20 Okt 2009

MUSIM HAJI TIBA LAGI

Untuk renungan bersama :


Balik dari Mekah
Jangan hanya tamar
Dan air zamzam yang dibawa pulang
Lebih-lebih lagi janganlah igal
Dan barang yang mahal dibawa bersama
Bukan ini semua yang penting dibawa
Tapi pengajaran dan hikmahnya
Yang patut dibawa pulang
Ole-ole dari haji
Bukan bersifat material
Yang dibawa pulang
Tapi yang bersifat maknawiyah
Dan rohaniah
Yang lebih penting pengalaman luas
Akhlak yang tinggi di dalam diri kita
Inilah buah haji yang mabrur
Lagi sejati yang hakiki
Buanglah perangai yang buruk
Gantikanlah dengan perangai yang mulia
Tanamkalah keinsafan diri dengan agama yang suci
Jadikanlah agama hidup mati kita
Sesuai dengan semangat haji
Kemuncak rukun Islam yang lima
Kebanyakan jemaah haji
Pulang ke tanah air tidak berubah
Sifat-sifat mazmumah
Yang lama masih dibawa pulang
Perjuangan tidak berlaku
Pengorbanan tidak bertambah
Yang bertambah cinta dunia, mabuk pangkat
Suka glamour
Kalau itulah yang dibawa
Tanda haji yang dibuat tidak berbuah
Mengikut kitab Haji
Yang tidak berubah perangai
Haji Mardud
Yang dapat hanya susah
Yang dapat hanya payah
Letih badan
Pahala tiada berdosa pula

14 Okt 2009

BERHATI-HATI MENGENAL ULAMAK

Tidak dapat dinafikan betapa pentingnya ilmu itu dalam kehidupan. Tanpa ilmu, manusia akan menjadi kaku. Hendak berbuat, tak tahu caranya. Hendak bergerak, tak tahu langkahnya. Hendak berpergian, tak tahu arah tujuannya. Untuk menguruskan hal dunia, kita perlu kepada ilmu. Untuk menguruskan hal Akhirat pun, lebih-lebih lagi kita perlu kepada ilmu.

Islam amat menitikberatkan tentang ilmu. Tidak serupa orang yang berilmu itu dengan orang yang tidak berilmu. Allah mengangkat orang-orang yang berilmu itu beberapa darjat. Allah lebih suka kepada ulama yang fasiq daripada orang jahil yang taat. Orang yang jahil itu adalah seteru Allah.Ilmu itu ibarat obor yang menyuluh. Dengan ilmu, kita dapat melihat jalan-jalan yang patut ditempuh. Dengan ilmu, kita dapat melihat mana jalan yang benar dan mana jalan yang salah; mana jalan yang baik dan mana yang buruk; dan mana jalan yang hak dan mana jalan yang batil. Orang yang mempunyai ilmu itu ibarat orang yang mempunyai obor di malam yang gelap gelita.

Dia boleh menerangkan kegelapan untuk dirinya dan juga untuk orang lain.dengan ilmunya. Hanya setakat tahu, belum tentu ilmu itu dapat memberi kebaikan atau manfaat kepada yang memilikinya. Berlainan dengan faham. Faham itu ialah tahu lahir dan batinnya, tahu yang tersurat dan yang tersirat di sebaliknya.

Akan tetapi, ilmu semata-mata tidak menjamin apa-apa. Kalau banyak pun ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu, tidak bermakna dia akan selamat dari terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat. Seperti juga orang yang mempunyai obor, tidak semestinya dia tidak akan sesat atau tidak akan tersungkur.

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya:“Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan baginya, Dia akan memberinya faham tentang agama.”

Tidak dikatakan “… akan diberinya ilmu tentang agama.”

Jadi, orang yang mempunyai ilmu itu tidak semestinya dia faham dan tidak semestinya dia dapat beramal, sesuai dengan ilmunya. Hanya setakat tahu sahaja, belum tentu ilmu itu dapat memberi kebaikan atau manfaat kepada orang yang memilikinya. Berlainan dengan faham. Faham itu ialah tahu lahir dan batinnya, tahu yang tersurat dan yang tersirat di sebaliknya.

Di samping ilmu, apa yang sebenarnya kita perlukan ialah taufiq iaitu pimpinan Allah. Dengan taufiq, segala amal perbuatan kita akan setentang atau tepat dengan ilmu. Barulah ilmu itu menjadi ilmu yang bermanfaat bagi kita dan dapat kita menjadi orang yang beramal dengan ilmunya. Islam itu ialah iman, ilmu dan amal.

Tanpa taufiq inilah maka kita sering lihat orang yang amalannya tersimpang dari ilmunya. Tidak kurang kita lihat orang yang mengajar ilmu tauhid tetapi dia sendiri tidak mampu berjiwa tauhid. Atau orang yang alim tentang hukum sembahyang, tetapi dia sendiri tidak mendirikan sembahyang. Atau ulama-ulama yang secara terus-menerus terlibat dengan dosa-dosa besar.

Atau ulama-ulama yang mengubah hukum hakam untuk menjaga kepentingan pangkat, jawatan dan kedudukannya, dan yang menggunakan ilmunya untuk membenarkan tindak-tanduknya yang salah.

Malahan ada manusia yang bertaraf profesor di universiti universiti di Barat yang hafaz Al Quran dan hafaz beribu-ribu hadis, lengkap dengan perawinya, bahkan pula layak memberi ijazah dan Phd. pengajian Islam kepada graduan-graduan Islam, tetapi mereka sendiri tetap kufur dan tetap tidak beriman kepada Allah.

Ulama yang tidak beramal dengan ilmunya akan masuk Neraka 500 tahun lebih dahulu dari penyembah berhala. Dan di kalangan ulama ada yang digelar ulama “suk” atau ulama jahat yang kerjanya melarang manusia menuju kepada Tuhan dan menyusahkan manusia membuat kebaikan dan kebajikan. Maksiat dan kemungkaran tidak pula dilarang atau ditegurnya.

Rasulullah SAW memerintahkan kita supaya lari dari ulama jahat seperti ini seperti mana kita lari dari singa yang ganas. Dunia telah masuk dan bersarang di dalam hati-hati mereka. Mereka merosakkan agama di atas nama agama. Ilmu itu amanah Allah. Kalau kita diberi ilmu, kita bertanggungjawab.

Kita perlu mengamalnya, menyampaikan atau mengajarnya dan memperjuangkannya. Di Akhirat nanti, kita akan disoal tentang ilmu yang ada pada kita itu.

11 Okt 2009

KRISIS UNDANG BALA



(Gambar Pakatan Rakyat bertindak kasar menghalang laluan awam di Bagan Pinang)


Negara kita sedang dilanda krisis. Kian hari kian meruncing. Masyarakat berpecah-belah. Perpaduan dan kesefahaman sudah tidak ada. Demonstrasi selalu berlaku. Masyarakat sudah tidak bersatu. Sudah tidak boleh bekerjasama. Keamanan dan keselamatan tergugat. Rasa tidak puas hati di kalangan rakyat meluap-luap. Perselisihan pendapat dan perbezaan fahaman politik amat ketara.

Apabila ditanya kepada pihak-pihak tertentu tentang hal ini mereka berkata ini perkara biasa. Krisis itu membawa rahmat. Sayidina Ali k.w. dan Sayidina Muawiyah r.a. pun berkrisis. Apa sungguhkah ini benar? Sungguhkah krisis yang kita hadapi ini satu rahmat hingga boleh disamakan dengan krisis yang berlaku di antara Sayidina Ali dan Sayidina Muawiyah? Semasa mereka berkrisis, orang tetap berbondong-bondong masuk Islam. Walaupun mereka berkrisis, Islam bertambah kuat dan tanah jajahan Islam semakin meluas dan berkembang. Ekonomi Islam semakin kukuh. Ibadah dan akhlak masyarakat Islam tetap baik dan terpelihara.

Berbeza dengan krisis yang kita hadapi. Semakin berkrisis, semakin ramai orang Islam jadi murtad. Semakin berkrisis, ekonomi Islam semakin merosot dan kuasa ekonomi berpindah ke tangan orang lain. Huru-hara semakin banyak berlaku. Jenayah bertambah-tambah. Keamanan dan keselamatan Negara tergugat. Moral dan akhlak muda mudi merosot. Ibadah dan akhlak masyarakat rosak.

Di mana rahmatnya?
Di mana baiknya?
Di mana untungnya?

Yang jelas, krisis yang kita hadapi ini sangat merugikan dan merosakkan. Sayidina Ali dan Sayidina Muawiyah berkrisis dalam kebenaran. Nafsu mereka dan sifat-sifat mazmumah tidak berperanan. Kita berkrisis dalam kebatilan dan kemungkaran. Nafsu dan sifat-sifat mazmumah mereka kita bercakaran.

Apa benarkah krisis yang kita hadapi ini satu rahmat?

Atau apakah ia satu bala bencana yang Allah turunkan kepada kita kerana dosa, kemungkaran dan keangkuhan kita?

Ini harus kita kaji dan teliti betul-betul. Malanglah bangsa yang menganggap bala bencana itu sebagai rahmat tanpa melihat kepada dosa-dosa yang menyebabkan kemurkaan Tuhan dan tanpa bertaubat dari dosa-dosa tersebut.

9 Okt 2009

KENALILAH CIRI-CIRI PEJUANG KEBENARAN

Pejuang kebenaran itu sungguh unik, sungguh aneh dan sungguh pelik. Dia lain daripada yang lain. Sifat dan watak yang ada padanya tidak ada pada manusia lain. Tidak ada pada pejuang-pejuang lain. Tidak ada pada pejuang-pejuang ideologi atau isme. Lebih-lebih lagilah tidak ada pada pejuang-pejuang yang nyata membawa kebatilan dan kerosakan.

Orang lain berjuang hendak untung. Hendak habuan. Hendak tambah harta. Lagi berjuang lagi kaya. Pejuang kebenaran pula, habis wang ringgit dan harta bendanya dikorbankan untuk perjuangannya. Lagi dia berjuang, lagi dia jadi miskin. Apa sahaja yang dia ada habis dihalakan untuk perjuangannya.

Orang lain berjuang hendak nama. Hendak glamour. Hendak dipuji dan dipuja. Hendak disanjung sebagai wira bangsa. Hendak menempa nama dalam sejarah. Setidak-tidaknya hendak diiktiraf. Hendak gelaran itu dan ini. Bintang itu dan ini. Darjah itu dan ini. Tetapi pejuang kebenaran tidak peduli itu semua. Dia tidak takut dan tidak risau kalau dia dicaci atau dikeji. Dia tidak terjejas dengan pandangan dan anggapan
manusia. Dia tidak rasa terhina dengan cacian dan tidak pula rasa mulia dengan pujian manusia. Dia hanya ambil berat tentang apa yang Tuhan anggap terhadap dirinya.
Orang lain berjuang kerana kepentingan. Khususnya kepentingan yang bersifat material atau duniawi. Sama ada kepentingan untuk diri, keluarga, kelompok, parti, bangsa,
negara dan sebagainya.

Pejuang kebenaran pula berjuang untuk kepentingan Akhirat manusia sejagat. Untuk membawa kebenaran kepada seluruh umat manusia. Untuk menyelamatkan manusia. Supaya manusia boleh berbahagia di dunia dan berbahagia di Akhirat. Perjuangannya bersifat universal. Tidak dibatasi oleh keluarga, kumpulan, kelompok, parti, bangsa atau negara.

Orang lain berjuang kerana mahukan pengaruh. Bila sudah berpengaruh, boleh dapat jawatan dan kuasa. Dengan pengaruh dan kuasa yang dimiliki, macam-macam boleh jadi. Boleh beraja di mata dan boleh bersultan di hati. Pejuang kebenaran pula tidak menginginkan selain keampunan, kasih sayang dan keredhaan Tuhan. Baginya, ini mengatasi segala-galanya. Baginya, kalau dapat Tuhan, dapat semua. Kalau hilang Tuhan, hilang semua.

Bagi pejuang kebenaran, banyak perkara yang ’contradictory’ dalam dirinya. Waktu malam dia ibarat rahib yang tersungkur, sujud menyembah Tuhannya. Pada waktu siang, dia ibarat singa lapar yang gigih dan berani. Bagi pejuang kebenaran, dirinya tidak penting. Dia sanggup menjadi lilin yang membakar diri asalkan masyarakat dapat
cahaya. Dia sanggup menderita, disisih, dibuang, dihalau, dikurung hatta dirinya terkorban asalkan matlamat perjuangannya tercapai.

Pejuang kebenaran menghapuskan kegelapan dengan membawa cahaya. Dia membasmi kekufuran dengan membawa iman. Dia mengubah kejahatan dengan membawa akhlak. Digantikan rasa putus asa dengan rasa bergantung harap dengan
Tuhan.


Walaupun sifatnya lemah lembut, dia tegas dalam perjuangan. Walaupun dia banyak menyerah pada Tuhan, dia tahan diuji. Kalau ditimpa berbagai ujian, bertambah keyakinan nya, bertambah optimisnya dan bertambah sangka baiknya dengan Tuhan. Jiwanya kukuh dan kental.

Apa sahaja yang diperjuangkannya, ditegakkan pada dirinya terlebih dahulu. Kita boleh buat apa yang dia buat. Kita boleh amal apa yang dia amal. Dia boleh jadi contoh. Tidak
macam pejuang lain. Dia suruh kita buat apa yang dia suruh.

Jangan buat apa yang dia buat. Sebab dia pun tahu yang dia jahat. Pejuang kebenaran boleh dijadikan teladan. Pejuang lain perlu dijadikan sempadan.

Pejuang lain menyelesai masalah dengan akal, walaupun masalah itu bersabit dengan hati dan jiwa manusia. Oleh itu masalah yang kecil jadi besar, masalah sedikit jadi banyak, masalah mudah jadi rumit, masalah setempat tersebar ke tempat lain. Pejuang kebenaran merujuk segala-galanya kepada Tuhan. Dibawa manusia kepada Tuhan. Dibawa manusia kepada Akhirat. Dipupuk rasa cinta dan kasih sayang sesama manusia. Bila Tuhan berada di hati, bila Akhirat menjadi matlamat hidup dan bila terasa dikasihi dan mengasihi, maka manusia akan menjadi manusia semula. Hidup fitrah mereka. Subur keinsanan mereka. Mudah bagi mereka menjadi baik dan mengabdi diri kepada Tuhan.

Pejuang kebenaran, kalau dikurung atau dipenjarakan, dia berkhalwat. Kalau dihalau, dia bermusafir. Kalau dibuang, dia beruzlah. Apa pun terjadi, hatinya tetap dan sentiasa dengan Tuhannya. Mudah bagi mereka menjadi baik dan mengabdi diri kepada Tuhan.

Perjuangannya ibarat air. Mengalir dan terus mengalir. Kalau diempang, dia akan menyusup ke bawah. Kalau disekat di bawah, dia akan mengalir ke sisi. Kalau disekat di sisi, dia akan bertakung. Sampai masa, dia akan melimpah dan mengalir juga ke atas. Seperti air, ia tenang dan tidak mendesak.

Tetapi ia tetap akan mengalir. Ia mengikut dan menyesuaikan diri dengan bentuk bumi. Kehadirannya natural dan semula jadi. Perjuangannya dirasakan seolah-olah ia sebahagian dari kehidupan. Seperti air juga, perjuangannya sangat diperlukan. Sangat
memberi manfaat kepada manusia. Sangat menyejuk dan menyegarkan. Sangat menenang dan mententeramkan hati-hati manusia.

Tidak seperti perjuangan lain yang ibarat api yang mengganas dan membakar. Yang marak dan mencemaskan manusia. Yang memusnahkan segala-galanya. Yang
menyebabkan huru-hara. Akhirnya yang tinggal hanya abu, arang dan bara. Manusia terseksa, menderita, sengsara.

6 Okt 2009

ISLAM LIBERAL ITU CIPTAAN YAHUDI


Apa yang dibawa oleh Anwar Ibrahim adalah modus operandi Islam Liberal atau Islam Moderat. Salah satu agenda Yahudi adalah memperkenalkan kefahaman Islam Liberal atau Islam Moderat kepada umat Islam dengan sasarannya agar dapat melemahkan umat Islam dengan menekankan kepada KEADILAN dan KESAKSAMAAN di kalangan manusia. Maka hujahnya, untuk berlaku ADIL dan SAKSAMA maka kita menghormati PERBEZAAN walaupun perbezaan itu bermaksud hingga kepada melangkaui SYARIAT agama. Ia bisa sahaja kerana menurut mereka, semua manusia boleh berijtihad menggunakan Al Quran. Maka berijtihadlah orang-orang Islam yang terpedaya dengan modus operandi mereka ini dengan mengeluarkan fatwa-fatwa yang aneh-aneh yang dipanggil sebagai gerakan MEREFORMASIKAN Islam atau gerakan MENULENKAN ajaran Islam.



Sayang sekali, mereka tidak pernah belajar tentang syarat-syarat BERIJTIHAD itu, padahal ia hanya milik para ulamak-ulamak muktabar bukan milik semua orang Islam yang kadang-kadang hanya memberi pendapat dengan merujuk kepada terjemahan Al Quran di dalam Bahasa English atau Bahasa Melayu atau Bahasa Indonesia. Namun lagak mereka seperti mereka berpengetahuan setaraf Imam Al Ghazali atau Imam Syafei. Sedangkan jika mereka cuba memperuntukkan sedikit masa untuk kenal ulamak-ulamak muktabar ini, mereka akan terkedu dan ternganga memikirkan betapa hebatnya ilmu yang ada di akal dan hati mereka dan betapa tawaduknya mereka ini dengan ilmu dan betapa berakhlak dan beradabnya mereka dengan ilmu. Sayang kemuliaan para ulamak ini mereka sangsikan tetapi yang mereka puja ialah para orientalis yahudi dan nasrani yang mereka iktiraf sebagai guru mereka di dalam memahami Islam.

Mereka juga para penganut Islam Liberal dan Islam Demokrat ini kadang-kadang menggunakan nama pejuang Islam yang tulen seperti Hassan Al Banna, dan menfitnah beliau sebagai pelopor kepada gerakan meliberalkan Islam. Sedangkan Hassan Al Banna adalah penganut fahaman ASWJ yang tulen dan dibesarkan di dalam lingkungan kehidupan masyarakat Islam yang sangat tradisi dan seadanya. Bacalah riwayat Hassan Al Banna, anda akan merasa sangat terharu dengan pejuangannya. Beliau seorang yang sangat berakhlak, sangat tinggi disiplin dan berjiwa tegar di dalam memperjuangkan Islam, namun atas kesilapannya melibatkan diri di dalam politik, maka ia membawa kehancuran kepada perjuangannya. Allah SWT menyayangi beliau, dan menyelamatkan beliau dari membawa perjuangannya bersekongkol dengan sistem politik yang tidak islamik. InsyaAllah, kematian beliau itu adalah yang terbaik untuknya.



Tidak ada orang yang lebih memahami perjuangan Ikhwan Muslimin seperti Hassan Al Banna sendiri. Maka tanpa kehadirannya, perjuangan Ikhwan Muslimin kini seakan kehilangan arah. Pelbagai versi fahaman sudah berleluasa di dalam Ikhwan Muslimin itu sendiri. Maka, ia hanya tinggal sebagai nama gerakan sedangkan roh perjuangan sebenar yang mahu dititip oleh Hassan Al Banna sudah tiada.

Berbalik kepada fahaman Islam Liberal sebagai ciptaan Yahudi yang saya hujahkan itu, diMalaysia ini, Anwar Ibrahim adalah jentera atau alat yang digunakan oleh Yahudi untuk memastikan bahawa Islam Liberal ini dapat mencengkam pemikiran orang Islam di Malaysia ini. Dengan kuasa politik pembangkang yang ada di tangan Anwar Ibrahim, maka beliau telah memastikan bahawa setiap parti di dalam pakatan pembangkang mempunyai anak-anak didiknya bagi menyuntik fahaman Islam Liberal ini kepada orang-orang Islam yang jumud dan tersihir dengan fahaman Islam Liberal ini.

Maka perkara yang pelik-pelik dan aneh-aneh yang berlaku sekarang ini dan disebut TIDAK APA-APA atau BUKAN ANCAMAN atau ATAS SEMANGAT PAKATAN adalah kejayaan manis Anwar Ibrahim mengkeldai dan mengkudakan pemimpin-pemimpin Islam tersebut.

Rujuk rantaian artikel di bawah :

NIK AZIZ : BUKAN ISLAM BOLEH GUNA PERKATAAN ALLAH

ISU BAGAN PINANG

Nik Aziz tak bantah DAP hina Islam

Namun, lihatlah nanti, saya percaya Anwar bukan dijatuhkan orang ISlam yang sudah jadi kuda dan keldainya tetapi Anwar Ibrahim akan ditakdirkan dibuang oleh para pencipta dan tuannya Yahudi itu kerana "terlalu meroyan" untuk menjadi PM. Anwar yang digelar Sesumpah oleh media Yahudi akan dimakan SUMPAH.

3 Okt 2009

AYAT-AYAT ALLAH DAN KAITANNYA DENGAN GEMPA DI PADANG

“Gempa di Padang jam 17.16, gempa susulan 17.58, esoknya gempa di Jambi jam 8.52. Coba lihat Al-Qur’an!”

Demikian bunyi pesan singkat yang beredar. Siapa pun yang membuka Al-Qur’an dengan tuntunan pesan singkat tersebut akan merasa kecil di hadapan Allah SWT.

Demikian ayat-ayat Allah SWT tersebut:

17.16 (QS. Al Israa’ ayat 16):

“Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”

17.58 (QS. Al Israa’ ayat 58):

“Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz).”

8.52 (QS. Al Anfaal: 52):

(Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras siksaan-Nya.”

Tiga ayat Allah Swt di atas, yang ditunjukkan tepat dalam waktu kejadian tiga gempa kemarin di Sumatera, berbicara mengenai azab Allah berupa kehancuran dan kematian, dan kaitannya dengan hidup bermewah-mewah dan kedurhakaan, dan juga dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya. Ini tentu sangat menarik.

Dengan adanya berbagai “kebetulan” yang Allah SWT sampaikan dalam musibah gempa kemarin ini, Allah SWT jelas hendak mengingatkan kita semua.

Apakah semua “kebetulan” itu sekadar sebuah “kebetulan” semata tanpa pesan yang bererti ?

Apakah pesan Allah SWT itu akan mengubah kita semua agar lebih taat pada perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya ?

Atau malah kita semua sama sekali tidak perduli, bahkan mentertawakan semua pesan ini sebagaimana dahulu kaum kafir Qurais menertawakan dakwah Rasulullah SAW?

Semua berpulang kepada diri kita masing-masing. Wallahu’alam bishawab.

source : eramuslim

------------------------------------------------------------------


Catatan : Orang yang beriman akan mengakui dengan penuh keyakinan, tidak ada KEBETULAN di dunia ini melainkan semuanya adalah di dalam pengetahuan dan perancangan Allah SWT.

2 Okt 2009

BUMI MINANG YANG PERNAH KUJEJAKI

Hampir setahun yang lepas, saya dan keluarga telah melancong dan berziarah ke bumi Minang (Padang dan Bukit Tinggi). Sebenarnya hari di mana gempa itu berlaku, saya sedang menyusun gambar-gambar yang disimpan di dalam bentuk digital untuk di print di kedai Foto. Rupa-rupanya hotel di mana kami bermalam di Padang pada waktu itu, iaitu Hotel Ambacang, yang merupakan sebuah hotel yang sangat selesa, agak ekslusif dan sedap makanannya, merupakan antara hotel yang akhirnya ranap dek dilanda gempabumi tersebut.

Ini antara kenyataan yang saya baca mengenai bencana yang berlaku ke atas hotel tersebut.

Laporan beberapa pihak berkuasa setempat pula menyebut lebih 100 mangsa dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan Hotel Ambacang di tengah Kota Padang dan lebih 60 murid terperangkap dalam bangunan tiga tingkat tempat mereka mengikuti tuisyen ketika kejadian.

Di bawah ini adalah gambar hotel Ambacang yang saya ambil sewaktu saya di sana.



Kini bangunan itu sudah musnah dan gambar-gambar tersebut akan tinggal sebagai kenangan untuk selama-lamanya.



(Gambar Hotel Ambacang selepas gempa)

Ini sebuah lukisan yang terdapat di dalam hotel tersebut yang menarik perhatian saya.



Gambar ini juga tentu sekali turut terkubur menjadi sisa-sisa runtuhan hotel tersebut. Ada beberapa gambar lagi yang saya ambil di hotel tersebut yang memaparkan saya bergambar dengan lukisan-lukisan di dinding hotel tersebut. Saya sendiri tidak terfikir bahawa lukisan-lukisan tersebut akan berakhir sebagai puing-puing sisa runtuhan hotel.

Apapun, saya ucapkan takziah kepada semua mangsa-mangsa gempa di bumi Minang, mengingatkan asal-usul keturunan saya yang bermula dari bumi Sumatera dan sebenarnya bumi Minang amat dekat dihati kami semua kerana kaitan keluarga kami dengan keluarga diraja Pagar Ruyung masih boleh dijejaki sehingga kini.

Al fatehah dan Takziah.