21 Apr 2008

APA ADA PADA UMUR 40?

Bersabda Rasulullah SAW : Terjemahannya:

Sesiapa yang menjangkau umur 40 tahun tetapi kebaikannya tak dapat mengatasi kejahatan-nya bersiap-siaplah untuk ke Neraka.

Mengapakah hal itu boleh terjadi? Dan bagaimana kita boleh selamat daripada kemungkinan buruk itu? Apa harapan pada mereka yang kini sudah berumur 40 tahun ke atas, tapi belum lagi melakukan amal-amal soleh yang diperintahkan oleh Allah SWT? Dengan izin Allah SWT kita kupas persoalan ini.

Sudah ditetapkan oleh Allah, bahawa semua makhluk termasuk manusia lahir ke dunia dalam keadaan belum sempurna. Kesempurnaan dicapai sesudah beberapa tahun mengalami proses pertumbuhan dan pembesaran yang berperingkat-peringkat.

Manusia sendiri mengalami lima peringkat:

1. Peringkat bayi.
2. Peringkat kanak-kanak.
3. Peringkat remaja.
4. Peringkat dewasa.
5. Peringkat tua.

Tiap-tiap peringkat mengambil masa bertahun-tahun sebelum memasuki peringkat berikutnya. Hingga akhirnya manusia memasuki peringkat yang menurun, yakni kembali seperti sifat asal. Akhirnya mati. Demikianlah sunnatullah yang akan terus-menerus berlaku selagi dunia belum kiamat.

Dalam setiap peringkat, manusia bukan saja mengalami perubahan-perubahan fizikal, tetapi juga akal, hati, perasa-an, nafsu dan tenaga lahir mahupun batin. Proses itu berlaku dengan perlahan-lahan hingga sukar untuk dikesan. Sedar-sedar, seseorang sudah beralih daripada bayi kepada kanak-kanak, kepada remaja, kepada dewasa dan tua. Apabila berlaku peralihan itu, maka yang kelihatan berubah ialah raut fizikalnya, saiznya dan kesasaannya. Berlaku juga perubahan-perubahan yang tidak kelihatan tapi dapat di-kesan, yakni fikiran, perasaan, jiwa, nafsu dan tenaga. Semuanya meningkat kepada kematangan yang kemuncak, kemudian menurun kepada sifat asal. Proses ini mengambil masa lebih 60 tahun untuk mencapai kesempurnaannya. Manusia yang umurnya tidak selama itu, tidak sempatlah mengalami kesempurnaan dalam pertumbuhan lahir batin-nya.

Daripada lima peringkat peralihan yang dialami oleh manusia itu, peringkat kematangan yang tertinggi ialah Peringkat dewasa dan paling lemah ialah di peringkat bayi dan peringkat tua. Lihat firman Allah:

Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut. Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan) kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.(Al Insan: 1 -2)

Firman-Nya lagi: Terjemahannya: Dan barang siapa yang Kami panjangkan umurnya nescaya Kami kembalikan dia kepada kejadiannya (asal lemah dan kurang akal). Maka apakah mereka tidak memikirkan? (Yaasin: 68)

Di peringkat kanak-kanak dan remaja, manusia mengalami perkembangan paling subur dan penting. Waktu ini-lah pendidikan dan ilmu pelajaran mudah diterima dan manusia dicorakkan mengikut bentuk pendidikan yang diterimanya. Daya penerimaan ini bergantung pada kekuatan faktor-faktor batiniah manusia ini, yakni akalnya, jiwa-nya, nafsunya, tenaganya dan perasaannya. Jika akal kuat, ilmu akan didapati dengan cepat dan banyak. Jika ilmu dan pendidikan yang diterima itu ilmu dan pendidikan yang baik maka suburlah jiwanya (rohnya), dengan sifat-sifat yang (mahmudah).

Sebaliknya pendidikan yang salah akan meliarkan nafsu dan merosakkan jiwa. Perasaan manusia bergantung kepada baik atau buruk didikan dan ilmu yang diperolehi. Jika pendidikan baik, maka perasaan akan jadi bersih dan halus. Tapi kalau pendidikan buruk, maka perasaannya jadi kasar dan keras "kotor". Demikianlah berlakunya per-kembangan itu sedikit demi sedikit tanpa disedari. Manusia tidak dapat mengetahui bentuk jiwa atau akal dan nafsu seorang manusia lain, tapi hasilnya dapat dilihat pada si-kap, akhlak, percakapan dan jalan hidupnya. Kalau baik batin, baiklah kehidupan lahirnya; kalau jahat batin maka jahatlah kehidupan lahirnya.

Maksud Hadis: Di dalam diri anak Adam ada seketul daging, jika baik daging itu, baiklah manusia itu. Jika jahat, maka jahat-lah dia. Ketahuilah itu lah hati. (Riwayat Bukhari & Muslim)

Fizikal meningkat dibantu oleh makanan dan kesihatan tubuh. Manakala batin manusia meningkat mengikut ilmu dan didikan yang diterima. Tapi peningkatan ada hadnya. Sesudah had itu, berlakulah penurunan dalam hidup manusia. Fizikal mula kendur dan batin pun mula lemah. Di peringkat ini makanan selazat mana pun tidak akan meningkatkan lagi perkembangan lahir dan batinnya. Didikan yang sebaik manapun tidak boleh membentuk manusia lagi sebab zaman penurunan sudah bermula. Umpama bunga yang hendak gugur; walau dibaja sebanyak mana pun, tidak dapat menahannya daripada gugur.

Tahap umur ketika manusia berada pada kemuncak pertumbuhan dan pada awal penurunan ialah 40 tahun. Pada waktu ini fizikal sudah cukup dewasa dan akal, jiwa, perasaan dan nafsu sudah sampai ke kemuncaknya dan mulalah untuk lemah kembali. Kalau sewaktu umur 40 tahun kekuatan tenaganya sepuluh horse power, maka sesudah itu tidak akan bertambah lagi. Demikian juga akal-nya, tidak akan berkembang lagi. Kalau cerdik, cerdiklah. Kalau bodoh, bodohlah. Tidak berlaku lagi selepas 40 tahun orang bodoh nak dicerdikkan. Kalau kuat jiwanya, kuatlah, tidak boleh ditukar-tukar lagi. Nafsunya kalau baik, baik-lah, kalau jahat, jahatlah; sudah susah untuk dibentuk lagi. Demikianlah seterusnya.

Sebab itu sekiranya kita ingin mencorakkan hidup kita, biarlah sebelum 40 tahun; manusia sesudah itu tidak boleh dibentuk lagi. Sebab itu pepatah Melayu ada mengatakan;

"Melentur buluh biarlah daripada rebung."

Rebung lembut, boleh dilentur. Tapi buluh sudah keras, tidak boleh dilentur lagi. Itulah maksudnya.

Manusia kalau mahu mencari harta, membina hidup mewah atau pangkat tinggi atau ingin memperjuangkan kebenaran, maka usaha hendaklah dibuat pada awal-awal hidup dewasanya. Waktu itu lahir batinnya sudah cukup bersedia untuk diajak bekerja. Semua orang maklum akan hal ini. Sebab itu seorang pun tidak pernah berkata begini;

"Waktu muda ni, aku nak rehat. Nanti tua baru nak cari harta, buka hutan, cari ilmu dan berkebun."

Tidak munasabah langsung kata-kata itu. Sebab manusia faham, apabila tua tenaga sudah lemah. Sebab itu orang-orang muda bertungkus-lumus cari harta untuk hari tuanya. Harta-harta dikumpul-kumpul dan disimpan untuk hari tua. Tapi itu hanya untuk keperluan lahir manusia. Fahaman demikian hanya dimaksudkan pada keperluan fizikal semata-mata. Manusia tidak faham dan tidak sedar bahawa keperluan batiniah juga begitu. Sebab itu kita selalu mendengar orang berkata:

"Waktu muda ni kita enjoy dulu. Nanti apabila tua baru kita beribadah."

Mereka ingat beribadah itu mudah. Apabila saja teringat buat, terus boleh dibuat. Walhal dalam pengalaman hidup manusia, orang yang tidak dilatih beribadah sejak kanak-kanak lagi, apabila tua tidak mampu melakukannya. Walaupun keinginannya besar sekali. Kenapa?

Sebab roh dan nafsu atau batin kita turut tua bersama tuanya umur dan badan kita. Batin atau roh dan nafsu kita mengalami proses tua dan muda, bertenaga dan lemah serta meningkat dan menurun sama, seperti fizikal kita (cuma tidak dapat dilihat oleh mata kasar). Kalau fizikal kuat pada waktu muda, roh juga begitu. Kalau fizikal kena berusaha untuk hari tuanya semasa mudanya, maka roh juga begitu. Kalau kita berkebun waktu muda, maka beribadah juga mesti dididik dan dilatih sedari muda (kanak-kanak). Apabila tua nanti hanya tinggal meneruskannya, kerana ia sudah terlatih dan terbiasa.

Sebagaimana tidak munasabahnya orang nak berkebun pada waktu tua, kerana mahu berehat pada waktu muda, begitulah tidak munasabahnya orang mahu memulakan ibadah dan berjuang pada hari tuanya. Sedangkan waktu muda mahu dihabiskan untuk berfoya-foya. Kerana jiwa yang sudah sebati dengan maksiat, nafsu yang begitu ganas dan rakus, tua dalam keadaan bergelumang dengan perbuatan-perbuatan jahat, tidak boleh diubah untuk menjadi jiwa yang taat lagi. Walaupun manusia itu ingin sekali berubah, namun rohnya sudah tidak bersedia lagi.

Umpama seorang penagih dadah, amat payah untuk menghentikannya daripada menagih dadah, walaupun dia memang ingin berhenti. Sebab jiwa yang sudah biasa dengan sesuatu keburukan atau kebaikan hingga sifat itu telah menjadi tabiat, sukar untuk diubah. Apalagi kalau keinginan untuk berubah itu pada waktu umur 40 tahun ke atas, ketika tempoh perubahan sudah selesai.

Sama juga halnya dengan seorang yang sudah biasa makan nasi sebagai makanan asas dan utama, tiba-tiba mahu menukarnya kepada roti. Seminggu saja sudah cukup untuk dia rasa menderita kerana tidak dapat nasi. Selepas itu pasti dia akan sedaya upaya mendapatkan nasi kerana selera yang sudah terbiasa dan sebati dengan nasi itu sudah tidak dapat disesuaikan dengan makanan lain. Walaupun empunya diri ingin berbuat begitu tapi selera tidak bersedia untuk menerimanya.

Demikianlah halnya dengan seseorang yang sudah 40 tahun berada di jalan syaitan dan nafsu, tidak beribadah kepada Allah. Kemudian baru tersedar dan ingin berubah, maka adalah hampir-hampir mustahil baginya untuk berubah. Sebab itu Rasulullah SAW bersabda:

Terjemahannya: Sesiapa yang menjangkau umur 40 tahun tetapi kebaikannya tidak mengatasi kejahatannya, bersiap-siaplah untuk ke Neraka.

Mengapa Rasulullah berkata demikian? Bukankah ampunan Allah dan pertolongan-Nya boleh mengatasi segala-galanya? Jawabnya ialah kerana Rasulullah mahu memberitahu kita bahawa sifat-sifat yang baik, amal-amal soleh, akhlak yang mulia, nafsu yang jinak dan tenang, iman dan taqwa itu bukannya datang sendiri secara mengejut dan tiba-tiba. la mesti dipelajari, dicari, diasuh, dididik, dilatih, diamalkan selalu sedari kecil lagi; barulah ia akan jadi sifat dan akhlak kita.

Seorang yang tidak berusaha langsung untuk mencari kebaikan, sebaliknya dihabiskan umurnya untuk merancang dan melaksanakan kehendak-kehendak duniawi, nafsu dan syaitan tentulah tidak begitu mudah untuk dimaafkan. Dan kalau sampai 40 tahun pun belum mahu berusaha mengenali Allah dan taat kepada-Nya, sedangkan segala ilmu dunia dan kekayaan dunia sudah diperjuangkan begitu lama sekali, adalah layak untuknya api neraka. Masakan tidak te-fikir olehnya bahawa dia diciptakan oleh Allah, dan patut sekali mensyukuri nikmat itu dan berbakti pada Allah. Dan kalaulah hal itu pernah melintasi fikirannya, tapi sengaja tidak dipedulikan, kerana mahu sepuas-puasnya dengan dunia, hinggalah menjangkau 40 tahun lamanya, sungguh munasabah bagi orang ini dihumban ke dalam Neraka. Tiada maaf baginya. Sesudah terasa susah payah dan lemah anggota baru teringatkan Allah sedangkan pada waktu senang, dan kuat bertenaga pula sangat derhaka pada Allah.

Manusia yang bersifat begini, memang patut disuruh bersiap untuk ke Neraka. Daripada hadis itu, kita juga dapat faham bahawa seseorang yang sudah biasa dan lama dalam kejahatan memang payah hendak diubah ke arah kebaikan. Harapannya tipis sekali. Umpama seorang yang sudah lama berpenyakit kudis atau tokak atau darah tinggi atau kencing manis atau sakit jantung atau semuanya sekali, sudah terlalu kronik, sudah hampir maut, baru teringat hendak berjumpa doktor untuk berubat.

Waktu mula-mula kena penyakit, tidak mahu berubat konon tidak bahaya atau boleh tahan atau tunggu masa yang baik. Apabila keadaan sudah serius, baru nak berubat, tentu doktor akan berkata "tiada harapan lagi". Doktor tak salah kerana berkata begitu. Pesakit itu sendiri yang bersalah kerana membiarkan sakit begitu lama baru ingat hendak berubat.

Demikianlah halnya jiwa yang sakit. Oleh kerana sudah lama dibiarkan, sudah sebati dengan sikap dan akhlak yang keji, tentu sukar sekali untuk diubati. Nafsu yang suda bermaharajalela dalam diri memang sukar untuk dikawal. Jumpalah doktor walau pakar apa pun, namun kerana untuk proses pendidikan jiwa itu sudah tamat maka mujahadah tidak akan berbekas lagi.

Selepas 40 tahun hati tidak kenal Allah, tidak kenal akhirat, Islam, dan iman, tentu payah hendak menjadikannya yakin sesudah itu. Umpama anak yang tidak tahu siapa ibunya, tiba-tiba waktu 40 tahun diperkenalkan kepada ibunya, tentu payah untuk menanam kasih sayang dan kecintaan kepada ibu tadi. Sebab kasih itu sudah diberi kepada ibu angkatnya.

Begitulah payahnya, orang yang sudah 40 tahun mengekalkan sifat sombong dan besar diri, untuk mujahadah menjadi tawaduk atau rendah diri.

Sesudah 40 tahun mengekalkan sifat bakhil, hingga sifat itu sudah menjadi akhlak dan perangainya, bukan senang hendak mendidik hati jadi pemurah.

Sesudah 40 tahun menjadi pemarah dan pembengis, bukan mudah untuk berubah menjadi pengasih dan lemah lembut.

Sesudah 40 tahun berhasad dengki dengan sesama manusia, tentu tidak mudah untuk menjadi orang yang berlapang dada dengan manusia.

