22 Jun 2010

BERGURULAH PADA YANG FAKEH

Adapun makna dalam bahasa Arab bagi FAKEH ialah orang yang ahli (mahir) dalam bidang feqah atau bidang-bidang lain yang diiktiraf dalam pengajian Islam. Manakala takrifan FAKEH dalam konteks lebih luas di alam Nusantara ini dinisbahkan kepada orang yang tahkik (kefahaman yang mendalam) dalam sesuatu bidang dan beramal dengan kefahaman tersebut.

Terdapat tiga (3) cara bagaimana seorang itu boleh menjadi fakeh, iaitu melalui pengajaran/pembelajaran (penanaman) yang membawa kepada ilmul yakin, penggunaan logik akal (pengukuhan) yang membawa kepada ainul yakin dan tazkiyat al-nafs (penyucian) yang membawa kepada haqqul yakin.

Pada menuntut ilmu itu, kita memerlukan seorang guru yang tahkik dalam bidang ilmu tersebut dan dia beramal dengannya secara istiqamah. Jika tidak, maka sesatlah kita akannya.

Maka ciri-ciri guru yang layak membimbing kita perlulah kita ketahui sebagai panduan. Manakala, berkat sesuatu ilmu yang dituntut itu adalah bergantung kepada adab kita kepada guru, adab kita terhadap ilmu dan ijazah guru- guru yang dipilih sebagai murabbi.

Imam Ghazali dalam Kitab Ihya Ulumiddin pernah berkata

“Seorang murid memerlukan seorang guru yang boleh diikutinya, agar guru akan menunjukkannya arah jalan yang benar. Sesungguhnya jalan agama itu adalah samar dan jalan-jalan syaitan terlalu banyak dan mudah. Sesiapa yang tidak ada guru yang memimpinnya maka syaitanlah yang memimpinnya.

Sesiapa yang berjalan di lembah-lembah yang bahaya tanpa orang menjaga keselamatannya sesungguhnya dia telah membahayakan dan membinasakan dirinya. Orang yang bersendiri (tanpa guru) adalah seperti pokok yang tumbuh sendiri dan mudah mati; jika pokok itu terus hidup ia takkan berbuah. Orang yang mengawasi seorang murid ialah gurunya. Maka hendaklah murid itu berpegang teguh terhadap gurunya itu.


Bagi mereka yang berhajat menimba ilmu syarak (tauhid-feqah- tasauf), maka seeloknya dicari tuan-tuan guru pondok yang memiliki ijazah sanad ilmu.

Bagi mereka yang berhajat membudayakan sunnah Rasulullah saw secara kaffah, maka seeloknya dicari habib-habib ahlul bait sebagai murabbi.

Bagi mereka yang berhajat menghidupkan cahaya hati, maka seeloknya dicari syeikh-syeikh guru mursyid yang sahih salasilah tareqat rohaninya.

Seandainya disimpulkan ketiga-tiga tali ini dengan ikatan muafakat, insyallah berhimpun dua kesempurnaan dalam satu - bada’an islam ghariban !

Tiada ulasan: