ISLAM bukan ideologi. Semua orang tahu itu. Islam adalah wahyu. Sedangkan ideologi itu dari fikiran manusia. Tentunya wahyu yang datang dari ALLAH itu jauh berbeda dengan akal pikiran yang ALLAH ciptakan untuk manusia. Bezanya barangkali seperti langit dan bumi bahkan lebih dari itu. Maka memperjuangkan Islam tidak mungkin sama dengan kaedah memperjuangkan ideologi. Sekiranya sama, apa istimewanya agama ALLAH itu dibandingkan dengan ideologi buatan manusia?
Namun satu hakikat yang tidak boleh dinafikan lagi sedang terjadi kini ialah pejuang-pejuang Islam memperjuangkan tegaknya undang-undang ALLAH sama seperti pejuang-pejuang ideologi memperjuangkan hukum-hukum dalam ideologi mereka.. Yakni dalam mengajak masyarakat melaksanakan hukum-hukum tersebut, tujuannya bukan untuk taat
dan patuh kepada ALLAH SWT, tetapi karena kepentingan lain-lainya. Misalnya kerana ingin menyelesaikan masalah atau kerana fanatik keagamaan atau kerana undang-undangnya bagus atau tidak tahan dengan keadaan masyarakat yang rosak.
Kalau dalam negara ideologi, rakyat takut berbuat salah kerana takut ditangkap polis, maka begitu jugalah rakyat dalam negara Islam yang para pejuangnya mendidik rakyat untuk takut pada hukuman dan tidak atas dasar patuh kepada ALLAH (sam’an wataatan) di mana kalau mereka merasa selamat dari hukuman dan penahanan, mereka akan melakukan kejahatan itu.
Kita tidak bermaksud bahwa hukuman dan undang-undang tidak perlu, tetapi ia adalah
jalan terakhir bagi menyelesaikan kejahatan dari orang yang sudah tidak boleh dididik lagi. Hukuman bukan dasar atau asas pendidikan. Ia pilihan terakhir. Asas pendidikan Islam ialah ketaatan pada ALLAH. Sekalipun pejuang-pejuang Islam itu tentunya sedar bahwa Islam jauh bezanya dengan ideologi, baik itu dari segi kesempurnaan undang-undang, tujuan pelaksanaanya, teknik perjuangannya atau hasil yang diperolehinya, namun sewaktu
mereka memperjuangkannya, mereka melakukan sama seperti apa yang dilakukan oleh pejuang-pejuang ideologi. Khususnya dari segi maksud mengajak orang melaksanakan Islam itu, bukan atas dasar pengabdian kepada ALLAH, tapi kerana hukum-hukum itu kalau dilaksanakan boleh menyelesaikan masalah mereka. Yakni bukan mengajak orang kepada ALLAH tapi kepada undang-undang ALLAH tanpa perlu berhubung dengan ALLAH. Lalu hasilnya sama juga yakni hukum dapat didaulatkan secara tertulis di mahkamah-mahkamah dalam negara tapi hukum tidak ditaati sepenuhnya oleh masyarakat.Hasilnya masyarakat tidak berubah.
Hukum yang didaulatkan itu seolah-olah tidak memberi kesan apa-apa pada manusia-manusianya baik itu dari segi pergaulan, akhlak, ibadah, disiplin hidup, ukhuwah dan lain-lainya. Masalah-masalah yang timbul dalam masyarakat pun tidak berbeza krisis, kecurian, tipu, kemiskinan, zina, rogol dan lain-lainya. Sebabnya, masyarakat tidak mampu untuk meninggalkan kejahatan-kejahatan itu. Walaupun mereka tahu undang-undang tidak membenarkan hal ini terjadi, tapi ketaatan kepada undang-undang dan ketakutan pada hukumannya tidak kuat mendorong mereka meninggalkan kejahatan-kejahatan semua itu. Tidak sekuat dorongan taat dan patuh kepada ALLAH (sam'an wa taatan)
Hasilnya, hampir-hampir tidak ada bezanya ciri-ciri masyarakat dalam negara Islam itu dengan ciri-ciri masyarakat dalam negara sekular. Sehingga kita tidak nampak keistimewaan negara Islam dibandingkan dengan negara bukan Islam. Begitulah akibatnya bila kita ambil teknik yang sama dalam memperjuangkan dua undang-undang yang berbeza. Tamsilannya ialah seperti kita memilih jalan yang sama untuk sampai ke dua tempat yang berbeda. Hasilnya, kita sampai ke tempat yang sama juga. Untuk sampai ke tempat yang berbeza, sepatutnya jalannya juga mesti berbeza. Bila kita katakan Islam mampu menyelesaikan masalah manusia, tentunya kita mempunyai cara tersendiri supaya undang-undang itu benar-benar menyelesaikannya. Rahasianya ialah undang-undangitu ditegakkan atas dasar taat dan patuh pada ALLAH (sam'an wa taatun) dan bukan kerana yang lain.
Bukti jelas tentang apa yang dikatakan di atas boleh dilihat pada Arab Saudi dan Pakistan. Akibat memperjuangkan Islam dengan maksud yang sama seperti orang memperjuangkan ideologi, yakni untuk mencari jalan keluar kepada masalah masyarakat atau untuk menegakkan hukum yang paling baik (bukan kerana ALLAH), maka jadilah Arab Saudi ‘negara Quran dan Hadis’ itu dan Pakistan ‘Islamic Country’, negara yang undang-undangnya bertulis Islam tapi masyarakatnya tidak berbeza dengan masyarakat dalam negara sekular. Bagi yang pernah ke Arab Saudi dan Pakistan tentu sudah sangat kenal hal itu.
Jadi ciri-ciri yang boleh disebutkan tentang orang-orang Saudi dan Pakistan ini adalah berdasarkan apa yang dapat kita lihat dengan mata kepala saya sendiri. Ciri-ciri itu ialah seperti berikut:
1. Orang kaya sangat kaya, yang miskin sangat miskin.
2. Korupsi dan tipu menipu menjadi budaya kehidupan mereka.
3. Maksiat tidak terlihat tapi banyak terjadi secara tertutup. Bahkan rakyatnya terkenal sebagai ahli maksiat di negara-negara lain.
4. Akhlak rakyatnya kasar, bengis dan suka bergaduh.
5. Peratusan umat islam yang sembahyang rendah dibandingkan dengan yang tidak sembahyang
6. Negara mereka kotor (Pakistan).
7. Diketahui secara umum bahwa orang-orang Saudi sombong dan angkuh. Dan lain-lainya.
Kalau memang begitulah masyarakat dalam negara Islam, tentu orang akan bertanya:
“Manalah indahnya undang-undang atau cara hidup Islam itu?”
Apa yang berlaku sekarang, sesetengah orang Islam dan parti Islam kerana dasar mereka mahu mencorakkan masyarakat bukan dengan iman tapi dengan semangat dan ugutan, maka tentunya mereka memerlukan kuasa politik. Oleh sebab itu pejuang ideologi mewajibkan urusan mendapat kuasa memerintah negara sebagai syarat untuk tertegaknya undang-undang ideologi mereka itu. Di mana kiranya tidak dapat negara, mustahillah untuk mereka menegakkan cara hidup ideologi mereka itu. Sampai mati pun, kalau tidak mendapatkan negara, tidak merasalah untuk menjalankan teori yang mereka perjuangkan itu.
Satu kesalahan besar yang dilakukan oleh pejuang-pejuang ideologi ialah, dalam memperjuangkan kebenaran yang dilaung-laungkan, mereka mengabaikan kebenaran yang selainnya. Katakan mereka melaungkan keadilan sebagai tema perjuangan. Maka dalam pergelutan menegakkan keadilan di satu sudut itu, mereka membenarkan penipuan, pembohongan, penindasan, penzaliman, membeli pengaruh, fitnah dan mencela-cela. Ini boleh kita saksikan dalam masyarakat kita, masing-masing cuba menjatuhkan lawan dengan segala macam tipu muslihat dan akhlak liar. Jadi di mana logiknya? mereka ini kononnya kelompok yang cinta kebenaran dan sangat mempertahankannya. Tetapi realitinya mereka sendiri menganjurkan dan melaksanakan kejahatan.
Jadi kemana sebenarnya kelompok mereka ini mahu perjuangkan?..Saya kira mereka hanya mahu memperjuangkan PETI UNDI masing-masing sahaja. Bukan untuk membela agama, bangsa dan negara. Jauh sekali dari hendak mengajak orang untuk mencintai Allah dan RasulNya.
Wallahualam.
1 ulasan:
dakwah bergerak dalam 2 flow, bottom to top, dan top to bottom. bottom to top, contohnya gerakan-gerakan islam sebagai NGO seperti ABIM yang menyebarkan dakwah Islam juga memperteguhkan penghayatan di kalangan ahli-ahlinya. bagi top to bottom pula, contoh mudah adalah PAS. mereka mengisi tanggubngjawab dan tuntutan fardu kifayah untuk menegakkan sebuah negara Islam. kedua-duanya perlu wujud. maka tidak timbul soal idealogi bukan idealogi. siapa yang mencipta idealogi? betulkah idealogi tersebut. Maka diperkenalkan Islam, wahyu yang membawa idealogi yang paling betul
Catat Ulasan