31 Dis 2009
2009 BERLALU DAN 2010 MENJELMA
2009 akan meninggalkan kita dengan kenangan pahit dan manis. Yang baik kita jadikan tauladan, yang jelek kita jadikan sempadan. Maka bersama-samalah kita bermuhasabah diri sendiri atas apa yang telah berlaku di sepanjang kehidupan yang telah berlalu. Malam ini sudah pasti bergema lagi sorakan ketika jam mula meninggalkan angka 12 malam dan bermulalah tahun baru 2010.
Saya kira kita terlalu menerapkan budaya hedonisme hingga merasakan bahawa satu keperluan untuk merayakan tahun baru dengan konsert-konsert dan pesta-pesta yang kadang-kadang membazir dan pastinya melanggar syariat Allah SWT. Saya kira sudah tiba masanya kita sebagai umat Islam, sama-sama menyedari akan "kesongsangan" ini, dan saya merasakan kalangan pemimpin harus memikirkan STRATEGI yang lebih berkesan dari semata-mata membawa BUDAYA lama yang meraikan sambutan tahun baru dengan konsert-konsert dan pesta-pesta hiburan yang selalunya cenderung kepada hiburan tanpa sempadan dan tidak membawa apa-apa faedah kepada pembangunan modal insan. Tidak salah kita berhibur, kerana hiburan itu adalah pelengkap naluri namun berhiburan biarlah berpada-pada, kita tidak perlu berhibur sehingga lupa kepada tuntutan dan syariat agama.
2009 juga menyaksikan kehangatan gelanggang politik di Malaysia dengan pelbagai peristiwa yang kadang-kadang kita sendiri tidak terfikir ia akan berlaku. Namun nampaknya, pembongkaran demi pembongkaran berlaku, rahsia sudah tidak menjadi rahsia, dan masyarakat saya kira sudah mula kenal permainan politik dan para politikus yang berperanan. Dalam hal berpolitik ini, saya kira kita tidak perlu fanatik atas dasar kepartian hingga mengugat perpaduan dan membawa permusuhan dan pergaduhan antara sesama kita. Politik bukan jaminan untuk ke syurga. Tetapi iman dan taqwa kita. Apakah kita harus jual Iman dan Taqwa hanya kerana fanatik kepada politik masing-masing? Sesungguhnya tidak ada syurga untuk kita di dunia dan diakhirat jika kita menjadi pengkhianat atau munafik kepada Allah dan RasulNya.
Sekian sekadar bicara di hujung senja 2009.
Selamat Tahun Baru 2010.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan