5 Jul 2010

KEBENARAN APA YANG WAJIB DIPERJUANGKAN?

Rata-rata umat Islam adalah Islam tradisi. Mereka Islam kerana mak ayah dan datuk nenek mereka Islam. Mereka jadi Islam secara tidak sengaja, sedar-sedar sahaja sudah Islam. Islam mereka bukan di atas kesedaran atau pilihan hati. Mereka tidak kenal Tuhan. Tidak hairanlah mereka tidak kenal syariat. Halal haram pun mereka tidak tahu.

Jelaslah bahawa untuk memperjuangkan agama, Tuhan mesti diperjuangkan dahulu. Tuhanlah matlamat kita dan Tuhan lah yang akan memimpin dan menolong kita. Syariat bukan matlamat. Syariat hanya cara, jalan dan kaedah. Apa gunanya kita memperjuangkan cara dan kaedah kalau ia tidak membawa kita kepada Tuhan. Bukankah tujuan kita beragama untuk mendapat Tuhan?

Disamping itu, perjuangan agama bukan sahaja untuk umat yang sudah Islam. Ia juga untuk manusia yang belum Islam. Oleh itu, kalau syariat sahajalah yang kita perjuangkan, bagaimanakah orang bukan Islam dan orang-orang kafir akan tertarik dengan Islam? Fitrah manusia tidak tertarik dengan syariat. Malah sesetengah syariat itu dipandang payah, susah dan menakutkan. Fitrah manusia inginkan Tuhan. Setelah betul hubungan manusia dengan Tuhan dan setelah manusia benar-benar kenal, cinta, takut dan beriman dengan Tuhan, barulah mereka akan mampu menerima syariat walaupun payah dan susah. Bukan senang hendak sembahyang, bukan senang hendak bayar zakat, bukan senang hendak menerima hukum hudud dan sebagainya. Hatta berkhatan pun ramai orang bukan Islam takut.

Kalau memperjuangkan syariat salah dan memperjuangkan Islam pun salah, jadi apakah sebenarnya yang patut kita perjuangkan? Tuhan mahu kita perjuangkan kebenaran. Rasulullah juga mengajar kita memperjuangkan kebenaran. Yang perlu kita tegakkan bukan setakat syariat, bukan setakat Islam tetapi kebenaran.

Apakah maksud memperjuangkan kebenaran? Memperjuangkan kebenaran bermula dengan memperjuangkan Tuhan. Mengajak manusia kepada Tuhan. Mengajak manusia merasa kebesaran dan keagungan Tuhan. Mengajak manusia kepada rasa bertuhan dan rasa kehambaan. Mengingatkan manusia bahawa Tuhan itu adalah segala-galanya. Kita perlu wujudkan dan betulkan hubungan kita dengan Tuhan. Di antara lain kita perlu kenal, beriman, yakin, tawakal,bergantung harap, berserah diri, taat, patuh, baik sangka, cinta dan takut dengan Tuhan.

Termasuk juga memperjuangkan kebenaran ialah memperjuangkan segala perintah Tuhan baik yang berbentuk suruhan ataupun larangan, hukum hakam, peraturan dan segala sistem yang Tuhan telah tetapkan di dalam semua aspek kehidupan. Ini termasuklah dalam ibadah, pentadbiran, perundangan, pendidikan, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya.

Ketiga ialah memupuk perpaduan, kasih sayang, rasa bersama dan bekerjasama, keharmonian, saling bertolong bantu dan bela-membela sesama manusia. Juga kita perlu perjuangkan akhlak dan budi pekerti manusia.

Inilah kebenaran dan inilah yang mesti diperjuangkan. Bila disebut kebenaran, ada Iman didalamnya, ada Islam di dalamnya, ada Ihsan di dalamnya. Dalam erti kata yang lain, ada aqidah didalamnya, ada syariat didalamnya dan ada tasawuf di dalamnya. Maka lengkap dan syumullah perjuangan itu. Kalau agama diperjuangkan secara serpihan dan tidak mengikut cara dan kaedah perjuangan Rasulullah, sudah pasti ia akan gagal. Yang lebih bahaya lagi, ia akan melahirkan lebih banyak kerosakan dari kebaikan. Orang yang memperjuangkan syariat tanpa Tuhan, kalau dia berwatak pasif, dia akan jadi beku dan jumud. Kalau dia berwatak agresif, dia akan jadi kasar dan militan. Walau apa pun, kedua-duanya tidak betul dan menyalahi kehendak Tuhan.

Agama Islam itu agama kebenaran. Memperjuangkan agama Islam itu adalah memperjuangkan kebenaran. Kebenaran adalah dari Tuhan. Oleh itu dalam hendak menegakkan agama Islam, Tuhan tidak boleh diketepikan. Tidak akan ada kebenaran kalau tidak ada Tuhan.

Tiada ulasan: