24 Mac 2008

ANTARA SEBAB JIWA TIDAK TENANG


Antara sebab-sebab jiwa tidak tenang adalah seperti berikut:




1. Banyak menzalimi orang


2. Banyak membuat dosa


3. Menghina dan menzalimi ibu atau bapa


4. Menzalimi dan menghina guru terutama guru yang menunjukkan kita ke jalan Akhirat


5. Tidak percaya wujudnya Allah Taala


6. Tidak mengharap lagi pertolongan Allah


7. Orang yang kena uji bila imannya lemah atau tidak beriman




Ketenangan itu berpusat atau berpaksi di dalam hati nurani. Ia perlu dijaga, kerana bila hilang ketenangan, hilanglah kebahagiaan. Bila hilang kebahagiaan, tidak ada lagi keindahan di dalam kehidupan sekalipun mempunyai kekayaan, tinggal di dalam istana yang indah, memiliki isteri yang cantik, ada kuasa dan lain-lain.




Bila ketenangan tidak ada, seseorang itu akan sentiasa keluh-kesah. Apa sahaja dibuat serba tidak kena, makan rasa tidak sedap, tidur tidak lena, membuat sesuatu perkara tidak ada penumpuan lagi, selalu sahaja termenung, orang bercakap kurang diambil perhatian, sumbang di dalam pergaulan, membaca pun terganggu untuk memahami. Kawan-kawan melihat ikut risau. Mudah marah-marah, suka bersendiri, mudah merajuk, mudah tersinggung, tidak tahan sabar, tidak tahan tercabar, mudah jemu membuat kerja, makan minum, pakaian dan badan tidak terurus, kurang bertanggungjawab, tidak suka bercakap.




Orang yang berada di dalam tidak tenang, jika ketidaktenangan itu kuat dan kurang pula pelajaran atau ilmu, selalunya dia tidak boleh kontrol rasa tidak tenang itu. Sama ada di waktu ramai mahupun di waktu keseorangan. Sentiasa nampak muram, susah hatinya amat ketara, orang ramai perasan.




Jika dia seorang cerdik dan pandai atau ada status di dalam masyarakat mungkin sesetengah orang dia boleh kontrol perasaannya. Di tengah ramai dia boleh sembunyikan ketidaktenangannya itu untuk menjaga wibawa atau status diri, tapi bila waktu keseorangan dia mulalah termenung. Kesusahan hatinya nampak dilihat di air mukanya.




Ada setengah orang mukanya cantik, orangnya periang, happy go lucky, adakalanya susah juga dikesan perasaan dalam hatinya. Tapi kalau dia tidak boleh kontrol, lihat mukanya dapat dikesan. Maka seorang yang periang tiba-tiba jadi pendiam, hilang riang, suka bersendiri, gurauan sudah tidak ada. Anak isteri mula risau, kawan-kawan susah hati.




Untuk menghilangkan rasa tidak tenang itu, berhentilah daripada menzalimi dan memohon maaf kepada orang yang kita zalimi itu. Tinggalkan membuat dosa kemudian kembali berpegang dan bersandar kepada Allah SWT. Insya-Allah ketidaktenangan akan hilang.


SIAPA KUASA BESAR DUNIA ?




Di sisi Tuhan, hanya ada dua golongan sahaja yang diberi kuasa di atas muka bumi ini yang mengatasi golongan-golongan yang lain. Dua golongan itu ialah golongan kafir dan golongan orang-orang yang bertaqwa. Selain dari dua golongan ini tidak ada golongan lain yang dizinkan Tuhan untuk menguasai dunia ini.



Kalau kita analisa betul-betul setiap golongan yang wujud di dunia ini, golongan lain yang tidak termasuk ke dalam golongan kafir dan golongan bertaqwa tidak lain dan tidak bukan ialah golongan orang-orang Islam. Tidak ada lagi golongan di dunia ini selain dari golongan kafir, golongan Islam dan golongan orang-orang yang bertaqwa. Ini bermakna golongan orang Islam tidak akan menjadi kuasa dunia.



Golongan kafir termasuklah golongan yang menolak Allah bulat-bulat seperti Komunis dan golongan yang musyrik iaitu yang menyekutu dan mensyarikatkan Allah seperti Kristian, Yahudi, Majusi, penyembah berhala dan lain-lain lagi. Golongan orang-orang yang bertaqwa pula sudah tentulah mereka itu orang-orang Islam. Tetapi orang-orang Islam tidak semestinya tergolong ke dalam golongan orang-orang yang bertaqwa. Allah sendiri tidak ada memberi apa-apa jaminan atau menjanjikan apa-apa pertolongan atau kemenangan kepada orang-orang Islam. Akan tetapi Allah banyak menjanjikan pertolongan dan kemenangan kepada orang-orang yang bertaqwa seperti dalam firman-Nya:





Maksudnya: “Allah pembela bagi orang-orang yang bertaqwa.”


Maksudnya: “Akan Aku wariskan bumi ini kepada orang-orang yang bertaqwa.”

Adapun orang-orang Islam ialah golongan yang telah mengucap dua kalimah syahadah dan telah memeluk agama Islam. Akan tetapi tahap keimanan dan justeru itu tahap pengamalan Islam mereka sangat rendah. Mereka beramal dengan sesetengah ayat Quran dan meninggalkan sesetengah ayat yang lain. Bahkan ada yang beriman dengan sesetengah ayat dan menolak bahkan menentang sesetengah ayat yang lain. Mereka mencampur adukkan amalan Islam dengan amalan-amalan yang lain yang kadangkala sangat bertentangan dengan ajaran an kehendak Islam itu sendiri.



Umumnya, golongan Islam ini hanya tahu dan ada ilmu tentang Allah. Mereka sebenarnya belum betul-betul kenal atau arif tentang Allah. Oleh itu, walaupun mereka percaya dan tidak menafikan kewujudan Allah, mereka tidak dapat merasakan kewujudan Allah itu di hati mereka, jauh sekali untuk merasakan bahawa Allah itu Maha Hebat, Maha Perkasa, Maha Gagah, Maha Agung, Maha Mengetahui, Maha Pengampun, Maha Melihat, Maha Mendengar dan lain-lain lagi. Mereka juga tidak dapat merasakan yang diri mereka itu hakikatnya ialah hamba kepada Allah yang hina dina, berdosa, lemah, dhoif, tidak memiliki apa-apa, pengemis kepada Tuhan dan sebagainya.



Di samping itu, golongan Islam ini juga lemah dalam bermujahadah. Oleh yang demikian, mereka tidak dapat mengawal hawa nafsu mereka dan tidak mampu menyuci dan membersihkan hati dan jiwa mereka dari segala sfiat-sifat mazmumah yang keji dan jelek seperti hasad dengki, tamak haloba, pemarah, cinta dunia, bakhil, riyak, penting diri, sombong, angkuh dan sebagainya.



Golongan yang bertaqwa atau golongan yang mukmin pula, apabila disebut nama Allah, gementar hati-hati mereka, bertambah iman mreka. Mereka hanya berkata “Kami dengar dan kami taat”. Mereka kuat bergantung dengan Allah. Allah itu idola dan cinta Agung mereka. Apabila golongan orang mukmin atau orang yang bertaqwa tidak wujud atau tidak ada di muka bumi ini, maka Allah akan serahkan kuasa di dunia ini kepada golongan kafir. Akan tetapi, jika golongan bertaqwa sudah muncul atau sudah wujud maka Allah akan pindahkan kuasa dari tangan orang kafir kepada golongan orang yang bertaqwa.




Golongan orang bertaqwa lebih berhak menguasai dunia ini daripada golongan kafir. Hatta, golongan yang bertaqwa mempunyai hak warisan terhadap kuasa dunia ini seperti yang Allah firmankan:





“Akan Aku wariskan bumi ini kepada orang-orang yang bertaqwa.”



Begitulah yang dapat kita lihat dalam sejarah tentang dua kuasa besar kafir iaitu Rom dan Parsi. Mereka menguasai seluruh dunia di zaman mereka. Tetapi apabila muncul orang-orang yang bertaqwa yang telah dididik oleh Rasulullah SAW dan yang mengamalkan Al Quran, kedua-dua kuasa besar kafir tersebut telah tumbang dan tewas kepada golongan orang-orang yang bertaqwa ini. Setelah tujuh ratus tahun golongan orang-orang yang bertaqwa ini berkuasa hingga menjadi empayar yang memerintah tiga perempat dunia, mereka telah digantikan oleh golongan orang-orang Islam yang telah hilang ketaqwaan mereka yang dunia telah masuk ke dalam hati-hati mereka. Mereka telah mula meninggalkan Tuhan dan mengabaikan Al Quran.



Justeru itu, akhlak mereka jatuh hingga menyapu bumi, persatuan dan perpaduan mereka runtuh dan kasih sayang sesama mereka bertukar menjadi kebencian, iri hati dan buruk sangka. Kerja mereka hanya merebut kuasa dan merebut harta. Hasilnya, Allah tarik semula kuasa dunia yang telah diberikan-Nya itu dan diserahkan semula kuasa tersebut kepada kafir Barat hinggalah ke saat ini.





Satu lagi ketentuan Tuhan yang patut kita tahu ialah bentuk kekuatan yang ada pada golongan kafir ialah “quwwah” atau kekuatan lahir. Untuk menewaskan kuasa golongan kafir ini memerlukan “quwwah” atau kekuatan lahir yang jauh lebih kuat, lebih hebat dan lebih canggih dari apa yang ada pada mereka. Akan tetapi, umumnya, “quwwah” atau kekuatan lahir yang ada pada golongan orang kafir ini jauh lebih kuat, lebih hebat dan lebih canggih dari apa yang ada pada golongan Islam. Pembuatan persenjataan dan alat peperangan pun dimonopoli oleh orang kafir.





Oleh itu kita lihat, umat Islam tidak ada daya upaya untuk menentang golongan kafir ini. Malahan, kita lihat, golongan kuasa besar kafir ini dengan mudah boleh memperkotak katik umat Islam di mana sahaja di dunia ini, membunuh dan memusnahkan negara mereka dan menjajah mereka.




Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud:




“Di satu zaman nanti, umat Islam akan dikeronyok-keronyok oleh orang-orang kafir seperti anjing-anjing yang mengeronyok bangkai.” Ada sahabat yang bertanya: “Adakah bilangan umat Islam ketika itu sedikit, ya Rasulullah?’ Rasul menjawab, “Tidak, bahkan mereka ramai. Tetapi mereka ibarat buih di laut.”




Inilah yang berlaku di Bosnia, di Kosovo, di Palestin dan di Afghanistan. Golongan yang bertaqwa tidak berhadapan dengan orang kafir menggunakan “quwwah” atau kekuatan lahir. Mereka menggunakan kekuatan taqwa. Kekuatan taqwa adalah sembilan puluh peratus lebih kuat dan lebih ampuh dari kekuatan lahir, malahan ia boleh melumpuhkan kekuatan lahir.




Kekuatan taqwa ialah kekuatan yang datang dari Tuhan. Kekuatan yang dibantu oleh Tuhan dan tentera-tentera Tuhan sama ada yang lahir mahupun yang ghaib. Bantuan-bantuan Tuhan ini banyak yang berbentuk khawariqul ‘adah atau yang ajaib, pelik atau yang mencarik adat.



Kalau di akhir zaman, umat Islam ramai tetapi lemah ibarat buih di laut, golongan orang bertaqwa ini pula sedikit bilangannya tetapi kuat dan padu. Oleh kerana Allah sendiri yang turun tangan dan memberi pertolongan, golongan orang yang bertaqwa ini tidak perlu ramai. Memang sukar pun untuk mendapat golongan bertaqwa yang ramai kerana hendak menjadi orang yang bertaqwa bukan mudah. Hendak mengekalkan ketaqwaan pula lagi susah dan payah. Golongan bertaqwa ini mendapat kemenangan bukan kerana hasil usaha mereka tetapi sebagai anugerah dan pemberian dari Tuhan.




20 Mac 2008

BAGAIMANA RSAW MENGUBATI PENYAKIT MASYARAKAT





Sudah menjadi fitrah manusia itu ia ingin hidup aman damai. Begitu juga fitrah manusia itu, dia tidak mau berlakunya krisis, kemungkaran, pemerkosaan dan segala penyakit masyarakat.



Andaikata kalau dia seorang pemimpin, dia mau orang yang dipimpin itu meletakkan ketaatan kepadanya. Begitu juga kalau dia seorang yang dipimpin, dia mau pemimpinnya meletakkan keadilan kepadanya. Andaikata kalau dia seorang ayah, dia mau anak-anaknya memberikan ketaatan dan kepatuhan kepadanya. Begitu juga kalau dia seorang anak, dia mau ibu dan ayahnya meletakkan kasih sayang kepadanya. Begitu jugalah suami kepada isterinya, dan isteri kepada suami. Andaikata seorang pemimpin, ibu, ayah, guru, suami, isteri dapat meletakkan diri pada tempat masing-masing. Begitu juga seorang rakyat, anak murid, dapat meletakkan diri pada tempat masing-masing, maka tidak akan terjadi pergaduhan, pertengkaran diatas muka bumi ini.



Tapi kalau kita lihat, apa yang terjadi adalah sebaliknya.



Firman Allah yang artinya:

Telah berlaku kerusakan di daratan dan di lautan akibat dari tangan-tangan manusia" [Q.S Ar-Rum : 41]

Hal ini terjadi bila pemimpin tidak dapat memberi keadilan, terhadap orang-orang yang dipimpinnya. Begitu juga orang yang dipimpinnya tidak dapat memberikan ketaatan kepadanya. Ibu ayah juga tidak dapat memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya, begitu juga anak-anak tidak dapat memberikan ketaatan terhadap ibu dan ayahnya. Begitu juga guru terhadap murid dan murid terhadap gurunya, suami terhadap isterinya dan isteri kepada suaminya.



Sebab itu dapat kita lihat berbagai-bagai masalah timbul dari sekecil-kecil masalah hinggalah ke sebesar-besar masalah. Dari rumah tangga, hinggalah ke negara-negara yang hebat pemimpinnya. Telah berbagai cara dan jalan dicari untuk menyelesaikan masalah. Ada yang mengatakan :


1. Kekayaan dapat menyelesaikan masalah ini. Maka merekapun berusaha bersungguh-sungguh mendapatkannya, tetapi tidak juga dapat menyelesaikan masalah ini.


2. Ada pula yang mengatakan kepandaian dan ilmu pengetahuan akan dapat menyelesaikan masalah ini. Maka merekapun berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya, tetapi juga tidak berhasil untuk menyelesaikan masalah ini, bahkan bertambah rumit lagi.


3. Ada juga yang mengatakan pangkat dan darjat dapat menyelesaikan masalah ini, tetapi ini juga tidak berhasil menyelesaikan masalah yang melanda masyarakat, bahkan bertambah parah dan rumit lagi.


Jadi jalan yang paling mudah untuk kita selesaikan masalah ini haruslah kita kembalikan kepada Al Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAW.


Al Qur'an dan Sunnah dapat membeirkan jawaban yang tepat, dari manakah akar dari masalah-masalah tersebut.


Firman Allah SWT yang ertinya


"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, selagi ia tidak mengubah yang ada di dalam hatinya" [Q.S Ar-Rad : 11]

Hadits Rasulullah SAW yang artinya :

Di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu maka baiklah jasadnya. Jika rusak daging itu, maka rusaklah jasadnya. Ketahuilah itu adalah hati."


Dapat kita lihat dari Al Qur'an dan Hadits tadi setiap penyakit yang timbul pada diri manusia itu, adalah berawal dari hati. Hati yang sakit (jahat) akan mendorong mata, kaki, tangan berbuat jahat. Maka lahirlah masyarakat yang jahat, seperti merampok, membunuh, memfitnah, mengumpat dan sebagainya.


Penyakit masyarakat ini dapat diibaratkan sebagai sebatang pokok yang mengeluarkan buah yang beracun. Buah yang beracun itu disebabkan pohon yang beracun. Jadi untuk menghilangkan buah yang beracun itu hendaklah ditebang pohon itu terlebih dahulu. Bukan buang buah saja. Sebab kalau yang dibuang buahnya saja, sepuluh buah yang kita buang akan tumbuh pula sepululh pohon yang beracun. Begitulah seterusnya.


Oleh itu untuk panduan yang lebih jelas lagi, kita lihat bagaimana Rasulullah dapat mengubat penyakit masyarakat ketika itu hingga menjadikan orang miskin sabar dan redha dalam kemiskinan dan orang kaya pemurah. Seperti Abu Hurairah yang menjadi ketua dari puluhan fakir miskin yang tinggal di Serambi Masjid Madinah. Sayidatina Fatimah, seorang wanita miskin walaupun anak Rasulullah dan menikah pula dengan Sayidina Ali yang begitu miskin lagi pejuang pula. Kemudian perpecahan diantara satu golongan dapat disatukan seperti Muhajirin dan Ansar. Baginda Rasulullah SAW dapat mendidik masyarakat jahiliah kepada kenal dan cinta kepada Allah SWT.


Rasulullah SAW saat itu diutus sebagai Pembawa Rahmat kepada sekalian alam.


Firman Allah yang artinya :"

Dan tidak diutuskan kamu (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat pada sekalian alam" [Q.S. Al Anbiya : 107]

Dengan keberkatan dan ketabahan Rasulullah SAW itu, Baginda dapat mengembalikan masyarakat kepada kebenaran.

Krisis Masyarakat di Zaman sebelum Rasulullah


Sebelum dibahas tentang bagaimanakah Rasulullah mengubati penyakit masyarakat jahiliah di zamannya, terlebih dahulu kita mengetahui akan apakah penyakit masyarakat yang membarah ketika itu. Sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, masyarakat tertimpa berbagai macam krisis dan penyakit jiwa. Diantara penyakit yang menimpa masyarakat :
" Sangat memuja berhala.
"Hati masyarakat begitu melekat kepada berhala.
" Terlalu ketagihan dengan arak/alkohol.
" Terlalu suka dengan riba. Bunga tinggi, tak sanggup bayar, jadi hamba.
" Wujudnya dua empayar besar yaitu Rome dan Parsi yang menindas negara-negara lemah.
" Pelacuran amat leluasa merebak di tengah masyarakat.
" Akhlak kaum wanita ketika itu amat rendah.
" Manusia terlalu bakhil, terlalu gila harta sehingga harta orang hendak dijadikan harta dia.
" Perpecahan menjadi-jadi. Terjadi peperangan. Kadang peperangan besar hanya disebabkan hal kecil.


Cara Rasulullah Menyelesaikan Krisis

Rasulullah hanya tanamkan 3 pil saja pada diri masyarakat Jahiliah ketika itu.

Pertama, Rasulullah menanam kembali rasa tauhid kedalam hati masyarakat sehingga manusia terasa akan kebesaran Tuhan, kasih sayang, kehebatan dan keperkasaan Tuhan.


Kedua, Rasulullah menanamkan kembali cinta kepada Akhirat. Beliau memperkatakan tentang Syurga dan Neraka.

"Akhirat itu adalah lebih utama, lebih baik daripada dunia." (Q.S. Ad Dhuha : 4)"

Akhirat itu adalah lebih baik dan lebih kekal" (Q.S. Al A'la : 17)

Lahirlah manusia yang jiwanya terpaut dengan Akhirat. Akhirnya bukan saja harta dihabiskan untuk Akhirat bahkan nyawa sendiri dikorbankan. Mereka mau cepat-cepat kembali ke Akhirat. Mereka mau mati syahid menjadi para syuhada.

Ketiga, Rasulullah menanam semangat dan perasaan cinta akan sesama manusia terutamanya umat Islam untuk mengikis penyakit terlalu cinta diri sendiri, keluarga atau kawan-kawan sendiri.

"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu sehingga dia mencintai diri saudara-saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri"

"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak berkhidmat kepada manusia yang lain"

"Barang siapa yang menunaikan hajat saudara lain, Tuhan akan tunaikan padanya 70 hajat"

Terjalin perasaan ghairah apabila menolong orang lain. Lahir perasaan kasih sayang pada orang lain. Mereka dapat merasakan nasib orang lain seperti nasib mereka sendiri, kesenangan orang lain seperti kesenangan sendiri, kesusahan orang lain seperti kesusahan sendiri, darah orang lain seperti darah sendiri, nyawa orang lain seperti nyawa sendiri.

Dengan 3 pil inilah Rasulullah dapat mendidik manusia-manusia Jahiliyah ketika itu hinggakan Allah telah memuji Rasulullah dan generasi ketika itu.


Firman Allah yang ertinya


"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia yang mengajak kepada Ma'ruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah"[Q.S. Ali Imran : 110]

Hadits Rasulullah SAW yang ertinya :


"Sahabat-sahabatku adalah seperti bintang-bintang di langit. Jika diikuti diantara mereka nescaya kamu akan mendapat petunjuk"

17 Mac 2008

IKHLAS DALAM BERAMAL (3)

14. Adakah kita buat teguran hanya pada orang-orang kecil atau orang bawahan sahaja? Tetapi bila tuan-tuan di atas kita buat kesalahan, kita tidak berani hendak tegur? Ini tanda tidak ikhlas.

15. Adakah di depan ramai sahaja kita kuat jaga disiplin? Berlakon jadi baik. Bila di belakang orang, hilang disiplin. Mulalah tidak dapat hendak kawal mata keranjang. Mula tidak dapat mengawal telinga, dan tidak berakhlak. Ini berakhlak tidak ikhlas namanya.

16. Adakah bila kita ada jawatan dalam kampung atau di masjid atau apa-apa juga jawatan dalam masyarakat, baru mahu berkorban? Tetapi bila tidak ada jawatan, tidak mahu berkorban lagi. Itu tanda kerja kita tidak ikhlas.

17. Renungkanlah, apakah kita mahu belajar Islam kerana ada jaminan masa depan? Kalau tidak, mungkin kita tidak belajar. Atau tidak bersungguh-sungguh belajar Islam. Ini juga tidak ikhlas.

18. Pernahkah kita beri bantuan kerana orang itu berbuat baik kepada kita? Sedangkan kalau orang tidak berbuat baik kita tidak suka membantunya, walaupun orang itu patut dibantu. Ini juga tidak ikhlas.

19. Adakah kita rasa tidak senang bila ada orang sekali-sekala menggantikan kita berceramah atau bersyarah di tempat-tempat kebiasaan kita. Atau kita rasa bangga atau rasa senang hati kerana dia membantu kerja-kerja kita buat kebaikan? Jika tidak, ini juga tidak ikhlas.

20. Pernahkah terjadi dalam mana-mana mesyuarat atau mana-mana perbincangan, kita mahu biarlah cadangan-cadangan yang baik dan bagus hanya datang dari kita? Kalau ada orang lain turut sama memberi pandangan walaupun baik, kita rasa tidak senang? Ini tanda tidak ikhlas. Orang yang ikhlas, dia mahu orang lain juga dapat memperkatakan kebenaran. Bukan hanya melalui dirinya seorang.

21. Adakah depan orang ramai saja ilmu Islam itu jadi bualan kita tetapi bila berhadapan dengan anak isteri, kita bungkam? Malas hendak memperkatakan Islam. Tidak ghairah hendak sebut hal-hal Islam atau hal-hal perjuangan. Ini juga kerana bermotif nama dan kemasyhuran. Depan anak isteri mana dapat nama atau kemasyhuran.

22. Adakah kita hantar anak belajar di satu-satu sekolah kerana mengharapkan didikan, tarbiah dan akhlak yang baik? Bukan kerana jaminan sijil atau dapat kerja? Atau sebaliknya yakni kalau tidak ada sijil atau tidak ada jaminan kerja, kita tidak hantar anak kita walupun sekolah itu baik didikannya? Ini juga tidak ikhlas.

23. Adakah kita menutup aurat kerana orang suruh atau menutup aurat ini hanya di tempat-tempat yang tertentu sahaja? Atau di majlis-majlis rasmi sahaja seperti majlis kematian. Atau menampakkan sebahagian anggota yang terlarang atau pakaian terlalu ketat atau jarang? Atau bertudung untuk bermegah-megah? Ini semua tidak ikhlas.

24. Seorang yang pernah kita beri bantuan kerana dia patut menerima lantaran kemiskinan atau kesusahannya, kemudian dia cacatkan hati kita, apakah kita terus memberikan bantuan itu? Kalau kita teruskan memberi bantuan itu kepadanya, itu tanda ikhlas.

Cukuplah setakat ini contoh-contoh yang lumrah berlaku di tengah-tengah kehidupan kita. Agar ia menjadi kayu pengukur sejauh mana keikhlasan kita selama ini. Kita tentu ada pengalaman bersama dalam salah satu hal-hal yang berlaku di atas. Kalau begitu ukurlah diri masing-masing, apakah usaha-usaha, kerja-kerja dan amal ibadah sudah ikhlas atau belum?

Untuk mendapat ikhlas amat susah. Tetapi bila tidak ada ikhlas, ertinya tidak ada roh amal. Tidak ada nyawa ibadah. Walaupun manusia itu nampaknya hebat, di sisi Allah, tidak ada apa-apa nilai. Kosong. Ibarat habaan mansura yakni habuk-habuk yang berterbangan, hilang begitu sahaja. Oleh itu marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT:

Ya Allah jadikan kami orang yang ikhlas.
Jadikan usaha kami kerana-Mu.
Jangan diselit di hati kami selain-Mu
Pimpinlah kami wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Agar usaha-usaha kami tidak sia-sia Amin.
Ya Rabbalalamin. Ya Mujibassailin,
Wahai Tuhan yang menunaikan segala permintaan orang yang meminta."

Sesungguhnya orang-orang yang ikhlas itu balasannya ialah Syurga seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"
Allah SWT berfirman," Aku menyediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh (ikhlas),
apa yang belum terlihat oleh mata dan belum terdengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati." (Muttafaqun'Alaih)

IKHLAS DALAM BERAMAL (2)

Amal ibadah akan tertolak percuma ibarat debu-debu berterbangan kalau keikhlasan hati tidak ada. Untuk menentukan amal ibadah itu ikhlas bukan boleh ditentukan dengan kata-kata. Misalnya:
Saya beri ini dengan penuh ikhlas.
Saya buat ini ikhlas untuk awak.
Kutujukan ikhlas untukmu.
Saya yang ikhlas.
Saya bantu awak dengan ikhlas hati.

Tidak perlu disebut ikhlas. Tidak usah ungkapkan kata-kata tersebut. Ikhlas itu bahasa hati atau kerja hati. Kalau disebut, ternyata tidak ikhlas. Sebab itu diam sahaja lebih baik. Kita tidak tahu apakah kita ikhlas atau tidak. Malaikat yang kerohaniannya tajam pun tidak tahu, mengapa kita yang kerohaniannya tidak tajam mengaku kita ikhlas. Inilah tanda tidak ikhlas. Kalau begitu bagaimana hendak mengesan amal ibadah itu ikhlas atau tidak? Kita bawa contoh-contoh di bawah ini sebagai panduan untuk mengukur keikhlasan kita.

1. Apakah kita sembahyang, wirid, zikir, doa dan baca Quran di rumah dengan di masjid ada perbezaan? Di rumah kita buat cepat-cepat dan lebih kurang sahaja sedangkan di masjid kita lakukan dengan penuh teratur, tertib, sopan, dengan suara sedap atau cuba sedap-sedapkan suara kita. Ertinya kita buat lebih baik bila berada di masjid yakni di depan orang ramai. Itu tandanya tidak ikhlas.

2. Pernahkah kita tidak buat sembahyang sunat sewaktu di rumah tetapi kita buat atau buat lebih banyak kalau di masjid? Kita buat kerana takut orang kata atau malu pada orang. Itu tanda tidak ikhlas.

3. Kalau ada orang puji, apakah ada rasa berbunga, sedap dan suka hati? Waktu dikeji adakah rasa marah atau sempit dada dan sedih? Kalau terasa megah atau sedih, ertinya belum ikhlas.

4. Apakah kita menderma dengan bersyarat, misalnya mesti ditulis dalam daftar atau disiarkan dalam akhbar dan tv? Kalau tidak, kita tidak mahu menderma untuk masjid, surau, anak yatim, sekolah Islam dan lain-lain lagi. Atau terpaksa ditulis nama kita pada mana-mana batu asas. Kalau tidak, kita tidak menderma. Itu tanda tidak ikhlas.

5. Adakah kita membaca Al-Quran bertujuan untuk dapat hadiah besar atau piala dan lain-lain? Kalau tidak kita malas atau langsung tidak membacanya. Ini tanda tidak ikhlas.

6. Cuba kita renung-renungkan, adakah kita buat kebaikan kemudian suka sebut-sebut atau dengan harapan supaya orang itu balas kebaikan kita? Apakah selepas kita berbuat baik pada seseorang, kemudian bila dia lukakan hati kita, langsung kita berkata di depan atau di belakangnya: Tidak patut engkau buat begini pada aku. Aku dah banyak tolong engkau. Kalau aku tak tolong selama ini, susah engkau. Memang orang tak kenang budi. Ini juga tanda tidak ikhlas.

7. Pernahkah kita menderma hanya di depan orang tetapi kalau secara sembunyi, kita tidak menderma? Ini juga tidak ikhlas.

8. Apakah kita suka segala kebaikan hanya dicetus oleh kita sahaja? Bila orang lain yang buat kebaikan itu, kita tidak suka. Ini juga tidak ikhlas.

9. Adakah waktu kita berjawatan, kerana ada gaji dan elaun maka kita aktif dan gigih berjuang memperkatakan Islam? Kita bersyarah merata-rata tempat. Tapi bila tidak ada jawatan, kita tidak minat buat kerja-kerja itu lagi. Atau kita ditukar jawatan, bukan jawatan agama lagi, langsung kita tidak minat sebut Islam lagi. Ini ada udang di sebalik batu namanya, tanda tidak ikhlas.

10. Apakah kalau pergi berdakwah di tempat yang jauh itu kita pandang pada elaun? Kalau tidak ada mileage dan elaun kita tidak pergi. Atau kalau pergi pun dengan hati yang berat. Terpaksa. Ini juga tanda tidak ikhlas.

11. Apakah kita ghairah menyebut Islam ini hanya dalam pidato-pidato atau seminar-seminar saja tetapi dalam perbualan-perbualan biasa tidak sibuk mengatakannya? Ertinya tidak sebut langsung fasal Islam. Ini juga tidak ikhlas kerana ada motif nama dan kemasyhuran.

12. Adakah kita sanggup mengajar hanya kerana kita diberi gaji? Kalau tidak ada gaji, kita tidak sanggup? Atau kalau mengajar juga secara terpaksa kerana takut dikatakan, Ada ilmu, tapi tidak sampaikan ilmu!. Itu tanda tidak ikhlas.

13. Pernahkah kita memperkatakan Islam itu hanya sewaktu-waktu kita harapkan dapat kerusi di Parlimen? Atau hendak tambat hati rakyat dengan harapan parti kita dapat memerintah? Tapi bila tidak ada kerusi lagi atau sudah tua, kita tidak sibuk-sibuk lagi memperjuangkan Islam. Ini ada kepentingan diri namanya. Juga tidak ikhlas.

IKHLAS DALAM BERAMAL (1)




Dalam ajaran Islam, ikhlas merupakan roh amal atau jiwa ibadah. Ia jadi penentu apakah amal ibadah kita diterima atau ditolak yang mana bila amal ibadah tidak ikhlas, maka ia tidak ada nilaian di sisi Allah atau tidak ada harganya lagi. Sebaliknya kalau ikhlas dalam beramal, Allah terima dan diberi ganjaran yang tidak ternilai.


Bagaimanakah yang dikatakan ikhlas ini jadi penentu? Amal ibadah ini umpama seorang manusia. Bila nyawa (roh) sudah tidak ada, ia akan jadi bangkai. Bangkai mesti dibuang ke kubur kerana nilai kemanusiaannya sudah tidak ada lagi di waktu itu. Dia tidak layak lagi bergaul dengan orang yang hidup. Walaupun dia seorang ratu cantik, orang terpaksa buang juga kerana ia akan jadi busuk, berulat dan reput menjadi tanah.


Begitulah dengan amal ibadah kita ini. Kalau tidak ada rohnya atau tidak ada jiwanya, yakni tidak ikhlas, Allah anggap seperti bangkai yang kotor lagi busuk, yang tidak ada harganya. Tidak layak untuk Allah menerimanya dan tidak layak diberi ganjaran pahala. Bahkan akan dicampak balik ke muka kita sekalipun seluruh makhluk-makhluk Allah di langit dan di bumi semuanya memuji-muji amal ibadahnya cantik, baik dan bernilai.


Manusia hanya menilai dengan mata lahir sahaja maka yang kelihatan, amal ibadahnya itu banyak, cantik dan berakhlak. Sedangkan Allah dapat melihat yang batinnya. Sekalipun amal itu sedikit, jika ikhlas, Allah tetap menganggapnya banyak. Sedangkan amal ibadah yang banyak tetapi tidak ikhlas, Allah tetap menganggapnya sedikit atau macam amalan yang tidak wujud. Begitulah penting dan bernilainya ikhlas itu. Allah mahu agama-Nya yang suci murni itu diamalkan secara suci pula yakni tidak dicelahi dengan sebarang bentuk hati busuk. Tidak dicelahi dengan rasa riyak, ujub, ingin dipuji, hendak nama, ingin dinilai dengan mata dunia atau dengan tujuan menolak kemudaratan manusia.


Dalam hal ini Allah ingatkan: Maksudnya:



Ingatlah, hanya kepunyaan Allahlah agama yang bersih (khalis).
(Az Zumar: 3)


Juga di ayat lain: Maksudnya:



Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan (mengikhlaskan) ketaatan kepada-Nya dalam menjalankan agama yang lurus. Dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus.
(Al Baiyinah: 5)


Untuk melakukan ikhlas ini sangat susah dan sulit terutama dalam sebarang amal ibadah kerana hati itu amat seni sekali. Nafsu itu sangat tersembunyi perasaan halusnya dan sangat payah dikesan. Untuk menguasainya amat sulit. Ia berbolak-balik setiap hari dan berubah-ubah pula setiap waktu dan detik. Perjalanannya tidak menentu. Bertukar-tukar dari ujub, riyak, sombong, dengki, gila puji, gila nama, ingin dinilai dengan harga dunia dan susah untuk didisiplinkan.


Amal ibadah itu selalu terdorong ke arah kepentingan-kepentingan dunia ini. Riyak, ujub dan lain-lain sifat mazmumah itu paling payah dihindari kerana gerakannya terlalu halus. Macam desiran semut, tidak dapat didengar bunyinya. Kita tidak terasa kemahuan-kemahuan nafsu atau dorongan-dorongan kemahuan hati yang jahat kerana halusnya itu. Inilah yang dikatakan syirik khafi. Kalau tidak disuluh dengan pandangan mata hati (basirah), ia tidak akan terasa adanya.


Salafussoleh, bila kenangkan hal-hal begini, mereka selalu menangis. Mereka paling takut terhadap syirik khafi ini. Takut ibadah mereka tidak ada harga di sisi Allah. Takut mereka akan muflis di Akhirat sedangkan untuk dapatkan ikhlas terlalu susah. Ikhlas hanya milik Allah. Ia adalah rahsia-Nya yang Dia sahaja yang tahu. Hatta para malaikat pun tidak tahu. Mereka hanya tahu amal lahir sahaja. S


ebab itu dalam sejarah pernah diceritakan betapa susahnya untuk dapatkan sifat ikhlas ini sebagaimana yang digambarkan oleh Sayidina Muaz. Rasulullah SAW bersabda: Puji syukur ke hadrat Allah SWT yang menghendaki agar makhluk-Nya menurut kehendak-Nya.
Wahai Muaz! Jawabku: Ya Saiyidil Mursalin.


Sabda Rasulullah SAW:




Sekarang aku akan menceritakan kepadamu, bahawa apabila dihafalkan (diambil perhatian) olehmu akan berguna tetapi kalau dilupakan (tidak dipedulikan) olehmu maka kamu tidak akan mempunyai hujah di hadapan Allah kelak.

Hai Muaz, Allah itu menciptakan tujuh malaikat sebelum Dia menciptakan langit dan bumi. Setiap langit ada seorang malaikat yang menjaga pintu langit dan tiap-tiap pintu langit dijaga oleh malaikat penjaga pintu menurut kadarnya pintu dan keagungannya.


Malaikat yang memelihara amalan si hamba akan naik ke langit membawa amalan itu ke langit pertama. Penjaga akan berkata kepada malaikat Hafazah: Saya penjaga tukang umpat. Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya kerana saya diperintahkan untuk tidak menerima amalan tukang umpat. Esoknya naik lagi malaikat Hafazah membawa amalan si hamba.


Di langit kedua penjaga pintunya berkata: Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya sebab dia beramal kerana mengharapkan keduniaan. Allah memerintahkan supaya ditahan amalan ini jangan sampai lepas ke langit yang lain.


Kemudian naik lagi malaikat Hafazah ke langit ketiga membawa amalan yang sungguh indah. Penjaga langit berkata: Lemparkan balik amalan ini ke muka pemiliknya kerana dia seorang yang sombong.


Rasulullah SAW meneruskan sabdanya:


Berikutnya malaikat Hafazah membawa lagi amalan si hamba ke langit keempat. Lalu penjaga langit itu berkata: Lemparkan balik amalan ini ke muka empunyanya.Dia seorang yang ujub. Allah memerintahkan aku menahan amalan yang ujub.


Seterusnya amalan si hamba yang lulus di langit kelima dalam keadaan bercahaya-cahaya dengan jihad, haji, umrah dan lain-lain tetapi di pintu langit kelima penjaganya berkata: Ini adalah amalan tukang hasad. Dia sangat benci pada nikmat yang Allah berikan pada hamba-Nya yang lain. Dia tidak redha dengan kehendak Allah. Sebab itu Allah perintahkan amalannya dilemparkan balik ke mukanya. Allah tidak terima amalan pendengki dan hasad.


Di langit keenam, penjaga pintu akan berkata: Saya penjaga rahmat. Sayadiperintahkan untuk melemparkan balik amalan yang indah ini ke muka pemiliknya kerana dia tidak pernah mengasihi orang lain. Kalau orang mendapat musibah dia merasa senang. Sebab itu amalan ini jangan melintasi langit ini.


Malaikat Hafazah naik lagi membawa amalan si hamba yang lepas hingga langit ketujuh. Rupa cahayanya bagaikan kilat dan suaranya bergemuruh. Di antara amalan itu ialah sembahyang, puasa, sedekah, jihad, warak dan lain-lain lagi. Tetapi penjaga pintu langit berkata: Saya ini penjaga sumah (ingin masyhur).


Sesungguhnya si pengamal ini ingin masyhur dalam kumpulan-kumpulan dan selalu ingin tinggi di saat berkumpul dengan kawan-kawan yang sebaya dan ingin mendapat pengaruh dari para pemimpin. Allah memerintahkan padaku agar amalan ini jangan melintasiku. Tiap-tiap amalan yang tidak bersih kerana Allah maka itulah riyak. Allah tidak akan menerima dan mengkabulkan orang-orang yang riyak.


Kemudian malaikat Hafazah itu naik lagi dengan membawa amal hamba yakni sembahyang, puasa, zakat, haji, umrah, akhlak yang baik dan pendiam, zikir pada Allah, diiringi malaikat ke langit ketujuh hingga sampai melintasi hijab-hijab dan sampailah ke hadrat Allah SWT. Semua malaikat berdiri di hadapan Allah dan semua menyaksikan amalan itu sebagai amalan soleh yang betul-betul ikhlas untuk Allah.


Tetapi firman Tuhan: Hafazah sekalian, pencatat amal hamba-Ku, Aku adalah pengintip hatinya dan Aku lebih mengetahui apa yang dimaksudkan oleh hamba-Ku ini dengan amalannya. Dia tidak ikhlas pada-Ku dengan amalannya. Dia menipu orang lain, menipu kamu (malaikat Hafazah) tetapi tidak boleh menipu Aku. Aku adalah Maha Mengetahui. Aku melihat segala isi hati dan tidak akan terlindung bagi-Ku apa saja yang terlindung. Pengetahuan-Ku atas apa yang telah terjadi adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas apa yang bakal terjadi. Pengetahuan-Ku atas orang yang terdahulu adalah sama dengan pengetahuan-Ku atas orang-orang yang datang kemudian. Kalau begitu bagaimana hamba-Ku ini menipu Aku dengan amalannya? Laknat-Ku tetap padanya.


Dan ketujuh-tujuh malaikat beserta 3000 malaikat yang mengiringinya pun berkata: Ya Tuhan, dengan demikian tetaplah laknat-Mu dan laknat kami sekalian bagi mereka. Dan semua yang di langit turut berkata: Tetaplah laknat Allah kepadanya dan laknat orang yang melaknat.


Sayidina Muaz kemudian menangis teresak-esak dan berkata: Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh selamat dari apa yang diceritakan ini?


Sabda Rasulullah SAW: Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam soal keyakinan. Muaz bertanya kembali: Tuan ini Rasulullah sedangkan saya ini hanya Muaz bin Jabal. Bagaimana saya boleh selamat dan boleh lepas dari bahaya tersebut?


Sabda Rasulullah SAW: Ya begitulah, kalau dalam amalanmu ada kelalaian maka tahanlah lidahmu jangan sampai memburukkan orang lain. Ingatlah dirimu sendiri pun penuh dengan aib, maka janganlah mengangkat diri dan menekan orang lain.Jangan riyak dengan amal supaya amal itu diketahui orang. Jangan termasuk orang yang mementingkan dunia dengan melupakan Akhirat. Kamu jangan berbisik berdua ketika di sebelahmu ada orang lain yang tidak diajak berbisik. Jangan takabur pada orang lain nanti luput amalanmu dunia dan Akhirat dan jangan berkata kasar dalam suatu majlis dengan maksud supaya orang takut padamu. Jangan mengungkit-ungkit apabila membuat kebaikan. Jangan merobekkan peribadi orang lain dengan mulutmu, kelak engkau akan dirobek-robek oleh anjing-anjing jahanam.


Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Di Neraka itu ada anjing-anjing perobek badan manusia. Muaz berkata: Ya Rasulullah, siapa yang tahan menanggung penderitaan semacam itu?


Jawab Rasulullah SAW: Muaz, yang kami ceritakan itu akan mudah bagi mereka yang dimudahkan Allah SWT. Cukuplah untuk menghindar semua itu, kamu menyayangi orang lain sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri dan benci apa yang berlaku kepada orang lain apa-apa yang dibenci oleh dirimu sendiri. Kalau begitu kamu akan selamat dan dirimu pasti akan terhindar."

PERANAN ROH, AKAL DAN KEPIMPINAN




Kita tahu bahawa Islam itu bertolak daripada iman . Namun iman sahaja tidak mencukupi. Ia perlu juga kepada ilmu dan amal . Islam itu ialah iman, ilmu dan amal . Tanpa ketiga-tiga elemen ini, maka Islam tidak akan terlaksana pada peribadi seorang Muslim. Untuk mencapai matlamat ini, roh dan akal mesti berperanan. Disamping itu seseorang muslim perlu mendapat pimpinan . Ketiga-tiga pengaruh ini wajib ada. Kalau tidak peribadi Muslim itu akan jadi cacat dan tidak sempurna.


Peranan Roh


Roh berperanan dalam soal iman. Roh melibatkan soal kepercayaan dan keyakinan. Tentang akidah dan pegangan. Tentang keimanan kepada Tuhan dan hari Akhirat. Tentang rasa cinta dan takut dengan Tuhan. Namun kalau peranan roh sahaja yang wujud tanpa ada peranan akal dan kepimpinan, maka seseorang itu akan menjadi fanatik. Dia akan menjadi taksub secara melulu. Perasaannya tidak seimbang dan sukar untuk dikawal. Dia ingin bertindak, beramal dan membuat sesuatu tetapi tidak tahu bagaimana dan apa caranya. Pertimbangannya juga tidak seimbang dan berat sebelah. Dia akan menjadi orang yang berjiwa tetapi kaku. Dia mahu bergerak tetapi tidak tahu bagaimana hendak menyusun langkah.


Peranan Akal


Akal berperanan dalam soal ilmu. Ia berkait dengan penyampaian dan penerimaan ilmu. Tentang taalim atau pengajian. Tentang pembelajaran. Peranan akal membuatkan seseorang itu menjadi alim dan bepengetahuan. Namun kalau peranan akal sahaja yang wujud dan peranan roh dan kepimpinan tidak ada, maka seseorang itu akan menjadi ahli ilmu yang tidak cinta dan tidak takut dengan Tuhan. Yang tidak ada cita-cita akhirat. Ilmunya akan digunakan untuk dunia semata-mata. Ilmunya akan dijual dan dikomersialkan. Ilmunya akan ditukar menjadi duit dan harta kekayaan. Ilmunya hanya untuk bermujadalah, berforum dan berseminar. Untuk mendapat pujian, wang ringgit, pangkat, jawatan dan glamour. Ilmunya tidak memberi kesan pada peribadinya. Dia tidak dapat beramal dengan ilmunya, jauh sekali untuk memperjuangkannya. Dia akan menjadi orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya. Dia akan menjadi jumud dan beku. Walaupun dia tahu bagaimana hendak menyusun langkah, tetapi dia tidak mempunyai kemahuan dan kekuatan dalaman untuk bergerak.


Peranan Kepimpinan


Kepimpinan melibatkan didikan, panduan, contoh dan suri teladan. Tentang bagaimana ilmu itu dapat dan patut diamalkan. Tentang siapa yang patut dicontohi dalam mengamalkan ilmu. Tanpa ada pimpinan dari seorang pemimpin sebagai contoh atau role-model, sukar ilmu dapat difahami lebih-lebih lagi untuk diamalkan dan dihayati. Tanpa pimpinan, ilmu akan hanya tinggal ilmu. Itu sebabnya di dalam agama, dihantar Rasul yang diberi atau yang membawa kitab. Bukan kitab sahaja yang dihantar tanpa Rasul. Kalau kitab sahaja yang dihantar, maka tidak akan ada contoh atau role-model untuk diikuti. Tanpa contoh dan role-model, mustahil ilmu dapat difahami dan diamalkan. Dalam hendak mengamalkan ilmu dan dalam hendak menjadi seorang muslim yang sempurna, contoh fizikal atau kepimpinan sangat perlu. Semua bentuk peranan ini mesti ada. Tidak ada satu yang boleh dinafikan. Barulah ia boleh lengkap melengkapkan. Peranan roh dan akal mesti bergabung dan contoh atau pimpinan mesti dicari.



Inilah ramuan-ramuan yang perlu untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna. Kalau ramuan ini tidak cukup, usaha untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna akan menjadi sia-sia. Lebih-lebih lagilah untuk menjadi seorang yang Mukmin yang bertaqwa. Sebab orang Mukmin yang bertaqwa itu, mesti sempurna Islamnya terlebih dahulu .

11 Mac 2008

SENARIO UMAT ISLAM : DULU, KINI DAN AKAN DATANG




Umat Islam : Satu Ketika Dulu


Umat Islam pernah berada di era kegemilangan. Ianya telah menjadi bukti sejarah. Kegemilangan umat ketika itu bukan sahaja berjaya menguasai ¾ dunia tetapi juga turut melalui tempoh yang panjang iaitu 700 tahun atau tujuh abad. Zaman kegemilangan umat itu adalah di atas kehendak dan pertolongan Allah SWT kerana mereka memiliki ciri-ciri peribadi agung. Peribadi-peribadi agung itu sangat dipandang oleh Allah SWT hingga layak memperolehi naungan Allah SWT, hingga bangsa-bangsa lain seronok bernaung di bawah mereka.

Martabat dan maruah umat itu diangkat oleh Allah SWT bukan tanpa sebab atau secara tidak sengaja melainkan kerana mereka amat berpegang dengan Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Mereka benar-benar berperanan sebagai hamba. Sifat dan rasa kehambaan mereka amat kuat sehingga memusnahkan segala sifat mazmumah dan sifat keji. Mereka juga benar-benar menghayati rasa berTuhan. Mereka benar-benar merasai di dalam kekuasaan Allah SWT. Taqwa mereka sangat tinggi. Syariat sangat dijaga dalam semua aspek. Sangat takut dan cemas berhadapan dengan akhirat lantaran itu mereka takut untuk berbuat dosa.

Mereka juga memiliki sifat-sifat kekhalifahan yang sangat menonjol. Mereka begitu bersungguh-sungguh melaksanakan ajaran islam dalam aspek hablumminnannas atau urusan hidup berpandukan syariat islam. Ertinya mereka yang habluminAllah dan hablumminnannas sama kuat dan sama naik. Memimpin dan ibadah berjalan serentak. Semakin banyak urusan kehidupan maka semakin sibuk pula dengan Tuhan. Dan begitulah sebaliknya apabila memperolehi kekuatan dan ibadah kepada Allah SWT maka semakin gigih pula memimpin dan mencatur urusan kehidupan manusia.

Mereka inilah yang ditujukan oleh Rasulullah SAW daripada sabdanya yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah, dengan kitab ini (Al Quran) meninggikan darjat satu kaum dan menjatuhkan kaum-kaum yang lain”. (Riwayat Muslim)


Umat Islam Kini

Kini apabila umat Islam melupai Allah SWT, mengabaikan sunnah RSAW maka umat Islam menjadi hina dina di mana-mana. Ini jelas apabila umat islam sendiri dilanda berbagai krisis. Dunia islam porak peranda, pertelingkahan, permusuhan malah peperangan berlaku di mana-mana. Saling tindas menindas, zalim menzalimi, berhasad dengki, jatuh menjatuh, fitnah menfitnah, kutuk mengutuk, tamak haloba, rakus dan berbagai gejala negatif. Hingga ke peringkat seolah-olah menjadi juara gejala nagatif dalam beberapa aspek tertentu umpama dadah.

Boleh juga rata-rata umat islam kini dapt digambarkan menurut ciri-ciri berikut antaranya :
Boleh dianggap seperti haiwan yang merupakan manusia hanya kerana kehidupan mereka atau kecenderungan mereka hanya kepada makan minum, hiburan dan seks. Persoalan tuhan dan akhirat sudah padam dari fikrian dan hati mereka.


Jiwa mereka kosong. Hilang kebahagiaan, putus asa, kecewa, menderita. Tidak boleh disentuh oleh ujian atau musibah, mereka akan menjadi resah, merana dan rusuh.


Manakala kalau memperolehi nikmat mereka terlajak dan lupa daratan, menjadi sombong dan membuatkan orang lain tersinggung. kekuasaan yang dimilikinya akan dimusnahkan dengan apa cara sekalipun.Lawan atau musuhnya akan dimusnahkan dengan apa cara sekalipun.

Kebenaran sukar diterima, dan tidak boleh ditegur, mereka akan mudah melatah. Teguran dan kritikan dianggap penentangan. Pujian dianggap sokongan dan kesetiaan.Membazir, berpoya-poya adalah resam dan budaya hidup mereka.Hanya memikirkan untung dan seronok tanpa mengira halal haram.


Gejala negatif tidak dibendung malah turut memberi laluan dan sumbangan kepada membiak dan merebaknya gejala negatif. Dan tenggelam punca pula untuk menyelesaikannya.Agama dan akhlak dianggap persoalan individu, malah dianggap penghalang kemajuan.Agama hanya sekadar upaya sekali sekala. Itupun hanya label dan tempelan yang sangat bersifat kulit. Kadang-kadang agama bukan untuk penghayatan tetapi sekadar propaganda untuk meraih sokongan.


Umat Islam akan Kembali Gemilang

Umat islam akan kembali gemilang. Saat dan ketikanya sudah menjelang tiba. Ini adalah ibarat era kebangkitan islam. Siapa yang menolaknya ibarat menentang arus. Kegemilangan Islam kali kedua bukan satu ramalan, rekaan atau khayalan. Ianya pasti terjadi kerana ianya merupakan janji dari lidah RSAW.

Janji RSAW itu sepatutnya disambut penuh kegembiraan oleh umat islam zaman ini kerana kita ditakdirkan oleh Allah SWT hidup di zaman yang insyaAllah dapat melihat dan menikmati kegemilangan islam. Dan yang lebih penting lagi ialah jadikan diri sebagai di antara orang yang turut menyumbang kepada kegemilangan islam itu sendiri.

Kalau diibaratkan seseorang menghadapi gerbang perkahwinan, dalam kegembiraan menghadapinya tentulah dipersiapkan segala keperluan yang berkaitan. Malah lazimnya terjadi adalah segala persiapan itu sedikitpun tidak mahu ada cacat celanya. Sama ada persiapan diri dan persiapan majlis perkahwinan.

Oleh kerana kegemilangan islam kali kedua ini menepati ciri-ciri kegemilangan islam kali pertama (zaman RSAW dan sahabat-sahabatnya) maka proses persediannya juga mestilah menepati ciri-ciri zaman ummah pertama. Pada asasnya aspek ini mestilah diberi perhatian yang paling utama iaitu taqwa. Tanpa taqwa kejayaan tidak akan diberikan oleh Allah SWT. Kalaupun boleh juga mencapai kemenangan mungkin kerana pandai, pintar ada kekuatan, strategi pula mengena, namun itu tidak diiktiraf sebagai kemenangan hakiki yang diredhai oleh Allah SWT.

Melalui sifat taqwa, syariat diambil kira dalam segala usaha dan perbuatan. Usaha yang bersungguh-sungguh tidak menjejaskan pula kesungguhan membaiki diri. Rasa berTuhan dipertajamkan dan diperhalusi. Rasa kehambaan juga bertambah mendalam. Pergantungan hati dengan Allah SWT tidak pernah lekang atau lalai.

Atas dasar taqwa sajalah akan lahir masyarakat yang menjadi idaman dan dirindui oleh setiap mukmin. Pemimpin bertaqwa saja yang terjamin memiliki sifat keadilan, orang kayanya tawaduk dan pemurah, para ulama menjadi contoh dan menjadi obor mendidik umat. Taqwa sajalah yang melahirkan para pekerja yang jujur, orang miskin yang sabar dan redha, para suami bertanggungjawab, para isteri yang taat, anak-anak yang menghormati ibu bapa. Taqwa sajalah yang mampu mewujudkan masyarakat yang gejala negatifnya berada di tahap yang sangat minimum, berkasih sayang, perpaduan yang kukuh, bertolong bantu, sejahtera dan harmoni.

Taqwa inilah yang mesti diusahakan serta disebarluaskan kepada segenap masyarakat. Selepas itu nanti akan sama-sama melihat betapa Allah SWT menurunkan bantuan dan pertolongan sebagaimana yang berlaku di era kegemilangan umat terdahulu. Allah SWT pasti menunaikan janjiNya kepada orang-orang yang bertaqwa. Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

Barang siapa memperbaiki hubungannya dengan Allah SWT maka Allah SWT akan menyempurnakan hubungannya dengan manusia. Barang siapa memperbaiki apa yang dirahsiakan (taqwa) maka Allah akan memperbaiki apa yang dilahirkannya”.

(Riwayat Al Hakim)

10 Mac 2008

APAKAH YANG KITA PERJUANGKAN?





Alhamdulillah, diwaktu ini ramai kita melihat orang-orang perseorangan, jemaah, parti dan kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan Islam dalam berbagai bentuk dan ragamnya. Ramai yang mengakui mereka itu pejuang-pejuang Islam.



Ada yang memperjuangkan Islam di bidang politik. Mereka mahu parti mereka memegang tampuk pimpinan negara. Mereka mahu hukum hudud dilaksanakan. Ada yang memperjuangkan Islam di bidang ekonomi. Mereka mahu tegakkan sistem perbankan Islam, sistem takaful Islam, sistem pinjaman wang dan pembelian secara Islam dan sebagainya. Ada yang memperjuangkan Islam di bidang ibadah. Mereka mahukan semua orang datang ke masjid dan surau untuk beribadah dan untuk menegakkan sunnah terutama di bidang ibadah. Mereka mahu orang berusaha untuk mengejar pahala dan fadilat. Ada yang memperjuangkan Islam di bidang ilmu. Buka sekolah, madrasah, kolej dan universiti Islam supaya ilmu Islam dapat dikembangkan dan berbagai-bagai lagi.



Namun semua ini tertumpu kepada hal-hal syariat. Semuanya tertumpu kepada soal lahir. Hudud, ekonomi, ibadah dan ilmu itu semuanya adalah soal lahir dan soal syariat belaka.


Orang-orang dan kumpulan-kumpulan ini nampak gigih berjuang. Mereka seolah-olah berada dimana-mana. Tetapi mereka tidak sedar bahawa perjuangan mereka itu, walaupun dibuat di atas nama Islam, sangat jauh tersimpang dari kehendak Tuhan. Ia jauh tersimpang dari cara Rasulullah SAW berjuang. Perjuangan mereka bukan sahaja tidak lengkap, tidak bulat dan tidak syumul, malahan ia telah lari dari matlamat perjuangan sebenar sepertimana yang Rasulullah ajar kepada kita.


Agama yang Rasulullah bawa terdiri dari tiga perkara pokok, iaitu: • Iman • Islam • Ihsan



Iman itu ialah aqidah.


Islam itu ialah syariat.


Ihsan itu ialah tasawuf.


Oleh itu, kalau kita perjuangkan Islam sahaja iaitu syariat, apa pula halnya dengan iman dan ihsan. Dimana aqidahnya. Di mana pula tasawufnya. Syariat tanpa aqidah dan tasawuf tertolak. Tuhan tidak terima. Agama itu bukan syariat sahaja. Ia merangkumi juga aqidah dan tasawuf. Lebihlebih lagilah aqidah sebab ia soal pokok. Memperjuangkan syariat semata-mata tanpa aqidah belum boleh dikatakan memperjuangkan agama.




Perjuangan agama mesti dimulakan dengan iman atau aqidah. Iman dan aqidah adalah soal ketuhanan. Oleh itu, perkara pertama di dalam memperjuangkan agama ialah memperkenalkan Tuhan kepada manusia, supaya manusia kenal Tuhan. Supaya manusia cinta dan takut dengan Tuhan. Apabila manusia sudah cinta dan takut dengan Tuhan, syariat mudah ditegakkan. Tidak perlu diperjuangkan sangat. Sudah tentu orang yang cinta pada Tuhan akan suka melaksanakan apa sahaja yang Tuhan suruh. Sudah tentu juga, orang yang takut pada Tuhan tidak akan mahu melanggar perintah dan larangan Tuhan.




Matlamat agama bukan syariat. Matlamat agama ialah Tuhan. Khususnya mendapat redha, rahmat, kasih sayang dan keampunan Tuhan. Hanya dalam kita hendak menyembah, mengabdi diri, berbakti dan membesarkan Tuhan, kita tidak boleh memandai-mandai dan mencipta cara kita sendiri. Itu sebabnya syariat diturunkan. Syariat adalah jalan atau cara untuk kita menyembah, membesar dan mengagungkan Tuhan sepertimana yang Tuhan mahu.


Tidak boleh kita memperjuangkan agama tanpa kita perjuangkan Tuhan dan mempromosikan Tuhan kepada manusia. Tidak boleh kita perjuangkan syariat tanpa kita perjuangkan Tuhan terlebih dahulu. Nanti akan terjadi dalam perjuangan kita itu tidak ada Tuhan.Dalam pemerintahan kita, tidak ada Tuhan. Dalam hukum hudud kita, tidak ada Tuhan. Dalam ibadah kita, tidak ada Tuhan dan dalam ilmu kita juga tidak ada Tuhan. Takut-takut nanti kita membesarkan syariat tetapi tidak membesarkan Tuhan.


Orang yang hendak Islam dan orang yang hendak Tuhan tidak sama. Orang yang memperjuangkan Tuhan akan dapat Islam kerana Islam itu Tuhan punya. Akan tetapi, orang yang memperjuangkan Islam belum tentu akan dapat Tuhan.


Perjuangan yang tidak ada Tuhan di dalamnya ialah perjuangan ideologi, bukan perjuangan agama. Dalam perjuangan ideologi memang tidak ada Tuhan. Oleh itu, kalau dalam perjuangan kita tidak ada Tuhan, maka samalah perjuangan kita itu dengan perjuangan komunis, sosialis dan demokrasi. Dalam perjuangan agama, mesti ada Tuhan. Malahan dalam perjuangan agama, soal Tuhan adalah soal pokok. Soal syariat, sama ada syariat lahir atau syariat batin (tasawuf), ia jatuh nombor dua.


Jangan kita gunakan hujah bahawa umat Islam sudah kenal Tuhan. Itu sebab mereka Islam. Oleh itu tidak perlu lagi kita bawa mereka kepada Tuhan. Umat Islam hanya perlu memperjuangkan dan menegakkan syariat sahaja.


Hujah itu tidak masuk akal dan sangat jauh dari realiti.


Siapa kata umat Islam sudah kenal Tuhan?


Siapa kata umat Islam itu Islam kerana mereka kenal Tuhan?




Orang yang benarbenar kenal Tuhan tidak akan berperangai dan berwatak seperti kebanyakan umat Islam yang ada pada hari ini. Cuba kita tanya, berapa peratus umat Islam yang bersembahyang. Sedangkan meninggalkan sembahyang dengan sengaja itu kufur hukumnya. Dan orang yang meruntuhkan sembahyang itu sebenarnya meruntuhkan agama. Sedarlah kita bahawa lebih dari 75% umat Islam tidak sembahyang lima waktu secara tetap dan istiqomah? Sedarkah kita bahawa 75% umat Islam kerjanya hari-hari ialah meruntuhkan Islam kerana mereka meruntuhkan sembahyang? Inikah orangnya yang kenal Tuhan? Inikah orangnya yang hendak kita harapkan untuk menegakkan syariat?


Cuba pula kita lihat berapa banyak umat Islam yang terjebak dan terlibat dengan bermacam-macam bentuk maksiat. Baik menagih dadah, minum arak, pergaulan bebas lelaki perempuan, berjudi, berzina, rogol, buang anak, membunuh, mencuri, merompak, pecah rumah, pop, rock, metal dan sebagainya. Inikah kerja umat yang kenal Tuhan? Inikah umat yang layak dan mampu menegakkan syariat?


Percaya Tuhan itu lain. Kenal Tuhan itu lain. Memang umumnya umat Islam percaya Tuhan. Tetapi berapa keratkah umat Islam yang kenal Tuhan. Setakat percaya Tuhan, orang Nasrani pun percaya Tuhan. Orang Yahudi pun percaya Tuhan. Malahan orang Hindu pun percaya Tuhan. Setakat percaya Tuhan sahaja tidak cukup untuk membina aqidah dan pegangan. Tanpa aqidah dan pegangan, jangan kata hendak menegakkan seluruh syariat, hendak mengamalkan fardhu ain atas diri sendiri pun susah. Hendak mengelak dari melakukan dosa dan maksiat lebih-lebih lagi susah.



Orang yang kenal Tuhan ialah orang yang arifbillah. Dia bukan setakat tahu sifat-sifat Tuhan tetapi dia merasa bertuhan. Sifat-sifat Tuhan itu tertanam dan mencengkam hati sanubari dan perasaannya. Di mana sahaja dia pergi dan apa juga yang dia buat, dia sentiasa merasa Tuhan melihatnya, mendengarnya dan mengetahui segala apa yang terdetik di hatinya. Dia rasa hebat, gerun, malu, berdosa dan lemah di sisi Tuhan.


Orang seperti ini sahaja yang mampu menegakkan syariat. Orang seperti ini sahaja yang ada kekuatan untuk menegakkan syariat. Orang seperti ini sahaja yang akan diberi hidayah dan taufik dan yang akan dibantu oleh Tuhan.


Orang yang hanya setakat percaya dan tahu sifat-sifat Tuhan, mereka ini orang-orang yang lemah aqidah. Mereka dicorak oleh suasana. Mereka tidak mampu mencorak atau mengubah suasana. Kalau suasana rosak, mereka ikut rosak. Mana mungkin orang macam ini dapat menegakkan syariat. Kerja menegakkan syariat ini kerja berat walaupun syariat yang hendak ditegakkan itu syariat yang ringan sahaja. Jangan cakap pasal hudud. Itu berat sangat. Hendak tutup aurat dan pakai tudung pun mereka tidak mampu. Hendak berhenti menghisap rokok pun payah.





Rata-rata umat Islam adalah Islam tradisi. Mereka Islam kerana mak ayah dan datuk nenek mereka Islam. Mereka jadi Islam secara tidak sengaja, sedar-sedar sahaja sudah Islam. Islam mereka bukan di atas kesedaran atau pilihan hati. Mereka tidak kenal Tuhan. Tidak hairanlah mereka tidak kenal syariat. Halal haram pun mereka tidak tahu.

Jelaslah bahawa untuk memperjuangkan agama, Tuhan mesti diperjuangkan dahulu. Tuhanlah matlamat kita dan Tuhan lah yang akan memimpin dan menolong kita. Syariat bukan matlamat. Syariat hanya cara, jalan dan kaedah. Apa gunanya kita memperjuangkan cara dan kaedah kalau ia tidak membawa kita kepada Tuhan. Bukankah tujuan kita beragama untuk mendapat Tuhan?
Disamping itu, perjuangan agama bukan sahaja untuk umat yang sudah Islam. Ia juga untuk manusia yang belum Islam. Oleh itu, kalau syariat sahajalah yang kita perjuangkan, bagaimanakah orang bukan Islam dan orang-orang kafir akan tertarik dengan Islam? Fitrah manusia tidak tertarik dengan syariat. Malah sesetengah syariat itu dipandang payah, susah dan menakutkan. Fitrah manusia inginkan Tuhan. Setelah betul hubungan manusia dengan Tuhan dan setelah manusia benar-benar kenal, cinta, takut dan beriman dengan Tuhan, barulah mereka akan mampu menerima syariat walaupun payah dan susah. Bukan senang hendak sembahyang, bukan senang hendak bayar zakat, bukan senang hendak menerima hukum hudud dan sebagainya. Hatta berkhatan pun ramai orang bukan Islam takut.

Kalau memperjuangkan syariat salah dan memperjuangkan Islam pun salah, jadi apakah sebenarnya yang patut kita perjuangkan? Tuhan mahu kita perjuangkan kebenaran. Rasulullah juga mengajar kita memperjuangkan kebenaran. Yang perlu kita tegakkan bukan setakat syariat, bukan setakat Islam tetapi kebenaran.


Apakah maksud memperjuangkan kebenaran?


Memperjuangkan kebenaran bermula dengan memperjuangkan Tuhan.


Mengajak manusia kepada Tuhan.


Mengajak manusia merasa kebesaran dan keagungan Tuhan.


Mengajak manusia kepada rasa bertuhan dan rasa kehambaan.


Mengingatkan manusia bahawa Tuhan itu adalah segala-galanya.




Kita perlu wujudkan dan betulkan hubungan kita dengan Tuhan. Di antara lain kita perlu kenal, beriman, yakin, tawakal, bergantung harap, berserah diri, taat, patuh, baik sangka, cinta dan takut dengan Tuhan.


Termasuk juga memperjuangkan kebenaran ialah memperjuangkan segala perintah Tuhan baik yang berbentuk suruhan ataupun larangan, hukum hakam, peraturan dan segala sistem yang Tuhan telah tetapkan di dalam semua aspek kehidupan. Ini termasuklah dalam ibadah, pentadbiran, perundangan, pendidikan, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya.


Ketiga ialah memupuk perpaduan, kasih sayang, rasa bersama dan bekerjasama, keharmonian, saling bertolong bantu dan bela-membela sesama manusia. Juga kita perlu perjuangkan akhlak dan budi pekerti manusia.


Inilah kebenaran dan inilah yang mesti diperjuangkan. Bila disebut kebenaran, ada Iman didalamnya, ada Islam di dalamnya, ada Ihsan di dalamnya. Dalam erti kata yang lain, ada aqidah didalamnya, ada syariat didalamnya dan ada tasawuf di dalamnya. Maka lengkap dan syumullah perjuangan itu. Kalau agama diperjuangkan secara serpihan dan tidak mengikut cara dan kaedah perjuangan Rasulullah, sudah pasti ia akan gagal. Yang lebih bahaya lagi, ia akan melahirkan lebih banyak kerosakan dari kebaikan. Orang yang memperjuangkan syariat tanpa Tuhan, kalau dia berwatak pasif, dia akan jadi beku dan jumud. Kalau dia berwatak agresif, dia akan jadi kasar dan militan. Walau apa pun, kedua-duanya tidak betul dan menyalahi kehendak Tuhan.


Agama Islam itu agama kebenaran. Memperjuangkan agama Islam itu adalah memperjuangkan kebenaran. Kebenaran adalah dari Tuhan. Oleh itu dalam hendak menegakkan agama Islam, Tuhan tidak boleh diketepikan. Tidak akan ada kebenaran kalau tidak ada Tuhan.




7 Mac 2008

ROH DAN PERANANNYA



Untuk membangunkan satu kehidupan agar selamat di dunia dan selamat di Akhirat, agar masyarakat makmur dapat pula keampunan Tuhan, kemajuan dan tamadun tercapai, akhlak yang mulia juga wujud dan jadi budaya di dalam kehidupan, ia bak bunga yang kembang di taman yang indah yang sangat menarik pandangan dan tempat jatuhnya hati manusia, kekayaan dan makan minum mewah, budi juga mewah dan terserlah, kemudahan-kemudahan hidup cukup, tapi disiplin dan tatasusila manusia juga tinggi, tamadun tinggi tapi manusianya merendah diri, maka roh atau hati atau jiwa manusia hendaklah dibangunkan. Dari pembangunan jiwa, lahir tamadun kerohanian atau akhlak yang mulia atau terbangun insaniah manusia yang dikatakan oleh kita selalu iaitu jati diri.

Di dalam diri manusia, roh adalah sebagai raja, akal sebagai penasihat, nafsu adalah musuhnya manakala anggota lahir (jawarih) adalah rakyat di dalam diri. Kalau raja di dalam diri baik, seluruh anggota (rakyat di dalam diri) menjadi baik. Samalah seperti di dalam sebuah negara, ada keterangan di dalam kitab mengatakan: Maksudnya: "Manusia itu mengikut agama pemerintahnya."

Ertinya bagaimana sikap pemerintah begitulah sikap rakyatnya. Begitulah pemerintah di dalam diri (hati atau roh). Bagaimana keadaannya begitulah anggota lahirnya sebagai rakyat di dalam diri. Kalau hati baik (raja di dalam diri baik), maka baiklah anggota lahir manusia (rakyat di dalam diri). Kalau hati jahat maka jahatlah seluruh anggota lahir manusia. Ia memang telah ditegaskan oleh Hadis Nabi Maksudnya: "Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baiklah seluruh badan, apabila dia rosak, rosaklah seluruh badan. Ketahui olehmu itulah dia hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru itu hati (roh) wajib dibangunkan dengan cara dididik dan diasuh. Ini kerana dari pembangunan jiwa, lahirlah kebudayaan, tamadun kerohanian dan akhlak mulia yang sangat penting. Ia tempat pandangan Allah dan tempat jatuh hati manusia. Dan kerana itulah para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam diutus oleh Allah SWT demi untuk pembangunan insaniah tersebut. Mereka tidak diutus kerana pembangunan material dan fizikal.

Pembangunan material, tanpa rasul dan nabi pun manusia boleh membangunnya. Itu memang telah dibuktikan oleh sejarah, manusia membangun tidak perlu adanya orang kerohanian seperti rasul dan nabi atau ulama ul amilin. Contohnya bangsa Rom, Yunani, Farsi, bangsa-bangsa yang disebut di dalam Al Quran seperti kaum `Aad, kaum Tsamud, kaum Saba` dan bangsa Babil atau Babylon. Mereka membangun dan menegakkan tamadun tanpa orang-orang kerohanian bahkan mereka menolak para rasul dan menentangnya.

Lantaran itulah juga Rasulullah SAW pernah bersabda:

Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan kerana menyempurnakan akhlak yang mulia." (Riwayat Malik)



Maksudnya: "Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik akhlaknya." (Riwayat At Tabrani)


Perlu diingatkan bahawa membangunkan insaniah untuk melahirkan akhlak yang mulia pada seorang manusia, tidak semudah yang kita sangka. Betapalah kalau satu keluarga, sebuah sekolah, satu kampung, satu mukim, sebuah daerah, satu negeri, lebih-lebih lagilah satu negara. Membangunkan material seperti membangun sebuah bangunan 100 tingkat mungkin lebih mudah daripada membangunkan insaniah seorang manusia. Membangunkan pencakar langit setinggi 100 tingkat mungkin boleh siap dengan memakan masa tiga tahun, tapi hendak membangunkan insaniah seseorang manusia, mungkin memakan masa 30 tahun, itu pun belum tentu berjaya.


Lantaran itulah untuk pembangunan insan ini Allah datangkan orang-orangNya iaitu para rasul dan para nabi alaihimussolatuwassalam. Selepas itu mereka yang tunduk kepada ajarannya seperti para auliya, kemudian para ulama ul amilin, paling tidak orang yang soleh. Apabila disebut akhlak, akhlak yang utama terbahagi kepada dua iaitu:
Pertama: akhlak kepada Allah.
Kedua: akhlak kepada manusia.

Akhlak kepada Allah, di antaranya yang paling besar selepas beriman kepada-Nya ialah menyembah-Nya (sembahyang), ikhlas, rasa bertuhan, ertinya hati sentiasa merasa di mana sahaja kita berada, Allah sentiasa mengawasi, melihat dan mendengar terhadap kita, rasa malu, rasa takut, rasa kasih, sabar, redha, tawakal, khusyuk, khuduk.

Akhlak kepada manusia di antaranya kasih sayang, pemurah, mesra, adil, amanah, menunai janji, bercakap benar, merendah diri, bertolak ansur, ziarah-menziarahi, berlemah-lembut, bertolong bantu, baik sangka. Selain dua bahagian akhlak yang utama ini ada lagi akhlak dengan haiwan dan jamadat seperti pokok, batu dan lain-lain lagi. Kita tidak boleh menyeksa binatang sesuka hati. Kalau kita memeliharanya seperti kambing, disediakan kandangnya, makan minumnya, sakit diubati, jika disembelih gunakan pisau yang tajam. Begitu juga dengan jamadat seperti pokok, kita tidak boleh menebang pokok sesuka hati, mesti ada maksud dan tujuan yang memberi manfaat.

Begitu sekali luas akhlak di dalam ajaran Islam dan begitu indah sekali akhlak yang dianjurkan oleh agama akhir zaman ini. Ia bersifat sejagat, ia disukai oleh semua manusia sekalipun orang bukan Islam. Justeru itulah kalau umat Islam kembali berakhlak seperti zaman tiga kurun selepas Rasulullah SAW, umat Islam akan dihormati semula oleh dunia kerana dengan akhlak yang mulia terlalu sedikit orang hasad dengki. Kerana akhlak bersifat sejagat laksana bunga yang indah, tidak ada orang yang tidak suka dan tertarik.

SUSAHNYA MELAKUKAN IKHLAS


Ikhlas adalah paling tinggi selepas iman. Ia adalah rahsia Tuhan hinggakan para malaikat pun tidak tahu dan yang empunya diri pun tidak dapat mengesannya. Ia adalah penentu samada amalan diterima atau ditolak.

Ada para sahabat apabila mendengar tentang ikhlas menangis mereka. Mereka merasa tidak selamat, rasanya tidak mungkin dapat perolehinya yang begitu tinggi nilainya kerana susahnya mendapat sifat ikhlas. Islam tidak membenarkan seseorang mengaku ikhlas. Siapa yang mengaku ikhlas walaupun sebelum ini ikhlas, otomatik, ikhlasnya terbatal.

Contoh-contoh bagaimana yang dikatakan mengaku ikhlas:

Membantu seseorang sambil berkata, "Ambillah, saya ikhlas".

Menolong seseorang tapi pertolongannya ditolak. "Saya tolong awak ini ikhlas, tapi sedih, awak menolak..".

Dalam menulis surat kita selalu mengakhiri dengan tandatangan, "Yang ikhlas", "Yang Benar."

Dalam Islam, mengaku baik adalah salah. Siapa yang mengaku ikhlas, siang-siang lagi terbatal. Tiada siapa yang mengetahui siapa yang ikhlas sekalipun yang empunya diri. Tiada siapa yang berhak mengaku ikhlas, cuma berusaha moga-moga jadi ikhlas dan moga-moga diterima Allah.

ERTI IKHLAS

Murni, bersih, jenis dia sahaja, tidak bercampur jenis-jenis yang lain. Tidak dinodai seperti air yang tidak bercampur dengan sabun, tepung, sebab apabila sudah bercampur dengan benda lain, sudah tidak khalis lagi (tidak pure ). Begitulah dalam beramal, solat, zakat, baca Quran, mengajar, berdakwah, menolong, motivasi, forum, ceramah, belajar, semata-mata kerana Allah:

1. kerana suruhanNya
2. kerana keredhoaanNya
3. kerana arahanNya
4. kerana mentaatiNya
5. kerana patuh padaNya


Jadi perkara di atas adalah dari sebab atau keranaNya yang SATU, tujuan satu, dan didorong oleh yang satu iaitu ALLAH. Abdikan diri kerana Allah, tidak dicampur atau bercampur selain Allah - itulahikhlas - dorongannya satu.

Apa yang nak berlaku atau nak jadi atau tidak jadi, tidak timbul sama sekali sebab niat semata-mata kerana Allah. Sekiranya niat, dorongannya telah tercampur atau terselit niat-niat yang lain dari Allah seperti kerana riak, megah, glamor, pangkat, orang minta, takut orang tidak suka, mental exercise, boring tinggal di rumah, undi, uji kemampuan, hendak berlawan, hendakkan piala, hadiah, kerana kawan - maka ia tidak khalis atau ikhlas telah ternoda. Dengan itu boleh jatuh syirik khafi. Di akhirat nanti Allah menyuruh dia meminta pada orang yang dia niat kerananya.

Untuk ikhlas, sebenarnya amat susah sekali terutama yang ada kaitan kepentingan umum atau orang ramai yakni yang terdedah kepada pandangan umum seperti: berdakwah, mengajar, gotong-royong, baca Al-Quran di depan orang, forum, upacara memberi hadiah; lebih-lebih lagi orang yang tidak memikirkan hati lalu hati dibiar dan terbiar. Jarang diambil kira, selalunya ramai yang terjebak.

Khususul Nafs - kepentingan diri seperti ingin popular, disedari atau tidak kerana kurang menyuluh hati. Awal-awal lagi nawaitu (niat) telah rosak seperti membuat rumah di atas lumpur.

Ada tiga jenis kerosakan yang berlaku pada 3 jenis kedudukan:

Kerosakan awal

Contohnya seperti berdakwah. Sebelum memberi ceramah, hati kecilnya berkata, "Inilah masanya nak jadi popular", "Aku akan jadi terkenal", "Dengan ceramah ini dapatlah duit poket." Ada juga yang berniat untuk menghentam seseorang atau golongan tertentu sebelum berceramah, akibatnya rosaklah ikhlasnya ibarat orang yang melukis di atas air.

Kerosakan pertengahan

Niat untuk berceramah sudah baik tetapi sewaktu berceramah, ada pendengar yang angguk-angguk atau ada yang menangis kerana mendengar ceramah yang memberi kesan itu hingga hati kecil kita berkata, "Hebat juga aku hingga ada orang boleh terima ceramah ini dan ada pula yang menangis."

Kerosakan akhir

Niat dan sewaktu berceramah tidak ada apa-apa yang rosak, berjalan dengan baik tetapi sewaktu balik dari berceramah ada kawan yang datang bersama di dalam kereta berkata, "Hebat betul ceramah ustaz tadi hingga ada yang menangis." Waktu itu maka datanglah rasa ujub hingga lupa ia semua itu datang dari Allah jua. Sepatutnya ia merasa malu kerana ini semua bukan dari dirinya tetapi hakikatnya dari Allah.


Orang begitu ibarat membangunkan rumah tiba-tiba siap sahaja rumah itu terus runtuh. Orang ramai tidak juga berubah sebab hati sudah cacat. Orang ramai memuji kita, tetapi tetap tidak berubah sebab dari rasa riak. Sifat taqwa sudah ternafi. Oleh itu buatlah kerja-kerja dengan penuh tawadhu, takut dan cemas samada diterima amalan kita atau ditolak.
"Sesungguhnya Allah tidak melihat amalan lahir kamu, tapi amalan hati kamu."

Apabila kita melakukan sesuatu niat kerana Allah semata-mata, tetapi ada orang mengkritik kita, kita melenting, hati tidak senang dengan orang itu, bermakna kita masih mempunyai niat lain selain dari Allah.

Dalam menghadapi keadaan dimana susahnya untuk mendapat ikhlas ini, kita berdoalah pada Allah dengan doa yang berikut:
"Wahai Tuhan, rasanya kami belum berbuat apa-apa sebelum ini. Kalaupun ada berbuat sudah tentu ada kepentingan diri. Kalaulah bukan pimpinan dan bantuan Mu Tuhan, rasanya sebarang amalan kami mungkin tertolak semuanya. Berilah selalu hidayah dan taufiq Mu, ya Allah agar segala lahir dan batin menuju keredhoaan Mu, ya Allah.Amin".

Sekian

6 Mac 2008

JADUAL AKHIR ZAMAN ?




Jadual Tuhan


Tuhan telah mengkhabarkan kepada kita melalui lidah Rasul-Nya bahawa Allah telah ‘set’kan satu Jadual Tuhan untuk umat yang datang sesudah wafatnya Nabi akhir zaman. Itulah kasih sayang Allah dan Rasul-Nya kepada umat Islam, yang untuk mereka tidak ada lagi nabi dan rasul. Maka diceritakanlah perkara-perkara yang bakal terjadi sama ada yang positif atau negatif. Dengan mengetahui dan memahami jadual itu, umat Islam terpandu atau terpimpin untuk menghadapi dan mene­rima takdir yang bakal berlaku.


Antara jadual yang dimaksudkan itu ialah:


Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah zaman kenabian itu sebagai­ma­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengang­kat zaman itu. Kemudian berlakulah Zaman Kekha­lifahan (Khulafaur Rasyidin) yang berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya. Lalu berlakulah zaman pemerintahan yang menggigit (Zaman Fit­nah). Berlakulah zaman itu sepertimana yang Allah ke­hen­daki. Kemudian Allah mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pe­nin­dasan dan penzaliman (Zaman Diktator) dan berla­ku­lah zaman itu sepertimana yang Allah kehendaki. Kemudian berlaku pula Zaman Kekha­lifahan (Imam Mah­di dan Nabi Isa a.s.) yang berjalan di atas cara hidup Zaman Kenabian.”
(Riwayat Ahmad)


Demikianlah Tuhan telah siapkan satu grand design untuk umat Rasulullah SAW. Kini, sesudah lebih 1400 tahun ke­wafatan Nabi penutup SAW, sebahagian besar dari jadual atau agenda dalam Hadis di atas sudah berlaku. Melalui Hadis ini, terdapat satu janji Tuhan yang belum berlaku tapi bakal ber­laku tidak lama lagi iaitu Islam akan kembali gemilang seperti Zaman Kenabian di akhir zaman di bawah pimpinan Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s.


Jadual Tuhan yang Telah Berlaku


Telah banyak jadual Tuhan yang terjadi dalam sejarah sama ada yang positif atau negatif. Berikut adalah dua jadual besar positif yang telah pun berlaku.1. Rom dan Farsi akan jatuh ke tangan Islam


Ketika menggali parit dalam persiapan peperangan Khandaq, Rasulullah telah memberitahu para Sahabat bahawa Rom dan Farsi akan jatuh ke tangan umat Islam.


Rom dan Farsi ketika itu adalah dua super power dunia, bagaikan Amerika dan Rusia (sebelum kejatuhannya dalam tahun 80-an). Dan ternyata Hadis itu terbukti dengan jatuh­nya Romawi Timur dan Farsi ke tangan tentera Islam pada zaman Khalifah Umar Al Khattab. Bahkan jadual ini Tuhan nyatakan dalam firman-Nya:


Maksudnya: “Rom dikalahkan oleh Farsi di tanah ja­jah­an­nya dan mereka (Rom) selepas itu akan menga­lah­­kan Farsi di beberapa tahun kemudian. Sama ada se­be­lum dan selepas, semuanya dalam urusan (jadual) Allah. Ketika (Rom mengalahkan Farsi) orang mukmin bergem­bira dengan pertolongan Allah itu.” (Ar Rum: 2-4)2. Konstantinopel jatuh ke tangan Islam


Rasulullah SAW bersabda:


Maksudnya: “Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik lagi beragama, (tenteranya) tidak melampaui batas, tidak mencuri dan (rakyat) tidak menipu dan tidak bergaul bebas.”
(Riwayat Al Imam Abu Hassan Ahmad bin Jaafar) –

Dipetik dari kitab Al Uq­dud­­durar fi akhbar Al Muntazar.


Dalam Hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:


Maksudnya: “Pasti Konstantinopel akan dibuka (ditakluk), dan sebaik-baik ketua adalan ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.”
(Riwayat Ahmad dan Hakim dari Busyr Al Ghanawi)


Para Sahabat dan salafussoleh berlumba-lumba untuk me­re­but janji Tuhan tentang kejatuhan Konstantinopel itu, dengan harapan di tangan merekalah berlaku janji tersebut. Te­tapi mereka gagal sehinggalah 600 tahun sesudah kewa­fatan Rasulullah. Hal ini baru terjadi di tangan Muhammad Al Fateh, keturunan Bani Usman. Lalu dari situlah munculnya Turki Usmaniah yang menjadi empayar kepada tiga benua dengan 29 negara di bawah takluknya. Hingga hari ini kalau kita ke Turki, kita masih dapat saksikan kesan-kesan kege­milangan dan kegagahan Islam yang ditinggalkan itu.Jadual Tuhan untuk umat Islam akhir zaman


Tuhan telah menyiapkan satu jadual untuk umat akhir zaman. Maka kita sepatutnya berjuang dan berlumba-lumba untuk membuktikannya sebagaimana para Sahabat dahulu. Antara janji-janji Tuhan dalam jadual-Nya untuk zaman ini seperti berikut:


1. Kegemilangan Islam akan berulang di akhir zaman


Dan telah mengeluarkan dari Nuaim daripada Ibnu Mas’ud, beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:Maksudnya: “Kalau tidak tinggal dari umur dunia kecuali sehari, nescaya Allah panjangkan hari itu sampai diutuskan kepadanya seorang lelaki dari keturunanku atau kaum keluargaku, namanya sama dengan namaku dan nama ayahnya sama dengan nama ayahku dan dia memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana (sebe­lum­nya) ia telah dipenuhi dengan kezaliman.”
(Ri­wa­yat At Tirmizi) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti, Mujaddid kurun ke-9)


2. Kebangkitan Islam akhir zaman akan bermula dari Timur


Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Dari Abdullah bin Mas’ud dia berkata: “Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terpandang akan mereka, maka kedua mata Rasulullah SAW berlinang air mata dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya, “Mengapa kami melihat pada wajahmu sesuatu yang tidak kami sukai?”
Baginda menjawab, “Kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami Akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari sebelah Timur dengan membawa bersama-sama mereka panji-panji berwarna hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalah mereka menye­rahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan seba­gai­mana ia dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah Al Mahdi.”
(Riwayat Ibnu Majah) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa, m.s. 71-72)

3. Setiap awal kurun Allah akan datangkan mujaddid (reformer)


Rasulullah SAW bersabda (lihat matan Hadis di muka 4):


Maksudnya: Dari Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mengu­tus pada umat ini di setiap awal 100 tahun seorang (mujad­did) yang akan memperbaharui urusan agama mereka.”
(Ri­wayat Abu Daud)


4. Imam Mahdi mujaddid dan khalifah akhir zaman


i. Dan telah mengeluarkan dari Nuaim daripada Ibnu Mas’ud, beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda (lihat matan Hadis di muka 12):

Maksudnya: “Kalau tidak tinggal dari umur dunia kecuali sehari, nescaya Allah panjangkan hari itu sampai diutuskan kepadanya seorang lelaki dari keluargaku, namanya sama dengan namaku dan nama ayahnya sama dengan nama ayahku dan dia memenuhi dunia dengan keadilan sebagaimana (sebelumnya) ia telah dipenuhi dengan kezaliman.”
(Ri­wa­yat At Tirmizi) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti, Mujaddid kurun ke-9)


ii. Sabda Rasulullah SAW dalam riwayat yang lain:


Dari Abu Nu’aim mengeluarkan dari Abi Said dan Nabi SAW katanya: “Al Mahdi daripada kami Ahlul Bait, seorang lelaki dari umatku, mancung hidungnya. Dia memenuhi bumi dengan keadilan sepertimana ia di­penuhi ke­zaliman.”



iii. Sabda Rasulullah SAW lagi:


Dan telah mengeluarkan Abu Na’im dan Al Khatib dalam Talkhis Al Mutasyabih dari Ibnu Umar katanya sabda Rasulullah SAW: “Akan keluar Al Mahdi dan di atas kepalanya malaikat yang menyeru: Inilah Al Mahdi dan ikutilah dia.”


5. Putera Bani Tamim dari Timur pemegang panji-panji Imam Mahdi


Dikeluarkan oleh Tabrani dalam Al Ausat:


Maksudnya: Dari Ibnu Umar bahawa Nabi SAW telah memegang tangan Sayidina Ali dan bersabda: “Akan keluar dari sulbi ini, seorang pemuda yang akan meme­nuhi dunia dengan keadilan (Imam Mahdi). Bilamana kamu melihat yang demikian itu maka wajiblah bagi kamu bersama (yakni dengan mencarinya) Pe­muda dari Bani Tamim, dia datang dari sebelah Timur dan dia adalah pemegang panji-panji Al Mahdi.”
(Dari kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti)


6. Jemaah kebenaran pimpinan Putera Bani Tamim men­dapat kemenangan di Timur dan merintis jalan untuk Imam Mahdi.


i. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Akan sentiasa ada toifah di kalangan umatku yang menzahirkan kebenaran, mereka tidak akan dirosakkan oleh penentang mereka hinggalah da­tang­nya ketentuan Allah (Kiamat).”
(Riwayat Muslim)



ii. Sabda Nabi SAW, dikeluarkan dari Al Hasan bin Sofyan dari Abu Nuaim:


Maksudnya: Daripada Tsauban, telah bersabda Rasu­lullah SAW: “Akan datang panji-panji hitam dari Timur, hati mereka seperti kepingan besi. Barang siapa yang mendengar tentang mereka, hendaklah mendatangi mere­ka dan berbai’ahlah kepada mereka walaupun ter­paksa merangkak di atas salji.”
(Dari kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti)


iii. Dari Ibnu Majah dan Tabrani daripada Abdullah bin Al Haras bin Juzu’ Al Zubaidi telah bersabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Akan keluarlah manusia dari Timur, mereka itu merintis kekuasaan untuk Al Mahdi.”
(Dari kitab Al Hawi lil Fatawa oleh Imam Sayuti)


v. Hadis Ibnu Mas‘ud (lihat matan Hadis di muka 13):
Maksudnya: Dari Abdullah bin Mas’ud dia berkata: “Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terpandang akan mereka, maka kedua mata Rasulullah SAW berlinang air mata dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya, “Mengapa kami melihat pada wajahmu sesuatu yang tidak kami sukai?”
Baginda menjawab, “Kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami Akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari sebelah Timur dengan membawa bersama-sama mereka panji-panji berwarna hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalah mereka me­nye­­rahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabat­ku yang memenuhi bumi dengan keadilan seba­gai­mana ia dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah Al Mahdi.”
(Riwayat Ibnu Majah) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa, m.s. 71-72)


7. Pengisytiharan Imam Mahdi pimpinan ummah di Mekah


Rasulullah SAW bersabda:


“Sesungguhnya ketika zahir Al Mahdi, menyerulah malaikat dari atas kepalanya: “Inilah Al Mahdi sebagai khalifah Allah, maka kamu ikutilah dia.” Seluruh manu­sia tunduk dan patuh kepadanya dan mendapat kasih sayangnya. Sesungguhnya Al Mahdi itu menguasai Timur dan Barat. Dan adapun yang berbai’ah kepadanya antara rukun Al Aswad dan maqam Ibrahim, yang pertama sebanyak bilangan ahli Badar, kemudian Abdal dari Syam mendatanginya, diikuti oleh Nujabak dari Mesir dan Asoib dari Timur. Setelah itu Allah mengutus kepadanya tentera dari Khurasan dengan bendera-bendera (panji-panji) hitam dan mereka menuju ke Syam. Dan Allah menghantar kepadanya 3000 malaikat dan Ashabul Kahfi adalah di antara pembantunya.”
(Al Hadis dari kitab As’afur Raghibin)


Sesuai dengan janji Allah dan bukti-bukti nyata maka Islam­lah yang akan menggantikan kuasa Amerika sebagai super power dunia nanti. Ini giliran Islam. Islam akan bangkit kembali dan menjadi sebuah empayar dan sekali lagi bumi akan dinaungi oleh keadilan dan kemakmuran. Dunia akan diserahkan lagi kepada umat Islam sebagaimana Allah telah menyerahkannya kepada Rasulullah dan para Sahabat.



Kita kini berada di akhir zaman yang mana sedang berlaku kemuncak kerosakan di lautan dan di daratan. Segala sistem hi­dup yang ada hari ini telah begitu rosak. Semakin dicari penye­lesaian semakin kronik keadaannya. Pembunuhan, per­gaduhan, peperangan, penzaliman, penindasan, tipu-menipu, mementingkan diri, jatuh-menjatuhkan dan lain-lain berlaku di mana-mana. Masyarakat manusia sudah tidak ada kasih sayang, tidak boleh bekerjasama, tidak bertolak ansur dan tidak bertolong bantu. Pergaduhan berlaku di antara suami isteri, anak-anak dengan ibu bapa, murid dengan guru, buruh dan majikan, rakyat dan pemimpin, negara dengan negara lain. Manusia sudah hilang kemanusiaannya.


Watak dunia hari ini menunjukkan sudah sampai masanya Tuhan mengutuskan penyelamat bagi memimpin manusia serta membaiki segala kerosakan yang berlaku. Begitulah se­jarah memberitahu kita. Tambahan pula kita kini berada di sekitar awal kurun yakni awal kurun ke-15 (suku kurun per­tama). Di waktu inilah sepatutnya; sepertimana berlaku di kurun-kurun sebelum ini; lahirnya seorang mujaddid.


Jadual Tuhan untuk umat akhir zaman ini nampaknya sedang berlaku di waktu ini. Kebangkitan Islam kali pertama sedang berulang di sebelah Timur dengan kehendak Allah. Kita dapat lihat suatu kebangkitan Islam se­dang melanda dunia terutamanya di nusantara ini. Inilah dia akhir zaman yang dijanjikan itu.


Rupa-rupanya akhir zaman yang dimaksudkan ialah se­kitar kurun ke-15 Hijrah ini. Dan Timur yang dimaksudkan ia­lah Gugusan Kepulauan Melayu iaitu Malaysia, Indonesia dan sekitarnya. Walau bagaimanapun kebangkitan di Malaysia nampaknya lebih me­nonjol.


Berdasarkan Hadis tentangnya, secara umumnya Jadual Tuhan itu berlaku seperti berikut:


• Di waktu Islam sedang musnah dan binasa di alam Melayu (Timur), bangunlah seorang manusia yang Allah janjikan untuk menyelamatkan kembali agama-Nya. Dia seorang yang berbangsa Quraisy dari Bani Tamim tetapi sudah nipis sekali kearabannya. Ini kerana seperti yang kita tahu, orang-orang Arab yang datang ke Timur pada masa dahulu sudah berkahwin dengan orang ajam (bangsa selain Arab) maka tidak pelik kalau Putera Bani Tamim itu sudah nipis Arabnya. Rasulullah tidak menyebut salasilah tetapi banyak memperkatakan tentang ciri-ciri fizikal Putera Bani Tamim ini serta ciri-ciri perjuangan dan pengikutnya. Sebab itu untuk mencari Putera Bani Tamim yang dijanjikan itu, kita carilah ciri-ciri dan stail perjuangannya, bukan salasilahnya.


• Dia berjuang mulanya tentu melalui kumpulan kecil tetapi kumpulan atau jemaah atau toifahnya kemudian mem­besar. Sifat toifahnya mirip kepada jemaah Rasulullah kerana wanitanya berpakaian serba hitam seperti gagak-ga­gak hitam. Lelakinya berjubah serban. Pengikutnya sangat berpadu seolah-olah lahir dari satu ibu dan ayah. Cita-cita dan azam mereka kental dan besar. Ibarat kalau me­reka hendak meratakan gunung sekalipun, dapat me­reka lakukan.


Rasulullah SAW dalam Hadis yang panjang menyebut malaikat Jibril a.s. sebagai berkata:Maksudnya: “Maka Allah Azzawajalla mengumpul­kan sahabatnya (Al Mahdi) sejumlah ahli perang Badar atau tentera Thalut iaitu 313 lelaki. Mereka bagaikan singa jantan yang keluar dari hutan, hati mereka bagai­kan besi waja, kalau mereka bercita-cita untuk mengubah gunung nescaya boleh dilakukannya. Gaya mereka adalah satu dan pakaian mereka juga satu, seolah-olah bapa mereka bapa yang satu.”
(Dipetik dari kitab Aqdur Durar fi Akhbar Al Muntazar tahun 1983 m.s. 95)



• Dia (Putera Bani Tamim) meminta kebaikan dari penguasa negara di mana dia berjuang tetapi tidak diberikan. Na­mun dia dan pengikutnya terus berjuang hingga akhirnya berjaya negara itu diserahkan padanya. Ertinya toifah kecil itu telah membesar ke peringkat daulah Islamiah.


• Terdapat juga Hadis yang menyebut Putera Bani Tamim juga diterima kepimpinannya di Khurasan. Hadis yang dikeluarkan oleh Al Hafiz Abu Nuaim berbunyi:
Maksudnya: Dari Tsauban r.a. dia telah berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: “Apabila kamu lihat panji-panji hitam telah diterima di sebelah Khurasan maka datangilah ia sekalipun merangkak di atas salji. Kerana sesungguhnya padanya ada khalifah Allah iaitu Al Mahdi.”


• Apabila Putera Bani Tamim mendapat daulah, tidak lama selepas itu (dua tahun) zahirlah Imam Mahdi. Namanya sama seperti nama Rasulullah, nama bapa dan nama ibu­nya sama seperti nama bapa dan ibu Rasulullah yakni namanya Muhammad bin Abdullah dan ibunya Aminah.

Tentang Imam Mahdi, Rasulullah mengait­kan dengan baginda dari segi hubungan darah. Maka faktor salasilah Imam Mahdi adalah penting, sebab ia disebutkan di dalam Hadis. Tidak sepertimana Putera Bani Tamim tadi, Rasu­lullah hanya menyebut tentang ciri-ciri fizi­kalnya.


• Putera Bani Tamim kerana rapat dengan Imam Mahdi seperti rapatnya Nabi Harun dengan Nabi Musa, maka telah menyerahkan kuasa negaranya kepada Imam Mahdi, jelas disebut dalam Hadis. Dia muncul di Mekah, antara Hajar Aswad dan Maqam Ibrahim, terus mengisytiharkan dirinya sebagai Imam Mahdi.


• Penyerahan kuasa daulah kepada Imam Mahdi dilakukan oleh Putera Bani Tamim.


• Apabila Imam Mahdi berkuasa, maka Islam akan berkem­bang ke seluruh dunia. Tetapi ramai lagi manusia yang belum Islam hingga turunnya Nabi Isa a.s. Dunia dan ma­nusia seluruhnya akan masuk Islam. Terjadilah keamanan sejagat melalui pemimpin tiga serangkai: Putera Bani Tamim, Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s.


Setelah kedatangan Nabi Isa a.s., semua manusia akan masuk Islam. Maka selamatlah manusia daripada api Neraka. Itulah dikatakan rahmat Tuhan kepada seluruh manusia.Sejarah pasti berulang. Kita beruntung kerana dengan kasih sayang Allah, diberitahu apa-apa yang bakal terjadi. Bolehlah kita bersiap sedia. Seperti juga peristiwa selepas mati, di alam Barzakh, di Padang Mahsyar, di Syurga, Neraka dan lain-lain lagi semuanya Allah sudah ceritakan. Supaya kita tidak menyesal nanti. Beruntunglah orang yang direzeki­kan dengan iman kepada yang ghaib ini. Rugi besarlah orang yang mengingkarinya.