Hati atau roh adalah hakikat kejadian manusia, kerana itu ia diberi keupayaan untuk merasa senang dan susah. Ia sangat sensitif terhadap apa yang berlaku, yang didengar, dilihat dan dirasai. Dari sanalah ia menentukan sikap manusia samada positif atau negatif. Memang hakikat pencipaan hati oleh Allah SWT adalah suatu yang maha ajaib. Kelajuan perjalanan hati tidak terhitung dan ruang gerakannya tiada had. Hati atau roh tidak mati sewaktu jasad lahir manusia mati. Hati berpindah ke alam Barzakh dan seterusnya ke akhirat. Bagi orang mukmin yang suci hatinya dia dapat melihat di syurga kelak.
Itulah dia hati manusia. Ia juga disebut roh. Tempatnya ialah di dalam hati jasmani. Hati rohaniah ini umpama burung yang bersangkar di dalam hati jasmaniah. Hati manusia berbeza dengan hati haiwan kerana hati manusia boleh menerima perintah dan larangan; ia disebut rohul amri. Manakala hati tidak bersifat demikian, ia disebut rohul hayah. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika baik daging itu, baiklah manusia. Jika jahat daging itu jahatlah manusia. Ketahuilah, itulah hati.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hati boleh baik dan jahat. Rasa senang apabila ia dipuji. Rasa menderita apabila di keji. Rasa riak dan megah apabila mendapat kelebihan dan kejayaan. Rasa ujub (hairankan diri) apabila mempunyai kemampuan. Rasa rendah diri (inferiority complex) apabila ia mempunyai kekurangan. Rasa sombong dan angkuh apabila berkuasa atau ada ilmu atau ada kekayaan atau ada kekayaan. Rasa tidak senang (hasad) apabila tengok orang lain lebih. Rasa dendam apabila orang menganiayainya. Simpati dengan orang susah. Rasa keluh kesah apabila dapat susah. Rasa terhutang budi dan terima kasih pada orang yang menolong. Rasa gerun apabila berhadapan dengan perkara yang menakutkan. Rasa jijik apabila berhadapan dengan benda kotor.
Begitulah riak-riak hati yang beralih-alih kepada berbagai-bagai riak rasa dengan sendirinya, apabila dirangsang oleh faktor-faktor luar. Perasaan itu akan kemudian akan mempengaruhi sikap lahir manusia. Kalau rasa hati itu baik, baiklah tindakan manusia. Dan kalau rasa hati itu jahat maka jahatlah tindakan lahir manusia.
Dengan kebolehan dan kuasa yang penting, hati seolah-olah raja yang bertakhta didalam diri manusia. Dialah yang menentukan baik buruk manusia. Akal adalah penasihatnya. Anggota-anggota lahir adalah rakyat jelatanya yang taat kepada arahannya. Nafsu dan syaitan adalah musuhnya. Demikian struktur kerja yang berlaku dalam diri manusia.
Kita mesti memahami dan beri perhatian penting pada persoalan ini, kerana baik jahatnya kita bergantung pada hati serta pengurusan kita dalam hati. Siapa mengabaikan urusan hati, ertinya membiarkan dirinya berjalan dalam gelap. Nasibnya belum tentu selamat dunia dan akhirat.
Hati boleh dididik. Lihat apa kata Allah tentang hati.
Firman Allah:
Beruntunglah orang yang membersihkan hatinya dan rugilah siapa yang mengotorinya.
(Asy - Syams: 9)
Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersih diri (dengan beriman ). Dan dia ingat nama tuhannya lalu dia sembahyang.
(Al - A’la: 14 - 15)
Pada hari itu, tidak berguna lagi harta anak-anak. Kecuali mereka yang pergi menghadap Allah membawa hati yang selamat.
(Asy - Syuara: 88-89)
Allah memerintahkan kita agar mendidik hati hingga hati itu menjadi hati yang selamat. Yakni hati yang bersih daripada sifat-sifat yang jahat (mazmumah). Cara-cara pendidikan hati terdapat dalam ilmu tasawuf. Tajuk ini tidak bermaksud menerangkan cara mendidik hati. Ia bermaksud menceritakan wajah hati yang sudah dididik, yang sudah bersih dan selamat. Yakni hati yang ada pada para mukmin. Antara sifat-sifat hati mukmin ialah:
1. Sensitif dengan Tuhan. Hatinya akan gerun dan gentar apabila teringat tuhan. Terasa betapa besarnya kekuasaan Allah yang boleh buat apa sahaja terhadap dirinya. Betapa lemahnya dia kerana tiada upaya menolak sebarang takdir Allah. Ini berdasarkan firman Allah:
Apakah kamu berasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahawa Dia akan menjungkirbalikkan bumi bersama kamu sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang?
(Al Mulk: 16)
Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang (berkuasa) di langit bahawa Dia akan mengirimkan badai yang berbatu. Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatanku?
(Al Mulk: 17)
Katakanlah, “Terangkanlah kepada Ku jika sumber air kamu menjadi kering maka siapakah yang akan mendatangkan air yang mengalir di bumi.”
5. Hati mukmin sangat Tawaduk dan Khuduk kepada Allah. Yakni sangat merendah diri pada Allah kerana dia sedar dirinya adalah ciptaan Allah. Asalnya dari setitis air mani yang hina. Terlalu lemah tiada kuasa apa-apa kalau bukan dengan kehendak allah.Setiap detik ia memerlukan bantuan Allah untuk meneruskan hidupnya.
Firman Allah:
Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dari setitis air mani yang becampur yang kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan) kerana itu kami jadikan dia mendengar dan melihat.
(Al Insaan :2)
Sebab itu hati mukmin sangat membesarkan Allah dalam setiap tindak tanduknya. Tidaklah ia menyombongkan diri walau dengan sesama manusia. Ia berjalan di bumi denagn rendah hati dan tenang.
Firman Allah : Hamba Allah (Ar-Rahman) itu ialah mereka yang bejalan dimuka bumi dengan tenang.
(Al-Furqan : 63)
6. Kalau diuji oleh Allah hati mukmin sabar dan redha. Bahkan dengan tenang dengan ujian. Ia bersangka baik dengan Allah bahawa ujian adalah untuk penghapusan dosa atau peningkatan darjat oleh Allah. Tidaklah orang mukmin itu mengeluh dan mengadu-ngadu serta marah-marah terhadap ujian yang datangsamada difitnah, ditohmah, disakiti, ditimpa bencana alam atau apa juga pun. Ia sedar itu semua daripada Allah dan Allah bermaksud baik dengan ujian itu. Maka ia hanya mengadu dan mengharap pada Allah sahaja. Firman Allah:
Apakah manusia mengira ia akan dibiarkan begitu saja mengatakan kami telah beriman sedang mereka belum diuji.
(Al-Ankabut : 2)
Dengan itu hati mukmin apabila diuji akan bertambah keimanannya.
7. Hati Mukmin sentiasa terkenang-kenang zat Allah maklumlah setiap detik rasanya ia menerima nikmat daripada Allah: Ilmu, harta, anak isteri, udara, air, makanan, bumi, langit, matahari, dan segala-galanya. Ia lemas dengan nikmat yang tidak terhitung. Cinta dan rindunya tertumpah pada zat yang maha baik lagi maha mulia itu. Allah menceritakan tentang hati mukmin: iaitu mereka yang sentiasa mengingati Allah pada waktu berdiri, duduk dan sambil berbaring.
(Al - Imran : 191)
Itulah di antara ciri-ciri hati orang mukmin. Dan itulah dia yang mencetuskan akhlak-akhlak yang baik dengan Allah dan dengan manusia. Hal ini tidak berlaku pada orang kafir dan munafik. Hati yang seumpama inilah yang membawa keikhlasan, kejujuran, kasih sayang dan harmoni serta yang membuahkan keamanan, kedamaian dan kebahagiaan kepada masyarakat.
Begitulah peranan hati orang mukmin didalam pembentukan kehidupan masyarakat, yang tidak wujud hari ini. Hati yang sempurna itulah yang hendak kita perjuangkan agar ia wujud. Moga-moga Allah memberi hidayah dan taufik kepada kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan