11 Okt 2009

KRISIS UNDANG BALA



(Gambar Pakatan Rakyat bertindak kasar menghalang laluan awam di Bagan Pinang)


Negara kita sedang dilanda krisis. Kian hari kian meruncing. Masyarakat berpecah-belah. Perpaduan dan kesefahaman sudah tidak ada. Demonstrasi selalu berlaku. Masyarakat sudah tidak bersatu. Sudah tidak boleh bekerjasama. Keamanan dan keselamatan tergugat. Rasa tidak puas hati di kalangan rakyat meluap-luap. Perselisihan pendapat dan perbezaan fahaman politik amat ketara.

Apabila ditanya kepada pihak-pihak tertentu tentang hal ini mereka berkata ini perkara biasa. Krisis itu membawa rahmat. Sayidina Ali k.w. dan Sayidina Muawiyah r.a. pun berkrisis. Apa sungguhkah ini benar? Sungguhkah krisis yang kita hadapi ini satu rahmat hingga boleh disamakan dengan krisis yang berlaku di antara Sayidina Ali dan Sayidina Muawiyah? Semasa mereka berkrisis, orang tetap berbondong-bondong masuk Islam. Walaupun mereka berkrisis, Islam bertambah kuat dan tanah jajahan Islam semakin meluas dan berkembang. Ekonomi Islam semakin kukuh. Ibadah dan akhlak masyarakat Islam tetap baik dan terpelihara.

Berbeza dengan krisis yang kita hadapi. Semakin berkrisis, semakin ramai orang Islam jadi murtad. Semakin berkrisis, ekonomi Islam semakin merosot dan kuasa ekonomi berpindah ke tangan orang lain. Huru-hara semakin banyak berlaku. Jenayah bertambah-tambah. Keamanan dan keselamatan Negara tergugat. Moral dan akhlak muda mudi merosot. Ibadah dan akhlak masyarakat rosak.

Di mana rahmatnya?
Di mana baiknya?
Di mana untungnya?

Yang jelas, krisis yang kita hadapi ini sangat merugikan dan merosakkan. Sayidina Ali dan Sayidina Muawiyah berkrisis dalam kebenaran. Nafsu mereka dan sifat-sifat mazmumah tidak berperanan. Kita berkrisis dalam kebatilan dan kemungkaran. Nafsu dan sifat-sifat mazmumah mereka kita bercakaran.

Apa benarkah krisis yang kita hadapi ini satu rahmat?

Atau apakah ia satu bala bencana yang Allah turunkan kepada kita kerana dosa, kemungkaran dan keangkuhan kita?

Ini harus kita kaji dan teliti betul-betul. Malanglah bangsa yang menganggap bala bencana itu sebagai rahmat tanpa melihat kepada dosa-dosa yang menyebabkan kemurkaan Tuhan dan tanpa bertaubat dari dosa-dosa tersebut.

Tiada ulasan: