12 Dis 2010

PERINGATAN DARI RAJA MELAYU KPD PENDERHAKA BANGSA dan AGAMA

Dalam tempoh empat hari, tiga Raja Melayu bersuara. Nada ketiga-tiga raja kita itu tegas dan mesejnya jelas kepada semua. Pada 5 Disember, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa sedih dengan perbuatan mencuit hak orang Melayu yang nampak ketara dan banyak sangat sekarang. ‘‘Melayu tidak minta lebih, cuma apa yang kita ada kena jaga,’’ titah baginda dalam wawancara Mingguan Malaysia, Ahad lalu.

Pada sambutan Maal Hijrah Negeri Perak, 7 Disember, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, orang Melayu yang mempertikaikan status agama Islam dan hak keistimewaan Melayu di negara ini telah menghina dan menderhaka terhadap bangsanya.

Sehari selepas itu, Sultan Johor mahu orang Melayu bermuhasabah diri dan segera kembali ke pangkal jalan bagi mempertahankan kedaulatan Melayu. Ketiga-tiga peringatan tersebut menjadi berita utama di muka depan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Apa yang disuarakan oleh Raja-Raja Melayu ini amat bertepatan pada ketika kedudukan Melayu makin diasak. Semua ini angkara muslihat golongan kaduk naik junjung yang berhasrat menjadikan Malaysia negara republik suatu hari nanti. Golongan tersebut kian membesar dan membentuk gelombang yang kuat. Semua tahu bahawa ada pemimpin pembangkang Melayu yang membuka pintu pengkhianatan untuk kepentingan politik diri sambil membawa keuntungan besar kepada kaum tertentu.

Maka Awang menjunjung kasih kepada Raja-raja Melayu yang tampil ke hadapan untuk membantu menyelamatkan kedudukan Melayu. Sejak merdeka, tidak pernah rasanya institusi raja kita sebegini lantang. Ternyata senario pasca Pilihan Raya Umum ke-12 yang begitu berisiko kepada masa depan umat Islam, tidak lagi boleh diambil mudah.

Titah Sultan Perak perlu dijadikan pemula kejutan. ‘‘Adalah menjadi tanggungjawab Raja-Raja Melayu bersama umat Islam dan orang Melayu di bumi ini, untuk terus mempertahankan segala hak dan keistimewaan Islam dan orang Melayu daripada sebarang usaha menghakisnya.’’ Awang sudah lama sahut dan bangkit. Sesungguhnya, ia adalah semboyan untuk umat Islam dan orang Melayu. Kita tiada pilihan melainkan bersatu. Apa lagi.

7 Dis 2010

BULAN MUHARRAM BULAN KEMENANGAN ~ASZ~

Tahun baru Islam Tuhan pilih bulan Muharram
Kerana di dalamnya berlaku beberapa peristiwa besar di dalam sejarah Islam
untuk dikenang dan menjadi pengajaran
Diharamkan peperangan di bulan ini,
kecuali musuh mengundang
Tahun baru Islam diambil sempena hijrah Rasul ke Madinah mencari tapak Islam
Muharram telah menempa sejarah gemilang, bagi pejuang-pejuang Tuhan
dan pejuang-pejuang kebenaran
Mereka diberi kemenangan besar, di bulan Muharram, yang patut dikenang
Kemenangan-kemenangan kecil berlaku juga, tapi di luar Muharram

Tapi bukan setiap Muharram umat Islam diberi kemenangan besar-besaran
seperti yang diceritakan
Setelah cukup ketaqwaan mereka dan setelah tinggi disiplin mereka
biasanya kemenangan itu diberi oleh Tuhan di bulan Muharram
Cuma setiap zaman kemenangan itu diberi, angkanya, tarikhnya tidak sama,
ada 1 Muharram, ada 10 Muharram dan lain bilangan di dalam Muharram
Apabila syarat-syarat pejuang-pejuang Islam itu sudah ada,
di bulan Muharramlah Allah Taala anugerahkan kemenangan
Yang penting diceritakan di sini apakah syarat-syaratnya
kemenangan itu dianugerahkan?!

Untuk panduan para pejuang setiap zaman, syarat-syaratnya penting diketahui
untuk diusahakan

1. Adanya pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan.
2. Setelah pengikut-pengikutnya taat setia kepada pemimpinnya sehidup semati.
3. Kasih sayang dan perpaduannya sesama ahli terserlah sekali
4. Fikiran dan perasaan mereka selaras dan selari.
5. Pengikut-pengikutnya laksana satu ibu, satu ayah di dalam satu keluarga.
6. Mereka menjadi abid-abid di waktu malam, menjadi singa-singa di siang hari.
7. Keyakinannya kental, sabarnya luar biasa, azamnya teguh,
bagaikan besi waja yang tidak dapat diganggu gugat
oleh ujian dan cabaran.
8. Perjuangan mereka agak lama berterusan.
9. Setelah mereka menempuh ujian demi ujian kecil dan besar sebagai tapisan.
10. Maka berlakulah saringan, demi saringan, tapisan, demi tapisan dari ujian.
11. Mereka yang asalnya bilangannya ramai, setelah tinggal sedikit bilangannya barulah diberi kemenangan
12. Kalau pejuang-pejuang Islam diberi kemenangan setelah ramai bilangannya natijahnya serupa macam orang kafir diberi kemenangan.
13. Cara ini tidak nampak kebesaran dan kuasa Allah memberi kejayaan.
14. Dengan kemenangan mereka akan sombong, dan menzalim orang ramai sewenang-wenang.
15. Kerana mereka mendapat kemenangan merasa dari tenaga dan usaha mereka, bukan dari Tuhan yang Maha Kuasa.

Begitulah gambaran secara umum parti Allah Taala
diberi kemenangan di dalam sejarah Islam

Bulan Muharramlah kemenangan besar-besaran itu
biasanya Allah Taala anugerahkan
Untuk umat Islam yang berjuang di akhir zaman,
yang penting syarat-syarat kemenangan itulah yang hendak dipastikan
Berusahalah untuk memenuhi syarat-syarat kemenangan

Marilah kita penuhkan syarat-syaratnya untuk menagih janji Tuhan,
kemenangan pasti datang seperti yang dijanji Tuhan

Janji Tuhan kemenangan itu pasti diberikan setelah syarat-syaratnya dipenuhkan

2 Dis 2010

PESANAN DARI ULAMAK

1.Hendaklah banyak dan selalu bersembahyang sunat Taubat setiap kali atau sebaik sahaja melakukan dosa atau ketika merasa diri berdosa. Bertaubat hendaklah bersungguh-sungguh dan menangislah, sebaik-baiknya sehingga mengeluarkan air mata, berasa takut dengan azab Allah yang Maha dahsyat itu.

2. Banyakkanlah menangis dan mengadukan hal kepada Allah kerana mengenangkan dosa.

3. Bermunajatlah (berdialoglah) secara langsung dengan Allah di waktu sendirian ketika sunyi (di tempat sunyi) kerana cara itu hijab dengan Allah itu terbuka. Dalam munajat itu mintalah supaya mati dalam di dalam beriman dan Islam dan supaya Allah membantu kita yang lemah ini.

4.Hendaklah menjauhi semua perkara yang haram dan makruh sama ada perkara zahir mahupun batin.

5.Sentiasalah dalam berkeadaan berwudhuk. Sekiranya terbatal, maka diambil semula. Orang yang berhadas, walaupun hadas kecil (tidak berwudhuk) akan terhijab dirinya daripada Allah.

6. Jangan menggunakan lidah untuk perkataan yang sia-sia. Hendaklah lidah dibasahi dengan selawat lantaran rindu kepada Rasulullah SAW. Sesiapa yang selalu berselawat kerana rindu kepada Rasulullah SAW, barulah Rasulullah SAW akan rindu kepadanya. Sesiapa yang mencintai Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW pun akan cinta kepadanya dan di akhirat baginda akan memberikan syafaat.

7. Perbanyakkanlah sembahyang sunat Dhuha kerana ia boleh menenangkan hati. Setelah sembahyang Dhuha ikutilah pula dengan membaca Al-Quran. Bacalah Al-Quran sebanyak mungkin yang kamu termampu.

8. Hendaklah redha dengan Allah. Sesiapa yang tidak redha dengan Allah, maka di dalam hadis Qudsi, Allah telah mencabar supaya mencari Tuhan lain selain daripada-Nya. Hendaklah redha dengan Rasulullah SAW dan rasul-rasul yang lain.

9.Jangan tidur di waktu malam. Hidupkan malam dengan beribadah kepada Allah, munajat, mengenang dosa dan bertaubat sebanyak-banyaknya. Sesiapa yang tidur banyak di waktu malam bererti dia lalai daripada mengingati Allah. Malam adalah masa yang terbuka hijab di antara hamba dan Allah.

10. Hati kita jangan dibiarkan lalai, hendaklah sentiasa beristighfar, bertasbih dan berwirid.

11.Jangan berhutang. Kalau berhutang, jelaskan segera walaupun 10 sen. Kerana sesiapa yang mati walaupun mati syahid, sedang dia menanggung hutang, maka ia tidak akan dapat masuk syurga.

12.Sentisalah ingat akan mati kerana orang yang ingat mati dekat dengan Allah.

13. Hendaklah bersangka buruk dengan diri sediri, dan bersangka baiklah dengan orang lain (sahabat).

14. Redhalah dengan sebarang takdir ketentuan Allah yang menimpa sama ada perkara itu baik atau buruk.

15. Suami adalah perantaraan (pembawa) isteri ke syurga.Oleh itu taatlah kepada suami bersungguh-sungguh. Semoga nanti dapat masuk syurga di mana yang dikehendaki. Kalau bersalah dengan suami walaupun kecil, bersegeralah minta maaf. Sentiasalah bermanis muka dan memberikan senyuman mesra kepada suami. Jangan melakukan perkara yang boleh menyentuh dan menyinggung hati suami.

16. Setiap kali mengakhiri doa, akhirilah dengan berdoa untuk semua guru-guru kamu.

Sheikh Muhammad bin Abdullah AsSuhaimi