesama manusia dan tidak menzalimi sesama saudaranya sahaja yang mampu mencernakan makna KEBAHAGIAAN dalam jiwanya.
Sesunnguhnya, BAHAGIA itu satu ANUGERAH Allah setelah kita mampu mengenal diri sendiri, selalu menilik aib sendiri, bukan milik orang yang merasa diri sempurna dan serba tahu segala apatah lagi memandang hina dan selalu bersangka-sangka buruk pada orang lain.
BAHAGIA itu bukan bergantung pada apa yang kita ada dan banyaknya pemilikan kita, tetapi ia milik ALLAH yang dianugerahkan kepada kita.
Semakin banyak kita redha dan menyerahkan pemilikan kita atas niat tulus kepada Allah SWT, semakinlah kebahagiaan itu menghampiri kita.
Di hati insan yang mulia, bukan PEMILIKAN itu KEBAHAGIAAN untuknya tetapi kesedaran bahawa apa yang dimilikinya, diserahkan dan dikembalikan kepada Allah yang maha Esa.
Maka,
jika dia miskin, dia BAHAGIA,
jika dia ditimpa musibah, dia BAHAGIA
jika dia kehilangan harta, dia BAHAGIA
jika dia kehilangan kuasa, dia BAHAGIA
jika dia kehilangan pangkat, dia BAHAGIA
Begitulah makna BAHAGIA yang sebenar, jika dia kehilangan dunia, dia tetap BAHAGIA, yang ditakutinya hanyalah jika dia kehilangan IMAN dan TAQWA.
1 ulasan:
Bahagia berada di dalam hati bukan di akal fikiran.
Walaupun tiada harta,tiada makanan sedap, tiada kenderaan, tiada isteri/suami, jawatan yg hebat, dll...hati tetap bahagia sekiranya hati "makrifat" atau mengenal Tuhan yang mencipta dirinya...
sifat hamba ialah melaksanakan apa sahaja perintah majikannya atau menerima sahaja apa shaja pemberian majikannya....
Catat Ulasan