29 Ogo 2008

WAHAI POLITIKUS !


Ada beberapa perkara yang mengusik kolam hati saya sejak dua minggu yang lalu, tentang sesuatu yang saya tidak suka untuk memperkatakannya tetapi rupanya hati kecil saya tersentuh juga untuk membicarakannya.

Tentang POLITIK di Malaysia.

Saya sering mengingatkan diri saya bahawa :

Menjaga adab ialah cuba jangan membawa budaya orang politik iaitu kata mengata. Budaya orang politik ialah saling kata mengata. Pemimpin mengata sesama pemimpin. Pemimpin mengata pengikut. Pengikut mengata pemimpin dan pengikut mengata sesama pengikut. Yang mereka tak mengata ialah diri sendiri.

Sifat hipokrit orang politik ialah di hadapan elok, senyum mesra, bertanya khabar, bersembang tetapi dibelakang mengata macam-macam. Termasuk menjaja aib dan maruah kawan sendiri. Kawan yang sepatutnya ditutup aib dan maruahnya tetapi dijaja dan disebar merata, menjadi buah mulut. Jemaah kebenaran ialah anggotanya mengutuk dan mencerca diri sendiri bukan mengutuk dan mencerca orang lain.


Melihat suasana yang berlaku sekarang, saya kira pernyataan di atas memang amat TEPAT.Sejak dahulu, saya sering melihat bahawa sistem POLITIK yang digunapakai di Malaysia hari ini tidak membawa apa-apa kebaikan kepada umat Islam.

Saya sering mengingatkan diri saya dengan nasihat di bawah ini.


Kalau kita ada cita-cita nak perjuangkan Islam, jangan gunakan politik. Memang politik bukan gelanggang nak baiki orang. Kadang-kadang diri kita sendiri pun rosak. Sebab itu bila dikatakan politik itu kotor, bukan jalannya, itu adalah pengalaman ana sendiri. Ukhwah sudah tentu tidak ada. Suka bertekak dengan orang.


Kita kena belajar sejarah dan peribadi orang-orang soleh. Kita ni jarang baca sejarah. Inilah yg jadi masalah. Baca buku politik saja sampai panas kepala. Riwayat hidup orang politik yang bergaduh tu, cerita orang politik, cerita orang bergaduh. Kisah bergaduh saja. Tak pernah baca cerita orang berbaik dengan Allah, khusyuk dengan Allah, tawadhuk dengan Allah, munajat dengan Allah, orang yang sabar, orang yang redha, orang yang berjuang penuh dengan kesabaran.



Ya, apa yang berlaku di Malaysia khususnya dan dunia Islam umumnya kita dapati,

memang BENAR memperjuangkan cita-cita ISLAM tidak boleh melalui jalan kaedah POLITIK hari ini.

Lambat laun, perjuangan ISLAM yang cuba digapai hanya jadi RETORIK dan jauh dari REALITI, malah mengundang BENCANA pula kepada diri orang-orang yang memperjuangkan ISLAM menggunakan kaedah POLITIK hari ini.

Sehingga timbullah kata-kata yang kita dengar hari ini, FATWA yang DIPOLITIKKAN demi SURVIVAL parti untuk mendapatkan KUASA dan MANDAT rakyat yang akan mengundi mereka.

Fenomena ini amat menyedihkan, di mana perpaduan lagi dikalangan umat Islam?..adakah kita sudah jual perpaduan dengan perkataan KONSPIRASI? Apakah kepartian telah membentuk partisan yang sudah tidak melihat AGAMA sebagai FAKTOR perpaduan?

Apakah sudah hilang KASIH SAYANG kita sesama saudara seislam yang RSAW sebut dan pesankan kepada kita, orang mukmin itu seperti satu badan, yang jika salah satu anggotanya sakit, yang lain juga turut merasakan kesakitannya? Tetapi apa yang berlaku sekarang, kita bukan lagi seperti satu badan, tetapi terpisah dan tercerai mengikut badan-badan parti masing-masing.

Inikah yang Allah dan RasulNYa mahu?

Sheikh Badiuzzaman Said Nursi, iaitu seorang sheikh yang merupakan pejuang islam yang menjadi penentang kuat presiden Kamal Artarturk di Turki, beliau menyatakan :


Aku berlindung kepada ALLAH daripada syaitan yang kena rejam serta politik.


Abuya pernah berkata,

Seorang ahli politik itu walaupun dia jujur dalam perjuangan politik, tapi dalam perjuangan dia tidak akan berjaya menegakkan KEBENARAN. Sebab politik adalah asas orang Barat yang diceduk dari orang-orang Barat. Ia adalah satu DAKYAH Yahudi.


Persoalannya mengapa masih ramai pejuang islam yang masih tertipu dengan kaedah Barat ini. Sedangkan tidak ada sebuah parti politikpun yg berjaya mengembalikan dunia ini kepada Negara Aman Makmur dan Mendapat Keampunan Allah melalui sistem politik yang ada sekarang.

dan janganlah pula kita tersilap faham bahwa di dalam perjuangan kebenaran untuk menegakkan ISLAM boleh berlaku pilihanraya politik secara syura.

Minyak dan air tidak boleh bercampur.

Jauh di sudut hati, saya kecewa dengan para pemimpin politik sekarang tidak kiralah dari BN, PKR, PAS dll, semuanya hanya memikirkan SURVIVAL kepartian masing-masing dan mengemis sokongan untuk diUNDI di atas kertas.

Apakah yang diperjuangkan wahai pemimpin-pemimpin bangsa seagamaku semuanya?

Sedarlah kamu sebenarnya bukan memperjuangkan Allah, Agama dan RasulNya tetapi apa yang kamu perjuangkan adalah KERUNTUHAN kepada perpaduan umat ISlam dan MEMUSNAHKAN agamamu sendiri dan diri kamu sendiri jika kamu masih MABUK lagi dengan KUASA dan JAWATAN .

Selamat HARI MERDEKA buat semua.

Bulan Ramadhan Bulan Pesta Ibadah



Janganlah Ramadhan dijadikan pesta makan minum, janganlah jadikan Ramadhan banyak tidur-tidur sahaja di siangnya dan janganlah jadikan Ramadhan selepas sedikit ibadah sembahyang kemudian berbual dan borak-borak yang banyak.Selepas berbual-bual banyak pulang ke rumah kemudian tidur, malam tidak bangun pula menghidupkan malam bersama Allah.

Ramadhan bukan sekadar menghidupkan malam, siang berlapar-laparan dan berletih-letihan. Ramadhan adalah untuk menghidupkan fikiran, hati dan jiwa dengan rasa bertuhan.Ramadhan hendak memeriahkan jiwa dengan rasa kehambaan, rasa hina, rasa lemah dan rasa kerdil di hadapan Allah yang Maha Kuasa.Ramadhan hendak mengimarahkan jiwa dengan rasa rendah diri, takutkan Allah, cintakan-Nya, rasa bertuhan sentiasa. Ramadhan hendak menghidupkan jiwa timbang rasa sesama manusia, rasa kasih sayang, simpati sesama manusia yang derita, yang tidak punya apa-apa.Ramadhan hendak menebalkan rasa berdosa, takut kalau terlibat lagi dengan dosa.Ramadhan hendak rasa agung-Nya Allah, hebat dan kuasa-Nya Allah.Ramadhan bukan sekadar ibadah luaran-luaran yang meriah dan ceria yang dalam gelap-gelita.

Yang penting jiwa hendak dihidupkan, memeriahkan yang di dalam jiwa, Allah pandang bukan yang luaran tapi yang di dalam. Allah hendak melihat yang di dalam batin manusia apakah hidup jiwanya rasa bertuhan. Siangnya berpuasa, malam sembahyang, banyak membaca Al Quran untuk memberi cahaya kepada jiwa yang selama ini gelap-gelita. Membanyakkan berzikir bukan lafaznya tapi penghayatannya. Berzikir bukan sekadar menyebut di lidah tapi menyebut di hati, dirasa oleh jiwa. Berzikir bukan di lidah tapi ingatan di hati.

Kedatangan Ramadhan adalah dengan tujuan hendak menghidupkan hati yang mati sebelumnya. Moga-moga kesan sebulan menghidupkan hati tahan setahun lamanya. Kemudian Ramadhan datang lagi hidupkan pula lagi hati yang mati tahan pula setahun lagi.Itu bagi orang awam yang selalu sahaja cuai dan lalai. Bagi orang yang bertaqwa jiwanya hidup setiap masa, kedatangan Ramadhan hanya untuk darjat dan pangkat di sisi Tuhannya.Tapi kalau kedatangan Ramadhan tidak pun menghidupkan jiwa luar meriah di dalam tidak meriah. Luar terang-benderang dengan syariat lahir, syariat batinnya gelap. Kalau di luar Ramadhan tentulah lebih-lebih lagi malang,gelaplah hati sepanjang tahun. Tidak ada masa hati yang terang, sungguh malang.

27 Ogo 2008

KISAH DUA ORANG PENJALA




Kedua-dua lelaki itu begitu bersungguh-sungguh menebar jala masing-masing ke dalam sungai. Salah seorang daripadanya menebar dengan menyebut nama Allah manakala yang seorang lagi menebar dengan menyebut nama berhala. Mereka bertanding untuk membuktikan agama siapa yang benar dan memberi rezeki kepada penganutnya. Siapa paling banyak dapat ikan, dia menang.

Jala yang ditebar oleh si kafir selalu menghasilkan ikan yang banyak. Makin lama ikan yang dikumpul olehnya makin banyak. Hatinya begitu girang. Dan bertambah girang apabila dia mendapati bakul si Muslim masih kosong walaupun telah berpuluh-puluh kali jalanya diangkat.

Si Muslim masih menjala dengan sabar dan tekun. Dalam hatinya tidak sedikit pun terdetik sangka buruk terhadap Allah. "Mungkin ada rezeki yang lebih baik daripada ini untukku!" detik hatinya.

Mulutnya masih mengukir senyum. Akhirnya salah satu daripada jaringannya itu terasa berat.

Setelah diangkat didapatinya ada seekor ikan. Di wajahnya terbayang sedikit kegembiraan. Mungkin yang seekor. Ini pengubat usahanya untuk hari itu. Membawa balik ikan walaupun seekor lebih baik daripada pulang dengan tangan kosong. Hatinya tetap bersyukur walaupun cuma direzekikan dengan seekor ikan sahaja.

Malang, ikan yang seekor itu pun terlepas kembali ke dalam sungai. Namun hatinya masih bersabar.

"Mungkin ada hikmahnya!" pujuk hatinya.

Sementara si kafir itu pula ketawa berdekah-dekah melihat malangnya nasib si Muslim itu. Dengan ketawa yang berdekah-dekah itulah si kafir pulang dengan jinjingan bakul yang sarat dengan ikan. Manakala si Muslim pulang dengan tangan kosong dan badan yang penat tetapi hatinya bertawakal kepada Allah.

Melihat kejadian yang pelik itu, malaikat yang menjaga si Muslim terus mengadap Allah untuk mendapat kepastian tentang nasib si Muslim itu. Lalu Allah menunjukkan Syurga yang dikhususkan untuk si Muslim itu kerana kesabarannya. Dan ditunjukkan Neraka untuk si kafir itu.

Malaikat berkata, "Tidak sia-sialah usaha dan kesabaran si Muslim itu walaupun mendapat sedikit kesulitan di dunia, tetapi malanglah nasib si kafir itu walaupun dia bernasib baik di dunia."


-----------------------

Pengajaran dari kisah dua orang penjala ini sebenarnya jika dihayati akan menyentuh kalbu kita. Betapa rupanya, manusia yang melupakan Tuhan atau hatinya tidak dekat dengan Tuhan, selalu mengingati bahawa jika mereka diberikan kekayaan, kesenangan, kemudahan, kejayaan, kemenangan di dunia ini ini menunjukkan bahawa Tuhan meredhai diri mereka. Padahal semua itu hanyalah ISTIDRAJ dari Tuhan kepada mereka.

Sedangkan yang sabar, redha dan bersangka baik dengan Allah SWT walaupun ditimpa kehinaan, kemiskinan, kesulitan dan kekalahan itu sebenarnya Allah SWT lebih pandang dan lebih redha kepada mereka. Walaupun mereka tidak mendapat apa-apa habuan di dunia tetapi sesungguhnya kepada mereka dijanjikan kenikmatan yang berlipatganda di akhirat sana malah kekal abadi nikmat itu selamanya.

Marilah kita sama-sama mengambil iktibar bahawa di dalam menilai kehidupan di dunia ini wajiblah ke atas kita cuba menghayati segala ketentuan Allah SWT dengan iman dan taqwa yang diisi dengan sifat-sifat mahmudah seperti sabar, redha, tawakkal, berlapang dada, berkasih sayang, berbaik sangka dengan takdir Allah dsbnya, janganlah kita menilai kehidupan ini dari pandangan nafsu yang sangat mengajak kepada mencintai dunia, pangkat, kuasa dan wang ringgit.

Sekian.

25 Ogo 2008

ERTI SUNNATULLAH


"Sekali-kali kamu tidak dapati sunnah Tuhan itu berubah”

“Sekali-sekali engkau tidak akan dapati sunah Tuhan itu beralih”

“Sekali-sekali engkau tidak akan dapati sunah Tuhan itu bertukar ganti”


Tiga ayat ini lafaz akhirnya tak sama sedangkan kalau diterjemahkan sama.


Apa itu sunnatullah?


Sunnatullah ialah peraturan atau sistem atau ketentuan Tuhan untuk hamba-Nya di dunia ini, samada hamba-Nya yang bernyawa mahupun hamba-Nya yang tidak bernyawa.


Padahal Tuhan ini kuasa-Nya tidak siapa boleh halang. Tapi Tuhan sangat berdisiplin. Jadi disiplin Tuhan pada hambanya samada yg bernyawa atau tidak sejak di azali lagi, Tuhan tidak akan ubah supaya mereka selamat. Bila Tuhan dah ciptakan makhluk di azali lagi maka Tuhan tak ubah. Begitulah Tuhan disiplinkan diri Dia. Tuhan Maha berdisiplin. Bila Dia dah ditetapkan satu-satu disiplin maka Tuhan tak ubah-ubah lagi. Sebab itu Tuhan tegaskan dalam 3 ayat itu bahawa Tuhan takkan ubah sunnah itu. Tak macam kita, buat peraturan pasti kita sendiri tak boleh nak ikut.


Contohnya: Tuhan perintahkan supaya betul-betul faham sunnah Tuhan sebab sunnah Tuhan tak berubah. Sunnah Tuhan ini sebahagiannya dapat dikesan oleh manusia sebab dia bersifat lahir. Tapi setengahnya tak dapat diketahui. Misalnya ada sunnah yang tersendiri untuk kayu kayan, kita tak faham. Kalau di kalangan pokok-pokok itu ada yang melanggar sunnah Tuhan maka pokok itu pun tak selamat. Cepat rosak. Begitu juga di kalangan binatang. Kalau semut langgar sunnah Tuhan mereka akan rosak. Begitu juga dengan batu-batu. Malaikat pun ada sunnah Tuhan yang tersendiri. Cuma malaikat ini taat pada sunnah Tuhan.


Sunnah Tuhan pada manusia ada dua aspek:


1.Qarhan
2.Tau’an



Sunnah QARHAN (terpaksa) samada kita setuju atau pun tidak, kita kena ikut. Kalau tidak kita akan jadi masalah.

Contoh, orang kena bernafas dengan oksigen (O2). Kalau kita cuba bernafas denga air matilah kita.

Contoh qarhan lagi, kalau ada orang nak kenyang tapi tak nak makan, nahaslah kita. Nak dapat anak kena kahwin. Tuhan dah katakan sunnah Tuhan itu takkan berubah. Tapi sesekali Tuhan buat lain sebab nak selamatkan aqidah umat. Contoh, sunnah api membakar tapi pada Nabi Ibrahim tak membakar pun. Supaya orang tidak menganggap api itu Tuhan.

Yang ini orang faham melalui pengalaman. Termasuk qarhan juga iaitu sedikit orang saja yang tahu misalnya ahli saintis sahaja yang tahu. Contoh, Tuhan dah sunnahkan berhentilah makan sebelum kenyang. Bila langgar maka orang akan kena sakit. Tapi tak semua orang tahu melainkan ahli saintis. Kalau yang qarhan ini kita langgar sunnah Tuhan, bahayanya tak besar sangat, paling tidak sakit.


Jenis sunnah kedua dikenali dengan TAU’AN. Ini hanya untuk orang yang bertaqwa sahaja yang faham. Dia bersifat maknawi dan rohani.


Tuhan berfirman:

“Tuhan tidak akan memusnahkan kaum itu kalau mereka itu orang soleh”.


Kalau majoriti orang disatu tempat adalah orang soleh, Tuhan takkan binasakan mereka. Tidak dibinasakan dengan bencana alam, perang, dll.


Tuhan dah sunnahkan:

“Tuhan akan tolong orang mukmin”

“Orang bertaqwa didatangkan rahmat dari langit dan bumi ”

”Siapa bertaqwa Tuhan anugerahkan rahmat di dunia atau akhirat, kalau di akhirat lagi besar”


Kepada orang jahat maka Tuhan timpakan berbagai bencana. Sekarang sudah sampai masanya janji Tuhan dunia nak dipulihkan semula. Ulama guna akal ertinya dah tak berlaku taqwa. Tapi bila ada sahaja orang bertaqwa maka berlakulah bantuan Tuhan dengan diturunkan rahmat dan barakah.

Masanya dah tiba untuk Allah nak anugerahkan semula dunia dengan keamanan. Oleh itu janganlah guna akal semata-mata. Ajak manusia bertaqwa pada Tuhan. Kalau kita ikut sunnah Tuhan ini, pembelaan dari Tuhan akan datang semula. Kalau kita masih buat jahat mengikut ukuran sunah Tuhan, maka Tuhan akan hampuk lagi.

13 Ogo 2008

KEISTIMEWAAN UiTM

YA, memang UiTM terlalu dekat di hati saya..di sini saya belajar tentang kehidupan, di sini saya belajar tentang pekerjaan, dan di sini kesetiaan saya insyaALLAH akan berkekalan...

Mengapa ?...mengimbau kembali kenangan lama sewaktu saya sedang memohon untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, di sebabkan salah memohon bidang yang tidak menepati result, pure science tapi minta LAW,..hehheh..(biasalah NAIF, org lain sibuk ambil borang masuk U, tapi saya tak tahupun mesti isi borang...tak tau le apasal le lost information sgt masa tu, nak kata sekolah kampung tak pula, sekolah berasrama penuh juga, sekolah sains...)

jadi disebabkan hal-hal teknikal begitu walaupun dengan result yang tidak jadi masalah untuk masuk ke mana-mana U, saya keciciran...pilihannya masuk form 6 lah..form 6 science ...aduuhhh boringnya...

takdirnya, saya tidak menerima apa-apa tawaran dari sebarang IPTA, sehingga ke saat akhirnya.

Nasib baik saya ada mengisi borang masuk ke UiTM yg waktu itu berbeza dengan IPTA yang lain. Borang itu sengaja saya isi kerana abang sepupu saya yang waktu itu belajar di ITM ambil dan suruh saya isi..mungkin Allah jua yg gerakkan hati dia untuk suruh saya isi borang itu..walaupun dia kata, result saya ni terlebih layak untuk masuk ITM waktu itu.

Jadi, ayah tersayang dek kerana kasihan dgn nasib saya, maka telah merayu kepada ITM untuk memasukkan saya belajar di sana...alhamdulillah...saya masuk ke UiTM selepas sebulan pelajar baru lain mendaftar diri dan bersama-sama yang masuk pada waktu yg sama dgn saya itu adalah pelajar-pelajar yang gagal ke luar negara dan saya ditempatkan sekelas dengan mereka. Saya ingat lagi ada lebih kurang 20 lebih satu kelas itu dan saya antara yang termuda..hehhehe..

Kerana itu, saya rasa ITM sgt istimewa di hati saya..dan kini saya kembali ke ITM dan kini dikenali dengan UiTM utk merealisasikan rasa kesyukuran dan ingin berbakti kepada anak bangsa bumiputera..di universiti yang telah banyak berjasa dan mengangkat maruah anak bangsa sendiri yang selalu di perlekeh oleh bukan sahaja bangsa lain tetapi oleh bangsa sendiri yang seperti kata pepatah lebih sudu dari kuah.. atau seperti kacang yang melupakan kulitnya..

marilah kita sama-sama menghayati fakta dari artikel ini, kita lupakan soal politik tetapi kita baca dengan hati nurani seorang melayu islam.

Keistimewaan UiTM

©Utusan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran)
Oleh Mohd. Khuzairi Ismail (Wartawan Utusan)

sebahagian daripada kira-kira 5,000 orang pelajar UiTM berarak dengan memegang sepanduk membantah cadangan supaya institusi itu dibuka kepada bukan bumiputera di Shah Alam, Selangor, semalam.

KETEGASAN kerajaan berhubung hak eksklusif orang Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang pernah menjadi isu beberapa tahun lalu nampaknya dicabar untuk sekelian kalinya, apabila kuota 10 peratus untuk bukan bumiputera kembali dibangkitkan.

Cuma bezanya kali ini tuntutan itu disuarakan oleh seorang pemimpin Melayu yang seharusnya memahami perjuangan UiTM dalam memperkasakan anak bangsa sendiri, dan mempertahankannya pula di sebalik sekian banyak ancaman terhadap maruah bangsa yang agak kerap dicabar kebelakangan ini.

Lalu bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila tuntutan yang tidak berasas itu disambut dengan rasa amarah yang bukan kepalang oleh banyak pihak, yang pastinya tidak rela berkongsi satu lagi hak keistimewaan orang Melayu yang masih kekal.

Paling utama, semangat yang ditunjukkan oleh kira-kira 5,000 orang pelajar UiTM yang berdemonstrasi membantah tuntutan itu semalam menyampaikan mesej betapa hak keistimewaan orang Melayu di UiTM adalah sesuatu yang jelas, dan jangan sekali-kali dipertikaikan.

Sesiapa pun yang mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu untuk melanjutkan pelajaran di UiTM itu sebenarnya tidak hanya melangkaui sempadan kaum, tetapi turut mencabar undang-undang negara.

Malah, mereka juga sebenarnya merendah-rendahkan kuasa Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan apa yang termaktub di bawah Akta UiTM 2000 merupakan pindaan dari Akta ITM 1976 yang menyatakan penubuhan universiti itu tertakluk kepada peruntukkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan
.

Perkara 153 yang menyentuh mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak yang mana tanggungjawab memelihara keistimewaan kumpulan bumiputera itu terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Sehubungan itu, dasar UiTM sejak penubuhannya hampir 52 tahun lalu iaitu eksklusif kepada pelajar Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja dikekalkan semasa Akta UiTM diluluskan oleh Parlimen pada 2000.

Mereka yang cuba mempertikaikan hak eksklusif bumiputera di UiTM barangkali buta sejarah, atau dengan sengaja menjadi jaguh mencipta isu sensasi untuk mencari populariti.

Jika tidak, mana mungkin objektif pe- nubuhan awal UiTM yang bermula dengan Dewan Latihan RIDA (Pembangunan Luar Bandar dan Industri) pada tahun 1956 boleh dilepas pandang begitu sahaja.

Seperti yang dijelaskan oleh Dekan Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Nasrudin Mohammed, sejarah penubuhan UiTM adalah berlandaskan polisi afirmatif iaitu ditubuhkan khusus bagi membangunkan ekonomi orang Melayu.

Dengan tanggungjawab tersebut, UiTM pada awal penubuhannya menjadi sebuah institusi khusus yang berperanan melatih dan melahirkan anak Melayu da- lam aktiviti perniagaan yang sangat jauh ketinggalan dengan bangsa lain pada ketika itu. Malah, atas keperluan itu juga, mungkin ramai yang tidak mengetahui, UiTM sebenarnya bermula sebagai sebuah pusat latihan kecil untuk membuat tali daripada sabut kelapa semata-mata untuk mengajak orang Melayu mengenali dunia perniagaan.

"Dengan peranan yang lebih jelas, UiTM sebenarnya cuba untuk menyeimbangkan penglibatan kaum dalam arus pembangunan negara seterusnya mengajak orang Melayu bersama-sama bersaing dengan bangsa lain.

"Tanpa boleh dipertikaikan, tuntutan itu telah berjaya dipenuhi dan adalah sa- ngat menyedihkan apabila usaha UiTM meletakkan bangsa Melayu setaraf dengan bangsa lain itu dinafikan dan mahu ditarik kembali," katanya.

Memperhalusi alasan untuk mewajarkan kuota UiTM dibuka kepada bukan bumiputera, jelas Nasrudin, ia bukanlah hujah yang kukuh melainkan secara jelas berselindung di sebalik permainan politik semata-mata.

Isu membuka peluang sama rata kepada semua kaum misalnya, perlu dilihat dalam konteks yang lebih spesifik, iaitu kaum manakah yang sebenarnya lebih memerlukan peluang untuk berdaya maju.

Hakikat yang perlu diterima, ujar beliau, orang Melayu sehingga kini masih jauh ketinggalan dalam banyak bidang dengan bangsa lain, dan salah satu ruang untuk orang Melayu memajukan diri ia- lah di UiTM.

Ini juga secara mudah menjawab isu lain yang turut dibangkitkan, iaitu bagi membolehkan orang Melayu lebih bersaing dan berdaya maju dengan kehadiran pelbagai bangsa di UiTM.

Budaya bersaing dan cuba menonjolkan diri seperti itu sebenarnya sudah lama subur di UiTM, dan buktinya pelajar-pelajar lepasan UiTM ketika ini adalah mahasiswa yang paling laris di pasaran kerja.

Ia pula pastinya ada kaitan dengan isu kualiti di UiTM, yang selama ini menawarkan kursus-kursus pengajian futuristik dan melangkaui zaman, seperti bidang fesyen dan perhotelan misalnya.

Malah untuk melangkah ke UiTM itu sendiri pun pelajar-pelajar Melayu perlu bersaing sesama sendiri kerana tempat yang terhad, bayangkan pula apabila 10 peratus kuota untuk mereka terpaksa dikurangkan nanti.

Sementelah jumlah 10 peratus pelajar bukan bumiputera jika ingin dikaitkan dengan peningkatan kualiti di kalangan pelajar Melayu juga sebenarnya mudah untuk disangkal, kerana jumlah itu sangat sedikit dan sukar pula untuk memberi saingan.

"Sebab itu saya melihat desakan ini lebih kepada permainan politik dan bukannya berniat untuk meningkatkan kualiti pelajar-pelajar UiTM.

"Mereka yang ingin memperjuangkan kualiti di UiTM seharusnya tahu untuk meletakkan sesuatu pada tempatnya, atau lebih tepat perlu beradab, bukan hanya dengan membuka peluang sama rata kepada semua kaum," katanya.

Dengan peranannya memperkasakan orang Melayu, bukanlah bermaksud UiTM membelakangkan semangat perpaduan di kalangan kaum di negara ini, kerana bangsa lain tidak pernah dinafikan untuk mendapatkan peluang pendidikan yang setaraf, malah lebih baik lagi dari UiTM.

Terlalu banyak IPT yang dibuka tanpa sebarang had kepada kaum bukan bumiputera, lalu kenapa UiTM yang merupakan satu-satunya institusi untuk orang Melayu selaras dengan hak eksklusif bumiputera ini mahu dirampas?

Jika sentimen anti-perpaduan seperti yang digembar-gemburkan oleh beberapa pihak begitu menjadi kebimbangan, bagaimana pula dengan dasar-dasar yang jelas membayangkan diskriminasi kaum mahu diperjelaskan?

Ambil sahaja sikap tidak bertanggung- jawab sesetengah syarikat yang meletakkan syarat wajib berbahasa Mandarin bagi mengisi sebarang jawatan di organisasi mereka.

Bukankah syarat kelayakan itu secara terang-terangan membelakangkan perpaduan di antara kaum di negara ini?

Banyak ruang yang boleh diperjuangkan oleh seorang pemimpin jika berhasrat untuk menunjukkan kewibawaan, tetapi tidak dengan menggadaikan maruah bangsa dan tanah air sendiri.

Keistimewaan bangsa yang diwarisi sekelumit cuma hari ini perlu dipertahankan dengan darah perjuangan sejati kerana ia adalah amanah generasi akan datang.

Jangan apabila tiba waktunya bumi bertuah ini sampai ke tangan anak cucu kita, apa yang tinggal hanyalah sekangkang tanah yang padanya tidak lagi ada maruah bangsa, sebaliknya mereka terpaksa pula menagih simpati daripada orang lain yang pernah disuapkan rezeki.

12 Ogo 2008

WAHAI BANGSAKU, KE MANA ARAH HALA TUJU KITA ?


Wahai orang Islam (Melayu) ke mana hala tuju kita?
Kita hendak bangunkan bangsa macam mana?
Membangunkan bangsa mestilah semua golongan terlibat mengikut bidangnya
Tentulah kita hendak membangun bangsa yang berwibawa
Bangsa yang ada jati diri, yang tahan uji
Bangsa yang sanggup berjuang, berkorban, sanggup terkorban, sanggup susah dan menderita
Orang Melayu tidak boleh dipisah dengan agama (Islam)
Kalau dipisah dari agama jati diri tidak ada, macamlah dicabut nyawa
Melayu atau bangsa itu hanya rangka, agama itu roh atau jiwanya atau nyawanya
Kalau orang Melayu hanya tinggal rangka, kekuatannya rapuh hilanglah kekuatannya
Jati diri itu adalah agamanya yang diamal dan dihayati di dalam jiwa
Bangsa tidak boleh dipisahkan dari agama (Islam)
Kalau hendak membangunkan bangsa yang berwibawa, berjiwa besar jati diri mesti ada!
Setiap golongan mestilah program hidupnya ke arah membangunkan jati diri dan wibawa bangsa
Terlonjak-lonjak, terpekik-pekik dan terlolong-lolong di atas pentas dengan pakaian seksi
Apakah ia boleh membangunkan jati diri?
Kita semua boleh menjawabnya
Kalau saya yang menjawabnya takut tidak boleh diterima
Kemudian pamerkan satu budaya, ketawa terbahak-bahak, bercakap tidak tentu macam orang gila
Apakah boleh membangunkan wibawa bangsa?
Kita semua orang Melayu kena jawablah
Kalau saya menjawabnya mungkin tidak boleh diterima bersama
Kita galakkan bergaul bebas laki-laki perempuan di dalam kehidupan,
pakaian menjolok mata pula
Bolehkah mendorong orang Melayu berkorban untuk bangsa dan agama?
Kita orang Melayu kenalah jawab yang membina!
Pendidikan kita apakah menjamin lahir darinya boleh berkasih sayang, boleh bersatu, rasa bersama, bekerjasama, peri kemanusiaannya tinggi, bertimbang rasa, bela-membela?
Kita semua kenalah menjawabnya!
Hasilnya kita telah lihat bersama! Natijahnya kita telah saksi bersama, mudah menjawabnya bukan?!
Buahnya sudah sama-sama kita makan dan merasa, maniskah atau pahit?
Saya tidak suka menjawab seorang sahaja, nanti ada yang tidak boleh menerima mungkin marah pula
Kenalah jawab secara rasional, secara jujur, jangan membohongi kenyataan!
Kalau ia boleh membangunkan jati diri dan wibawa bangsa teruskan,
kalau sebaliknya rombak dasar pelajaran
Apakah politik kita stabil boleh dicabar dan mampu mencabar, politik yang bersih,
tidak ada jatuh-menjatuhkan?
Jawablah dengan benar! Jangan berdalih! Jangan sorok-sorokkan!
Bolehkah politik kita membangunkan satu masyarakat yang bersih dari gejala tidak sihat, bersatu-padu, harmoni, peri kemanusiaan tinggi
Ha! Tolong jawab, jawab yang bertanggungjawab, jawapan yang insaf!
Menayangkan drama kisah cinta, kemudian tidak bahagia, kecewa, akhirnya bercerai
Apakah drama ini boleh mendidik bangsa kita?
Bangsa yang sanggup berkorban, berjuang, sanggup menderita kerana negara dan agamanya?
Ulama-ulama kita sekarang, para pendidik bolehkah menjadi contoh,
menjadi suri teladan, menjadi ikutan
Mari kita jawab bersama berdasarkan realiti yang sebenarnya
Saya tidak boleh menjawabnya seorang diri takut tidak kena nanti tersinggung pula
Kita kenalah jawab secara tepat, janganlah hendaknya kita menipu diri kita sendiri
Jangan kita berbohong dengan hati kita sendiri
Atau jangan kita tipu diri
Begitulah banyak persoalan yang hendak kita jawab
Bahkan lebih banyak lagi program hidup kita menjadi tanda tanya!
Perlu kena jawab!
Tidak mudah untuk dijawab begitu sahaja bukan?
Mestilah dijawab dengan fikiran yang rasional, dari jiwa yang insaf, dari hati yang ikhlas
Dari rasa tanggungjawab
Selama ini seminar-seminar menjadi budaya
Kertas kerja kalau kita himpunkan hasil seminar mungkin berlori-lori banyaknya
Mari kita bertanya diri kita sendiri kemudian jawab sendiri mungkin kita akan ketawa sendiri, yang sebenarnya kesal dan kecewa

Pertanyaan itu begini:
Berapa bandar sudah terbangun hasil seminar?!
Sebanyak mana supermarket dapat diwujudkan hasil kertas kerja?
Sebanyak mana setiap golongan mempunyai tabung kewangan
untuk membela masyarakat Melayu (Islam)?
Hasil seminar seramai mana dapat diberi biasiswa kepada orang
yang dibuat oleh pihak swasta bukan kerajaan?
Berapa buah hospital dapat diwujudkan hasil seminar setiap tahun yang berulang-ulang?
Berapa banyak kilang-kilang besar yang dibangunkan oleh orang Melayu hasil seminar?
Sungguh banyak perkara kita kena jawab dengan jiwa yang insaf
Mungkin payah lidah kita hendak menjawab secara tepat
Apakah kita boleh menjawab dengan memuaskan?

KEINDAHAN...di sebalik KEMAAFAN



Terkadang kita melakukan sesuatu di luar perancangan, itu katanya mengikut gerak hati..kadang-kadang diri sendiri juga tidak memahami, tetapi gerak hati dituruti juga dengan tindakan. Walau apapun, gerak hati itu, sentiasalah berdoa agar tidak melanggar syariat Allah dan tidak juga menzalimi manusia lain.

Memaafkan adalah satu akhlak yang mulia, dan lebih mulia lagi apabila kita turut mendoakan kebaikan. Itu pesan RSAW, dan menjadi ikutan orang mukmin. Memang hati akan pedih apabila dihina atau disakiti, tetapi RSAW berpesan, semulia-mulia manusia adalah membalas kejahatan dengan kebaikan walaupun ia berpeluang untuk membalas kejahatan itu dan berhak mendoakan keburukan atas orang yang menzalimi atau menfitnahnya.

Mengapa perlu memaafkan dan mendoakan kebaikan kepada orang yang menzalimi kita dengan fitnahnya?

Kerana mereka juga adalah HambaAllah seperti kita. Jika Allah SWT dengan rahmatNya bersedia mengampunkan kita apabila terbuat salah, maka siapakah kita untuk tidak memaafkan orang lain yang berbuat salah terhadap kita.

Tetapi, bagaimana kalau orang yang menfitnah dan menzalimi kita tidak memohon maaf dan tidak pernah merasa bersalah atau ego dengan salah dan silapnya kepada kita?..Adakah kita perlu maafkan juga?

Itulah pentingnya SABAR dan REDHA atas segala ketentuan Allah SWT...dan berbaik sangka dengan ALLAH. Setiap ujian ALLAH itu satu kifarah atas dosa-dosa kita, itu tanda ALLAH SWT ingin mendidik kita maka bersyukurlah atas UJIAN dan KESAKITAN, dan atas kesyukuran itu lupakanlah apa yang telah berlaku, dengan memaafkan orang yang menzalimi kita tanpa perlu dia meminta maaf.

Benar, itulah tindakan yang terbaik, didikan terbaik dari Allah. Siapa yang dapat menafikan, sebenarnya KEMAAFAN itu adalah penawar untuk mendapat ketenangan jiwa, keindahan rasa, kerana kita akan dapat menghayati kasih Allah pada kita. Cukuplah Allah sebagai tempat mengadu kerana Dia lebih mengetahui apa yang ada di dalam hati kita.

Jiwa yang tenang, adalah jiwa yang merdeka dari sifat-sifat mazmumah, jiwa ini adalah jiwa yang penuh dengan rasa kehambaan, rasa kasih sayang, rasa berTuhan, itulah makna KEMERDEKAAN yang hakiki.

Selamat HARI MERDEKA...

5 Ogo 2008

Sembang Petang



Petang semalam, tiba-tiba ada kawan berkata dan melontarkan pertanyaan, Apa nak jadi dengan Malaysia hari ini, keluhnya.


Ya keluhan kawan saya itu memang tidak menghairankan malah memang dijangkakan.

Memang benar katanya, memang gawat situasi sekarang, bagi yang perihatin dengan masalah yang berlaku di dalam Malaysia ini, kata mereka inilah saat paling kritikal untuk Malaysia, dari segenap segi, sebutlah apa sahaja, ekonomi dengan isu inflasinya, harga minyak naik dsbnya , sosial dengan pelbagai masalah jenayah, budaya hedonisme, kebejatan akhlak dsbnya, pendidikan pula dilihat tidak membawa manusia ke arah pembinaan insan yang terbangun hanyalah akal yang selalu menambah masalah kerana kecerdikan yang tidak bersandarkan kepada cinta dan takut Tuhan, agama yang diserang dari segenap sudut oleh pelbagai fahaman yang menarik 1001 macam aliran fahaman islam yang tidak murni lagi , dan paling memeningkan kepala di saat ini adalah pertarungan kuasa-kuasa politik dan kepimpinannya yang membuat masyarakat kebingungan dan meluat.

Saya tersenyum sambil berkata, Terjadilah apa yang akan terjadi.


Kawan saya dengan muka berkerut, menandakan kehairanan bertanya, Mengapa kau kata begitu ?

Saya tanya kembali kepadanya, Apakah ada masa depan pada politik malaysia hari ini untuk kembalikan negara ke suatu situasi yang lebih
baik atau kalau tidakpun, tidak segawat sekarang?


Kawan saya berkata; Saya sudah hilang keyakinan dengan orang-orang politik sekarang..saya tidak nampak siapa yang boleh mengembalikan
Malaysia kepada keadaan yang aman dan sentosa.


Sambungnya lagi, Kau tahu ada antara kawan kita yang dah jadi gundah gulana, its effect her so much..sampai dia kata, tak sanggup lagi hidup di Malaysia ini, tetapi persoalannya, nak lari ke mana?



Beginilah kata saya, mari kita lihat sebuah hadis RSAW yang menyebut :


Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: "Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah
zaman kenabian itu sebagai­ma­na yang Allah kehendaki. Kemudian Allah
mengang­kat zaman itu.

Kemudian berlakulah Zaman Kekha­lifahan (Khulafaur Rasyidin) yang
berjalan seperti zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana
yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya. Lalu berlakulah
zaman pemerintahan yang menggigit (Zaman Fit­nah).

Berlakulah zaman itu sepertimana yang Allah ke­hen­daki. Kemudian
Allah mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pe­nin­dasan dan
penzaliman (Zaman Diktator) dan berla­ku­lah zaman itu sepertimana
yang Allah kehendaki.

Kemudian berlaku pula Zaman Kekha­lifahan (Imam Mah­di dan Nabi Isa
a.s.) yang berjalan di atas cara hidup Zaman Kenabian."
(Riwayat Ahmad)


Saya menjelaskan kepadanya, Kita sekarang ini hidup di zaman fitnah yang mengigit, zaman penindasan dan kezaliman pemerintahan, sebab itu
saya kata di awal tadi, terjadilah apa yang akan terjadi kerana demikianlah Tuhan telah siapkan satu grand design untuk umat Rasulullah SAW. Kini, sesudah lebih 1400 tahun ke­wafatan Nabi penutup SAW, sebahagian besar dari jadual atau agenda dalam Hadis di atas sudah berlaku.

Ada satu pengharapan kita sebenarnya, melalui Hadis ini, terdapat satu janji Tuhan yang belum berlaku tapi bakal ber­laku tidak lama lagi iaitu Islam akan kembali gemilang seperti Zaman Kenabian di akhir zaman di bawah pimpinan Imam Mahdi dan Nabi Isa a.s.


Itulah yang perlu kita rintihkan dan doakan, kita tidak ada jalan keluar lagi selain dari kembali kepadaNya, belajar untuk menjadi hambaNya, dalam erti kata lain, belajar untuk takut dan cinta pada Tuhan.

Apa yang berlaku kini adalah pengajaran kepada kita, bahwa bilaman kita sudah membelakangkan Tuhan dan bertuhankan akal yang kecundang dalam mengenal dan mentaati Tuhan maka inilah bahana dan balasan yang harus kita tempohi.


Dengan tersenyum saya mengakhiri kata-kata saya, Saya yakin dengan janji Tuhan, saya yakin Malaysialah akan jadi pencetus kepada zaman
kekhalifahan itu dan di sinilah akan muncul pemimpin yang dimaksudkan di dalam hadis itu.


Hati kecil saya berkata, "Cukuplah maklumat yang saya berikan untuk hari ini padanya. Kelak nanti akan saya sambungkan lagi. Ini maklumat baru padanya, memang dia tidak pernah tahu tentang hadis tersebut,
saya akan berikan masanya untuk memperhalusi hadis tersebu. InsyaAllah, di lain kali akan saya susuli pula selepas ini tentang siapa figur-figur pemimpin yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut.


Di petang itu, saya beredar dari biliknya dengan memanjatkan doa agar cepatlah zaman kekhalifahn itu berlaku, kerana dunia ini sudah cukup kritikal dengan 1001 malapetaka yang wujud dari dosa-dosa dan kelalaian manusia itu sendiri.