14 Mei 2010

ALFATEHAH BUAT ABUYA HJ ASHAARI MUHAMMAD



(Wajah terakhir Abuya sebelum dikapankan)




Di petik dari blog Panglima Perang Siber


Meskipun agak terlewat mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Ashaari sekeluarga termasuk keluarga besar beliau (anak-anak murid) dalam Al Arqam, [ Komen Puteri Nafisah : Untuk pengetahuan semua, jemaah Abuya sekarang dipanggil GLOBAL IKHWAN) namun Panglima ingin mendedikasikan sebuah artikel khas kepada pengasas Al Arqam ini. Meskipun agak terperanjat dengan berita pemergian beliau di usia 73 tahun tetapi ini adalah ketentuan Allah. Tiada siapa dapat menghalang takdir Ilahi walaupun oleh seorang Nabi atau Wali.

Ramai orang sedar dan membesar dengan jasa jasa Allahyarham terhadap Islam dan umat Islam di negara kita. Pengamalan syariat yang dipraktikkan di kampung-kampung Al Arqam seluruh Malaysia telah banyak menghidupkan pengamalan Islam pada era 70, 80 dan 90-an Meskipun pernah mencetuskan kontroversi dengan Pusat Islam namun ia tidak akan menjadikan kita mudah lupa segala nilai murni yang disumbangkan jemaah beliau kepada kita semua.

Pengalaman saya sendiri membesar dengan lagu lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan nasyid Nada Murni sememangnya banyak membentuk diri saya sebagai seorang muslim. Dengan tulisan yang menyentuh hati dalam An Nasihah (majalah terbitan Al Arqam ) , alunan merdu nasyid dari kumpulan Nada Murni seperti lagu Bila Nur Melimpah di Hati, Rasul Ibarat Bulan Purnama, dan Munajat, saya sememangnya tidak dapat menafikan segala usaha keras mereka ingin mengembalikan umat kepada Allah dan Rasul dengan cara mereka tersendiri.Bahkan banyak kumpulan nasyid di negara kita adalah bekas murid Ustaz Ashaari seperti Rabbani, Raihan dan Hijjaz.

Mereka tidak menggunakan pendekatan PAS yang mencarut dan memaki hamun, atau pendekatan adu domba dan fitnah seperti PKR apatah lagi pendekatan komunis DAP. Mereka mendekati hati hati rakyat dengan menanam ilmu agar bercambahlah iman dan taqwa. Semua golongan mereka dekati dan saya masih ingat golongan artis seperti Erma Fatima,golongan motosikal besar dan golongan pondan/mak nyah pernah dijemput kumpulan ini menghadiri sambutan Maulid Nabi yang diadakan selama 7 hari 7 malam di Country Height, Rawang.

Kecintaan mereka terhadap Nabi tidak dapat disangkal lagi. Kebencian mereka terhadap wahabi juga jelas dan dizahirkan dalam semua tulisan yang mereka terbitkan. Namun sayang seribu kali sayang, mereka telah 'tersungkur di pintu syurga' ekoran sedikit kekeliruan yang melanda Mursyid kepada jemaah ini. Hasilnya Majlis Fatwa pada 1994 dan sekali lagi pada 12 September 2006 (Muzakarah kali ke-75) telah mengharamkan kumpulan Al Arqam ini walaupun dinamakan semula sebagai Rufaqa atas alasan bercanggah dengan akidah umat Islam di Malaysia.

Dalam menilai sesuatu elok kita mengambil perkara yang positif dari negatif. Dan kita tidak seharusnya menjadikan perkara negatif menutup pujian kita terhadap perkara yang positif yang telah dibuat oleh sesiapapun. Termasuk musuh kita. Kerana perkara positif itu boleh menjadi perangsang kepada kita dalam membina kejayaan yang lebih baik untuk diri pada masa akan datang. Begitu juga dengan jemaah ini, perkara yang baik perlu kita akui dan puji kerana ia telah banyak membantu kita dalam menjana kesedaran agama...

Dalam hal ini Al Arqam telah bangkit menjadi wadah umat yang telah melihat perpecahan dalam kalangan umat Islam antara Umno dan Pas. Ketika Al Arqam bermula pada 1968 perpecahan teruk berlaku di antara kita. Ekoran fatwa ulama politik PAS yang telah memporakperandakan masyarakat. Hinggakan kafir mengkafir, perceraian akibat berbeza fahaman politik dan juga solat dua imam telah pun terjadi di merata tempat di negara kita. Pada tahun 1998 ia diburukkan lagi dengan kelahiran parti PKR yang ditubuh oleh bekas Timbalan Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat akibat dakwaan liwat.

Kelahiran Al Arqam yang bermula 12 orang 42 tahun lalu sebelum mencecah 10,000 pengikut ( info Utusan Malaysia 4 Julai 1994 ) telah banyak menanam kesedaran tentang kepentingan kita bersatu dan tidak berpecah belah. Selama 26 tahun Al Arqam telah banyak membantu Kerajaan secara tidak langsung dalam menanam nilai nilai murni rakyat. Ramai telah insaf bahawa kebencian bukan diajar oleh Allah. Ramai yang telah kembali mencintai negara dan pemimpin serta kembali menjadi umat yang baik selepas mendapat tarbiyah dengan jemaah yang bergerak menerusi pendekatan tasauf dan sifat mahmudah ini.

Bayangkan jika Al Arqam tidak wujud tentu semakin teruk perpecahan di kalangan umat Islam. Hingga kini perpecahan semakin teruk apabila ulama politik dalam PAS semakin ghairah merebut kuasa dan telah melanggar batasan agama sehingga membenarkan satu persatu hak agama kita digadaikan. Contohnya kalimah Allah yang disokong penggunaannya di kalangan bukan Islam serta sokongan mereka kepada DAP menghina ayat quran apabila menggunakannya dalam ceramah politik mereka..

Soalnya sekarang, siapakah yang akan menggantikan tugas ini untuk mencantumkan hati hati kita agar bersatu atas nama Agama demi mengangkat martabat bangsa dan Negara ? Jangan berangan PAS akan dapat menggantikan jemaah ini kerana PAS hanya pandai bercakap dan berceramah namun realitinya ibarat habuk dan hampas. Lihat Al Arqam/Rufaqa yang telah mempunyai empayar ekonominya sendiri hingga hari ini.

Menurut wikipedia (klik sini) jemaah pimpinan Ustaz Ashaari Mohamad ini (sebelum diharamkan) telah dapat membina sebanyak 52 kedai runcit, 20 pasar mini, 36 buah kedai buku dan alat ibadat dan 18 buah restoran serta 56 kilang perusahaan di perkampungan mereka. Mereka jauh lebih baik dari PAS. Hingga kini empayar mereka masih bergerak di merata tempat di seluruh dunia. Dengan misi jihad ekonomi dan dakwah Islam ke seluruh buana alam.

Apakah pula sumbangan PAS kepada umat Islam di Malaysia ? PAS hanya tahu mengajar fahaman wahabi, syiah dan hanya pandai melontar berjuta juta fitnah. Hasilnya ia telah meracuni fikiran rakyat sehingga merosakkan perpaduan dan membuang masa yang berharga serta menjadikan mereka benci kepada saudara seagama mereka dalam parti UMNO. Sepatutnya tenaga yang ada boleh digunakan untuk menjana pembangunan negara dan mendidik rakyat kembali ke jalan yang benar. Tetapi PAS gagal melakukannya meskipun ustaz dan ahli agama mereka lebih ramai berkali ganda dari parti UMNO @ Barisan Nasional.

Kita perlu mencari pengganti kepada usaha Allahyarham Ustaz Ashaari ini. Kita perlu menghidupkan usaha menyusun umat Islam dalam satu BARISAN. Kita perlu hentikan perpecahan yang makin membarah dalam masyarakat kita hari ini.

Mari kita mulakannya atau kita membantu sesiapa sahaja yang komited untuk menyatukan hati hati umat Islam agar tetap atas satu tujuan, satu fahaman dan satu pegangan yang benar berlandaskan Al Quran dan Sunnah Nabi Junjungan. Ini tugas kalangan kita untuk mengajak manusia kembali ke jalan Allah dan mencintai Rasulullah s.a.w. Kita perlukan Ulama yang takutkan Allah bukan ulama yang menjual agama demi dunia dan politiknya. Hingga Nabi berpesan mereka inilah yang digelar Dajal sebelum Dajal dalam hadis baginda.


Al Fatihah kepada Abuya Ashaari !




Dari blog Zulkifli Nordin



Salam 2 all.

Saya mengucapkan innalillah hiwa inna ilai hiroji'un dan takziah atas pemergian Almarhum Abuya Ustadz Ashaari Muhammad yang telah kembali kerahmatullah semalam di Ipoh. Jenazah Almarhum dikebumikan di kampung asal Almarhum di Kg. Pilin, Rembau, Negeri Sembila malam semalam.

Sebenarnya saya mengenali Almarhum sejak tahun 1983 lagi semasa menuntut di New Zealand. Almarhum telah datang ke Wellington dalam siri dakwah Al Arqam. Saya pada masa itu tau-tau ajelah, jenis Islam pun janji solat puasa kira okaylah tu.

Tetapi kedatangan Almarhum membuka satu tirai baru kepada saya. Almarhum adalah orang yang membezakan kepada saya Islam ritual dengan Islam haraki. Almarhum orang yang menunjukkan kepada saya perbezaan Islam mekanikal dengan Islam syumul. Almarhum membuktikan kepada saya Islam itu satu cara hidup yang praktikal dan bukan hanya disurau masjid. Ringkasnya, Almarhum membuka mata saya kepada Islam sebenarnya.

Saya sangat tertarik dengan cara Almarhum berdakwah. Nama Almarhum masa itu memang gah dan hebat. Jadi bila Almarhum dikatakan mahu datang New Zealand, kami bercadang menempatkan Almarhum di The Terrace Hotel, sebuah hotel ternama di Wellington masa itu. Kebetulan sebelum itu beberapa ustad gomen datang dan duduk memerap dalam hotel mahal ni.

Tetapi apabila sampai, Almarhum kata dia nak duduk tidur sama dengan kami pelajar di Islamic Centre Wellington, tempat program tamrin yang kami adakan. Memang kami tidur disitu masa itu. Kami semua agak terkedu dengan sikap rendah diri dan tawaddhu' Almarhum. Sepanjang bersama, Almarhum makan minum dengan kami. Itulah pengalaman pertama saya makan dalam talam, berebut kami nak makan dengan Almarhum. Tak cukup dengan itu, Almarhum turut sama membasuh pinggan, menyapu dan membersihkan centre tu. Saya perhati tengok Almarhum kekadang membasuh pakaian dia sendiri. Wajah Almarhum sungguh membawa ketenangan bila melihatnya.

Saya sendiri agak terkedu bila Almarhum nak ziarah rumah kami masa tu di No. 2 MacDonald Crescent, Wellington. Tau-taulah rumah student bujang, semua jantan pulak tu! Kami pergi naik tramp dan kena jalan kaki dekat 15minit juga mendaki bukit. Tapi Almarhum selamba aje mengikut kami berjalan. Sampai ke rumah kami, Almarhum sedikit pun tak menegur dengan papan karom dan lain-lain harta karun yang ada yang menunjukkan kami yang dok rumah tu memang jenis happy go lucky punya geng. Sebaliknya saya ingat kata Almarhum, "jadi orang muda ni memang seronok, tapi sayang umur muda datang sekali aje". Kata-kata itu walaupun sepatah dan sempoi aje, tapi terus menusuk ke jiwa saya.

Timbul persoalan takkan nak sia-siakan usia muda yang datang hanya sekali ini. Saya mula tertanya-tanya apa makna hidup ini, mengapa kita dihidupkan, apa tujuan kita, kemana kita selepas ini. Waduh..berserabut kepala masa tu.

Tapi nak jadi cerita, dalam kepala dok berserabut dengan macam-macam soalan tentang falsafah kehidupan itu, kuliah suboh pada pagi itu menjadi pembuka mata dan jiwa kepada saya. Dalam tazkirahnya, Almarhum membawa tajuk "Dua Peranan Manusia", kupasan tentang mengapa manusia dihidupkan, apa tanggungjawab dan matlamat kita, serta kemana kita nanti akhirnya. Bagaimana kata Almarhum, kita ini adalah makhluk ciptaan ALLAH yang dicipta dengan dua peranan; bahawa kita dicipta untuk memperhambakan diri kepadaNya, selain menjadi khalifah ALLAH dimukabumi ini. Bahawa sebagai hamba mahupun khalifah, ALLAH menurunkan Al Quran sebagai manual kehdiupan manusia.

Saya ingat lagi kiasan Almarhum, alangkan syarikat Toyota pencipta kereta pun memberikan manual untuk tujuan pemakaian dan penjagaan kereta ciptaannya. Kita mungkin rase kereta Mercedes tu hebat, tapi kita tak boleh pakai manualnya kepada kereta Toyota, jahanam nanti. Kita mesti tetap berpegang kepada manual Toyota walau apa pun orang nak kata.

Begitulah seorang manusia, dilahirkan dengan dua peranan dan diberi Al Quran sebagai manual kehidupan. Kita mesti berpegang kepadanya, walau macam mana dugaan dan godaan datang. Walaupun nampak cara hidup barat hebat dan menyeronokkan, tetapi itu bukan manual hidup kita. Kalau kita ikut juga, kita akan jahanam. Berpeganglah kepada manual Al Quran, kita pasti selamat! Begitu tegas tapi lembut ayat-ayat tazkirah daria jiwa Almarhum menusuk jiwa saya. Malah itulah harinya saya mula berminat untuk mendalami Islam, mengkaji agama lain untuk melihat kebenaran Islam dan berjinak-jinak dengan gerakan Islam.

Sebenarnya banyak yang boleh saya coretkan mengenai pengalaman bersama Almarhum. Walaupun saya sendiri tidak pernah menganggotai Al Arqam, namun persahabatan saya dengan Almarhum saya terus pelihara. Semasa tindakan Pusat Islam memfatwakan Al Arqam sesat, sayalah peguam yang memfailkan saman terhadap Pusat Islam untuk mengisytiharkan fatwa itu sebagai tidak sah. Bersama YM Raja Aziz Addruse masa itu, kami cuba mempertahankan institusi Al Arqam. Kalau ya sesat pun bukan Al Arqam, mungkin individu tertentu. Mengapa perlu nak dilumpuhkan Al Arqam sehingga habis segala perniagaan dan rangkaian komersial mereka turut nak dimusnahkan. Berdepan dengan suasana itu, kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk menghancurkan Al Arqam pada tahun 1994.

Saya masih ingat bagaimana Abuya diheret ke muka televisyen dalam siaran secara langsung untuk dipaksa membuat pengakuan beliau sesat. Semasa itu, Tun Mahathir adalah Perdana Menteri, dan Anwar Ibrahim adalah Timbalan Perdana Menteri. Namun langsung tiada sebarang pertolongan atau bantuan diberikan kepada Abuya atau Al Arqam. Saya tahu sebab saya terlibat secara langsung.

Malah saya teringat dalam satu pertemuan saya dengan Almarhum di Nilai Spring pada hari Ahad 14 Rejab 1428 bersamaan 29.07.2007, Almarhum semasa itu dalam keadaan terbaring dan tidak boleh bercakap melainkan melalui perantaraan Ummu Khatijah yang setia bersama Almarhum. Saya masih ingat bila nama Anwar Ibrahim disebut, Almarhum memberi isyarat yang tidak ingin saya dedahkan disini. Ia akan menjadi rahsia antara saya dan Almarhum. Sebagaimana apa yang disebut oleh Almarhum Dato' Ishak Baharom, mantan Mufti Selangor kepada saya apabila isu berkenaan Anwar Ibrahim dibangkitkan semasa kami berbual. Itu rahsia yang tetap akan saya simpan insyallah.

Tetapi sikap kasih sayang Almarhum kepada saya masih ada, dan Almarhum menghadiahkan saya sebuah buku bertajuk "POLITIK ISLAM Membawa Kasih Sayang" tulisan Almarhum sendiri. Almarhum juga menghadiahkan saya beberapa baranganan dan penulisan lain. Tetapi yang saya paling hargai ialah sehelai serban yang pernah Almarhum hadiahkan kepada saya, yang tetap saya simpan dan gunakan sekali sekala sehingga kini

Saya merindui saat bersama dengan Almarhum, walaupun hanya sekali sekala dapat bersama dengan beliau. Kata-katanya, nasihat Almarhum, gurau senda dan gelak tawanya. Setiap kali berada disisi Almarhum, saya berasa sangat tenang dan selamat. Almarhum adalah mursyid saya, guru saya, dan saperti bapa bagi saya.

Moga ALLAH memberikan rahmat dan keampunan kepada Almarhum. Semoga ALLAH meletakkan Almarhum bersama dengan para syuhada, para solihin, dan para siddiqin. Moga ALLAH melapangkan kubur Almarhum, dan menerangkan cahayaNya dialam barzakh sana. Semoga ALLAH menganugerahkan syurga buat Almarhum. Dan semoga ALLAH memberikan kesabaran kepada keluarga, anak isteri, sahabat handai dan para murid Almarhum dalam menghadapi ujian ini. Amin ya rabbal 'alamin.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
30 Jamadil Awal 1431
14 April 2010

3 ulasan:

pirus berkata...

Zulkifli Noordin tersilap meletakkan tarikh 14 May 2010 sebagai 14 April 2010. jadi belum terlambat utk ucapkan takziah.
saya adalah penyokong PAS dan anti-UMNO/BN. saya juga sedang tercari2 jalan yg lurus ke akhirat. adakah lagi Islamic movement yg lebih baik dari PAS atau tabligh? Adakah Global Ikhwan? Atau ada movement lain?
sila bagi pendapat sebagai salah satu usaha saya sebelum saya berdoa dan solat istikharah.

PUTERI berkata...

Salam Pirus,

terimakasih kerana membetulkan...

Sebaik-baik memohon adalah kepada Allah SWT melalui doa dan solat. Jemaah islam adalah jemaah yang berpegang dengan tali Allah iaitu yang mengamalkan islam secara holistik iaitu usuluddin, fekah dan taaswuf. Yang mengamalkan syariat lahir (praktikaliti) dan syariat batin (berakhlak dan menjaga hubungan dengan Allah dan manusia). Jemaah Islam adalah jemaah yang sentiasa mengutamakan kasih sayang dan perpaduan sesama Islam. Jemaah Islam adalah jemaah yang mencintai akhirat lebih dari dunia. Jemaah Islam adalah jemaah yang hati mereka sangat dekat dengan RSAW dan mencintai para sahabat, para wali-wali dan mencintai sesama saudara seIslam. Jemaah Islam adalah jemaah yang mengamalkan ISlam secara syumul dengan membangunkan ekonomi, pentadbiran (siasah), pendidikan, kesihatan, dll mengikut jalan yang dibawa oleh RSAW dan tidak sesekali menurut jalan sekular atau idealisme manusia.

Itulah jemaah Islam yang akan membawa manusia ke jalan yang lurus, jemaah ini bukan jemaah yang hanya pandai berkata-kata, tetapi tidak mengamalkannya, tetapi jemaah ISlam yang dari amalan mereka menjadi suri tauladan kepada masyarakat ISlam.

Sekian, wallahualam.

matamata berkata...

Assalamualaikum..
Saya terkenang sewaktu sekolah dulu, pernah mengikuti programe dakwah yg di anjurkan oleh allahyarham di sg.pencala. Waktu itu saya agak jahil tentang agama. Saya sanjungi usaha allahyarham kerana mampu mengajar saya erti kehidupan sebagai seorang Islam dan mendidik saya mengenal Allah swt. Saya doakan semoga roh allahyarham di himpunkan dikalangan para orang2 yg soleh. amin