Sesudah 40 tahun tidak sabar, tidak redha, maka tentu payah untuk bertukar menjadi seorang yang sabar dan redha dengan Allah.

Sesudah 40 tahun berpenyakit gila puji, gila pangkat, gila dunia, tentulah harapan tipis untuk bertukar menjadi seorang yang zuhud; sudah dekat nak mati masih sebut "harta saya", "kebun saya" dan "wang saya".

Demikian seterusnya !
Umat Islam perlu fahami dan sedari benar-benar akan hakikat ini agar usaha-usaha membaiki diri lahir dan batin tidak ditangguh-tangguh lagi; supaya kita tidak menyesal kemudian nanti, kerana mendapati segala-galanya sudah terlewat.

Kita juga kena sedar bahawa untuk melakukan kebaikan itu sama ada kebaikan lahir, apalagi batin, bukannya mudah. Sebenarnya ia lebih payah daripada mencari rezeki, pangkat dan ilmu tinggi dan lain-lain. Sebab kita terpaksa berhadapan dengan musuh-musuh batin yang sangat jahat itu nafsu dan syaitan. Musuh-musuh yang tidak rehat-rehat untuk menjahanamkan kita. Nafsu itu sudah lama kita perturutkan ajakannya. Sudah manja dan sudah gemuk kerana mendapat layanan yang baik daripada kita. Sebab itu walaupun kita sudah sedar keterlanjuran selama ini, namun terasa payah sekali untuk kita menjinakkan dan rnenenangkan nafsu itu.

Sifat sombong kita, misalnya, yang sudah menjadi perangai dan akhlak kita sekian lama, bukan mudah untuk diungkai. Kita sentiasa meninggi diri dengan manusia lain, merendah-rendahkan dan menyinggung perasaan mereka. Apabila kita sedar, kita pun berazam tidak mahu lagi mengulangi perkara yang dibenci Allah itu. Tapi apakah hanya dengan azam itu kita terus berubah? Jawabnya, tidak. Nafsu sombong yang sudah bertakhta dalam diri itu akan terus bekerja. Pantang ada salah silap manusia dengan kita, terus kita kata nista orang itu sepuas hati kita. Pantang tengok kelemahan orang lain, terus kita sebut-sebut dan sebarkan hingga terhinalah orang itu. Pantang ada orang menegur, kita bidas orang itu pula sampai melukakan perasaannya.

Kita sedar hal itu dibenci Allah, maka kita sangat menyesal selepas setiap kali melakukannya. Tapi kesal itu tidak mengubah kita. Buktinya, apabila terjadi lagi hal-hal yang mencabar ego kita, kita pun melenting. Menyesal, kemudian buat lagi. Begitulah halnya. Kita ingin untuk terus berubah tapi tidak semudah itu. Nafsu yang sudah terlalu jahat itu terasa payah benar hendak dijinakkan. Kita selalu kalah dalam bermujahadah. Kadang-kadang mati akal dibuatnya. Terasa peritnya berhadapan dengan kejahatan nafsu. Walhal umur kita belum 40 tahun, sudah terasa benar susahnya. Apalagi. kalau sudah tua, yang nafsu itu pun sudah tua, memang tipis harapan untuk diselamatkan.

Oleh itu pendidikan mestilah dibuat sewaktu kanak-kanak lagi. Jinakkan nafsu waktu ia belum liar lagi. Latih anak-anak dengan segala kebaikan lahir dan batin sewaktu mereka belum pandai buat jahat lagi. Kemudian lanjutkan hingga ke umur remaja dan dewasa. Insya-Allah barulah nanti kebaikan-kebaikan itu mudah dilakukan. Tidak payah mujahadah lagi. Tapi zaman sekarang, anak-anak orang Islam dari kecil lagi dididik dengan cara Barat, sehingga besar pun dididik oleh orang-orang Barat atau dihantar ke sekolah yang menjalankan pendidikan sekular.

Mereka dididik agar tidak kenal Allah, Rasulullah dan alam akhirat, tidak hormat guru dan orang tua, tidak malu, sombong, hasad dengki, mementingkan diri sendiri, tamak, gila dunia, gila pangkat dan pujian, bakhil, dendam dan lain-lain lagi, secara langsung atau tidak langsung. Ilmu sebaik mana pun kalau diberi kepada seorang yang kotor hatinya dan buruk akhlaknya, nescaya akan digunakan ke arah kejahatan pula. Sebab itu masyarakat kita ini, tidak bahagia lagi kerana berdepan dengan berbagai-bagai masalah yang dilakukan oleh manusia-manusia yang pandai dan bijak ini.

Rasuah, curi, rompak, tipu, zina, salah guna kuasa, berkrisis, rebut kuasa, dadah, arak, memfitnah dan lain-lain lagi. Semakin tua usia seseorang itu, bukannya semakin baik, tapi semakin rosak. Sebab nafsu dan rohnya semakin tua bersama tuanya badan. Sedangkan jiwanya yang murni tidak berfungsi kerana lemah iman dan taqwa.

Untuk membaiki keadaan ini, pendidikan Islam mesti-lah diterima dan dilaksanakan. Bagi yang sudah dewasa, rajin-rajinlah mendengar ceramah dakwah dan bersungguh-sungguhlah bermujahadah. Dan bagi yang sudah tua, bertaubatlah banyak-banyak dan bersungguh-sungguh kepada Allah. Mudah-mudahan Allah memelihara kita daripada api Neraka.

Sekian.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Firman Allah:

Setinggi langit pun dosa seseorang itu atau sekiranya dosanya meliputi seluruh muka bumi pun, selagi dia berdoa dan berharap padaNya, akan Allah berikannya pengampunan.

Kesimpulan :-
Tiada had atau sempadan waktu dan ruang. Kata-kata itu adalah umum dan setiap hamba Allah itu senantiasa diberi pengampunan kerana Dia Maha Pengasih dan Penyayang. Sentiasa diberi peluang untuk memulakan hidup baru jika telah tersalah langkah. Sentiasa manusia itu diberi pengharapan untuk bangun dan bersemangat menempuh hidup. Begitulah murninya Cinta Allah kepada hambanya dan semesti begitu jua Cinta kita kepada Allah.

Ini dinamakan Cinta hakiki kerana tiada memilih umur, darjat atau pangkat, umur atau ruang waktu.

Sentiasa terbuka memaafkan.
Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Jadi artikel saudari ini tidak benar hujahnya, kerana saudari dengan senang menghumban manusia itu ke neraka. Siapa saudari nak menghumban orang ke neraka?

Saudari bercakap menggunakan logik akal dan bukan fahaman hati atas ilmu yang tuhan beri.

Berbanyaklah merenung diri. Ada banyak kekurangan diri saudari yang boleh dinampak. Betapa dangkalnya ilmu saudari. Harap saudari tidak menggunakan Islam untuk fahaman salah saudari.

Harap belajar lagi pengertian Cinta Allah kepada hambanya. Saudari bercakap banyak mengikut desakan hati yang dipengaruhi bisikan-bisikan iblis.

PUTERI berkata...

terimakasih atas komen.

Cuba baca betul-betul artikel tersebut dengan hati yang terbuka dan dengan mohon berkat dariNYA.

Bersabda Rasulullah SAW : Terjemahannya:

Sesiapa yang menjangkau umur 40 tahun tetapi kebaikannya tak dapat mengatasi kejahatan-nya bersiap-siaplah untuk ke Neraka.

Bukankah ini dari hadis RSAW, bukan kata-kata saya apatah lagi kata-kata dari bisikan iblis.

Sekian.wallahualam.